MENGAPA PERHAMBAAN MANUSIA ITU DILARANG ALLAH

images

Di dalam kehidupan bermasyarakat, pada lahirnya memang berlaku seseorang itu menguasai manusia yang lain. Atau seseorang itu, ada orang lain yang menguasainya. Tapi perlu diingat, itu hanya nisbi semata-mata, bukan hakiki. Misalnya:
1. Anak dikuasai ibu dan ayah.
2. Isteri dikuasai oleh suami.
3. Murid dikuasai oleh guru.
4. Siswa-siswi dikuasai oleh pensyarah.
5. Buruh dikuasai oleh majikan. .
6. Rakyat dikuasai oleh pemerintah.

Dan begitulah seterusnya. Apakah hikmahnya ALLAH jadikan demikian? Untuk apa, untuk siapa pula hikmah-hikmahnya itu? Dan apa risikonya kalau ALLAH tidak jadikan begitu?
Mari kita cungkil hikmah-hikmah di sebalik semua kejadian ini. Moga-moga diizinkan ALLAH. Di antara hikmah-hikmah yang dapat dicungkil kenapa ALLAH jadikan dalam kehidupan manusia hal-hal seperti di atas ialah supaya timbulnya perhubungan yang memberi faedah dua hala atau memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak yang terlibat. Inilah di antara rahmat ALLAH di dalam kehidupan bermasyarakat. Kalaulah ALLAH tidak wujudkan suasana ini, apa akan jadi kepada manusia? Ya, tentu sekali manusia akan mengalami kesusahan dan penderitaan.
Bukti faedah dua hala itu berlaku:
Contoh pertama: Hubungan anak-anak dengan ibu dan ayah.

Cuba gambarkan kalau ibu ayah tidak mempunyai anak. Ini bererti sudah hilang tempat tumpahnya kasih sayang dan tempat berhibur hingga timbul rasa sunyi dalam hidup, serta tidak ada tenaga-tenaga pembantu yang boleh menyambung perjuangannya. Cuba gambarkan kalau tenaga pembantu tidak ada. Apa akan jadi? Tentulah generasi akan pupus dari dunia ini. Segala kerja terpaksa ibu ayah buat sendiri. Sakit demam tidak ada siapa yang menguruskannya walaupun dirinya sudah tua bangka, yang akan mati sendirian. Kalau ada harta, pada siapa hendak diwariskan?
Sedangkan bila ibu ayah ada anak, bererti ada tempat mereka memberi kasih sayang dan berhibur. Anak-anak boleh membantu sebahagian daripada tugas-tugas mereka dan menjadi pewaris pejuangannya. Jadi mereka dapat faedah dengan adanya anak-anak itu.
Begitu juga kalau anak-anak tidak punyai ibu ayah pula, ertinya hilanglah tempat bermanja. Pada lahirnya dia terasa tidak ada siapa yang akan menguruskan hidupnya; memberi makan minum, pakaian dan perlindungan. Dia akan susah dan menderita. Bagi anak-anak yang mempunyai ibu ayah, ibu ayah merekalah yang menjadi tempat bermanja-manja dan menyelesaikan masalah serta yang akan melmdungi mereka.
Jadi faedahnya adalah untuk dua hala. Ibu ayah dapat membela dan memimpin anak-anaknya, manakala anak-anak dapat bermanja-manja dan berkhidmat bakti untuk kedua orang tua mereka.

Contoh kedua: Hubungan isteri dengan suami.
Kalau seseorang itu tidak ada isteri, maka akan hilanglah tempat berhibur. Hilang tempat dia melepaskan hajamya. Segala urusan rumahtangganya tidak terurus. Anak-anak, makan minum dan pakaiannya juga tidak terurus. Dirinya sendiri pun kadang-kadang tidak terurus. Sedangkan itu adalah sebahagian daripada keperluan hidup.
Begitulah sebaliknya yang berlaku pada perempuan, yang baginya, suami adalah tempat ia bermanja dan berhibur serta tempat berlindung. Jadi kalau mereka tidak ada suami, hajat tidak tercapai dan hidup akan sunyi. Hidupnya terumbang-ambing dan keselamatannya sentiasa terancam. Dengan adanya suami, mereka dapat menyelamatkan dan meninggikan darjat mereka lagi. Sedangkan lelaki yang hebat dan liar tanpa isteri akan dihina oleh masyarakat dengan pelbagai gelaran seperti ‘kasanova’ dan sebagainya. Jadi faedahnya adalah untuk dua hala. Suami isteri akan dapat faedahnya.

