Tag Archives: Harta

MISKIN DAN KAYA

sedekah-untuk-kaya

“Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” ( Hadith Riwayat At Tabrani)

Dunia ini Allah punya. Segala-gala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan, kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita manusia tidak memiliki apa-apa. Sebaliknya kita dimiliki.

Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan dan wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, adalah milik Tuhan.

Kita sebagai manusia, dalam keaadan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai banyak harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil dan guna sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita itu tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk kemaslahatan masyarakat.

Allah SWT jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hamba-Nya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah SWT kurniakan itu cukup untuk semua hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada golongan yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.

Allah jadikan miskin dan kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan wujud dan tidak akan berkembang.

Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenal mengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.

PENGERTIAN ZALIM – ADILKAH KITA DENGAN DIRI KITA SENDIRI?

Ada perkara yang selalu orang sebut-sebut di hadapan kita, bahkan orang ramai sebut iaitu tentang penzaliman. Ada ayat Quran yang pendek yang berkait dengan perkara ini :

‘Tuhan tidak menzalimi mereka itu tetapi merekalah (manusialah) yang menzalimi diri mereka sendiri.’

Ayat ini pendek tapi mempunyai ilmu yang global. Di dalamnya ada ilmu yang tersurat dan tersirat.

Hari-hari kita baca dalam surat khabar, di media masa, di TV, orang sebut tentang penzaliman. Tetapi penzaliman yang selalu disebut orang, termasuk kita, diberitakan seseorang itu menzalimi seseorang yang lain, satu etnik menzalimi etnik lain, satu bangsa menzalimi bangsa lain, satu puak menzalimi puak lain.

Di sekitar itulah kezaliman itu disebut orang. Tapi orang tak pernah terfikir bahawa kezaliman itu lebih luas dari itu. Tuhan kata : ‘Tuhan tidak menzalimi mereka tapi mereka menzalimi diri sendiri’

Di sini, kalau kita hurai erti kezaliman paling-paling tidak ada 7 aspek kezaliman. Dalam penzaliman mengikut pengertian Tuhan paling tidak ada 7 kategori atau 7 aspek yang menyebabkan manusia boleh menjadi zalim :

1. Zalim dengan Tuhan

Ini penzaliman peringkat tertinggi. Tak ada yang lebih tinggi daripada zalim taraf ini, yakni seorang manusia zalim dengan Tuhan.

Apa maksud zalim dengan Tuhan. Ialah :

· tak kenal Tuhan

· syirik dengan Tuhan.

· Tak takut dengan Tuhan,

· tak cinta dengan Tuhan,

· tak pedulikan Tuhan,

· tak dihubungkan hidup ini dengan Tuhan.

· Tuhan ada atau Tuhan tak ada dia tak ambil peduli. “Ada tak ada Tuhan, apa perlu aku fikir Tuhan.”

Ini penzaliman taraf tinggi sekali. Paling atas. Tak terfikir oleh kita. Padahal ramai orang tak peduli Tuhan, ini termasuk kita. Tiap-tiap hari kita tak pedulikan Tuhan.

Padahal satu perkara Tuhan kata dalam Qur’an :

‘Iqra bismirabbik’.

Maksudnya : ”Hendaklah kamu membaca atas nama Tuhan-Mu.”

Apa sahaja hendak dibuat mesti atas nama Tuhan. Membaca, bertindak, berjuang, membangun, berpendidikan, berekonomi, berkebudayaan, berhibur, berhubung, mentadbir, mesti atas nama Tuhan. Mesti dikaitkan dengan Tuhan, mesti ada hubungan dengan Tuhan. Kalau kita tidak lakukan atas nama Tuhan maka sebenarnya kita melakukan penzaliman paling tinggi.

