PENTINGNYA MENCARI BERKAT

fountain berkat

Berbagai cara dan bentuk usaha dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan kesenangan hidup di dunia, sehingga ada yang sanggup bertindak salah dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang. Namun, berapa ramai pula yang sanggup berlumba-lumba untuk mendapatkan keberkatan dan menjadikannya sebagai matlamat hidup, sedang keberkatan itu pada hakikatnya adalah kebaikan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sangat diperlukan oleh manusia.

Dari sudut lain pula, kita sering mendengar, mengucapkan dan berdoa agar mendapat keberkatan dalam setiap perkara. Namun adakah kita benar-benar tahu apa dia berkat itu dan bagaimana kita boleh mendapatkannya?

Perihal berkat, mencari berkat atau menagih berkat menurut hukum syara’ merupakan suatu yang disyari’atkan di dalam Islam. Terdapat banyak tempat di dalam al-qur’an dan hadits yang menyebutkan tentang berkat. Antaranya Allah Subhanahu wa Ta’ala menyatakan bahawa air yang turun daripada langit itu mengandungi banyak faedah dan keberkatan sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan Kami telah menurunkan hujan dari langit yang banyak faedahnya lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu kebun-kebun (pohon buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.” (Surah Qaf: 9)

Sementara itu, perkataan (tabarruk) juga banyak disebutkan oleh para ulama Islam termasuk ulama fiqh. Keharusan tabarruk (meminta berkat) tsabit dari perbuatan dan kata-kata Imam Syafi’i Rahimahullahu Ta’ala. Antaranya sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab Raudhah ath-Thalibin, kitab al-Majmu’ dan kitab-kitab fiqh lain yang menunjukkan bahawa harus mengangkat jenazah dari keempat-empat sisinya atau empat penjuru kerandanya untuk tujuan ingin mendapatkan berkat (tabarruk).

APAKAH BERKAT

Berkat berasal dari perkataan Arab ‘barakah’. Dari segi bahasa, ‘barakah’ bererti perkembangan, pertambahan atau lebih.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa asal makna ‘barakah’ atau berkat itu ialah kebaikan yang banyak dan tetap.

Di samping pengertian tersebut, ‘barakah’ juga membawa erti :-
1- Gembira atau bahagia.
2- Berterusan dan tetap.
3- Makmur, bernasib baik dan untung.
4- Kebaikan yang berlimpah.

Apabila diperhatikan semua pengertian yang diberikan, ia mempunyai makna yang hamper sama, salah satunya merujuk kepada salah satu yang lain. Umpamanya, kebahagiaan adalah sebahagian daripada kebaikan. Demikian juga keuntungan dan pertambahan.

Oleh yang demikian, semua pengertian tersebut dapat disimpulkan sebagai membawa maksud kebaikan yang berlimpah, bertambah, tetap dan berterusan.

Adapun ‘tabarruk’ dari segi bahasa ialah menuntut, memohon, meminta, mencari, menagih atau menginginkan atau memburu berkat.

Sementara itu dari segi istilah, ‘tabarruk’ bererti menagih atau memburu ketetapan kebaikan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala pada sesuatu perkara.

HAKIKAT BERKAT

Berkat merupakan kurnia Allah Subhanahu wa Ta’ala yang diletakkan ke atas setiap sesuatu yang Dia kehendaki.

Di dalam kitab Gharib al-Qur’an susunan Raghib al-Ashfahani, ‘barakah’ atau berkat ialah kepastian atau ketetapan kebaikan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala pada sesuatu perkara.

Masih ramai yang tidak tahu hakikat berkat melainkan mengetahui adanya berkat itu dengan sesuatu yang nampak banyak dan bertambah.

Pada hakikatnya ruang lingkup berkat itu sangat luas dan meliputi berbagai aspek kehidupan sebagaimana yang disebutkan dan dapat difahami dari al-Qur’an dan hadits, umpamanya berkat pada harta, makanan, ilmu, umur dan waktu dan sebagainya.

i- Berkat pada rezeki, harta dan makanan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengajar seorang sahabat dengan memberikan satu contoh perumpamaan yang menunjukkan bahawa sesungguhnya harta kekayaan yang banyak itu apabila hilang atau kosong daripada berkat, tidak akan memberi apa-apa kepuasan dan hanyalah sesuatu yang sia-sia. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini adalah seperti buahan menghijau yang subur, enak dan disukai. Barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (tidak rakus dan meminta-minta), nescaya akan diberkati baginya harta itu. Manakala barangsiapa yang mengambilnya dengan rasa tinggi diri maka tidak ada berkat padanya sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hadits berkenaan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan contoh harta agar mudah difahami.

Pertama: Diumpamakan harta itu dengan buah-buahan manis dan enak yang setentunya disukai dan diingini oleh setiap orang.

Kedua: Diumpamakan harta yang berlimpah ruah yang kosong daripada berkat itu dengan perbuatan makan dengan banyak tetapi tidak merasa puas atau kenyang.

Tujuan utama seseorang untuk makan tidak lain hanyalah untuk mengenyangkan perut atau menghilangkan rasa lapar. Namun apabila dia makan dengan banyak, tetapi masih tidak kenyang, maka perbuatan tersebut hanyalah sesuatu yang sia-sia dan tidak member sebarang faedah mahupun keuntungan.

Adapun makanan yang berkat itu adalah yang dihasilkan dengan mengikut adab yang disyari’atkan seperti dimulai dengan basmalah. Tidak semestinya makanan itu dalam kuantiti yang banyak dan berbagai jenis. Oleh itu, sunat hukumnya dimulai makan dan minum dengan bacaan bismillah.

Antara adab makan yang jelas mengundang berkat ialah sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Berkat itu turun di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Sementara itu, Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa makanan yang berkat adalah makanan yang boleh mengenyangkan, tidak membahayakan dan menyakitkan tubuh badan, makanan yang boleh menjadi sumber kekuatan untuk berbuat ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

ii- Berkat pada ilmu

Ilmu yang berkat pada diri seseorang adalah ilmu yang memberi kesan manfaat dalam ibadat, akhlak, tingkah laku dan pergaulannya sesama manusia.

iii- Berkat pada umur dan waktu

Menurut sebuah hadits hasan shahih, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau berkata:

“Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia?

Baginda menjawab: Siapa yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya.

Lelaki itu bertanya lagi: Maka siapa pula seburuk-buruk manusia?

Baginda menjawab: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amal perbuatannya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits ini menunjukkan bahawa kebaikan yang dilakukan oleh seseorang di dalam hidupnya yang mengundang berkat itulah ukuran, bukan berdasarkan panjang umurnya semata-mata.

Semua perkara di atas jelas menggambarkan bahawa sesuatu yang banyak itu belum tentu memberi sebarang faedah. Harta kekayaan yang berlimpah, ilmu yang tinggi dan umur yang panjang belum tentu dapat memberi kebaikan kepada pemiliknya. Wujudnya harta, ilmu, umur dan waktu itu sama sahaja seperti tiada. Perkara ini adakalanya dapat dilihat dengan mata kasar. Terdapat orang kaya, orang berpendidikan tinggi dan orang yang lanjut usia hidup di dalam keadaan resah, menderita, sering berhadapan dengan pelbagai masalah seperti perbalahan keluarga, anak-anak menderhaka dan sebagainya.

Berkat dan tabarruk (meminta atau memburu berkat) saling berpaut antara satu sama lain kerana berkat tidak akan dapat diraih tanpa perbuatan tabarruk dan usaha untuk bertabarruk tidak akan mendapat apa-apa jika Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak mewujudkan berkat pada sesuatu perkara itu.

Dalam perkara tabarruk (meminta atau memburu berkat) mesti tidak terlepas dari dua perkara, iaitu:

1- Tabarruk yang harus iaitu bertabarruk dengan sesuatu yang diketahui ada disyari’atkan di dalam Islam seperti bertabarruk dengan al-Qur’an yang memang mempunyai banyak kerberkatan.

2- Tabarruk yang dilarang iaitu bertabarruk dengan sesuatu yang tidak disyari’atkan di dalam Islam seperti bertabarruk dengan batu atau kubah.

Kadangkala tabarruk itu disalah anggap oleh sebilangan orang dengan mempercayai dan melakukan perkara yang sama sekali tidak disyari’atkan, malah bertentangan dengan akidah Islam seperti perbuatan yang boleh membawa kepada unsur syirik, bid’ah dan khurafat.

Sebagai contoh, memakai azimat yang bukan daripada nama atau sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala, seperti nama-nama malaikat, orang soleh atau nama mu’azhzham (yang dimuliakan) dari kalangan makhluk seperti ‘Arasy. Meninggalkan perbuatan mengambil berkat sedemikan adalah aula (lebih utama).

Lebih dikhuatiri jika niat memakai azimat untuk mendapatkan berkat itu terseleweng sehingga menjadikan pemakainya beri’tiqad bahawa azimat itu yang mempunyai kuasa mendatangkan kebaikan kepadanya, maka ini boleh membawa kepada perbuatan syirik dan wajib untuk dihindari.

Adapun tabarruk sebagaimana yang disyari’atkan Islam, ianya adalah sesuatu yang diharuskan berdasarkan ketetapan dari al-Qur’an dan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Antara perkara yang mengundang berkat menurut yang disyari’atkan:

Berdasarkan ketentuan yang ada dinyatakan di dalam al-Qur’an dan hadits, juga sebagaimana yang disepakati oleh para ulama, berkat boleh didapati antaranya melalui peribadi manusia, benda, tempat, waktu selain doa dan perbuatan yang boleh mengundang berkat. Berikut adalah perkara yang boleh menyumbang kepada berkat dan umat Islam dituntut untuk bertabarruk dengannya:-

1) Peribadi manusia

i- Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam

Adapun berkat paling agung yang dianugerahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada hambaNya ialah diutusnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada sekalian alam. Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi hidayah kepada hambaNya dengan berkat kerasulan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dengan apa yang telah dibawa oleh Baginda yang tidak lain berupa petunjuk dan keterangan.

Terdapat banyak kisah yang menceritakan mengenai berkat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya kisah para sahabat Radhiallahu ‘anhum berwudhu dan minum air yang keluar dari celah jari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jabir Radhiallahu ‘anhu sendiri mengusap air tersebut pada perutnya. Ini kerana mereka sedar bahawa mukjizat Nabi itu mengandungi berkat dan mereka tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut.

Para sahabat Radhiallahu ‘anhum yang diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang soleh bertabarruk dari atsar (kesan dan peninggalan) Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Bertabarruk dengan atsar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah pun berlaku pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri. Baginda tidak melarangnya dan ini menunjukkan bahawa bertabarruk itu harus dan tidak ditegah oleh syara’ berdasarkan hadits-hadits antaranya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selesai melontar Jamrah dan melakukan korbannya serta bercukur, Baginda menghulurkan bahagian kanan kepalanya kepada tukang cukur untuk mencukurnya. Kemudian Baginda memanggil Abu Thalhah al-Anshari dan memberikannya potongan rambut tersebut. Kemudian Baginda menghulurkan bahagian kiri kepalanya (kepada tukang cukur) lalu Baginda bersabda: “Cukurlah!” Lalu (tukang cukur) pun mencukurnya dan Baginda memberikannya (potongan rambut) kepada Abu Thalhah seraya bersabda: “Bahagi-bahagikanlah potongan rambut itu kepada orang ramai.” (Hadits riwayat Muslim)

ii- Para nabi

Antaranya sebagaimana yang diakui oleh Nabi ‘Isa ‘alaihissalam yang disebutkan di dalam Surah Maryam, ayat 31 yang bermaksud: “Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.” (Surah Maryam: 31)

iii- Orang-orang soleh

Menurut sebuah hadits riwayat Mahmud bin Rabi’ al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, ‘Itban bin Malik Radhiallahu ‘anhu pernah mempelawa dan berharap agar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sembahyang di rumahnya dan kemudian dia menjadikan tempat Baginda sembahyang itu sebagai tempat beliau sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata hadits berkenaan mengandungi banyak faedah pengajaran antaranya disyari’atkan bertabarruk dengan orang-orang soleh dan atsar-atsar mereka, sembahyang di tapak mereka sembahyang dan meminta keberkatan daripada mereka.

Sementara itu, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah berkata bahawa apa yang dapat diambil pengajaran dari hadits berkenaan adalah siapa sahaja orang-orang soleh apabila orang berhajat untuk mengambil berkat daripadanya, hendaklah dia memenuhi permintaan tersebut selagi ianya tidak menimbulkan sebarang fitnah.

2) Al-Qur’an al-Karim

Al-Qur’an adalah kalam Allah Ta’ala yang penuh dengan berkat. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud: “Dan (al-Qur’an) ini adalah kitab yang Kami telah turunkan yang mengandungi berkat, mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummulqura (Mekah) serta orang-orang yang beriman dengan adanya hari akhirat, mereka beriman kepada al-Qur’an dan mereka tetap memelihara sembahyang mereka.” (Surah al-An’am: 92)

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu membaca dan memahaminya. Adapun berkat al-Qur’an itu ialah pertunjuk (hidayat), ilmu pengetahuan, penawar, rahmat kepada setiap orang-orang yang beriman dan lain-lain yang tidak terkira banyaknya.

Selain itu, rumah yang dibacakan al-Qur’an di dalamnya juga akan dipenuhi dengan berkat.

3) Iman dan Taqwa

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (rasul-rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka (dengan azab) disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A’raf: 96)

Firman Allah lagi: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan keluar (dalam urusannya).”

“Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya.” (Surah ath-Thalaq: 2-3)

Menurut ulama, maksud ayat al-Qur’an di atas yang tafsirnya: “Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya” itu ialah memberi berkat ke atas setiap apa yang diberi.

Ibnu ‘Uyainah Rahimahullah dalam mentafsir ayat di atas berkata bahawa yang dimaksudkan dengan rezeki itu adalah berkat.

4) Menunaikan sembahyang dan memeliharanya

Firman Allah: “Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah dalam menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu. Dan akibat (kesudahan yang baik) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Thaha: 132)

Imam Ibnu Katsir ketika mentafsir ayat al-Qur’an di atas yang tafsirnya: “Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu” berkata bahawa jika kamu menunaikan sembahyang, maka akan datang kepada kamu rezeki dari arah yang tidak kamu sangka iaitu berkat sebagaimana tafsiran ayat yang ketiga dari surah ath-Thalaq.

5) Dzikrullah

Dzikrullah adalah amalan mengingati Allah dan menyebut namaNya dengan tasbih, tahmid, tahlil, membaca ayat al-Qur’an dan sebagainya sama ada dilakukan dengan hati ataupun dengan lisan.

Istighfar juga merupakan zikir. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Maka aku berkata (kepada mereka): Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” “(Jika kamu berbuat demikian), nescaya Dia akan mencurahkan hujan yang lebat kepada kamu.”

“Dan Dia membanyakkan harta dan anak-anak kamu dan Dia akan mengadakan untuk kamu kebun-kebun serta mengadakan untuk kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh: 10-12)

7) Tawakkal kepada Allah Ta‘ala

Tawakkal ialah yakin dan berserah diri kepada Allah Ta‘ala serta mengikut sunnah PesuruhNya Nabi Muhammad Shallallalahu ‘alaihi wasallam. Dalam hadits disebutkan, Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘Anhu berkata bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika sesungguhnya kamu bertawakkal kepada Allah Ta‘ala dengan sebenar-benar tawakal, maka akan diberikan rezeki kepada kamu sepertimana rezeki yang diberikan kepada burung yang pergi di awal pagi ketika perutnya kosong dan kembali di waktu petang dalam keadaan kenyang.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits di atas menyatakan bahawa jika seorang benar-benar bertawakal kepada Allah Ta‘ala, yakin bahawa tidak ada selain Allah Ta‘ala yang memberi rezeki, Dia yang melakukannya dan tidak ada yang berkuasa menghalangNya, maka akan dilimpahkan kepadanya rezeki sepertimana rezeki yang dilimpahkan kepada burung iaitu pergi di waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang di waktu petang dalam keadaan kenyang.

8) Redha dan qana‘ah dengan apa yang ditentukan dan diberikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala

Sentiasa redha dan qana‘ah (merasa puas dan lapang dada) dengan apa yang diberikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuknya walaupun sedikit, akan mendatangkan berkat kepada seseorang sebagaimana hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi menguji setiap hambaNya dengan apa yang diberikan kepadanya. Barangsiapa yang redha dengan apa yang Allah ‘Azza wa Jalla berikan kepadanya, nescaya Allah akan memberkati dan melapangkan (pemberian) itu untuknya. Dan barangsiapa yang tidak redha (dengan apa yang diberikan Allah itu), nescaya ia tidak akan diberkati baginya.” (Hadits riwayat Ahmad)

9) Mensyukuri nikmat

Nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada manusia terlalu banyak sehingga tidak terhitung semuanya. Oleh kerana itu, sebagai orang Islam kita dituntut untuk mensyukuri segala nikmat dan bertahmid memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mensyukuri nikmat itu adalah wasilah dan sebab kepada pertambahannya.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya): Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala ni‘matKu) tentu Aku akan menambah ni‘mat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap ni‘mat itu) maka sesungguhnya azabKu sangat keras.” (Surah Ibrahim: 7)

10) Sedekah

Sedekah iaitu mengeluarkan sejumlah harta sama ada wajib seperti zakat atau sunat dengan niat kerana Allah Ta‘ala, boleh membawa kepada pertambahan harta dan terpelihara daripada bencana dan kebinasaan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Allah menghilangkan (keberkatan harta kerana) riba dan menambahkan (keberkatan harta dari) sedekah-sedekah. Dan Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang tetap dalam kekufuran lagi bergelumang dosa.” (Surah al-Baqarah: 276)

11) Silaturrahim

Silaturrahim iaitu menjalin tali persaudaraan dan hubungan baik sesama manusia juga mengundang berkat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang mahu untuk dilapangkan rezekinya dan ditunda (ajalnya), maka hendaklah dia menjalinkan silaturrahim.” (Hadits muttafaq ‘alaih)

Yang dimaksudkan dengan dilapangkan rezekinya ialah diluaskan dan ditambahkan rezekinya serta diberi keberkatan. Sementara itu, yang dimaksudkan dengan ditunda ajalnya ialah umurnya diberkati, diberi taufik untuk berbuat ketaatan, waktunya terisi dengan amalan dan perkara yang bermanfaat untuk kehidupan akhirat, terpelihara dari mensia-siakan waktu dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Mengeratkan silaturrahim adalah wajib dan antara sebab-sebab mendapat rezeki yang berkat dan dipanjangkan umur.

12) Berkumpul ketika makan

Diriwayatkan dari Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang, makanan dua orang cukup untuk empat orang dan makanan empat orang cukup untuk lapan orang.” (Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullah, kecukupan makanan itu terbit dari keberkatan makan secara berkumpul dan berkat itu bertambah dengan keramaian orang di dalamnya.

13) Mencari rezeki pada awal-awal pagi

Diriwayatkan dari Shakhar al-Ghamidi Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ya Allah! Berkatilah umatku di setiap awal pagi mereka.” “Dan apabila (Shakhar) mengutus pasukan, dia mengutusnya di pagi hari. Dia seorang peniaga yang (memulakan) dagangannya di pagi hari, maka dia diberi kekayaan dan hartanya bertambah banyak.” (Hadits riwayat Abu Daud)

14) Benar dalam berjual beli

Dalam sebuah hadits shahih, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dua orang yang berjual beli (mempuyai hak) khiyar (pilihan) selagi mereka belum berpisah (dari majlis akad). Jika keduanya berkata benar dan menerangkan (hal berkaitan barang dan harga), nescaya akan diberkati jual beli mereka. Adapun jika keduanya menyembunyikan (keaiban) dan berdusta, nescaya dihapuskan keberkatan jual beli mereka.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

15) Menunaikan amanah dalam sukatan dan timbangan

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamumenyukat dan timbanglah dengan timbangan yang betul. Yang demikian itu baik (di dunia) dan lebih baik pula kesudahannya (di akhirat).” (Surah al-Isra’: 35)

Imam al-Qurthubi dalam mentafsir ayat di atas berkata bahawa menyukat dan menimbang dengan betul itu baik di sisi Allah dan diberkati.

16) Menyukat atau menakar makanan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sukatlah makanan kamu, nescaya kamu diberkati.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

17) Waktu

Antara waktu dan ketika untuk memperolehi berkat ialah:-

i- Lailatul Qadr.
ii- Sahur.
iii- Bulan Ramadhan.
iv- Hari Juma‘at.
v- Sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.
vi- Hari Asyura’.
vii- Sepuluh hari di awal bulan Zulhijjah.
viii- Hari ‘Arafah.
ix- Hari-hari putih pada setiap bulan.
x- Pertengahan malam terakhir.
xi- Selepas menunaikan sembahyang fardhu.
xii- Antara azan iqamat.
xiii- Ketika mengatur barisan untuk berjihad di jalan Allah.

18) Tempat

Terdapat beberapa tempat yang ada disebutkan sebagai tempat yang memiliki berkat iaitu:-

i- Bait al-Haram (Ka‘abah) di Mekah.
ii- Madinah al-Munawwarah.
iii- Masjid al-Aqsa di Palestin.
iv- Negeri Syam.

19) Benda-benda yang mengandungi berkat

i- Ubun-ubun kuda (yang digunakan dalam peperangan pada jalan Allah).
ii- Air Zam Zam.
iii- Habbatussauda’.
iv- Pokok Zaitun dan setiap yang terbit daripadanya.
v- Air hujan.
vi- Madu.

Sebagai kesimpulan, masih terdapat lagi perkara yang boleh mengundang berkat memandangkan berkat itu hanya dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang diletakkan pada sesuatu yang Dia kehendaki.

Di samping itu, pengetahuan mengenai berkat dan untuk mendapatkan berkat wajar untuk diambil perhatian agar fahaman yang salah mengenainya dapat dihindari. Oleh itu, marilah kita sama-sama sentiasa mencari berkat sebagaimana yang disyari‘atkan, kerana mengabaikannya adalah suatu yang amat merugikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions