Category Archives: Blog

Ibadah Puasa dan Anugerah

عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Daripada Abu Shalih Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah radliallahu ‘anhu berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Allah ‘azza wajalla telah berfirman; ‘Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang. Apabila kamu dihina orang atau pun diserang, maka katakanlah, ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa.’ Demi Allah, yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi. Dan bagi mereka yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Ia merasa gembira ketika berbuka lantaran puasanya, dan gembira ketika berjumpa dengan Rabbnya juga kerana puasanya.” (HR Muslim No:  1944) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.

2.  Puasa itu adalah perisai atau pendinding seseorang dari melakukan perkara yang dilarang serta melaksanakan sesuatu yang diperintah.

3.  Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab rafats (perhubungan suami isteri di siang hari) termasuk perbuatan dan perkataan yang kotor, lucah dan buruk serta hina, sama ada yang diucapkan, ditulis serta ditularkan.

4.  Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diserang, maka katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa.

5.  Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang enak, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.

6.  Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kebahagiaan:

a.  Gembira ketika berbuka puasa
b.  Gembira ketika berjumpa dengan Allah kerana ibadat puasanya.
 
Bangunkan Jiwa Taqwa. Semoga  Ramadan tahun ini lebih baik untuk kita dengan kualiti dan kuantiti amal yang bertambah bagi mengapai Taqwa. Ramadan Aku Kembali Mendamba Redha Ilahi. Andaikan  Ramadan Tahun Ini Terakhir Buat Kita.

12hb Mac 2024
01hb Ramadan 1445H

REZEKIKAN KAMI YA ALLAH

Setiap detik engkau diberi oksigen oleh Tuhan.

Setiap detik engkau diberi oksigen oleh Tuhan.
Hingga dari detik ke detik engkau dapat menyambung hidup.
Tapi malang, di celah-celah itulah engkau derhaka kepada Allah Taala, Tuhan yang mencipta engkau.
Dengan engkau membuat dosa dan meninggalkan perintah-Nya.
Selagi engkau hidup, di waktu perlu makan, Tuhan masih memberi engkau makan.
Adakalanya makanan engkau begitu lazat dan berzat.
Tapi di waktu-waktu itulah engkau melupakan Tuhan yang memberi engkau makan.
Di waktu engkau sakit kemudian Tuhan sembuhkan maka badan engkau sihat semula dan segar-bugar.
Engkau boleh aktif berusaha dan bekerja seperti biasa.
Dari usaha dan kerja itu engkau maju dan membangun.
Di dalam maju dan membangun itulah engkau menderhakai Tuhan.
Di waktu engkau hendak berhibur, diberi engkau isteri dan anak-anak sebagai cahaya mata.
Di waktu engkau keletihan, Tuhan tidurkan engkau untuk engkau boleh berehat dan memulihkan kekuatan badan.
Selepas tidur, badan engkau segar dan bertenaga semula.
Tapi setelah engkau dapat tenaga, engkau membuat dosa dan noda.
Engkau lalai dan alpa kepada Tuhan.
Begitulah sepanjang hidup harian engkau.
Allah Taala memberi berbagai-bagai nikmat kepada engkau.
Tapi dengan nikmat Tuhan itulah engkau derhaka kepada-Nya.
Apakah engkau tidak malu kepada Tuhan?
Mengapa engkau tidak berfikir, satu masa nanti engkau akan menemui-Nya.
Segala nikmat akan ditanya sekalipun sebesar habuk.
Bagaimana nanti engkau hendak menjawabnya?!
Apakah engkau tidak berfikir ini semuanya?!
Mengapa akal engkau yang cerdik itu tidak boleh berfikir tentang nasib engkau?!
Apalah ertinya cerdik tapi tidak dapat menyelamatkan diri engkau?

9 HARI LAGI.

RAMADHAN SEMAKIN HAMPIR…

Call Now
Directions