Daily Archives: October 1, 2019

SEORANG DERMAWAN YANG DIREDHOI ALLAH…

Abdul Rahman bin Auf salah seorang daripada 10 yang dijanjikan syurga. Beliau mempunyai semangat juang yang tinggi walaupun menerima 20 luka teruk dalam Perang Uhud. Namun, jihad hartanya lebih hebat jika dibandingkan jihad peperangan. Ikuti kisah menarik ini.

Harta yang kita miliki adalah kurniaan daripada Allah SWT dan sebaik-baik harta demi membantu agama Allah SWT serta digunakan ke jalan-Nya. Banyak contoh teladan yang boleh kita ikuti dalam menjadikan harta dunia untuk kegunaan di akhirat.

Contoh terbaik adalah kisah Abdul Rahman bin Auf yang dermawan ini.
Abdul Rahman bin Auf salah seorang daripada lapan orang terawal memeluk Islam.

Beliau juga seorang daripada 10 yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW dan termasuk enam ahli syura dilantik Saidina Umar al-Khattab dalam menentukan khalifah sesudah beliau.

Nama sebenar beliau ialah Abdu Amrin dan sesudah memeluk Islam, Rasulullah SAW memanggilnya dengan panggilan Abdul Rahman. Beliau memeluk Islam sebelum Rasulullah SAW memulakan dakwah dan penyebaran Islam di rumah Arqam bin Abi al-Arqam.

Abdul Rahman memeluk Islam selepas dua hari Islamnya Abu Bakar as-Siddiq. Beliau mendapat nasib sama seperti mana sahabat lain yang memeluk Islam, terpaksa menahan pelbagai dugaan, cabaran dan tentangan daripada keluarga serta masyarakat setempat.

Namun, mereka tetap sabar, tabah serta membenarkan risalah yang dibawa Baginda SAW. Abdul Rahman ketika awal pengislamannya terpaksa melarikan diri dan berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan imannya.

Tatkala Rasulullah SAW mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, Baginda mempersaudarakan Saad bin Rabiq dengan Abdul Rahman. Persaudaraan itu dengan harapan golongan Ansar dapat menolong saudara Muhajirin yang berhijrah tanpa harta dan keluarga.

Apabila Saad bin Rabiq melihatkan saudaranya, Abdul Rahman tidak memiliki satu harta pun, lantas beliau berkata, “Wahai saudaraku, aku orang Madinah yang banyak harta. Aku mempunyai dua kebun dan aku juga mempunyai dua orang isteri. Maka engkau lihatlah pada kebunku yang mana satu engkau inginkan. Pilihlah. Akanku berikan kepadamu. Juga pilihlah yang mana satu daripada isteriku yang engkau mahukan. Akan aku ceraikan salah seorang daripada mereka, untuk kamu.”

Maka Abdul Rahman berkata kepada saudaranya itu: “Mudah-mudahan Allah memberkati engkau pada hartamu dan ahli keluargamu.”

BERJAYA ATAS USAHA SENDIRI

Abdul Rahman tidak mahu mengambil pemberian dan pelawaan saudaranya itu, bahkan beliau ingin berjaya atas hasil usahanya sendiri. Beliau meminta ditunjukkan pasar dan berniaga secara kecil-kecilan yang akhirnya beliau mendapat sedikit keuntungan yang dikumpul.

Tidak lama sesudah itu, cukuplah kewangannya untuk membayar mahar bagi mengahwini seorang gadis Ansar. Ketika beliau melintasi Baginda SAW, Baginda dapat menghidu bau wangian yang kebiasaannya dipakai oleh orang Arab sesudah kahwin.

Maka Baginda mengatakan, “Tahniah wahai Abdul Rahman, awak sudah berkahwinkah? Beliau menjawab: Saya sudah berkahwin ya Rasulullah. Lalu Baginda bertanya: Apa yang engkau berikan sebagai mas kahwin kepada isterimu? Maka katanya: Sedikit daripada timbangan emas diberikan kepada isteriku. Kemudian Baginda berkata: Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing. Mudah-mudahan Allah akan memberkatimu pada hartamu.”

Mendengarkan kata-kata itu, Abdul Rahman membuat sedikit jamuan. Sejak didoakan oleh Baginda SAW akan keberkatan pada hartanya: “Dunia datang kepadaku” kata Abdul Rahman. Seolah-olah setiap apa yang diangkat, di bawahnya ada emas. Keuntungan sentiasa diperoleh.

Ketika peperangan Badar, Abdul Rahman ikut bersama Rasulullah SAW berjihad. Begitu juga ketika menyertai Perang Uhud, beliau tidak berganjak sekalipun angkatan Muslimin berkecamuk diserang musuh. Beliau tetap mempertahankan Rasulullah SAW sehinggalah keluar dari medan Uhud dengan keadaan tubuhnya ada 20 luka sangat dalam sehinggakan boleh dimasukkan tangan seseorang.

Begitulah semangat juang dan jihad Abdul Rahman di medan peperangan. Namun, jihadnya melalui harta lebih hebat jika dibandingkan dengan jihad peperangan.

Saat Baginda SAW ingin mengutuskan angkatan perang dan menyeru sahabat bersedekah, Abdul Rahman bersegera pulang ke rumahnya lalu diambil sejumlah wang simpanan dan beliau datang kepada Baginda SAW sambil berkata, “Ya Rasulullah, saya ada 4,000 dinar. Daripada 4,000 dinar ini saya berikan 2,000 dinar kepada jalan Allah SWT dan saya simpan 2,000 dinar untuk modal perniagaan saya. Lalu Rasulullah SAW sekali lagi berkata kepada Abdul Rahman: Mudah-mudahan Allah memberkati pada apa yang telah engkau berikan dan mudah-mudahan juga Allah memberkatimu pada harta yang engkau simpan.”

SERAH HARTA KE JALAN ALLAH

Saat Baginda SAW berazam menggerakkan angkatan tentera untuk perang Tabuk, Rasulullah SAW sangat-sangat berhajat kepada harta seperti Baginda berhajat kepada angkatan perang. Sesungguhnya tentera Rom mempunyai bilangan yang ramai dan persediaan lengkap.

Sedangkan ketika itu Kota Madinah menghadapi situasi kering menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan perniagaan agak merosot. Maka saat itu, Baginda SAW amat berharap sahabat dapat menginfakkan harta ke jalan Allah SWT.

Antara sahabat yang menginfakkan harta ialah Abdul Rahman yang menghadiahkan sebanyak 200 Auqiyyah emas (kira-kira 5580 gram emas). Infak Abdul Rahman tidak terhenti di situ. Banyak keadaan menyaksikan Abdul Rahman tampil menyerahkan hartanya ke jalan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga.” (Surah at-Taubah, ayat 111)

Abdul Rahman contoh dan suri teladan yang harus dicontohi kerana sanggup mengorbankan nyawa bahkan seluruh hartanya untuk agama Allah SWT. Sejauh mana kehidupan dan kedudukan kita di sisi Allah SWT dan manusia adalah sebanyak mana kita memberi…

Call Now
Directions