Infak Dan Sedekah

Infak bermaksud membelanjakan harta pada jalan Allah SWT secara umum.

Dalam al-Quran, kalimah infak disamakan maksudnya dengan nafkah. Infak terbahagi kepada dua iaitu infak wajib dan infak yang tidak wajib.

Infak wajib termasuk zakat, bayaran kafarah, menunaikan nazar dan keperluan tanggungan wajib termasuk makan minum dan tempat tinggal untuk anak-anak, isteri dan ibu bapa.

Infak yang tidak wajib termasuk derma kepada pertubuhan kebajikan dan orang perseorangan, membantu program dakwah, bersedekah atas nama kemanusiaan dan sebagainya. Allah SWT menyebut perkataan infak dan nafkah sebanyak 49 kali dalam al-Quran. (Antaranya, ayat 215 surah al-Baqarah)

Saad bin Abi Waqas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelanjaan rumah tangga) juga akan diberi pahala oleh Allah. (riwayat al-Bukhari)

Sedekah juga mempunyai makna yang umum. Sedekah boleh jadi infak atau zakat, malah sedekah boleh melibatkan apa-apa sahaja kebaikan yang dilakukan, sama ada melibatkan pemberian harta ataupun tidak melibatkan harta.

Tanggapan yang mengatakan sedekah adalah pemberian sunat semata-mata tidak tepat. Hakikatnya sedekah boleh jatuh hukum wajib dan boleh jatuh hukum sunat.

Hal ini berlaku demikian kerana ada ayat-ayat al-Quran yang memberi makna zakat pada perkataan sedekah. (rujuk firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60)

Dalil untuk sedekah yang sunat pula adalah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa bersedekah seberat biji kurma daripada usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions