Tag Archives: perjuangan

CONTOH KEHIDUPAN YANG MENGUTAMAKAN AKHIRAT

RAHSIA kejayaan Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin dan sekalian salafussoleh dapat memerintah dan memajukan tiga perempat dunia dengan jayanya ialah kerana mereka cintakan Akhirat lebih dari cintakan dunia.
Kerana memberi tumpuan yang serius kepada Akhiratlah maka mereka dapat menundukkan dunia. Dan kalaulah mereka tidak dapat mengutamakan Akhirat daripada dunia, nescaya mereka pun senasib dengan kita. Yakni bukan sahaja mereka tidak dapat menegakkan empayar, perintah satu negara pun tidak akan berjaya. Satu negeri pun gagal. Bahkan memerintah satu kampung pun tidak upaya. Kalau masalah dalam rumah pun tidak boleh diatasi, tidak selesai-selesai, apa lojiknya kita boleh selesaikan masalah yang lebih besar dari itu.
Berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat mengIslamkan dunia adalah kerana mereka serius dalam menguruskan Akhirat. Proses itu berlaku begini:
Apabila yang diutamakan itu Akhirat, maka mereka tidak mengambil kepentingan-kepentingan duniawi untuk peribadi, keluarga dan klik-klik mereka. Sebab orang yang sangat memikirkan nasib di Akhirat, mereka sangat takut pada Hari Hisab di Padang Mahsyar nanti. Hari penggelidahan lahir batin oleh polis-polis Akhirat, iaitu para malaikat, terhadap setiap orang manusia tanpa kecuali. Yang mana pada hari itu, orang-orang kaya di dunia, yang menimbunkan kekayaan yang halal untuk diri dan keluarganya sahaja, akan tertahan lama di border. Manakala yang kumpul kekayaan secara haram, terus terjun ke Neraka. Sementara orang miskin terutamanya yang miskinnya itu disengajakan kerana harta bendanya digunakan untuk khidmat masyarakat, untuk jihad fisabilillah, untuk ALLAH dan Rasul, untuk pembangunan-pembangunan material demi tertegaknya tamadun Islam yang canggih, maka ia akan dibebaskan dengan mudah, untuk pergi ke Syurga. Dalam Hadis, Rasulullah ada berkata:

Terjemahannya: Orang miskin itu akan masuk ke Syurga 500 tahun sebelum orang kaya.
(Riwayat At Tarmizi)

Atas dasar itulah Rasulullah SAW dan para Sahabat. sangat merebut peluang ini. Mereka meminta agar mereka tetap dapat hidup seperti orang miskin, sekalipun mereka diberi seluruh kekayaan dunia. Sebab itu di waktu ¾ dunia sudah ada dalam tangan, mereka masih tetap dapat zuhud lagi dengan dunia. Dan dengan sebab itulah mereka dapat memerintah dengan jayanya.
Apabila setiap individu sanggup hidup macam orang miskin, kerana kckayaan mereka itu dikorbankan untuk kepentingan masyarakat, demi membangunkan hukum ALLAH, maka hasilnya masyarakat dapat melahirkan banyak projek pembangunan seperti sekolah, hospital, kilang-kilang dan lain-lain lagi. Dalam pada itu kerajaan yang adil pula akan menggunakan wang negara untuk projek-projek pembangunan masyarakat yang semua itu , akan memberi kemudahan pada rakyat. Maka rakyat akan mendapat keselesaan hidup serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan. Jadilah negara itu penuh dengan pembangunan-pembangunan kepunyaan umat Islam dan rakyatnya hidup aman makmur. Proses inilah yang membawa kepada terbangunnya negara yang ALLAH kehendaki, iaitu:
Terjemahannya: Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH. (Saba: 15)

Tanpa proses ini, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang lain, dan rakyat hidup susah. Sebaliknya orang yang memerintah hidup senang-lenang. Keadaan ini boleh dilihat di Malaysia dan lain-lain negara umat Islam di seluruh dunia. Yang mana ekonomi negara dan masyarakat berada dalam tangan bangsa asing. Perojek-projek ekonomi yang besar-besar berada dalam tangan orang luar atau beberapa orang kapitalis Melayu, Cina dan India. Rakyat hidup ala kadar. Pemerintah hidup kaya-raya. Wakil rakyat pun lebih kaya dari sebelumnya. Yang miskin terlalu miskin. Yang kaya terlalu kaya. Keadilan yang sebenar tidak wujud. Keamanan yang sebenar tidak jadi realiti. Kemakmuran yang sebenar tidak terasa. Keampunan dari ALLAH tidak diperolehi hasilnya. Akhirnya di Akhirat masuk Neraka.
Sebab itu Islam meminta umatnya agar berjuang dan berkorban. Yang mana dengan kaedah itu, sistem ekonomi kapitalis akan terbunuh dengan sendirinya. Sayidina Abdul Rahman bin Auf berjaya menghalau kapitalis Yahudi dari Madinah, sekaligus membunuh sistem kapitalis itu, bukan dengan pergaduhan dan peperangan. Tetapi dengan membangunkan sistem ekonomi Islam di sebelah sistem kapitalis. Bila masyarakat memilih sistem Islam, dengan sendirinya sistem kapitalis terbunuh.
Dalam masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam, kemasukan wang kepada negara dan masyarakat cukup besar. Sebab pemerintah tidak ambil wang negara lebih dari keperluan. Mereka cuma ambil maasy yakni mengikut keperluan. Selebihnya untuk negara dan rakyat. Ini yang dapat dibuat oleh Rasulullah dan para Sahabat. Orang-orang kaya pula sangat kuat berkorban. Maka semua wang yang terkumpul digunakan untuk membangunkan kilang-kilang, perniagaan-perniagaan dan macam-macam perusahaan untuk rakyat. Sebab itu rakyat dapat hidup senang. Mungkin lebih senang dari pemimpin-pemimpin dan orang-orang besar mereka. Sebab itu masyarakat tidak buat masalah lagi. Dan jadilah negara itu negara yang benar-benar aman dan makmur.
Tetapi mana ada kerajaan yang mampu mengorbankan kekayaan mereka untuk rakyat. Hampir semua pemimpin yang naik, menjadi lebih kaya dari sebelumnya, sama ada dirancang atau tidak. Sebab dunia itu penipu, kata ALLAH. Pemimpin yang bercita-cita hendak menegakkan Islam pun dapat ditipunya. Apalagilah yang memang bercita-cita untuk dapatkan dunia. Lagi hebatlah tipuannya.
Oleh itu mari kita kaji semula cara hidup Rasulullah SAW dan salafussoleh supaya kita benar-benar terdidik dan cukup kuat untuk menghadapi dunia ini. Moga-moga kita selamat sebagaimana selamatnya Rasulullah dan para Sahabat dalam menghadapi dan menguruskan dunia ini.
Sikap mereka terhadap urusan dunia:
1. Rumah
Kalaulah Rasulullah SAW mahu, rumahnya boleh mengalahkan semua rumah raja-raja di dunia. Sebab baginda dengan doa sahaja boleh dapat apa yang dimahunya. Pasir pun boleh jadi emas. Gunung Uhud pernah bertukar menjadi emas hasil doa Rasulullah. Tetapi semua itu ditolaknya. Bila Rasulullah SAW tolak dunia, jangan kita kata, “Dia Nabi, bolehlah!” Baginda menolak itu bukan kerana dia Nabi. Yang mana kalau bukan Nabi, bolehlah baginda mengambilnya. Bukan begitu! Rasul itu contoh kita dalam segala hal. Rasulullah SAW menolak kekayaan adalah kerana baginda tidak mahu umatnya mengambil kekayaan untuk peribadi dan duniawi. Itulah maksudnya. Sekalipun baginda Rasul kekasih ALLAH, apa saja baginda boleh dapat, tetapi baginda tetap mahu hidup macam hamba. Itulah sikap pemimpin sejati. Yang boleh pun, tidak diambil, apalagi yang tak boleh. Sebab itu rumahnya betul-betul macam rumah seorang hamba kecil, sempit, berbumbung rendah, dibuat dari tanah dan pintunya dari kain guni.
2. Tempat tidur
Alas tidur Rasulullah SAW cumalah anyaman tikar daun kurma (macam tikar mengkuang). Bila bangun, berbekas urat-urat daun anyaman pada badan baginda yang mulia itu. Kebesaran baginda sebagai pemimpin dunia, yang namanya sampai hari ini dilaungkan di segenap pelosok dunia, di surau dan masjid, terkenal dan dicintai oleh dunia, tidak pun menghalang baginda untuk terus hidup seperti hamba yang lemah dan hina. Walhal kita baru jadi kerani sudah mahu bergaya, lagak macam tuan. Sudah rasa tidak layak hendak menjadi hamba. Apalagilah tuan-tuan besar kita itu. Memang takkan sudilah untuk mencemar kemuliaan seperti seorang hamba yang lemah lagi hina di sisi Tuhannya.

3. Makan dan makanan
Rasulullah memanglah makan. Tetapi seringkali juga baginda berlapar. Perutnya pernah diikat dengan batu untuk menahan kelaparan. Kerana makanannya diberikan pada orang lain. Apabila baginda makan, yakni makan hanya bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang, seringnya makanan baginda cuma susu, air dan kurma. Kiranya ada berlebih, baginda tidak buang. Pantang Rasulullah menghina pemberian ALLAH sekalipun sekecil-kecil barang. Baginda sangat sayang dan menjaga rezeki yang ALLAH kurniakan. Sebab itu kalau berlebih, cepat cepat dihantar ke rumah jiran yang perlu untuk dihabiskan. Baginda tidak menyimpan makanan di malam hari. Hidupnya bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Makan pula betul-betul macam hamba. Macam orang susah makan. Iaitu baki-baki kuah dan makanan dalam bekas makannya dijilat hingga licin, disapu bersih. Siti Fatimah AZ Zahra puteri Rasulullah SAW, sangat kenal bekas makan Rasulullah kerana katanya begitu licin seolah-olah sudah berbasuh. Serbuk-serbuk makanan dikutip, kuah yang tumpah disapu dengan jari dan dijilatnya. Dan baginda tidak akan makan seorang diri, mesti secara jemaah.
4. Pakai dan Pakaian
Rasulullah SAW cuma ada sedikit pakaian. Itu pun jenis pakaian orang susah. Sesekali baginda pakai juga pakaian mahal yang dihadiahkan orang, bukan hasil usahanya sendiri. Baginda memakainya kerana menghormati pemberian hadiah dari orang itu. Tetapi lazimnya pakaiannya yang cantik, kemas dan bersih serta wangi itu adalah jenis pakaian murah.
5. Kenderaan
Sebagai hamba, baginda tidak rasa jijik untuk naik keledai. Tetapi baginda juga berkuda dan naik unta sesuai dengan keperluan perjalanan. Sementelahan pula, keperluan perhubungan yang jauh serta peruntukan-peruntukan perjuangan memang memerlukan kenderaan yang agak canggih. Misalnya, baginda menunggang kuda Sambrani, seekor kuda yang dihadiahkan kepadanya.
6. Harta Benda dan Wang Ringgit
Rasulullah SAW asalnya kaya dan berada. Kerana seluruh kekayaan isterinya Siti Khadijah diserahkan padanya. Tetapi sewaktu wafat, baginda tidak meninggalkan apa-apa harta dan wang ringgit. Ertinya kekayaannya bukan untuk tumpuk harta dan simpan harta. Semuanya telah dikorbankan untuk jihad fisabilillah sebagai sumber pembangunan ummah.
Bila sudah berkorban sampai begitu sekali, apa jaminan masa depan anak-anak yang ditinggalkan? Persoalan ini tidak timbul sama sekali. Sebab setiap anggota masyarakat tentu mendapat pembelaan dari masyarakat yang beriman. Iaitu dari kerajaan dan masyarakat yang memerintah, menjaga dan mengawal anak buahnya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab; yang cintakan ALLAH dan Akhirat lebih dari cintakan dunia dan segala kesenangan di dalamnya. Siapa yang hidup dalam jemaah Islam atau negara Islam pasti terbela. Dunia dan Akhirat. Bukan dunia sahaja dan bukan Akhirat sahaja.

Begitulah sikap Rasulullah terhadap dunia. Baginda seolah-olah tidak peduli sangat dengan urusan dunianya. Yakni rumahnya, pakaian, makan minum, tidur baring dan lain-lain urusan duniawi dan peribadi. Tetapi untuk Akhirat, baginda sangat serius. Baginda tidak main-main. Baginda sangat ambil berat dan bersungguh-sungguh.
Marilah kita lihat buktinya:
1. Perjuangan
Saya letakkan perjuangan sebagai perkara pertama dalam kerja-kerja Akhirat yang Rasulullah lakukan. Tujuan saya ialah untuk menarik perhatian pembaca tentang pentingnya perjuangan ini. Di samping untuk menyatakan bahawa ia bukan urusan dunia tetapi adalah urusan Akhirat. Yang mana selama ini ramai menganggap perjuangan itu tidak penting dan merupakan kerja-kerja duniawi, bukan Ukhrawi.
Rasulullah SAW berjuang sepanjang umurnya. Berjuang untuk menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi. Dengan kata lain, berjuang untuk meng-Islamkan dunia. Bahkan perjuangan itu menjadi cita-cita hidup matinya. Dan untuk itulah baginda dilantik jadi nabi dan Rasul. Sebab itu baginda sungguh serius dalam perjuangan. Demi menegakkan perintah ALLAH, baginda sanggup hadapi apa saja risiko. Sekalipun mati. Rasulullah pernah bertegas dengan bapa saudaranya:

Terjemahannya: Demi Allah wahai bapa saudaraku, sekulipun mereku meletukkun matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya, sehingga ALLAH memberi keputusannya.

Umur baginda habis untuk perjuangan. Harta benda habis untuk itu. Tenaga, fikiran, jiwa raga semuanya untuk jihad fisabilillah. Baginda jadi miskin, dihina, diburu, dikejar, diundang ke medan perang dan hampir-hampir mati ditetak. Semuanya dihadapi semata-mata mahu memperkenalkan ALLAH pada dunia serta menegakkan syariat-Nya. Begitulah bersungguh-sungguhnya baginda Rasulullah SAW dalam berjuang.
2. Mendidik
Usaha ini adalah satu dari cabang perjuangan yang penting. Ia juga urusan Akhirat. Rasulullah SAW siang malam, pagi petang, atau di mana saja, sentiasa mendidik umatnya. Tidak minta upah dan tidak cari kepentingan. Baginda lakukan itu semata-mata kerana sayangkan umat, agar mereka selamat dunia Akhirat. Baginda sangat serius menasihati, menegur, memandu dan menunjuk ajar siapa saja tanpa mengira pangkat atau darjat. Baginda pergi ke pasar, pergi ke Taif, pergi ke mana-mana sahaja, sekalipun di atas unta, untuk menyampaikan mesej Ilahi pada manusia. Hingga waktu sakit tenat dan hampir wafat pun baginda masih bercakap tentang nasib umat.
3. Berkorban
Perjuangan dan pendidikan tidak akan berjalan baik tanpa pengorbanan. Sebab itu Rasulullah sangat serius berkorban. Korban wang ringgit, harta benda, masa, tenaga, fikiran dan segala-galanya. Baginda pergi ke medan perang, di baris hadapan. Baginda ikut sama mengorek parit dan mengangkat batu dalam Perang Khandak. Baginda hidup bersama fakir miskin, janda dan anak yatim untuk menjadi pembela pada orang-orang susah itu. Bila dapat harta rampasan perang, baginda dahulukan ahli suffah dan masyarakat lainnya. Diri dan keluarga tidak dapat apa-apa. Orang berhutang, bagindalah yang membayar. Kalau ada masakan, mesti dihulurkan pada jiran, sekalipun kaki kambing. Pendeknya, untuk keselamatan ummah, baginda yang menanggung susah dan payahnya.
4. Akhlak
Baginda sangat serius menjaga akhlaknya. Ini juga soal Akhirat. Baginda memiliki akhlak yang agung, kata ALLAH. Ertinya ALLAH pun kagum dan memuji keupayaan Rasul-Nya dalam melayani ALLAH dan hamba-hamba ALLAH, dengan sebaik-baik akhlak. Kita lihat tiga contoh yang memperlihatkan agungnya akhlak Rasulullah:
a. Pemaaf
i. Ada seorang perempuan tua Yahudi yang selalu menyusahkan Rasulullah di perjalanan. Yakni dengan menabur duri dan najis di jalan yang dilalui oleh Rasulullah bila pergi berdakwah. Si tua itu sangat benci dengan Rasulullah. Tetapi satu hari ketika ia jatuh sakit, satu-satunya orang yang datang ziarah beliau ialah Rasulullah. Alangkah pemaafnya baginda. Bukan sahaja diziarah tetapi dicarikan ubat. Hingga di atas akhlak yang luar biasa itu, perempuan tua itu akhirnya memeluk Islam.
ii. Satu hari Rasulullah berjalan dengan memakai baju Arab Najran. Tiba-tiba seorang Arab Badwi menarik baju itu dan meminta diberikan kepadanya. Hampir-hampir luka leher Rasulullah kerana tarikan tersebut. Tetapi baginda memaafkan si Badwi tersebut. Bahkan baju itu dibuka dan dihadiahkan kepada si Badwi tadi.
b. Kasih Sayang
Kalau dua tiga hari Rasulullah tidak nampak salah seorang Sahabatnya atau tidak bertemu, nescaya akan ditanya dan dicari oleh baginda. Bagindalah yang akan ziarah ke rumah Sahabat tanpa rasa sombong. Baginda makan, sembahyang, dan duduk sama-sama dengan para Sahabat. Satu hari, ketika sedang mengadap hidangan makanan, datang seorang tua yang berkudis, hitam legam kulitnya, buruk rupanya dan berair pula kudisnya, datang meminta makanan. Rasulullah tanpa jijik dan dengan penuh tawadhuk, memegang tangan orang itu, dibawa ke sebelahnya untuk makan bersama-sama. Masya-ALLAH, agungnya akhlakmu ya Rasulullah.
c. Ibadah
Perkara ini memanglah perkara Akhirat. Yang pada sesetengah orang Islam telah ‘diduniakan’ juga, untuk mencari untung dunia. Rasulullah telah menunjukkan ibadah yang terbaik dan terbanyak. Tetapi ingat, hal itu bukan khusus untuknya sebagai Nabi. Rasulullah mencontohkan ibadah untuk kita ikuti jejak langkahnya. Rasulullah sembahyang sunat terlalu banyak. Adakala semalaman tidak tidur hingga bengkak-bengkak kakinya. Ertinya beribu-ribu rakaat baginda dapat rukuk dan sujud untuk Tuhan dalam menyatakan syukur dan kehambaan yang setinggi-tingginya.
Puasa juga banyak. Sehari puasa, sehari pula makan. Begitulah digilir-gilirkan. Tentang zikir, bukan sahaja waktu jaga, dalam tidur pun baginda berzikir. Baginda adalah ‘Al Quran bergerak’. Ertinya Al Quran bukan sahaja dihafal bahkan dijadikan panduan seluruh hidupnya. Melihat kepada ciri-ciri ini, benarlah dia Nabi kekasih ALLAH. Yang sangat cintakan ALLAH dan Akhirat. Hatinya tidak terpaut sedikit pun pada dunia. Maka marilah kita letakkan kasih dan rindu padanya. Ini adalah kerana terlalu besar jasanya pada kita.
Setelah menyaksikan bagaimana sikap Rasulullah SAW terhadap dunia dan juga terhadap Akhirat, bolehlah kita simpulkan bahawa nisbah dunia Akhirat bukan fifty-fifty (50:50). Sebaliknya ialah 1:99.
Untuk dunia satu peratus sahaja. Untuk Akhirat 99 peratus. Kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk dunia ialah satu. Manakala kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk Akhirat ialah 99. Barulah sesuai dengan darjat dan nilai masing-masing. Itulah keseimbangan dalam Islam. Itulah ukuran yang tepat, bijak, lahir dari fikiran yang luas dan matang. Sesiapa yang masih mahu menyamakan kerja untuk dunia dengan keperluan untuk Akhirat, 50-50, itu datangnya dari nafsu yang jahat dan fikiran yang sempit. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak pun akan hairan dan mentertawakannya. Tersesat dalam berfikir! Jahil dalam menilai dunia dan Akhirat.
Bila Islam meletakkan nisbah dunia Akhirat 1:99, jangan kita anggap umat Islam mesti tinggal dunia. Sebaliknya kerana diuntukkan kepada Akhirat 99 itulah maka dunia dapat dibangunkan dengan keadaannya yang aman dan wujud masyarakat yang kaya-raya. Hingga semua orang dapat merasa nikmat hidup termasuk orang kafir. Sebaliknya kalau dunia 99, Akhirat 1, akan terjadilah macam hari ini. Yakni individu kaya tetapi masyarakat miskin dan Islam tidak dapat ditegakkan.

KEKAYAAN, KESENANGAN, KEMEWAHAN ADALAH SEKEJAP – YANG LAMA ADALAH PENDERITAAN DAN KESUSAHAN

Mari kita sama-sama menerima peluang rezeki umur dan bermacam pengalaman yang Allah berikan kepada kita untuk menyaksikan berbagai perkara di dunia. Banyaklah yang boleh diambil iktibar. Rupa-rupanya ada perkara yang kita fikirkan di masa muda, secara realitinya tidak dapat kita lakukan. Tuhan telah tetapkan segalanya.

Sebagai contohnya ialah soal mencari kesenangan. Siapa pun memang mempunyai cita-cita hidup senang lenang, kaya raya dan sebagainya. Cuma kita dapati biasanya hal sebegitu tidak lama. Kalau pun sudah berhempas pulas berusaha sejak muda, hanya taqdir Tuhan yang akan berlaku. Kadang-kadang kita lihat dalam berusaha mencari kesenangan – untuk keluarga dan anak cucu – tanpa mengira halal haram semuanya di rempuh asalkan dapat apa yang diharap-harapkan. Bila kekayaan sudah melimpah ruah, baru hendak berehat dan santai, datang pula berbagai masalah baru. Sebenarnya masalah ini wujud sejak awal usaha mengejar dunia.

Ditipu, dirompak, difitnah, dituduh di mahkamah, kerugian, perceraian, kematian anak atau isteri, menderita sakit, sakit jiwa dan berbagai ragam masalah lagi adalah ‘pakej’ ujian yang datang silih berganti. Inilah yang lumrah terjadi. Ianya sangat menginsafkan betapa dunia itu sangat menipu. Kadang-kadang kelihatan tidak ada apa-apa tetapi setelah kesenangan yang dikejar begitu lama, bila sudah dapat, rupanya ada masalah lain yang menanti bersama kesenangan. Banyak kesusahan yang tersembunyi di sebalik kesenangan. Itulah yang malangnya,.

Kita boleh lihat ramai tokoh gerakan Islam di Malaysia yang berkata umat Islam mesti kaya untuk bela Islam. Maka mereka pun berusaha dengan berbagai cara – yang halal dan haram – demi memastikan mereka jadi kaya. Dan untuk membolehkan kekayaan itu menjadi tapak membangunkan ‘Islam’ yang dicita-citakan, maka mereka memujuk anak-anak untuk bersekolah di mana-mana sekolah Islam. Yang hantar ke sekolah tahfiz pun ramai. Asalkan sianak mahu belajar, siayah akan sangup menghantar mereka ke mana sahaja.

Ada seorang tokoh yang ada cita-cita Islam, 30 tahun lalu berfikiran seperti apa yang dinyatakan ini. Anaknya 3 orang dihantar ke sekolah tahfiz. Si ayah sibuk menguruskan dunia korporat – mengejar dan merebut peluang demi peluang. Kesibukan mengurus perniagaan yang makin berkembang menjadikan dia lupa niat awalnya. Dunia korporat yang dikejar. Empayar perniagaan dikembang biakkan dengan pelbagai bidang operasi di bawah anak-anak syarikat. Maka akhirnya anak-anak tidak sempat habis belajar. Mereka dipanggil pulang untuk membantunya menguruskan perniagaan. Cita-cita mewujudkan sekolah tahfiz yang serba lengkap – hasil kekayaan yang ada – tidak kesampaian. Apa yang dicita-citakan dulu hanya mampu wujud dalam hatinya di peringkat awal; apabila masa berlalku, dunia yang melingkari hidup berjaya mengubah cita-citanya ke arah membina empayar perniagaan – tidak lagi ’empayar perjuangan.

Ada seorang tokoh lagi, sibuk dengan usaha perniagaan yang datang tergolek di depan mata. Anugerah kontrak daripada rakannya seorang menteri menjadikan cita-cita untuk bangunkan sebuah pusat kebajikan golongan tua terhenti begitu sahaja. Kesibukan berniaga dan peluang yang sentiasa datang menjadikan dia tidak ada masa memikirkan cita-cita awalnya. Sedangkan niatnya berniaga adalah untuk mencari sumber kewangan bagi membantu golongan warga emas yang ramai terlantar dan terbiar.

Ada pula seorang hamba Allah yang sombong bila sudah kaya raya. Belajar dulu sama-sama di Al-Azhar tetapi setelah balik dan terlibat dalam politik, tawadhuknya hilang. Pura-pura dan menipu menjadi budaya. Dia sempat kaya dan senang lenang dalam masa 8 tahun sahaja. Nafsu tentulah belum puas tetapi 8 tahun itu sudah lama mengecap nikmat dunia. Apa yang berlaku, isterinya meninggal dunia. Dia berkahwin lain. Anak-anaknya ketandusan kasih sayang yang akhirnya terjebak dengan dadah. Kalau dulu dia bergelut mencari dunia, sekarang dia bergelut menguruskan 2 orang anak lelaki yang sudah ketagih dadah. Sudah beberapa kali ditahan polis kerana ditahan di pusat hiburan dan bila diuji air kencing mereka didapati positif dadah. Dia malu dan menderita. Hidupnya kehilangan bahagia.

Apa yang kita nampak, kekayaan dan kesenangan itu hanya beberapa tahun sahaja. Janganlah tersilap menganggap masa yang sama dia juga bahagia; sememangnya dia tidak bahagia sedari awal. Orang yang bergelut dengan dunia tidak menempuh bahagia yang hakiki. Senang lenang yang ditempuh tidak bersama bahagia di hati. Hati yang makin kosong, menjadikan hubungan dengan Tuhan makin longgar. Sembahyang sudah tidak dipentingkan. Jadi ‘kesenangan’ hanyalah sementara. Selepas itu bersedialah pula menerima giliran kesusahan.

Ada berbagai pakej kesusahan yang Tuhan sediakan untuk dirasai setiap insan. Bukankah pergiliran nikmat dan ujian itu adalah janji Tuhan?

Ada seorang wanita korporat bergelar Dato’ yang berjaya. Hartanya berjuta ada di mana-mana. Kekayaannya juga tidak lama. Hasil hubungan baik dengan pihak tertentu banyaklah peluang yang berjaya direbut. Tetapi jangka masanya menempuh kekayaan itu tidaklah lama. Hanya 10 tahun dia merasa mencapai kemuncak ‘kejayaan dan kekayaan’. Tahun ke sebelas, dia disahkan mengidap kanser payu dara tahap 4. Seorang ustaz dibawa suaminya untuk membaca surah Yasin dan mendoakannya. Dato’ ini sedang duduk di kerusi roda. Air matanya mengalir di pipi. Wajahnya pucat, rambutnya tidak terurus. Dato’ ini hanya menggagahkan membuka mulut dengan berkata. “Ustaz! tolonglah saya Ustaz, Saya sekarang sudah tidak fikirkan apa lagi. Semua yang saya miliki, sudah tidak ada ertinya pada saya. Saya insaf Ustaz!! Saya hanya minta satu perkara sahaja dengan Allah Taala… Saya minta saya disihatkan semula. Saya sangat berharap Tuhan sembuhkan penyakit saya ini. Tolonglah doakan saya Ustaz!!”

Selepas 3 hari, Dato’ ini meninggal dunia di hospital yang sama. Dia ada berjanji akan membantu siapa sahaja selepas dia sihat nanti. Dia menyesal selama ini melanggar perintah Allah. Dia berazam mahu menebus kesalahannya yang lalu. Tetapi hajatnya tidak kesampaian kerana Tuhan maha tahu.

Jadi bagi anak cucu yang terfikir hendak mengejar dunia, renungilah semula kisah-kisah tadi. Dunia akan menjauhkan kita dari Tuhan dan akhirat. Dunia akan melalaikan kita. Bukan tidak boleh tetapi siapa yang berani bolehlah cuba tetapi janganlah menyesal seperti mereka yang lain menyesal. Lagi pula, tidaklah lama mengecap kesenangan kerana ada banyak kesengsaraan lain pula yang datang beriringan.

Lihatlah rumah-rumah besar dan mahligai indah di sekeliling kita. Ada yang usang ada yang masih gagah tersergam. Semuanya pernah dan sedang diduduki orang-orang kaya dan berada. Mahligai usang dan lesu itu tentulah sudah tiada penghuninya. Dunia yang dikejar akhirnya terpaksa ditinggalkan bila nyawa ditarik malaikat maut. Mahligai yang masih gagah pula hanya menunggu hari ditinggal pergi.

Mengejar dunia, rosaknya di semua segi, di hujungnya sengsara. Mengejar Tuhan, dapat akhirat yang kekal abadi yang segalanya nikmat kebahgiaan. Inilah tujuan kehidupan.

Di Palembang, seorang wanita pegawai tinggi Tentera Negara Indonesia (TNI) bertemu dengan seorang ustazah. Dia menitiskan air mata ketika memberi ucapan meluahkan rasa hatinya. “Saya tercari-cari tujuan dan matlamat saya hidup di atas muka bumi ini. Adakah sekadar belajar sampai ke universiti, berkahwin, bekerja, mempunyai anak, sakit dan kemudian mati. Saya tidak mahu hidup yang sebegini. Ini hidup yang tidak ada maknanya! Saya mahu hidup yang ada tujuan – kenapa saya dihidupkan Tuhan?”

Luahan hatinya dijelaskan oleh ustazah bahawa hidup kita adalah untuk Tuhan. Bukankah kita dihidupkan oleh Tuhan? Bukankah kita selalu ungkapkan dalam solat, ikrar dan janji kita untuk menyerahkan segala-galanya yang ada kepada Tuhan yang mencatur alam. Jadi kenapa kita tidak jadikan hidup mati kita untuk Tuhan?. Hidup kita adalah Hidup sebagai seorang hamba dan khalifah, sebagai seorang abid dan pejuang.

Percayalah jika kita jadikan Tuhan sebagai matlamat, hidup kita akan penuh dengan aktiviti yang tidak memungkinkan kita bersenang-senang atau santai-santai. Kita akan temui satu kehidupan yang penuh dengan program untuk membesarkan Tuhan. Setiap ruang waktu kita adalah ibadah. Dalam kehidupan kita seharian, kita kena promosi Tuhan di tengah masyarakat. Kita kena wujudkan aktiviti atas nama Islam untuk memperlihatkan Islam itu hebat, gagah, kaya dan berwibawa. Inilah maknanya kehidupan seorang mukmin. Dia mesti aktif dan berperanan sebagai seorang yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Dan dalam masa sama, dia juga seorang yang aktif bekerja untuk Islam, untuk Allah dan Rasul. Dia akan sanggup berkorban apa saja demi untuk menjayakan cita-cita ini.

Ibu beranak dua ini meninggalkan majlis dalam keadaan hatinya sudah puas menerima jawapan yang dicari-cari selama ini. “Saya telah bertemu dengan apa yang saya cari. Inilah kebenaran dan Insya Allah, saya akan turut serta memperjuangkannya!!”

MISKIN MELARAT YANG HINA ATAU MISKIN PILIHAN UNTUK KAYAKAN ISLAM

Mari kita lihat, apakah hakikat kemiskinan yang sebenarnya. Muliakah jika kita kaya, hinakah jika kita miskin?

Sebenarnya kemuliaan dan kehinaan tidak ada hubung kaitnya dengan kaya miskin. Kemuliaan di sisi Tuhan adalah Taqwa atau rasa takutkan Allah. Seseorang itu mulia jika Allah sentiasa ditakuti, digeruni, dicintai dan diingati. Orang-orang dunia menganggap miskin itulah kehinaan. Hakikatnya kaya miskin itu tetaplah hina jika melupakan Tuhan atau menderhakai Tuhan. Hinalah seorang jutawan jika dia berzina, minum arak dan makan rasuah. Mulialah orang susah kalau dia taat dan takutkan Allah dalam hidupnya.

Orang yang cerdik akan memilih mulia di sisi Tuhan berbanding yang lain. Kemiskinan atau kekayaan bergantung pada usaha ikhtiar serta ketentuan Tuhan. Bukankah rezeki di tangan Tuhan. Mencari keperluan kehidupan itu disuruh sebagai tanggung jawab. Jika Tuhan anugerahkan rezeki melimpah, itu adalah amanah untuk diagihkan kepada orang yang memerlukan. Berbuatlah apa saja asalkan ada Tuhan dihati kita. Itulah kemuliaan di sisiNya.

Orang yang malang ialah mereka yang hanya melihat kaya dan senang lenang itulah tujuan kehidupannya. Itulah yang disangkanya kemuliaan dan dipandang berharga. Dikejarnya kekayaan tanpa melihat haram halal atau tanpa memperdulikan sembahyang atau kewajipan Islam yang lainnya. Mereka jadi gila mengejar dunia yang semakin dikejar semakin menjauh. Itulah tipu daya.

Walaupun sudah mendapat dunia dan kekayaan melimpah ruah, dunia menipunya dengan mencabut bahagia dari hatinya. Keluarga berpecah belah. Kemewahan menjadikan anak-anak terjebak dengan berbagai gejala menakutkan. Malang berganda. Menjaga harta yang kaku itu sudah sangat menyusahkan. Makin dijaga, makin diurus, semakin tertekan jiwa, hilang rasa bahagia. Harta yang ada, dirasa sentiasa tidak cukup atau bila-bila masa boleh lenyap dari pandangan mata. Maka mereka akan menjadi manusia kedekut. Berkira-kira dalam hendak menggembirakan atau menolong orang yang menderita. Itulah tipuan dunia.

Suatu hal yang pelik pada pandangan ahli dunia ialah kemiskinan menjadi pilihan orang-orang Tuhan atau para kekasih Allah. Para Nabi dan Rasul adalah pelopor pegangan sebegini. Mereka memang diprogramkan sedemikian oleh Tuhan. Mereka walaupun ada pekerjaan mereka tetapi hakikatnya mereka full time dengan Tuhan. Nabi Musa mengembara dari Mesir ke Sinai bukannya untuk berniaga mencari kehidupan seperti manusia lainnya. Sebaliknya itu adalah perjalanan mentaati arahan Tuhan.

Tuhan memperlakukan mereka supaya mereka sepenuh masa memperjuangkan Tuhan. Mereka fulltime dengan kerajaan Tuhan. Itulah kemuliaan dan kehebatan mereka. Kesanggupan hidup susah bersama anak isteri adalah pilihan mereka. Apa yang penting pada mereka ialah Tuhan diperkenalkan kepada umat manusia untuk dipuja dan disembah. Rezeki Tuhan ada di mana-mana.

Mereka tidak bimbang dengan kekurangan makanan atau harta benda dunia. Sebab itu Siti Hajar ditinggalkan di tengah lembah yang kering kontang. Air pun tidak ada apatah lagi tumbuhan lainnya. Apakah yang tersedia untuk meneruskan kehidupan. Dahsyatnya Tuhan mendidik manusia supaya yakin dengan rezeki dariNya!! Itulah ujian keyakinan terhadap Tuhan – benarkah rezeki itu datangnya dari Tuhan?

Lalu bersediakah kita membina generasi yang sanggup utamakan Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya? Bangunkanlah dan didiklah generasi kita sehingga mereka sanggup berkorban membela orang lain dalam keadaan ramai yang lain hanya mementingkan diri sendiri. Asuhlah mereka berjiwa besar untuk mengutamakan Allah dalam segenap kehidupan mereka.

Jika kita mahu membangunkan Islam untuk melihat Islam kembali berdaulat, kemiskinan adalah syarat untuk layak dipanggil pejuang. Inilah sijil untuk dikejar oleh anak cucu kita. Kita bina mereka untuk jadikan Islam itu cita-cita hidupnya, nescaya dia akan sanggup susah dan menderita. Percayalah setiap kali kita bersedia untuk miskin, Tuhan akan membayar semua keperluan kita sepanjang masa. Tuhan ada cara untuk jadikan Islam itu dilihat kaya dalam kemiskinan peribadi yang sengaja kita pilih.

Call Now
Directions