Kalau begitu yang dimaksudkan, kita juga ada melakukan zalim peringkat tinggi ini. Yang paling banyak, ada pada orang kafir dan orang munafik. Tapi pada kita orang Islam pun unsur-unsur itu ada. Mana orang Islam hari ini yang betul-betul cinta dengan Tuhan, takut dengan Tuhan, menghubungkan hidupnya dengan Tuhan? Maaf, sekalipun ulama, orang Islam hari ini sekadarkan percaya wujudnya Tuhan. Sekadar betul akidah atau sekadar tidak jatuh kafir. Atau Akidah sekadar cukup makan. Di luar itu, dengan Tuhan tak ada pun takut, cinta, tak ada hendak menghubungkan diri dengan Tuhan.

Awal-awal umat Islam telah melakukan penzaliman peringkat atas. Kemudian hendak minta bantuan Tuhan, hendak minta pertolongan Tuhan untuk menghancurkan musuh-musuh Tuhan. Padahal kita juga sudah jadi musuh Tuhan kerana awal-awal sudah melakukan zalim peringkat paling atas. Akhirnya kita sama-sama hancur, kerana kita sudah masuk dalam golongan musuh Tuhan.

2. Zalim dengan Fizikal

Yakni zalim yang ada hubungan dengan fizikal. Manusia melihat dengan mata, mesti atas nama Tuhan. Bercakap, mendengar, bertindak, menggunakan tangan, kaki dan seluruh anggota badan kita mesti atas nama Tuhan. Ertinya selaras dengan kehendak Tuhan. Mata, telinga, tangan, kaki, semua gerak geri kita jangan bertentangan dengan kehendak Tuhan. Kalau berlaku pertentangan itu ertinya kita telah melakukan penzaliman peringkat kedua.

3. Zalim dengan harta

Yakni zalim yang ada hubungan dengan harta. Harta itu milik Tuhan. Tuhan bagi pada kita. Ada yang sedikit, ada yang banyak, ada yang jadi jutawan, ada yang jadi bilioner. Ada yang kaya jangan gunakan sedikitpun atas nama selain Tuhan. Mesti selaras dengan kehendak Tuhan, sebab yang kita miliki itu sebenarnya Tuhan punya. Diri kita pun Tuhan yang punya. Tak boleh sesuka hati kita gunakan diri dan kekayaan kita, sesuka hati kita. Mesti digunakan menurut kehendak Tuhan. Kalau tidak, kita melakukan penzaliman yang ketiga yang ada hubungan dengan harta.

4. Zalim dengan manusia lain

Zalim seseorang pada manusia lain, atau penzaliman manusia sesama manusia contohnya : orang pukul orang lain, mengata orang lain, menjauhkan orang lain, bagi malu, menghina, fitnah, curi barang orang lain, itu ialah kezaliman keempat yang ada hubungan dengan orang lain.

Zalim yang ke 4 ini lah yang dibesarkan-besarkan tiap hari. Tentang zalim peringkat yang pertama, manusia senyap sahaja. Tidak diperkatakan sama sekali. Zalim peringkat 2 dan 3 kurang diperkatakan. Sedangkan zalim yang ke 4 ini di surat kabar, awal-awal sahaja diceritakan : “Tak patut dia tuduh saya, pukul saya, fitnah saya.”

Setiap hari zalim peringkat ke 4 itu di heboh-hebohkan. Jadi perkataan zalim itu sudah sempit, tapi perkara yang kecil dibesarkan. Zalim peringkat 1,2 dan 3 tak masuk buku langsung, tak masuk surat kabar langsung, tak masuk TV langsung. Tak pernah pun dikatakan dalam perbualan.

5. Zalim dengan jawatan

Yakni zalimnya seseorang yang ada hubungan dengan jawatannya. Jawatan itu macam-macam : Mungkin dia PM, Presiden, DO, mungkin dia gabenor, kerani, pegawai mungkin dia pengarah, pengurus, dan lain-lain. Jawatan itu semua kalau tak dihubungkan dengan Tuhan tak selari dengan kehendak Tuhan, sesuka hati tak buat seperti yang Tuhan kehendaki, maka dia zalim.

Yang ini pun ada orang bisingkan :

“Nampak presiden tak betul.”

“Nampak PM tak betul.”

“Nampak DO tak betul.”

“Hakim tak betul.”

Tapi kerani, cikgu, ustaz tak betul, itu tak nampak. Yang nampak Presiden, PM, hakim, polis tak betul. Dibawah itu tak sebut. Contoh peon tak betul, perkara itu tak nampak. Padahal peon itu jawatan juga. Sebenarnya walau sekecil apapun jawatan mesti dilakukan selaras dengan kehendak Tuhan.

Zalim peringkat ini ada dibincangkan juga tapi fokus pada jawatan yang besar-besar. Jawatan yang kecil tak disebut, lebih-lebih lagi orang kecil. Dia suluh yang besar-besar : ‘Presiden tak betul’, “PM tak betul”, “Hakim tak betul.” Tapi guru, ustaz tak diteropong, kerani, peon tak diteropong. Pengurus, guru tadika, guru kemas tak pernah disuluh. Padahal itu jawatan juga. Kalau tak selaras dengan kehendak Tuhan, maka zalim.

6. Zalim dengan ilmu

Peringkat 6 adalah penzaliman oleh manusia terhadap ilmu. Ada yang dapat ilmu banyak ada yang dapat ilmu sedikit. Professor dapat ilmu banyak. Ijazah Doktor Falsafah dapat ilmu banyak juga. Sarjana dapat kurang sedikit. Ijazah Sarjana Muda dapat ilmu lagi kurang. Kalau di bawah itu lagi kurang. Sama ada banyak atau sedikit ilmu yang dimiliki, kalau digunakan ilmu itu untuk kepentingan diri, maka dia zalim. Sebab itu orang masuk neraka bukan sahaja kerana termasuk golongan orang yang zalim pada peringkat 1-5 tapi golongan yang termasuk zalim peringkat 6 inipun masuk neraka. Kalau zalim yang ada hubungan dengan ilmu, maka akan masuk neraka.

Kebanyakan di zaman ini, orang telah menyalah gunakan ilmu, sekalipun orang yang mempunyai ilmu Islam. Ilmu digunakan bukan untuk Tuhan tapi untuk poket, untuk megah, untuk nama, untuk glamour, untuk cari duit. Tapi hal ini tak pernah dibesarkan atau diberitakan dalam surat kabar.

Dia zalim dengan ilmunya, kitapun zalim dengan ilmu. Tapi orang tak pernah sebut perkara ini. Mana ada hari ini orang terfikir bahawa satu kezaliman bila orang menggunakan ilmunya untuk kepentingan diri. Orang tak terfikir bila ada yang menggunakan ilmunya untuk mencari nama, itu dikatakan zalim. Orang tak mengatakan zalim pada seseorang yang megah kerana ilmunya, yang sombong dengan ilmunya. Bahkan orang anggap dia ada wibawa. Bila sombong dengan ilmu, rasa hebat, apakah itu dikatakan berwibawa? Dia derhaka dengan Tuhan, akan masuk neraka, itukah wibawa?

Itu zalim kategori 6. Yakni menyalahgunakan ilmu bukan untuk Tuhan tapi untuk kepentingan diri samada untuk pangkat, nama glamor, untuk megah.

7. Zalim dengan roh / perasaan

Kezaliman yang ada hubungan dengan roh atau perasaan, dengan hatinya. Ini lagi susah, ini lagi payah. Tak pernah orang sebut, surat kabar pun tak sebut, radio sekali pun tak sebut. Patutnya dalam roh atau dalam hati ada perasaan untuk Tuhan :

“Sedih, Tuhan redha ke tidak. Sedih, jangan-jangan aku berdosa. Sedih aku tak ada rasa kehambaan. Sedih aku tak takut dengan Tuhan, aku tak cinta dengan Tuhan.”

Tapi hati kita tak merasa seperti itu. Apa yang dirasa?

“Sakit aku ini bilakah nak sehat. Asyik sakit je.”

“Sedihnya, aku miskin. Bila nak kaya.”

“Sedihlah isteri tak sayang aku.”

“Sedih, suami tak sayang aku.”

Perasaan kita tidak diberi pada Tuhan. Perasaan telah disalah digunakan : orang tak peduli, suami tak sayang, isteri tak sayang. Itulah yang disedihkan dan disusahkan. Hati ini, perasaan ini telah kita salahgunakan. Kita zalim dengan perasaan.

Sebenarnya zalim ini bukan setakat 7 ini boleh lebih luas. Sedangkan orang lain hanya sebut 1, 2 perkara sahaja. Bahkan dalam ajaran Islam, nafas turun naik bukan untuk Tuhan adalah satu kezaliman. Tuhan akan tanya. Kalau Tuhan tanya kita tak boleh jawab, kalau Tuhan tak maafkan, dengan nafas manusia boleh masuk neraka. Betapalah kalau tak takut dengan Tuhan, tak cinta dengan Tuhan. Kalau Tuhan tanya dan kita tak boleh jawab, Tuhan tak maafkan, maka manusia masuk neraka. Mana orang terfikir nafas turun naik, bila tidak digunakan untuk Tuhan boleh masuk neraka? orang tak terfikir.

Jadi kalau orang faham ayat tadi, kemudian dapat betulkan diri dan selamat dari 7 peringkat zalim tadi barulah sesuai dengan pengakuan kita dalam sembahyang :

“Inasholati manusuki wamahyaya wamamaati lillaahirabbil ‘alamin.”

Sebab itu kalau kita faham, waktu sembahyang bila akan menyebut janji tersebut, macam mahu gila. Tapi karena kita tak faham, jadi tak rasa.

Sebab itu mahu baca janji itu kalau orang faham, akan teragak-agakk sebab kita berbohong dengan Tuhan. Sedangkan Tuhan mendengar. Hendak baca pun takut.

Tapi kerana tak faham, kita tak rasa itu. Sebab itu kerana tak faham, tak rasa apa-apa, orang sembahyang tapi tak boleh membaiki diri. Lagilah wirid, baca Quran tak kan boleh baiki diri. Sebab zikir yang paling besar adalah sembahyang. Zikir, wirid yang lain itu kecil. Dalam sembahyang ada zikir bacaan, perbuatan, percakapan dan perasaan. Macam-macam bentuk zikir terhimpun dalam sembahyang, termasuk zikir perasaan. Tapi kita tak rasa. Sebab itu patutnya mahu sembahyang itu takut. Sembahyang diperintah tapi takut janji-bohong, janji-bohong lagi. Itu sudah zalim.

Jadi pengertian zalim itu luas. Tapi yang orang besarkan zalim peringkat 4. Padahal zalim itu cukup luas.

“Jangan campakkan diri engkau kepada kebinasaan.”

Ayat itu ditujukan pada orang yang tak berkorban, tak menginfakkan hartanya, orang yang tak menderma. Mereka dianggap mencampakkan diri dalam kebinasaan. Orang yang tak bersedekah ertinya mencampakkan diri dalam neraka. Dia zalim. Tuhan kata jangan campakkan diri engkau dalam kebinasaan neraka. Orang yang tak korbankan harta dianggap zalim.

Tapi zalim peringkat atas sekali : syirik, tak takut Tuhan itu zalim teratas.

Bila kita bahas, yang zalim yang pertama pun sudah ada pada diri kita. Kalau tak selalu pun sekali sekala. Kalau manusia ini faham bahwa pengertian zalim dengan Tuhan itu begitu luas, begitu global, dia tak akan lagi bergaduh. Sebab tak nampak lagi salah orang. Walaupun orang zalim, tapi kita tak nampak kezaliman dia sebab kita pun zalim dengan Tuhan. Kezaliman yang lebih besar. Tapi kerana Tuhan tak nampak, kita tak rasa Tuhan itu yang patut dibesarkan, jadi akhirnya manusia membesarkan zalim peringkat ke 4.

Kesimpulannya, marilah kita bertanya kepada diri sendiri, apakah sudah ADILkah kita terhadap diri sendiri dan sudah bebaskan kita dari MENZALIMI diri sendiri dan yang paling perlu kita muhasabahkan adakah diri kita tanpa sedar juga ZALIM kepada Pencipta kita?

Sekian

KEKAYAAN DAN FALSAFAHNYA

Di dalam kehidupan di dunia ini ada kekayaan lahir , ada kekayaan batin dan kedua-duanya adalah anugerah ALLAH. Semestinya pula ada peranan dan falsafahnya. Oleh kerana kekayaan menjadi idaman semua, bila sebut kaya, kita rasa seronok, rasa bangga, rasa puas. Setiap kekayaan ada racunnya, ada implikasi, maka hendaklah kita tahu kekayaan macam mana yang boleh menyelamatkan dan kekayaan macam mana yang boleh merosakkan, mesti ada tanda baik, mesti ada tanda buruk. Ada bawa bahagia,ada bawa kesengsaraan. Ada awalnya baik tetapi hujungnya menderita. Kita tidak dilarang memburu kekayaan, jangan kata agama Islam melarang cari kekayaan tetapi yang penting kita ada ilmu mengenainya.

Bila disebut sahaja kekayaan, yang cepat dingat dan difokus ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Manusia memburu dan mencari… tak ada wang dan harta tak kaya namanya. Tak terfikir akan kekayaan selain harta dan wang ringgit. Kalaupun ada yabg terfikir bahawa kekayaan itu bukan semata-mata harta dan wang ringgit, tetapi aspek ini kurang diminati, kurang diperbualkan, kurang diperkatakan oleh manusia…tak jadi igauan. Ini menunjukkan di antara fitrah semulajadi manusia ialah ingin kaya atau kekayaan yang sangat menjadi tarikan dan minat adalah kekayaan harta dan wang ringgit. Sehinggakan budak kecil pun terpengaruh dengan wang ringgit…lihatlah suasana di Hari Raya di mana budak-budak kecil asyik mengira duit raya mereka. Ini menunjukkan kekayaan wang ringgit dan harta kekayaan mata benda dunia sangat mempengaruhi jiwa dan fikiran manusia. Akhirnya manusia sibuk mengumpul harta macam Qarun… bila jumpa kawan-kawan,tanya ada projek ke ?

Dalam pengalaman kehidupan manusia kita lihat manusia bertungkus lumus, bekerja keras mencari harta dan wang ringgit, lebih dari yang lain… tetapi dalam mencari Tuhan mereka tak bekerja keras pula macam mencari harta sedangkan yang dicari itu Tuhan yang punya. Ada yang mencari harta sampai lupa Tuhan,sampai lupa sembahyang. Orang kaya raya seperti Onassis pun mati. Dalam belajar mencari ilmu pun ingat nak gaji tinggi, nak jadi kaya . Nak berkawan pun ada niat nak jadi kaya. Hingga nak berkahwin pun adakalanya nak cari harta juga. Begitulah kuatnya pengaruh kekayaan harta dan wang ringgit kepada manusia.

1.JENIS-JENIS KEKAYAAN
Yang sebenarnya kekayaan dalam kehidupan manusia di dunia ini bukan kekayaan harta dan wang ringgit sahaja semata-mata. Banyak lagi kekayaan-kekayaan lain yang jarang diperkatakan manusia. Bahkan ada kekayaan lebih baik daripada wang ringgit dan harta. Di bawah ini kita akan senaraikan jenis-jenis kekayaan manusia:-
1.Kaya wang ringgit dan harta
2.Kaya ilmu dan pengalaman
3.Kaya dengan anak-anak
4.Kaya dengan pengikut
5.Kaya jiwa
6.Kaya budi bahasa
7.Kaya kawan dan kenalan

KAYA WANG RINGGIT DAN HARTA

Salah satu tarikan kepada manusia ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Disini ada dua golongan manusia:

1.Golongan yang mencari harta yang halal semata-mata.

2.Golongan yang mencari harta tak kira halal dan haram, semuanya disapu belaka. Apa saja yang boleh mendatangkan kekayaan dibuat. Contoh: berjudi, arak, menipu, menerima rasuah, membuka disko dsbnya.

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan sesuai dengan fitrah manusia itu tetapi dengan beberapa syarat: (Sila ambil perhatian bahawa perbincangan ini adalah untuk orang Islam. Sebab kalau kita tak cukup ilmu, dari kekayaan yang halal akan jadi haram)

1.Mencari kekayaan hendaklah secara yang halal; bertani, berniaga, mengajar dsbnya.

2.Bila dah guna cara yang halal, kemudian dah jadi kaya dan cukup haulnya (tempoh masa) kenalah diberi
zakat. Kalau tak beri zakat, harta yang halal tadi dah jadi haram pula.

3.Bila dah kaya, hendaklah bersifat pemurah, rajinlah bersedekah. Kita tanam padi, padi yang lebih yang
dimakan binatang, kita niat sedekah.

4.Harta kekayaan yang kita perolehi hendaklah kita gunakan ke jalan ALLAH untuk menyelamatkan diri daripada
kemurkaan ALLAH…menutup aurat, bangunkan rumah  ibadah, bukan masjid sahaja tetapi juga bangunkan
sekolah, hospital, rumah anak yatim dll.

5.Jangan ada pembaziran dan membuang-buang harta dengan tidak menentu. Pengurusan harta hendaklah
dengan betul. Seeloknya kita jadi ‘bank’ kepada  masyarakat…kita beri sedikit-sedikit, macam dam atau empangan air; kita buka saluran air dengan kecil, supaya tak jadi bah atau banjir besar.

6.Kekayaan yang kita perolehi tidak digunakan untuk maksiat dan menderhakai ALLAH. Cuba beli dari kedai
orang Islam. Tak usahlah beli majalah-majalah yang tak senonoh.

7.Dalam mencari harta kekayaan, jangan sampai meninggalkan perkara-perkara yang asas dalam Islam
seperti jangan sampai tak sembahyang, tak puasa, tak naik haji.

8.Sebagai orang yang kaya harta dan wang ringgit kita kena tunaikan wajib yang aradhi (wajib yang datang
kemudian) contoh: pada suatu masa masyarakat Islam perlu buat sekolah atau masjid, kewangan tak cukup,
masyarakat umum tak mampu, maka orang kaya (orang yang ada duit lebih) di kalangan mereka kena tanggung
kewajipan ini.

Sekiranya syarat-syarat yang diatas dipenuhi barulah harta dan wang ringgit yang kita punyai dikira halal…jadi bila kita nak kaya kenalah pasang  niat…bila kaya nanti saya nak bayar zakat, nak bagi diskaun dekat pelanggan, nak bantu orang susah, nak tolong ibu bapa dll. Kalau kita tak ada ilmu macam mana kita nak pasang niat.

Selalunya sikap orang kaya Islam, majoritinya apa yang berlaku dalam sejarah tidak bersykur kepada ALLAH dan
mereka membuat perkara-perkara seperti dibawah:-

1.Selalunya mendapat kekayaan tidak kira halal dan haram.
2.Sombong dengan Tuhan dan manusia
3.Bakhil dan kedekut
4.Menjadi orang yang tamak yang rasa tidak cukup.
5.Lalai dengan ALLAH seperti cuai dengan syariatNya.
6.Tidak mengeluarkan zakat.
7.Menyalah-gunakan kekayaan dengan memberi rasuah.
8.Apatah lagi hendak bertanggungjawab dengan
keperluan-keperluan masyarakat Islam yang aradhi
sudah tidak berlaku.Kalaupun ada bantuan, ada udang
disebalik batu.

Mari kita sama-sama suluh-suluh diri kita… apa yang kita lakukan selama ini dah ikut syarat atau belum? Kalau tak cukup syarat, sudah tentu tak selamat diri kita dan juga orang-orang lain di bawah tanggungan kita. Nanti di Akhirat sudah tentu kita terhukum…akibat tak cukup ilmu dan tak faham syariat.

 

CARILAH HARTA UNTUK ALLAH

Marilah kita berusaha mencari harta benda dunia untuk Allah. Di sini ada pahala, di sini juga ada kemajuan, di sini juga ada jalinan kasih sayang. Ia bukan untuk dicinta, ia untuk ditadbir dan diagih-agihkan sesama insan untuk kasih sayang sesama. Dari kasih sayang lahirlah perpaduan sesama insan.

Apabila diagih-agihkan untuk keperluan manusia kerana Tuhan di situ ada pahala. Apabila diagih-agihkan untuk kepentingan manusia menjelmalah kemajuan bersama. Oleh kerana agihan itu ada tujuan kerana Allah, keredhaan Tuhan pun datang. Agihan itu juga menjalinkan kasih sayang sesama manusia atau insan.
Sungguh indahnya hidup bersama harta kerana Allah sekiranya ia ditadbir dengan bijaksana.
Faedahnya begitu global mencakup dunia dan Akhirat. Dapat pahala, dapat keredhaan Tuhan, dapat kemajuan, dapat jalinkan kasih sayang sesama insan. Hilanglah hasad dengki, hilanglah iri hati, hilang benci membenci, hilang permusuhan.

Hari ini yang terjadi kerana harta datang hasad dengki menyerang. Kerana harta datang berebut-rebutan, pecah ukhwah, retak perpaduan. Pecah belah keluarga, renggang persaudaraan, hilang kasih sayang sesama hamba Tuhan. Kerana harta tercetus permusuhan, datang perbalahan, berlakulah pergaduhan.

Jadikanlah harta untuk keredhaan Tuhan, jadikanlah harta untuk kasih sayang. Jadikanlah harta untuk kemajuan, jadikanlah harta untuk kepentingan bersama. Dunia aman, damai, hidup rasa bersama, bahagia dan harmoni.

Sungguh indah hidup bersama dunia untuk Tuhan, ia selamat-menyelamatkan. Rahsianya adalah cintakan Tuhan, maka dunia ini akan dapat diagih-agihkan sesama insan.

Menjelang Zuhur
21-02-2004

APA ITU MEMBAZIR?

Di dalam Al Quran dikatakan
Orang yang membazir
Tuhan mengatakan mereka itu
Adalah kawan-kawan syaitan,
Disini kita faham,
Membazir itu sangat dibenci Tuhan,
Sehingga Tuhan kata “Siapa yang membazir itu adalah kawan syaitan”,
Mari kita belajar apa itu membazir?
Erti membazir itu menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana Tuhan,
Kalau begitu mensia-siakan nikmat Tuhan banyak aspeknya
Yang perlu kita faham,
Membazirkan nikmat Tuhan
Ada yang bersifat fizik,
Ada yang bersifat maddi,
Ada yang bersifat maknawi,
Ada yang bersifat rohani,
Ada yang bersifat masa,
Aspek-aspek itu kalau kita tidak gunakan untuk Tuhan
Dikatakan membazir,
Membazir itu kita ulang lagi
Iaitu menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana Tuhan,
Mari kita menghurai aspek-aspek nikmat Tuhan
Yang dikatakan mensia-siakan nikmat Tuhan itu supaya lebih difaham,
Mana satukah nikmat Tuhan yang kita sia-siakan?
Maka orang itu dikatakan kawan syaitan,
Pertama: katalah nikmat yang bersifat maddi itu,
Orang itu tidak menggunakan kekayaannya
Atau hartanya atau wang ringgit untuk Tuhan,
Itu dianggap membazir,
Maka orang itu dikatakan kawan syaitan,
Kedua: di aspek fizik pula,
Seseorang yang menggunakan tenaganya bukan untuk Tuhan,
Seperti untuk memukul orang,
Bukan untuk berjuang atau untuk rehat atau tidur,
Tidak untuk ziarah orang,
Tidak digunakan untuk ziarah ibubapa,
Tidak digunakan untuk belajar,
Ertinya dia membazir tenaga,
Dia dikatakan kawan syaitan,
Ketiga: ada yang bersifat maknawi,
Seperti akal fikiran atau ilmu,
Kalau tidak digunakan untuk Tuhan,
Maka dianggap membazir kerana mensia-siakan nikmat Tuhan,
Keempat: di aspek masa,
Kalau Tuhan beri dia masa,
Katalah orang itu hidup lima puluh tahun,
Tuhan bagi masa lima puluh tahun,
Masa lima puluh tahun tak digunakan untuk Tuhan
Ertinya dia telah membazir masa yang Tuhan bagi,
Tidak digunakan untuk Tuhan,
Maka orang itu juga kawan syaitan.
Kelima: di aspek rohani,
Seseorang itu rohaninya tidak digunakan untuk Tuhan,
Dikatakan orang itu membazirkan nikmat Tuhan bentuk rohani,
Maka orang itu dikatakan kawan syaitan.
Seperti perasaan kalau
Tidak digunakan untuk Tuhan
Tidak terasa kuasanya Tuhan
Tidak terasa takutnya dengan Tuhan
Tidak terasa cinta dengan Tuhan
Tidak terasa diawasi oleh Tuhan
Maka orang itu sudah membazir nikmat Tuhan
Maka orang itu dikatakan kawan syaitan.
Kalau begitu mensia-siakan nikmat Tuhan,
Bukan harta saja,
Bukan semua orang banyak harta,
Tapi mensia-siakan akal, fikiran, ilmu, masa, perasaan,
Orang tak kata membazir
Sedangkan makin lama hidup,
Makin lama nikmat itu disia-siakan,
Kalau tak digunakan nikmat untuk Tuhan,
Maka orang ini juga adalah kawan syaitan.
Ada orang anggap di segi harta sahaja,
Orang membazir masa lagi banyak,
Orang membazir akal lagi banyak,
Orang membazir ilmu lagi banyak,
Orang membazir perasaan lagi banyak,
Perasaan digunakan untuk sedih,
Sedih kerana miskin,
Sedih kerana orang benci,
Sedih kerana sakit,
Sedih dengan dosa,
Sedih dengan orang kata, hina, caci maki,
Tapi jarang orang gunakan perasaan untuk Tuhan
Jarang orang gunakan perasaan untuk merasakan, Tuhan itu mengawasinya,
Jarang orang gunakan perasaan untuk merasakan takut dengan Tuhan,
Cinta dengan Tuhan,
Jarang orang gunakan perasaan untuk merasakan Tuhan itu Maha Agung,
Kalau seseorang itu tidak menyebut Tuhan itu Maha Agung,
Tapi perasaannya terasa Agungnya Tuhan
Adalah lebih baik daripada seseorang yang menyebut Tuhan itu Maha Agung
Tapi perasaannya tidak terasa Agungnya Tuhan,
Jarang orang gunakan perasaan untuk rasa berdosa,
Dalam ajaran Islam kalau tidak berdosa, tidak rasa berdosa pun salah,
Betapalah kalau berdosa tidak rasa berdosa,
Jadi orang yang mensia-siakan harta, sedikit sahaja,
Tapi akal, fikiran, ilmu, perasaan, masa lagi banyak,
Makin panjang umur makin banyak masa disia-siakan,
Makin panjang umur makin banyak ilmu disia-siakan,
Makin panjang umur makin banyak akal fikiran disia-siakan
Makin panjang umur makin banyak perasaan disia-siakan,
Nikmat disudut-sudut itu
Orang banyak mensia-siakan selama ini,
Sedangkan itu juga kawan syaitan,
Mereka mungkin nampak hanya
Pada nasi yang tumpah,
Mereka kata:
“Jangan membazir, membazir itu kawan syaitan”
Tapi masa yang disia-siakan,
Akal fikiran yang disia-siakan,
Ilmu yang disia-siakan,
Perasaan yang disia-siakan,
Itu tidak dianggap membazir,
Jadi apa yang ulama katakan membazir itu
Tidak secara global.
Padahal membazir nikmat Tuhan itu disemua aspek tadi,
Barulah dikatakan membazir yang global,
Membazir harta itu sedikit,
Yang banyak berlaku membazir ialah
Pada akal fikiran, ilmu, perasaan dan masa.

14.07.06
11.05 mlm

Call Now
Directions