Contoh ketiga: Hubungan murid dengan guru.
Seseorang akan dapat “title” guru setelah adanya murid. Walau melaut sekalipun ilmunya, dia tidak akan dapat gelaran guru kalau tidak ada murid. Ilmu yang ada itu akan hilang percuma begitu sahaja, kerana tidak ada orang yang akan menampung dan menerimanya.
Manakala kalau ada murid, dengan sebab mengajar, seorang guru itu akan sentiasa bertambah ilmunya. Dengan muridnya yang ramai, martabat dan kemuliaannya juga bertambah tinggi.
Apa kata pula kalau murid tak punya guru akan hilanglah sumber ilmu pengetahuan daripada mereka. Murid akan jadi jahil dan bodoh. Alangkah sulit dan susahnya kalau tidak ada guru, walaupun ia seorang yang cerdik. Dicubanya sendiri untuk dapatkan ilmu. Dikumpulkan sebanyak-banyaknya kitab dan diusahakan dengan belajar sendiri. Walau bagaimana gigih sekalipun ia berusaha, namun ilmu yang diusahakan sendiri itu tidak akan sampai ke mana. Tetaplah ia jadi orang yang jahil dan bodoh kerana tanpa panduan dan pimpinan guru.
Di sini jelas bahawa keuntungan atau faedah daripada hubungan guru dengan murid itu adalah untuk dua hala. Guru dapat mencurahkan ilmunya kepada murid dan mendidik mereka, yang dengan sebab itu ia dipanggil sebagai guru. Manakala murid pula dapat menampung ilmu dan terdidik, hingga jadilah ia seorang yang pandai dan berguna kepada diri dan masyarakatnya. Jadi faedahnya adalah untuk dua hala. Kedua-dua pihak mendapat untung.

Contoh keempat: Hubungan siswa-siswi dengan pensyarah.
Tidak bergelar pensyarah kalau tidak ada siswa-siswi. Walau bagaimana pakar seseorang pensyarah itu dalam pelbagai bidang ilmu, ia tetap tidak dipanggil pensyarah kerana tidak ada siswa-siswinya (tempat ia alirkan ilmunya itu). Jadi ilmu itu tetap membeku dan tidak memberi manfaat.
Begitu jugalah sebaliknya. Tidak akan bergelar siswa-siswi kalau pensyarahnya tidak ada. Oleh itu, kedua-duanya dapat untung. Siswa-siswi dapat ilmu dan kepakaran. Pensyarah-pensyarahnya pula dapat mencurahkan ilmu kepada siswa-siswinya. Ini menjadikan ilmunya bertambah matang, dan di situlah kemuliaannya.

