Tag Archives: batin

ISLAM AGAMA SUCI

la-ilaha-illallah-muhammadur-rasullullah

Allah SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan mencintai orang yang membersih/ mensucikan dirinya ( zahir batin ).
Maksud hadith Rasulullah saw:
“Menjadi bersihlah kamu kerana Islam itu bersih.”
“Kebersihan itu sebahagian dari iman.”
“Bersuci itu pintu bagi ibadah.”

Hujjatul Islam Imam al Ghazali menukilkan di dalam kitabnya ‘ ‘Mau’izatul mukminin’ (Bimbingan Mukmin), Barangsiapa menghendaki bertemu dengan Allah swt dengan selamat hendaklah ia menyempurnakan empat peringkat bersuci.”

Pertama: Bersuci badan, pakaian dan tempat tinggal dari najis, hadas, perkara-perkara cemar dan lebihan yang tidak diperlukan. Inilah kebersihan yang paling asas.
* Tempat tinggal (rumah dan persekitaran); bersih dari sampah sarap, semak samun, sarang lalat, sarang nyamuk, sarang tikus dan dari bau busuk. Hendaklah dalam keadaan bersih, kemas, rapi, tersusun, dihias cantik dan harum. (Orang barat sangat menitik beratkan hal ini).

* Bersih dari benda-benda cemar: dari habuk, lumpur, tahi lalat dan keadaan comot. Walau pun sah sembahyang kalau kaki bersalut lumpur, telekung bertahi lalat dan comot, sejadah berhabuk tetapi tak beradablah mengadap Allah dalam keadaan membawa cemar dan makruh hukumnya. Nak mengadap sultan di dunia pun tak akan dibenarkan oleh pengawal istana kalau berpakaian compang-camping, comot, bertahi lalat dan membawa lumpur.

*Bersih dari lebihan yang tidak diperlukan seperti kuku, bulu ketiak dan bulu ari2. Makruh hukumnya kalau tidak dikerat atau dicukur melebihi 40 hari dan dikatakan menjadi sarang syaitan. Celah kuku yang bertahi kuku akan menghalang sampai air wudhuk dan kuku yang dibiar panjang kelihatan tidak sopan.

* Bersih dari najis. Tak sah sembahyang membawa najis pada badan, pakaian dan tempat sembahyang ( Ini tuntutan syariat yang orang barat tak faham ).

* Bersih dari hadath kecil dan hadath besar dengan berwudhuk dan mandi hadath.

Maka adalah menjadi tuntutan fardhu ain keatas setiap Muslim yang mukallaf (akil baligh) mempelajari dan memahami sungguh-sungguh tentang bersuci dari najis dan hadath kecil serta hadath besar. Tentang air mutlak yang sah bersuci dengannya dan tentang air mutanajjis, musta’mal dan air bercampur dangan bahan lain umpama air teh yang tak sah digunakan untuk bersuci. Begitu juga air yang terjemur pada matahari di dalam bekas yang boleh berkarat yang makruh digunakan untuk angkat hadath kerana ianya boleh mengakibatkan penyakit sopak. Isteri diharuskan minta cerai sekiranya suaminya berpenyakit sopak kerana penyakit itu dianggap aib. Begitu juga kena faham sungguh-sungguh tentang istinjak (basuh kencing-berak), mengenal jenis-jenis najis dan cara membersihkannya serta syarat sah mengangkat wudhu’ dan mandi hadath. Ibu bapa bertanggung- jawab ke atas ilmu fardhu ain ini terhadap anak-anak mereka. Kalau tak sah bersuci maka tak sah sembahyang.

Kedua: Bersuci jawarikh yakni anggota lahir iaitu mata, telinga, lidah, kaki, tangan, perut dan faraj dari menyentuh dosa. Mata itu jendela hati kata pepatah Melayu “Dari mata turun ke hati.” Bagi kaum Adam mengawal mata dari menatap dan merenung wanitalah yang paling payah dan selalu gagal nak dikawal. Sedangkan menatap wanita yang halal nikah adalah diharamkan kerana ianya menimbulkan berahi atau keinginan syahwat yang boleh mendorong kepada perbuatan zina. Walaupun ianya dosa kecil tatapi kalau selalu-selalu dilakukan menjadi dosa besar dan perlu ditaubatkan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Pandangan mata (lelaki) terhadap kejelitaan wanita itu adalah umpama panah beracun dari panah iblis. Barang siapa dapat mengawal matanya dari melihat seumpama itu akan merasa kemanisan beribadah.” Jadi ini termasuklah melihat gambar-gambar, lebih-lebih lagi yang bergerak dan beradegan cinta dan bercumbu dalam filem dan drama serta menyanyi tergendai-gendai sudah tentu meruntun nafsu dan melacur hati serta mendatangkan dosa. Jadi tanya lah diri kita “Mengapa sembahyang kita tidak khusyuk.”

Malah seluruh anggota lahir kita adalah merupakan nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita namun ianya juga merupakan pintu masuk nya maksiat. Maka wajiblah kita bersyukur dan guna kan sebaik-baiknya untuk menjunjung syariat Allah. Jauhi maksiat dan gunakan untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat kepada manusia.

*Lidah digunakan untuk zikirullah, baca Quran dan bercakap yang baik-baik. Jauhi mengumpat, mengeji, mengata, mengadu domba, berkata dengan bahasa kesat dan lucah serta perkataan yang sia2.

*Telinga jauhi dari mendengar perkara-perkara buruk, yang terlarang dan sia-sia serta melalaikan. Gunakan untuk mendengar yang baik-baik dan berfaedah serta nasihat.

*Kaki jauhi dari melangkah ke tempat-tempat maksiat. Gunakan untuk pergi ketempat-tempat yang berfaedah.

*Tangan jauhi dari menyentuh, mengambil benda-benda yang terlarang. Gunakan untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat kepada sesama manusia.

*Perut jauhi dari masuk makan-minum yang haram dan syubahat. Makan minum yang syubahat walapun belum jatuh haram tapi ianya menggelapkan hati, menjadi hijab untuk merasakan kemanisan iman dan dari rasa khusyuk dalam ibadah. Umat Islam wajib menyediakan makan minum yang benar-benar suci dan ianya menjadi tuntutan fardhu kifayah, apabila tak ada siapa pun umat Islam menghasilkannya maka semua umat Islam menanggung dosa. Ini jarang umat Islam rasa berdosa. Sedarkah kita berbagai-bagai produk makanan yang diadun dengan gelatin, pactin, emulsifire dan shortening mengandungi lemak babi atau lemak binatang yang tak disembelih secara Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Hati kamu dibentuk oleh makan-minum kamu.” Maka jauhilah dari makanan yang jelas baram, subhat, yang berunsur riba, curi, rasuah, tipu dan seumpamanya.

*Faraj yakni kemaluan hendak lah dijauhi dari perbuatan zina. Ini termasuk menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsang kepada perbuatan zina: melihat, berkata lucah dan mengkhayalkan yang lucah dan membaca bahan-bahan lucah.

Ketiga: Bersih akal-fikiran dan rasa hati dari perkara-perkara dosa. Jauhi dari mengkhayalkan perkara-perkara maksiat dan sia-sia. Bersihkan hati dari sifat mazmumah yakni sifat keji seperti perasaan ego, takabbur, membesar diri. Dari perasaan riak, ujub, suma’ah. Dari bakhil, pemarah, hasad-dengki, berburuk sangka, gila dunia dan seumpamanya.
Hendaklah dipelihara hati dari perasaan syirik, kufur, nifak dan menganut fahaman ideoloji.

Keempat: Bersihkan rasa hati dari sir yakni dari mengingati selain Allah. Inilah hati para rasul, para ambia’ dan para aulia’ Allah yang kaki mereka berpijak di bumi tetapi hati mereka di alam tinggi, tenggelam dalam kebesaran Allah. Apa yang mereka lihat semuanya di hubungkan dengan kebesaran Allah.

Maka hendaklah kita berusaha semaksima mumgkin membersihkan lahir-batin kita agar kita berjaya menjadi kekasih Allah. Firman Allah bermaksud “Beruntunglah barangsiapa yang berjaya membersihkan jiwanya dan rugilah barangsiapa yang mengotorinya.”⁠⁠⁠⁠

DOSA-DOSA YANG TIDAK DIPEDULIKAN MANUSIA

tua

Semua umat Islam faham bahawa yang dimaksud dengan berdosa adalah bila manusia melanggar larangan-larangan Allah SWT dan meninggalkan perintah-perintah Allah yang berkaitan dengan amalan-amalan lahiriah. Tetapi berapa ramai umat Islam yang tidak mempedulikan dosa-dosa yang berkaitan dengan amalan batiniah.

Sebenarnya dosa dapat kita klasifikasikan ke dalam beberapa jenis, di antaranya:

dosa-dosa anggota lahir terhadap manusia dan Tuhan
dosa-dosa batin terhadap sesama manusia
dosa-dosa ilmu yang tidak diamalkan
dosa-dosa tidak syukur nikmat
dosa-dosa perjuangan bagi anggota jemaah perjuangan
dosa-dosa batin dengan Tuhan
dosa kerana melupakan dosa-dosa

Masyarakat umum menganggap bahwa yang dianggap dengan dosa adalah hanya yang berkaitan dengan aspek-aspek lahiriah saja seperti menipu, berbohong, mencuri, berzina, korupsi, memukul orang yang tidak bersalah, memfitnah, meninggalkan sembahyang, tidak berpuasa dan lain-lain. Ada juga yang lebih halus, walaupun lebih sedikit jumlahnya. Mereka menganggap dosa juga amalan-amalan batin yang berkaitan dengan manusia lain seperti ego, hasad dengki, pemarah, bakhil dan lain-lain.

Jarang orang yang menganggap dirinya berdosa kepada Tuhan bila dia tidak melaksanakan perintah Allah seperti tidak belajar ilmu fardhu ‘ain, tidak mendidik anak isteri untuk di bawa kepada Tuhan, tidak pemurah, tidak berkasih sayang, tidak tawadhu, tidak pemaaf, tidak simpati kepada orang yang susah, tidak berakhlak mulia dan sebagainya. Padahal semua itu merupakan dosa-dosa kepada Allah.

Jarang juga orang menganggap dirinya berdosa bila dia tidak mengamalkan ilmu yang pernah dipelajari terutamanya ilmu-ilmu fardhu ‘ain, ilmu-ilmu baiki diri. Padahal ilmu-ilmu yang kita pelajari yang tidak kita amalkan, atau tak berniat untuk mengamalkannya, itu adalah satu dosa juga.

Allah berfirman dalam Al Qur’an: “Sungguh besar kemurkaan Allah kepada mereka yang mengatakan (ilmu) tetapi tidak mengamalkannya.“ (As Saff:3)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Orang berilmu yang tidak mengamalkan ilmunya, akan diazab Allah 500 tahun lebih dahulu dari penyembah berhala.“

Jadi jelaslah satu dosa yang nyata bagi orang yang tidak mengamalkan ilmunya. Patutnya kita selalu berdoa dan merintih kepada Allah agar kita dilindungi dari ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat dan tidak diamalkan.

Kadang kala terjadi pembaziran dalam dalam menuntut ilmu. Ilmu-ilmu fardhu ‘ain dan baiki diri tidak sungguh-sungguh dituntut sehingga ilmu fardhu ‘ainnya tidak cukup, tetapi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pekerjaan di dunia seperti matematik, ekonomi, biologi, kimia dan lain-lain dipelajari sampai berlebih. Terjadi kekurangan dalam ilmu fardhu ‘ain dan baiki diri tetapi pembaziran dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pekerjaan di dunia. Padahal mubazir adalah kawan syaitan. Inilah yang terjadi di dalam sistem pendidikan di dunia sekarang ini. Ilmu yang diterapkan dalam pekerjaan profesional seorang sarjana maksima 10% dari ilmu-ilmu profesional yang dia pelajari di bangku sekolah atau universiti.

Firman Allah dalam Al Qur’an:

Dan janganlah kamu membazir. Bahwasanya orang-orang yang membazir itu adalah daripada golongan syaitan dan syaitan itu sangat kufur pada Tuhan. (Al Isra’: 26 – 27)

Ada satu jenis dosa lain yang orang kurang peduli dan ambil perhatian yaitu dosa tidak syukur nikmat atau dosa kufur nikmat. Terjadi salah faham tentang syukur ini. Majoriti masyarakat menganggap bahwa syukur adalah mengucap alhamdulillah ketika mendapat nikmat dari Allah. Padahal syukur tidak cukup dengan sekadar mengucap Alhamdulillah, dia mesti dibenarkan oleh hati. Bila mendapat nikmat, hatinya teringat kepada Tuhan yang memberi. Selain itu nikmat itu mesti digunakan di jalan Tuhan.

Bila ketiga hal ini tidak dapat dilakukan, ertinya dia masih kufur nikmat lagi. Bila mendapat rezeki, menyebut alhamdulillah, tetapi tidak menggunakan wang itu di jalan Tuhan, tidak berkorban fisabilillah, tidak membantu orang miskin, tidak membangun berbagai projek kebaikan yang memberi manfaat kepada masyarakat. Orang ini masih belum bersyukur lagi, padahal dalam Al Qur’an Allah berfirman yang maksudnya:

“Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya.“ (Al Baqarah: 172)

“Jika kamu bersyukur akan Aku tambah nikmat-nikmatKu, tetapi jika kamu kufur tunggulah azabKu yang amat pedih”. (Ibrahim: 7)

Orang yang bersyukur selain melakukan ke-3 aspek di atas, dia akan iringi dengan rasa takut kalau-kalau nikmat itu tidak dapat digunakan di jalan Allah dan berniat sungguh-sungguh untuk menggunakan nikmat itu hanya untuk Allah.

Bagi pengikut sebuah jemaah perjuangan kebenaran, lebih-lebih lagi jemaah perjuangan kebenaran yang dijanjikan, ada kewajipan-kewajipan aradhi yang mesti dilaksanakan. Kalau para pengikutnya lalai atau tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan itu maka akan merosakkan imej Islam dan jemaah perjuangan itu.

Contohnya membersihkan rumah tamu, pejabat atau premis. Walaupun sudah ada orang yang ditugaskan resmi untuk membuat kerja-kerja itu, tetapi kalau ada seorang anggota jemaah yang melihat sampah atau kotoran di premis, kemudian dia biarkan saja, maka kesalahan ini termasuk dosa aradhi perjuangan yang cukup besar. Sebab para tetamu yang datang akan mendapat imej yang kurang baik terhadap jemaah dan Islam. Apalagi kalau sampai ada yang mengkritik secara terbuka. Sepatutnya para tetamu yang datang ke pejabat atau premis kita mendapat kesan yang sangat baik tentang Islam dan perjuangan sehingga mereka terdorong untuk lebih bersungguh-sungguh mencari Tuhan.

Contoh lainnya adalah berkorban harta dan tenaga ketika jemaah perjuangan hendak membangunkan sebuah projek kebaikan untuk masyarakat. Maka diwaktu itu seluruh anggota sepatutnya berlumba-lumba mengambil peluang berkorban ini. Bila ada seorang yang menunggu, dia harap orang lain yang berkorban lebih dahulu, maka ini adalah satu kesalahan atau dosa yang aradhi.

Jenis dosa perjuangan lainnya adalah bila tidak saling berkasih sayang sesama anggota jemaah, tidak tolong menolong, tidak simpati terhadap kesusahan dan penderitaan kawan. Kalau kita pemimpin kita kurang peduli atau kurang memperhatikan keperluan anak-anak buah dari sudut makan minum, rumah tinggal, pendidikan keluarga, environment, pekerjaan, sembahyang, ibadah, akhlak dan lain-lain. Begitulah manusia senantiasa terlibat dengan dosa.

Ada 1 jenis dosa yang lebih besar dari dosa-dosa di atas, tetapi umat Islam secara umum termasuk para ulama dan sarjana Islam kurang begitu mempedulikannya yaitu dosa-dosa batin yang berkaitan dengan Tuhan seperti:

Tidak kenal Tuhan
Tidak cinta Tuhan
Tidak takut Tuhan
Tidak merasa kehebatan dan kebesaran Tuhan
Tidak bertawakkal kepada Tuhan
Tidak merasa Tuhan pemberi rezeki
Tidak khusyuk beribadah
Tidak yakin dengan Tuhan
Tidak ikhlas dengan Tuhan
Tidak takut pada ancaman Tuhan
Tidak harap pada rahmat Tuhan
Tidak redha akan takdir Tuhan
Tidak puas dengan pemberian Tuhan
Tidak sabar atas ujian Tuhan
Tidak syukur atas nikmat Tuhan
Tidak terasa di awasi Tuhan
Tidak terasa kehebatan Tuhan
Tidak rindu dan cinta dengan Tuhan
Tidak rindu pada syurga dan tidak takut pada neraka
Lalai dari mengingat Tuhan
Dan lain-lain

Padahal rasulullah SAW bersabda: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah“.

Jadi kewajipan awal dalam kehidupan manusia adalah mengenal Tuhan. Kalau manusia tidak kenal Tuhan, maka akan timbul berbagai jenis dosa-dosa lain yang mereka perbuat baik secara sadar ataupun tidak sedar. Bila tidak kenal Tuhan, sudah tentu tidak cinta dan takut Tuhan, padahal Tuhan itu patut dicintai. Bila tidak cinta Tuhan, maka otomatis tidak akan cinta kepada sesama manusia. Hidup manusia akan mementingkan diri, keluarga dan kelompok sendiri. Mengapa? Atas alasan apa kita dapat mencintai orang lain, sedangkan Tuhan yang sangat berjasa kepada kita yang telah memberi segalanya kepada kita, tidak kita cintai.

Kerana itu bila manusia jahil, tidak kenal dan tidak cinta Tuhan, otomatik cinta pada sesama manusia sudah tidak murni. Akibatnya kesan negatifnya terlalu banyak. Tidak berkasih sayang, tidak pemurah, tidak amanah, tidak ada tenggang rasa, tidak ada perikemanusiaan, keadilan dan kerja sama. Kalaupun ada kerjasama bukan kerana cinta, tidak ikhlas dan ada kepentingan, mungkin kerana ingin keuntungan ataupun untuk menjaga harga diri. Kerana itu ikatannya terlalu tipis dan dapat berpecah kapan saja.

Selain itu, bila manusia tidak kenal Tuhan, maka manusia tidak akan takut pada Tuhan, walaupun mereka tahu bahwa Tuhan patut ditakuti. Akibatnya mereka tidak merasa pengawasan ghaib dari Tuhan sehingga tidak takut untuk membuat maksiat dan kejahatan. Kalau hukum Tuhan saja mereka tidak takut untuk melanggarnya, lagilah hukum-hukum dan peraturan buatan manusia. Akhirnya lahirlah berbagai kejahatan dalam masyarakat yang dibuat oleh orang-orang yang tidak kenal dan tidak takut Tuhan. Bahkan yang lebih teruk lagi orang-orang yang pakar hukum dan penegak hukumpun berani melanggar hukum secara terang-terangan. Jadi tidak kenal Tuhan adalah punca atau sumber segala dosa dan permasalahan yang menimpa manusia di dunia.

Termasuk dalam dosa-dosa ini adalah tidak sabar dan tidak redho dengan ketentuan Tuhan. Bila diuji manusia tidak sabar, berkeluh kesah bahkan ada yang komplen dan menyalahkan Tuhan, merasa Tuhan tidak patut memberinya ujian yang begitu berat. Tidak redha dengan ketentuan, ketika Tuhan uji dengan kesusahan dan kepahitan hidup, mereka cemas, gelisah, hilang pertimbangan dan bertindak di luar syariat. Sebaliknya ketika Tuhan uji dengan kesenangan dan kemewahan hidup, mereka lupa daratan, hilang pertimbangan serta mudah terjebak dalam tipuan nafsu dan syaitan. Padahal Maha Suci Tuhan dari pada menzalimi hamba-hambaNya. Tuhan memberi ujian dengan maksud untuk menghapuskan dosa-dosa hamba-hambaNya agar tidak diazab di akhirat nanti atau untuk meningkatkan darjat hamba-hambaNya bila mereka sabar dengan ujian itu. Meraka yang sabar dengan ujian akan mendapat pahala bighoiri hisab. Allah marah kepada orang yang tidak sabar dengan ujian dariNya.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman yang maksudnya: Barangsiapa tidak redha terhadap takdir yang terjadi dan tidak sabar terhadap bala (cubaan) dari-Ku, maka carilah Tuhan selain Aku. (Riwayat: At Tabrani)

Jangan Ambil Ringan Dosa

Jangan anggap kecil dosa yang kita buat sejak kita baligh, sekalipun ia kecil pada pandangan lahir manusia. Pada pandangan manusia mungkin dosa itu kecil atau bukan dosa tetapi ia besar pada pandangan Tuhan. Bila dikata dosa ertinya nerakalah. Dosa walau sebesar habuk pun, kalau Tuhan tidak ampunkan, maknanya besar sebab dapat membawa manusia ke dalam neraka. Jangan anggap ringan dengan berkata, “alah kecil sebesar habuk”. Kalau kita paham, ini akan mengganggu perasaan kita. Dosa ertinya neraka, kalau neraka, kecil besar sama saja.

Dosa yang besar, manusia akan terasa dan kalau ia bertaubat dan meminta ampun, maka bila Tuhan ampunkan selesailah. Tetapi dosa yang kecil sebesar habuk, atau dosa-dosa batin seperti yang dihuraikan di atas, tidak nampak dan tidak terasa kecuali oleh orang-orang yang sensitif dengan Tuhan saja. Bila tidak terasa, maka dia akan lupakan dosa-dosa itu dan dia tidak akan bertaubat dan meminta ampun kepada Tuhan. Maka sudah menjadi satu dosa lagi. Dosa di atas dosa. Kadang-kadang manusia sangat mengambil perhatian tentang dosa-dosa lahir yang besar tetapi dengan dosa kecil atau dosa-dosa batin yang tidak nampak dia tidak ambil peduli. Matilah dia dalam keadaan tidak merasa berdosa. Maka matilah dia dalam kemurkaan Allah. Ini yang Tuhan marah. Kerana itu jangan pandang kecil atau lupa-lupakan dosa.

Mari bertaubat atas dosa-dosa

Kalau kita perhatikan betapa banyaknya dan menggunungnya dosa-dosa yang kita buat sejak baligh yang belum kita taubatkan. Bahkan kebanyakan dosa-dosa itu tidak kita rasakan sebagai dosa sehingga telah kita lupakan. Kadang yang kita sedar sebagai dosa pun tidak kita taubatkan sungguh-sungguh. Melupakan atau meringankan dosa yang pernah kita buat sejak baligh adalah dosa. Akhirnya dosa kita sudah beranak pinak.

Jelaslah bahwa sejak baligh lagi manusia sentiasa berada dalam dosa yang menjadi hijab antara dirinya dengan Tuhan. Sehingga terhijab seluruh rahmat dan kasih sayang-Nya. Bila ini terjadi, apa saja amal ibadah dan kebajikan yang manusia buat, Tuhan tidak pandang dan tidak terima. Bukan itu sahaja, bahkan di Akhirat kelak, Tuhan akan hukum dengan Neraka yang amat dahsyat. Oleh itu wajib setiap hamba Tuhan itu merasa senantiasa berdosa dan bertaubat dengan segera terutamanya apabila melakukan dosa dan kesalahan yang ia sadari.

Taubat ertinya kembali merujuk kepada Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang serta menyerah diri kepada-Nya dengan hati penuh penyesalan yang sungguh-sungguh. Yakni kesal, sedih, dukacita serta rasa tak patut di atas dosa-dosa yang dilakukan sehingga menangis mengeluarkan air mata. Hati terasa pecah-pecah bila mengingati dosa-dosa yang dilakukan itu. Merayu moga-moga Tuhan ambil perhatian. Merintih moga-moga Tuhan mendengar. Memohon agar Tuhan yang Maha Pengampun akan mengampunkannya. Meminta agar Tuhan memandang dan memberi dengan penuh kasih sayang. Hati pecah-pecah itu menjadikan anggota-anggota lahir (mata, telinga, kepala, kaki, tangan, kemaluan) tunduk dan patuh dengan syariat yang Tuhan telah tetapkan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi perbuatan-perbuatan derhaka itu.

Taubat tidak cukup hanya dengan mengucapkan istighfar di mulut, tanpa hati merasa bersalah dan berdosa. Kerana itu tidak semudah itu pula Tuhan menerima taubat hamba-hamba-Nya, kecuali setelah menempuh syarat-syarat yang telah ditetapkan-Nya. Syarat-syarat taubat dibagi kepada dua sebagaimana dosa dan pahala terbagi kepada dua, yaitu syarat taubat diatas dosa dan kesalahan dengan Tuhan dan juga dosa dan kesalahan sesama manusia.

Antara syarat-syarat taubat yang berhubung kait dengan Tuhan ialah:

Pertama: Menyesal sungguh-sungguh di atas dosa-dosa yang telah dilakukannya. Yakni terasa kesal, sedih, duka cita, rasa tidak patut kerana melanggar syariat Tuhan. Sekaligus datang perasaan menyerah diri padaNya.

Kedua: Berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perkara-perkara yang menjadi larangan Tuhan itu.

Ketiga: Meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa dengan Tuhan baik dosa besar maupun dosa kecil.

Diantara contoh dosa-dosa besar ialah meninggalkan sembahyang, tidak puasa, menenung nasib, minum arak, berzina, judi, rasuah, riba, memfitnah, mengumpat, membunuh.
Diantara dosa-dosa kecil ialah tidak menutup aurat, bergaul bebas lelaki dan wanita, melihat aurat yang bukan muhrim, mendengar nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, bercakap lucah, bergurau berlebih-lebihan, berkelakar, membazir.

Kalau selama ini ia terlibat dengan perbuatan yang haram (seperti riba, tidak menutup aurat, minum arak) maka ia terus tinggalkan perbuatan tersebut. Kalau terlibat dengan dosa-dosa meninggalkan perkara-perkara wajib (seperti sembahyang dan puasa), maka ia tidak akan meninggalkannya lagi. Ia terus melaksanakan perkara-perkara yang wajib dengan bersungguh- sungguh dan membayar qada’ segala perintah wajib yang tertinggal itu.

Tetapi jika dosa dan kesalahan itu terhadap sesama manusia, selain menempuh 3 syarat taubat yang sudah disebut di atas, ia mesti meminta maaf atau minta redha (halal) kepada orang tersebut di atas dosa-dosanya. Dosa-dosa sesama manusia ini sebenarnya terlalu banyak. Secara ringkasnya, ia boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu:

Dosa berkaitan dengan harta seperti hutang yang tidak dibayar, harta yang dicuri, dirampas, ditipu, dibinasakan dan lain-lain. Ini semua mesti minta dihalalkan atau minta maaf pada orang yang bersangkutan, membayar hutang atau ganti ruginya.
Dosa berkaitan dengan peribadi, seperti pernah memukul, menempeleng, mencubit, merotan, mendera, mengikat dirinya, merantai, menyiksa, mencacatkan anggota badannya, mengurung atau memenjarakan dan lain-lain. Dosa-dosa ini semuanya mesti diminta maaf kepada orang yang berkenaan atau menerima hukuman mengikut ketentuan syariat, sekiranya orang itu meminta dikenakan hukuman diatas perbuatan kita itu.
Dosa yang ada hubungan dengan maruah atau agamanya. Seperti memberi malu di depan khalayak ramai, mengumpat dirinya, menghinakan dia, menuduh dia dengan tuduhan-tuduhan yang tidak benar, memfitnah dan lain-lain kesalahan. Ini mesti diminta maaf atau minta redha.
Dosa yang ada hubungan dengan keluarganya, seperti pernah memegang-megang, meraba-raba, mencium anak gadisnya atau menzinai anggota keluarganya atau membunuh ahli keluarganya. Maka hendaklah meminta maaf dan meminta redha dari keluarganya. Kalau mereka tidak redha dan maafkan, mesti sanggup untuk dibalas oleh pihak keluarganya baik dipukul, ditempeleng dan lain-lain mengikut syariat yang disahkan oleh mahkamah.

Semua tuntutan syariat ini mesti dibuat mengikut kaedah-kaedah tadi barulah taubat itu diterima oleh Tuhan. Sungguhpun begitu bukan mudah untuk menunaikan syarat-syarat ini melainkan setelah memiliki hati yang benar-benar ikhlas dan menyerah pada-Nya. Kalau tidak dapat menunaikan syarat-syarat ini, taubat itu tidak diterima. Orang yang egonya tinggi amat berat untuk bertaubat. Lebih-lebih lagi bila dosa yang dilakukan itu sesama manusia.

Begitulah kasih sayangnya Tuhan kepada hamba-hambaNya yang berdosa. Masih ada peluang bertaubat untuk mendapat keampunan dari Tuhan dengan menempuh syarat-syarat yang telah disebutkan. Kecuali dosa-dosa syirik, yang tidak dapat keampunan dari Tuhan. Kerana ia telah dinyatakanNya didalam firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa-dosa syirik tetapi mengampunkan selain itu“ (An Nisa 48)

Maknanya selain syirik, orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya akan diampunkan oleh Tuhan. Apabila diampunkan, maka samalah dia seperti orang yang tidak berdosa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang bertaubat daripada dosa sepertilah orang yang tidak berdosa.“

Firman Allah SWT: “Maka barangsiapa yang bertaubat, sesudah melakukan kejahatan itu dan membaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Maidah: 39)

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.“ – Ayat 110; Surah An Nisa’.

Berdasarkan Hadis-Hadis dan ayat-ayat Al Quran tadi dapat difahami bahawa wajib setiap orang Islam itu bertaubat daripada dosa-dosanya. Supaya tidak menjadi hijab antara dia dengan Allah. Setelah bersih dari pada dosa, maka hijab pun terangkat. Terhubunglah kembali kasih Allah yang terputus selama ini. Dia memandang hambaNya itu dengan pandangan penuh kasih sayang sehingga rahmatNya melimpah ruah. Justru itu, hiduplah si hamba yang bertaubat itu dengan penuh bahagia di dunia dan mendapat balasan Syurga di Akhirat. Sebab itu ALLAH minta dan memujuk hamba-hambaNya supaya segera bertaubat.

FirmanNya yang bermaksud:“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan TuhanMu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi…” Surah Ali Imran; ayat 133.

Berdasarkan ayat ini Tuhan meminta kita bersegera bertaubat dari segala dosa-dosa baik yang besar maupun yang dan perbuatan makruh yang dibenci Allah. Kerana mati itu tidak tahu bila masanya. Boleh jadi mengejut, datang tiba-tiba. Setelah bertaubat memohon keampunan Tuhan, Tuhan menyuruh kita segera mengejar Syurga. Yakni dengan cara melakukan amal soleh atau amal kebajikan seperti berjuang, berkhidmat kepada masyarakat, bersedekah, menahan marah, memaafkan kesalahan orang dan sebagainya.

Takutilah Dosa-Dosa Batin

Ada seorang yang pernah melakukan dosa besar 20 tahun yang lalu dan dia setiap hari merasa berdosa, menyesali dan menagisi dosanya sehingga matanya rabun dan dadanya terasa pedih kerana terlalu banyak menangis. Bertaubat seperti ini merupakan satu ibadah yang baik. Takutnya kepada Tuhan itu akan menjadi syafaat bagi dia di dunia dan di akhirat. Ini lebih besar dari sembahyang dan puasa sunat. Sebab tujuan taubatnya tercapai iaitu mendapat rasa hamba. Ini satu anugerah dari Tuhan, sebab bukan mudah untuk mengingati apalagi menyesali dosa-dosa yang pernah kita buat beberapa puluh tahun yang lalu. Pada suatu hari Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, “Apakah ada umatmu yang nanti dapat masuk syurga tanpa hisab?” Jawab baginda,”Ada, iaitu orang yang mengenang dosanya lalu dia menangis.”

Ada juga hamba Allah yang terlalu tajam rasa bertuhannya sehingga setiap kali selesai membuat kebaikan menurut ukuran manusia biasa dia segera bertaubat kerana dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak sempurna. Dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak ikhlas kerana Allah, terselit kepentingan-kepentingan lain atau dia merasa tidak beradab kepada Tuhan yang senantiasa mengawasinya dalam membuat kebaikan itu. Dia terasa yang dia buat itu bukan suatu kebaikan tetapi suatu kedurhakaan kepada Tuhan walaupun secara lahiriah suatu kebaikan. Hamba seperti ini senantiasa merasakan dirinya berdosa dan ibadah-ibadahnya tidak sempurna. Tanpa anugerah dari Allah, sangat sukar bagi manusia untuk memiliki sifat kehambaan yang halus seperti ini. Sangat sukar untuk mengesannya, ia memerlukan pandangan mata batin, tidak cukup dengan mata lahir dan akal saja.

Kadang suatu amalan nampak baik oleh mata dan akal tetapi kalau dicermati dengan hati yang tajam ternyata suatu kejahatan. Contohnya mengerjakan sembahyang. Mata lahir mengatakan baik, akal-pun berkata demikian juga. Tapi kalau kita tanya hati, susah untuk memberi jawaban baik atau tidak baik. Kalau lepas mengerjakan sembahyang, hati kita rasa senang, rasa selamat dengan sembahyang itu, maka rosaklah ibadah kita itu. Selepas sembahyang dipuji orang hati rasa bangga dan berbunga, habislah semua. Itulah yang dimaksudkan ibadah itu menjadi hijab dan dosa. Mana boleh selepas sembahyang kita rasa senang dan tenang. Patutnya kita rasa takut dan cemas sebab sembahyang kita tidak sempurna, ada lalai dan cacat di sepanjang sembahyang. Hati sepatutnya bertanya-tanya, sembahyang aku ini Tuhan terima atau tidak? Tuhan redho atau tidak? Tuhan tidak pandang mata dan aqal, tetapi Tuhan pandang hati manusia walau ibadah lahir mesti dibuat.

Firman Allah yang bermaksud: Hari kiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan dunia ini) di mana harta dan anak tidak berguna lagi kecuali mereka yang menghadap Allah membawa hati yang selamat. (Asy Syuara’: 88 – 89)

Sabda Rasulullah SAW: Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu. (Riwayat: Muslim)

Sebenarnya ketika menghadap Tuhan kita sedang menghadap Raja dari segala raja. Sebab itu bagi orang yang betul-betul faham, ketika dia hendak sembahyang dia bimbang dan gelisah takut tidak beradab di hadapan Raja segala raja. Macam raja besar dunia hendak memanggil kita rakyat biasa ke istana, tentu kita ada rasa takut dan cemas, bertanya sana-sini tentang tata cara dan sopan santun menghadap raja. Apa pantang larangnya. Waktu pergi sebelum menghadap sudah susah hati dan bimbang, waktu sedang menghadap-pun susah hati dan bimbang. Selepas menghadap pun susah hati dan bimbang, takut kita sudah tidak beradab dan kurang ajar di hadapan raja. Begitulah rasa hati rakyat jelata yang dipanggil menghadap ke istana raja besar.

Tuhan adalah raja dari segala raja. Patutnya kita lebih merasakan susah hati dan bimbang ketika menghadapNya dibanding dengan menghadap raja besar manusia tadi. Apakah hati kita merasakan ini? Kalau tidak rasa begitu, benarkah kita beribadah kepada Tuhan? Menyembah Tuhan? Kalau hatinya betul-betul ikut sembahyang atau dengan kata lain dia sangat menghayati sembahyangnya, maka hatinya akan takut, bimbang dan cemas. Kalau orang yang kenal dan faham Tuhan, maka sebelum mengerjakan sembahyang hatinya sudah gelisah. Orang lain tidak nampak hatinya yang gelisah. Setelah sembahyang dia merasa betapa telah tidak beradabnya dia ketika berhadapan dengan Tuhan yang Maha Besar itu. Sebab itu selepas sembahyang sebelum berdoa mengajukan berbagai permintaan kepada Allah, dia bertaubat dahulu, beristighfar dahulu di atas dosa sembahyangnya yang tidak sempurna. Atau Setidak-tidaknya dia rasa bimbang dan cemas. Barulah setelah itu dia berterima kasih kepada Allah yang telah memberinya kekuatan untuk menyembahNya dan dengan penuh harap dia berdoa kepada Allah.

Itulah yang dimaksudkan kadang-kadang kita tidak sadar kebaikan yang kita buat berubah menjadi kejahatan. Sembahyang kita yang lalai dan tidak sempurna itu telah membuat kita rasa senang dan selamat, padahal dia membuat kita terhijab dari rahmat Tuhan. Dosa-dosa batin ini sangat halus, susah dikesan dan dirasa. Orang yang secara lahirnya membuat kebaikan tetapi terhijab dari rahmat Tuhan, dia tidak bertaubat. Kalau kesalahan yang lahir misalnya minum arak dan berjudi, mudah manusia mengesannya sehingga mereka dapat segera bertaubat. Tetapi kesalahan dan dosa batin susah.

Cuba kita tanya orang yang sembahyang. Bagaimana sembahyang saudara tadi? Kalau dia kata Alhamdulillah dengan senang hati dan rasa selamat dengan ibadahnya, tanpa ada rasa berdosa, sebenarnya dia sedang membuat satu dosa batin. Orang dulu walau takut dengan dosa lahir, tetapi mereka lebih takut dengan dosa-dosa batin. Di celah-celah ibadah dan kebaikan ada dosa, ada tidak beradab dengan Tuhan. Sebab itu ada hadis yang menyebutkan bahwa seorang hamba menjadi wali Allah bukan kerana faktor sembahyang dia yang banyak, baca Qur’an yang banyak, tetapi kerana hatinya sangat halus dengan Tuhan. Orang yang beribadah kerana fadhilat, inginkan syurga atau kerana takutkan neraka, selalu tertipu. Hati dia rasa senang dan selamat dengan ibadahnya. Tidak risau, bimbang dan cemas apakah ibadahnya diterima Tuhan atau tidak. Ibadah orang-orang yang mengejar fadhilat ini tidak akan memberi kesan dalam kehidupannya sehari-hari. Tidak ada bedanya antara yang orang yang beribadah dengan yang tidak.

Soal rasa dan hati ini sangat sulit dan halus. Para sahabat secara umum memiliki hati yang tajam. Saidina Umar bin Khattab memiliki rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang tinggi sehingga begitu bimbang dengan keselamatan dirinya.

Kalau dia berjumpa dengan Abu Huzaifah yang Allah anugerahkan pandangan batin yang tajam, dia akan bertanya, “Wahai Abu Huzaifah, apakah aku ini orang munafik?”

Pada kesempatan lain ia berkata pada dirinya, “Kalaulah ada penghuni neraka yang Allah ampunkan dan beri rahmatNya kemudian Allah masukkan ke dalam syurga, aku harap akulah orang terakhir yang Allah keluarkan dari neraka itu.”

Itulah kebimbangan dan kecemasan orang bertaqwa. Mereka tenang dengan dunia, kemiskinan, kesusahan dan lain-lain tetapi sangat sensitif dan cemas dengan dosa-dosa kepada Tuhan. Hati mereka harap dan takut pada Tuhan.

Apa yang dimaksud dengan harap dan takut? Tanda berharap adalah dia berbuat dan tidak putus asa. Dia mengharap rahmat Allah. Tanda takut adalah dia sudah berbuat, tetapi takut dan cemas Tuhan tidak terima amalan dan taubat dia. Jadi harap itu ada asasnya. Berharap di atas perbuatan dan amalannya, dia baik sangka dengan Tuhan. Bila sudah berbuat hatinya bimbang juga, sebab yang kita buat amalan yang lahir. Yang batin kita tidak nampak, Tuhan tahu. Mungkin ada kesalahan yang kita tidak sadar. Kita rasa sudah tidak ada masalah. Disitulah perlu ada takut. Jadi takut disini ada hubung kait dengan kita merendah diri di hadapan Tuhan. Seolah kita mengaku, ‘walau aku sudah berbuat tetapi tidak sempurna. Engkau Maha tahu. Sebab itu aku takut, cemas. Aku sudah berbuat yang lahir, tetapi ada yang batin. Aku tidak tahu yang batin ini’.

Adanya perasaan takut ini menunjukkan ada benda lain: rendah diri dan tawadhu. Kalau tidak tawadhu, tidak akan lahir benda seperti itu, takut-takut Tuhan tidak terima. Tapi kalau tidak tawadhu, dia akan rasa dan yakin seluruh amalannya diterima Tuhan. Dia akan rasa selamat. Rasa ini menafikan rasa kehambaan. Lebih jauh dari itu keyakinan yang terlalu kuat bahwa amalannya diterima Tuhan, selain merupakan dosa batin, ia dapat menggelincirkan tauhid seseorang sebab orang tersebut merasa seolah-olah pandangannya sudah sama dengan pandangan Tuhan.

Satu jenis tipuan lagi adalah perasaan tenang dan steady dengan dosa yang dibuat baik dosa lahir maupun dosa batin. Mengapa dia rasa tenang. Sebab dia tahu bahwa Allah Maha pengasih Maha Penyayang. Mengapa ini disebut satu tipuan?

Memang benar dan tepat bahwa Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tetapi perasaan tenang, steady dan tidak susah hati dengan dosa itu yang salah. Seolah-olah tidak perlu sungguh-sungguh bertaubat atas dosa sebab Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dia yakin Allah akan mengampunkan dia walau tidak sungguh-sungguh bertaubat. Mengampunkan atau tidak itu hak Allah, tetapi memiliki keyakinan ini yang salah bahkan dapat merosak tauhid sebab sudah jelas disebut dalam berbagai ayat Qur’an dan hadis bahwa Allah murka dan marah kepada hamba-hamba yang berdosa dan tidak sungguh-sungguh bertaubat atas dosa-dosanya. Yang halus dan seni-seni seperti ini susah untuk faham, kalau kita tidak ada ilmu tasawuf, tidak dipimpin oleh seorang guru mursyid.

PUISI: TIDAK BIMBANG DENGAN DOSA ADALAH DOSA

Engkau tidak bimbang akan berlakunya dosa di masa-masa depan
Itulah menunjukkan engkau telah berdosa
Kerana engkau yakin dengan diri engkau sendiri, bahawa engkau akan selamat dengan dosa dan kesalahan
Yakin engkau dengan diri engkau itu engkau sudah tidak beradab dengan Tuhan
Sepatutnya engkau mengharapkan pemeliharaan dari Tuhan terhadap diri engkau
Sebenarnya engkau mana ada kuasa
Kerana itulah engkau perlu kepada penjagaan dari Tuhan
Tuhanlah yang boleh menjaga diri engkau dan diri kita semuanya

Perlunya kepada Tuhan itu amat penting
Ini menunjukkan kelemahan kita dan ingin pertolongan Tuhan
Rasa seumpama ini adalah sangat disukai oleh Allah
Kerana kita masih dapat mengekalkan rasa kehambaan
Tuhan sangat suka seseorang hamba itu dapat merasa kehambaan
Seorang hamba dia tidak boleh rasa aman
Dia sepatutnya selalu bimbang jika terbuat dosa atau melakukan kesalahan
Dia selalu runsing dengan kelemahannya dan kecuaiannya
Bila-bila sahaja dia boleh melakukan kesalahan dan kesilapan

Begitulah sifat orang mukmin itu, dia tidak pernah merasa aman
Kerana itulah rasa bertuhan begitu menebal
Dia mengharap selalu hidayah dan taufik dari Tuhan
Dia tidak merasa selamat tanpa Tuhan
Kerana itulah Tuhan sentiasa dalam ingatannya
Dia yakin Tuhan sahaja yang boleh menyelamatkannya
Memang Tuhan itu salah satu sifatnya adalah penyelamat

TUHAN SUKA KELUHAN ORANG YANG BERDOSA

Keluhan orang berdosa kerana dosa-dosanya
Tuhan amat suka
Lebih-lebih lagi gugurnya airmatanya
waktu menangis mengenangkan dosa-dosanya
memadamkan api Neraka
Takutnya kepada Tuhan kalau-kalau terbuat salah
atau takut tidak diampunkan dosa
adalah ibadah
Sedangkan orang beribadah
belum tentu jadi ibadah
Kerana ibadah itu mestilah dirasa oleh hati
di dalam ibadahnya
Penghayatan itu adalah kerja hati
Kalau fizikal sahaja yang nampaknya beribadah
hati tidak beribadah
tidak ada erti apa-apa dengan ibadahnya
Tuhan tidak pandang rangka
tapi pandang isinya
Rangka cantik macam mana sekalipun
tidak ada isi, tidak ada erti apa-apa
Rasa bertuhan dibawa ke mana-mana
ini adalah ibadah batin
Pahalanya sentiasa mengalir selagi ada rasa
Rasa hamba dibawa ke mana-mana
lemah dan tiada kuasa
adalah juga ibadah batin
Rasa hamba itulah sifat hamba yang sebenarnya
Janganlah sifat hamba itu ditukar
kepada sifat tuan atau ketuhanan
Itu sombong namanya
Dia ambil pakaian Tuhan dan dipakainya
Tuhan sangat murka
Sifat ketuanan adalah bangga diri, Tuhan benci
Siapalah kita manusia ini hendak rasa bangga
Takkan kita tidak sedar lemahnya diri manusia ini
Mengapa pula kita rasa ada kuasa dan bangga diri pula
Ini sikap orang yang tidak sedarkan diri
Takkan kita tidak sedar
bahawa kita ini dhaif dan lemah
Setiap saat kita perlukan bantuan
Bantuan oksigen, bantuan kesihatan
bantuan kerehatan
Bantuan-bantuan yang diperlukan itu
siapa yang empunya?
Takkan kita buat tidak tahu dari mana kita dapat
Kalau kita sedar ini semuanya
di dalam fikiran setiap masa
atau di dalam perasaan
itulah dia ibadah
IBADAH TANPA PERBUATAN
Ibadah batin atau ibadah rohaniah namanya
Perasaan itu atau kesedaran itu
adalah diberi pahala

Menjelang Asar
08-09-2004

BISIKAN NAFSU DAN SYAITAN

Syaitan dan nafsu tipuannya sangat halus,
Selalu sahaja membisik-bisikkan di dalam hati, menyedapkan hati,
Di antara bisikan-bisikannya biasanya begini sungguh menghiburkan jiwa kita:
Engkau masih muda! Buatlah apa sahaja, tidak mengapa,
Kalau berdosa pun masa tua nanti bertaubatlah, taubat Tuhan terima,
Jika engkau buat dosa Tuhan itu bukankah Maha Pengasih bertaubatlah, habislah dosa,
Masa muda hanya sekali, di waktu muda enjoy-enjoylah dahulu,
setelah tua beribadahlah banyak-banyak,
Adakalanya dia bisikkan kita begini: Di dalam membuat dosa buatlah baik,
Satu kejahatan baru satu dosa, satu kebaikan diberi sepuluh kebaikan,
Kalau buat sepuluh kejahatan, satu kebaikan sudah sama,
Betapa pula kalau lebih dari satu kebaikan sudah mengatasinya,
Tidak kurang juga bisikannya:
Buat jahat tidak mengapa, yang penting hati baik,
Tuhan bukankah pandang hati, tidak pandang lahir,
Ada juga apabila lahirnya tidak membuat dosa-dosa besar, sudah tidak terasa berdosa lagi,
Tidak terfikir hati juga membuat dosa,
Dosa batin payah dikesan,
Maka hati pun terasa senang, bahawa dia merasakan dia tidak membuat dosa,
Padahal sombong, riya’, ujub, ingin dipuji, tidak suka dikeji adalah dosa yang tersembunyi,
Ia berlaku begitu sahaja tanpa disedari,
Kalaupun ada terasa kerana ia bukan bersifat perbuatan, tidak terasa itu adalah dosa,
Dia tertipu di dalam sangkaannya,
Dia lupa hati juga turut berdosa,
Bahkan sebenarnya dosa batin lebih banyak daripada dosa lahir,
Biasanya dengan dosa batin jarang orang bertaubat, hingga dibawa mati.

Wal’iya zubillah

TAWADHUK – BAHASA NABI

Perkataan Tawadhuk selalu kita dengar,
Tawadhuk itu bahasa Nabi,
Bahasa Melayu memberi erti merendah diri,
Terjemahan itu bukan erti yang hakiki,
Tawadhuk adalah sifat batin
Dengan kata-kata yang lain sifat hati,
Perasaan hati nurani,
Perasaan-perasaan itu
Kalau ada pada seseorang menjadi tabiat diri,
Terbawa-bawa didalam kehidupan sehari-hari,
Seperti didalam percakapannya, perbuatannya, diamnya,
Seperti kita ceritakan disini sebagai buah tawadhuk
Atau ia memberi isyarat yang seseorang itu ada tawadhuk
Didalam hatinya,
Seperti orang itu pemaaf,
Didalam pemaaf itu ada unsur-unsur merendah diri,
Seseorang itu meminta maaf,
Itu juga ada unsur-unsur merendah diri,
Seorang pemurah, didalam pemurahnya ada sifat yang tersembunyi
Iaitu merendah diri atau tawadhuk,
Orang yang suka ziarah
Samada orang sakit atau orang mati atau sanak saudara
Pada perbuatan itu ada sifat lain yang tersembunyi,
Iaitu tawadhuk dan merendah diri,
Kalau dia dicabar, dia tidak mencabar kembali
Ataupun dia buat penjelasan supaya kehinaan tidak terjadi,
Disitu ada unsur-unsur tawadhuk yang tersembunyi,
Seorang yang suka mendoakan seseorang untuk
Kebaikannya atau mereka
Pada perbuatan atau sikap itu ada
Sifat yang tersembunyi yang lain
Iaitu tawadhuk atau merendah diri,
Kalau seorang itu pandai atau berjawatan tinggi atau kaya,
Didalam pergaulannya samada percakapannya, sikapnya,
Dipuji orang atau dikeji sama sahaja,
Disitu ada sifat yang tersembunyi
Secara itu ada sifat-sifat lain tersembunyi
Iaitu tawadhuk dan merendah diri,
Orang yang bagaimana yang mempunyai keistimewaan-keistimewaan diri?
Samada kaya, berilmu, ada pengikut,
Ada nama, ada jawatan tinggi, dia tidak terasa
Ada kelebihan pada dirinya,
Disitu ada unsur-unsur didalam hati tawadhuk dan merendah diri,
Jadi tawadhuk atau merendah diri, setengah orang tidak mengerti,
Kerana sifat tawadhuk dan merendah diri itu melahirkan
Sifat-sfat mahmudah lain,
Serta sifat yang lebih banyak lagi,
Orang menganggap sifat yang lain itu ialah sifat orang itu,
Tetapi sifat yang tersembunyi disebalik itu,
Orang lain tak tahu,
Yang empunya diri sahaja yang tahu,
Tapi sifat-sifat lain itu nampak,
Sifat-sifat yang tersembunyi itu tidak nampak,
Kerana dirasa oleh hati,
Oleh yang punya hati,
Sifat-sifat tawadhuk atau merendah diri melahirkan
Sifat-sifat yang lain lagi,
Didalam sifat mahmudah
Ada sifat mahmudah yang lain,
Ada sifat yang baik lahir lagi sifat yang baik,
Ada sifat yang terpuji lahir lagi sifat yang terpuji,
Jadi tawadhuk atau merendah diri ini
Satu sifat yang terpuji yang asalnya
Sifat hati lahir pula sifat-sifat terpuji yang banyak,
Seperti pemurah, ada unsur-unsur tawadhuk disitu,
Seperti suka ziarah orang, ada unsur-unsur tawadhuk disitu,
Seperti suka memberi maaf pada orang atau menuntut maaf
Atau dia dipuji, dia terasa malu,
Kalau dia dikeji, hatinya sama sahaja
Puji dengan keji, menunjukkan orang itu hatinya
Tawadhuk dan merendah diri,
Lebih-lebih lagi orang yang buat jahat kepadanya
Dibalas dengan kebaikan,
Ini tawadhuk yang tinggi,
Sebab itulah kalau didalam kehidupan,
Didalam masyarakat,
Semua golongan merendah diri,
Lahir sifat-sifat mahmudah yang lain lagi,
Maka amanlah dunia ini,
Dunia jadi syurga sebelum syurga diAkhirat sana.
Jadi orang yang tawadhuk atau merendah diri
Makhluk Tuhan yang istimewa,
Yang boleh dilakukan oleh Rasul-rasul, oleh Nabi-nabi,
Oleh wali-wali atau orang bertaqwa,
Oleh itu sifat tawadhuk atau merendah diri mudah disebut,
Tetapi tidak mudah dimiliki,
Kerana ia merupakan sifat hati atau perasaan rohani.
Contoh pertama,
Orang tak sembahyang paling sombong dengan Tuhan,
Sebab itu Tuhan kata orang sembahyang pun masuk ‘wail’,
Sebab didalam sembahyang tak lahir tawadhuk,
Dari sembahyang tak lahir tawadhuk, neraka ‘wail’ untuknya,

Contoh kedua,
Saidina Abu Bakar (RA) berkata
“Lebih baik aku jadi pokok kayu dipotong-potong orang,
Kemudian dilupakan”,

Contoh ketiga,
Saidina Umar (RA) berkata
“Alangkah baiknya kalau aku tidak dijadikan”.

Contoh keempat,
Uwais Al Qarni bukan pemimpin, dia bela kambing orang,
Tapi hatinya diilhamkan oleh Tuhan,
“Wahai Tuhan, kalau adalah orang kat dunia ini kelaparan tak makan,
Jangan salahkan Uwais, janganlah Engkau bertindak pada Uwais”,
Inilah tawadhuk yang paling tinggi.

09.07.06
11.30 pg.

Call Now
Directions