Contoh kelima: Hubungan buruh dengan majikan.
Cuba kita andaikan pula jika majikan tanpa buruh. Tentulah tidak dikatakan majikan tanpa adanya buruh. Ertinya seseorang itu dapat jadi majikan setelah adanya buruh.
Begitu juga sebaliknya buruh tidak akan dapat pekerjaan kalau tidak ada majikannya Pada lahirnya dia merasa majikannyalah yang memberi dia kerja, beri upah dan sumber pendapatan. Dengan adanya buruh, majikan merasakan segala urusan yang berhubung kait dengan kerja-kerjanya dapat diselesaikan dengan segera. Terasa terbantu dan ringan urusannya. Setiap bahagian urusannya ada orang-orang yang dapat berbuat mengikut bidangnya. Tidak perlu dia sendiri bertungkus-lumus menyelesaikannya. Kalau tanpa buruh, ertinya dia, terpaksa buat segala-galanya bersendirian. Tentulah berat dan menyeksakan bahkan merugikan. Mungkin dia akan tutup syarikatnya. Nampak jelas bahawa kedua-duanya mendapat faedah dua hala yakni majikan dapat memberi khidmat pekerjaan kepada buruh dan juga kerja-kerjanya dapat diuruskan dengan baik hingga dengan itu dia dapat untung dan kaya-raya, manakala buruh pula dapat pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan untuk sara hidup mereka. Sepatutnya buruh terasa terhutang budi dengan majikannya dan majikannya juga terhutang budi dengan buruhnya. Maka jadilah kedua-duanya saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Sehingga setiap pekerjaan yang dibuat adalah atas dasar saling kasih-sayang dan bertolong bantu. Jadi akan hiduplah mereka dengan aman damai dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Contoh keenam: Hubungan antara rakyat dengan pemerintah.
Cuba gambarkan sekiranya rakyat tidak ada. Bolehkah seseorang itu berbangga menjadi raja? Atau seorang ketua jadi pemerintah. Seseorang itu dikatakan raja (pemerintah) setelah dia ada rakyat.
Begitu juga seseorang itu dikatakan pemerintah kerana adanya orang yang hendak diperintahnya. Maka seseorang itu dikatakan raja kerana adanya rakyat di bawah jajahan takluknya. Katalah seorang raja itu tercampak seorang diri ke sebuah pulau tanpa ada sesiapa yang mendampinginya. Tambah pula pulau tersebut tidak ada penghuninya. Ertinya dia tidak ada rakyat. Sekaligus dia bukanlah layak menjadi seorang raja lagi. Siapakah yang akan menggelarkan dan menabalkannya sebagai “raja”? Tentulah rakyatnya. Kalau tidak ada rakyat, siapa yang akan melantiknya menjadi raja? Tetapi apa akan jadi sekiranya rakyat tidak ada raja atau pemerintah. Siapakah yang akan melindunginya? Pada lahirnya siapakah yang akan menjaga keselamatan diri mereka? Bagaimana sekiranya berlaku pergaduhan sesama mereka? Siapakah yang akan mengadili dan menjatuhkan hukumannya? Tidakkah nanti mereka menjadi makhiuk-makhluk yang liar tanpa diatur dan ditadbirkan?
Jelaslah bahawa keuntungan adalah untuk kedua belah pihak. Raja untung kerana adanya rakyat. Di situ dia dapat darjat dan kemuliaan sebagai raja. Sedangkan rakyat mendapat untung kerana adanya raja (pemerintah) yang dapat mengatur dan mentadbir serta menjaga kepentingan mereka, sehingga tidak berlaku huru-hara sesama mereka. Mereka juga tidak diancam oleh musuh kerana adanya kekuatan dan perlindungan dari tentera-tentera raja (pemerintah). Oleh itu berdasarkan contoh-contoh yang kita sebut di atas, nampaklah kepada kita bagaimana proses perhubungan itu berlangsung dan bagaimana pemurahnya ALLAH SWT menurunkan rahmat-Nya ke atas semua golongan manusia ini.

Dijadikan perhubungan manusia sesama mereka itu untuk saling memberi manfaat antara satu sama lain. Sama ada antara keluarga sesama keluarga, suami dengan isteri, buruh dengan majikan, guru dengan murid, pensyarah dengan siswa-siswi, atau pemerintah dengan rakyat; perhubungan antara mereka adalah untuk kepentingan bersama. Atau untuk kepentingan dua hala. Di dalam dia memberi, dia juga menerima. Di satu segi, dia menerima dan di sudut yang lain, dia juga memberi. Saling manfaat-memanfaatkan, bantu-membantu, tolong-menolong, saling lengkap-melengkapi. Semua orang ada bidang yang sesuai untuknya. Yang menjadi pelengkap kepada yang lainnya. Masing-masing ALLAH jadikan untuk perlu-memerlukan antara satu sama lain. Janganlah kita beranggapan bahawa kita boleh hidup sendirian tanpa dibantu oleh orang lain. Jangan kita rasa boleh hidup sempurna tanpa ada hubung kait dengan orang lain. Mestilah kita akui bahawa setiap kerja atau bidang yang kita buat tetap ada orang lain yang sama-sama membantu menyempurnakannya, walaupun taraf kita sebagai raja di dunia ini. Sebenarnya, lagi tinggi kedudukan atau darjat kita di dunia ini, maka semakin banyak kerja kita yang akan ditolong oleh orang lain.

Kalau begitulah hubungan ibu dan ayah dengan anak-anaknya, saling perlu-memerlukan dan saling memberi dan menerima faedah, janganlah sesuka hati mereka bertindak ke atas anak-anak. Tidak boleh sesuka hati mengatur, mengarah dan memaksa serta mendidik ikut kehendak hati. Walaupun kita adalah ibu ayah kepada anak-anak, kita tidak boleh berbuat demikian. Apa yang patut kita buat ialah urus, didik dan pimpin mereka mengikut apa yang dikehendaki oleh ALLAH SWT. Kalau kita mengurus dan mendidik sesuka hati, jadilah kita memperhambakan manusia. Jangan sekali-kali memperhambakan anak-anak kita walaupun mereka itu anak kandung kita sendiri.
Begitu juga perhubungan antara suami dengan isteri. Tidak boleh si suami mengatur atau mengarah-arah isteri ikut sesuka hati. Begitu jugalah sebaliknya. Walaupun kita suami tetapi kita tidak boleh bertindak sesuka hati ke atas isteri. Sepatutnya mestilah isteri kita itu kita urus mengikut kehendak-kehendak ALLAH. Kalau kita mengurus mereka sesuka hati, jadilah kita memperhambakan isteri sendiri.
Seterusnya perhubungan antara guru dengan murid. Janganlah kerana kepentingan diri kita, kita atur-atur dan arah-arahkan murid-murid mengikut sesuka hati. Mentang-mentanglah kita guru, kita arah-arahkan, suruh itu dan ini, paksa buat macam-macam sehingga kita arah mengikut nafsu kita. Untuk hubungan guru dengan murid, gambarkanlah kalau seorang guru tidak pemah sekali dipanggil mengajar. Tentulah tidak layak dipanggil guru walaupun beliau seorang yang hafal Al Quran dan punyai degri berjela-jela panjangnya, sekiranya tidak ada murid. Akan tetaplah dia tidak diangkatkan darjatnya. Bukankah dia diangkat darjamya kerana muridnya? Bila ada murid dan dapat mengajar mereka, janganlah arahkan murid-murid ikut sesuka hati. Sepatutnya kita urus dan didiklah murid-murid tersebut mengikut hukum-hakam ALLAH atau peraturan-peraturan ALLAH. Kalau kita mengarah-arahkan atau mengatur mereka mengikut kehendak kita sampai ketepikan kehendak ALLAH, jadilah kita memperhambakan murid kita sendiri.

Begitu juga hubungan antara pensyarah dengan siswa-siswi di universiti-universiti di dunia hari ini. Ramai yang suka mengarah-arahkan pelajar-pelajamya ikut sesuka hatinya. Arahkan ikut kehendak mereka dan bukannya ikut kehendak ALLAH. Antaranya seperti melarang pergi sembahyang waktu kuliah, jangan tutup aurat dan paksa mereka membukanya, jangan ikut Sunnah Nabi, hingga menyakiti hati mereka (pelajar) dengan ucapan-ucapan yang keras dan kasar serta kesat. Ertinya pelajar disuruh ikut cakap mereka dan jangan ikut perintah ALLAH. Mengarah-arahkan pelajar ikut sesuka hatinya, maka jadilah mereka ini memperhambakan manusia.

Bagi majikan pula, mereka menggunakan buruh-buruh mereka untuk kepentingan sendiri hingga mengarah-arahkan mereka itu sesuka hati. Tidak diambil peduli perasaan dan hati manusia lain. Kadang-kadang tidak dibayar upah yang berpatutan kepada mereka. Sudahlah buat kerja berat, upah pula kurang. Ditambah pula tidak dibenarkan rehat, dan tidak dibenarkan mengikut kehendak-kehendak ALLAH tapi utamakan ikut kehendak-kehendak mereka. Jadilah mereka ini memperhambakan manusia untuk kepentingan dirinya.

Hubungan raja dengan rakyat juga saling memberi dan menerima faedah. Jadi tidak boleh seorang raja yang merasakan dia berkuasa, berbuat apa saja ikut sesuka hati. Paksa rakyat buat itu dan ini. Arahkan bermacam-macam perintah sehingga tidak termampu oleh rakyat memikulnya. Kadang-kadang arahannya itu bercanggah pula dengan perintah ALLAH. Jikalau raja mengatur atau mengarahkan ikut sesuka hati, maka jadilah raja tersebut memperhambakan rakyatnya.

Oleh itu janganlah kita memperhambakan manusia lain. Sepatutnya semua orang mesti saling berkasih sayang antara satu sama lain dan merasa saling terhutang budi di antara satu sama lain. Saling merasa dapat faedah, dapat manfaat dan dapat untung di antara satu sama lain. Tegasnya akan wujud nanti masyarakat yang hidup penuh harmoni dan aman damai. Alhasil terhapuslah sistem penghambaan ke atas manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions