Tag Archives: wang ringgit

KEKAYAAN DAN FALSAFAHNYA

Di dalam kehidupan di dunia ini ada kekayaan lahir , ada kekayaan batin dan kedua-duanya adalah anugerah ALLAH. Semestinya pula ada peranan dan falsafahnya. Oleh kerana kekayaan menjadi idaman semua, bila sebut kaya, kita rasa seronok, rasa bangga, rasa puas. Setiap kekayaan ada racunnya, ada implikasi, maka hendaklah kita tahu kekayaan macam mana yang boleh menyelamatkan dan kekayaan macam mana yang boleh merosakkan, mesti ada tanda baik, mesti ada tanda buruk. Ada bawa bahagia,ada bawa kesengsaraan. Ada awalnya baik tetapi hujungnya menderita. Kita tidak dilarang memburu kekayaan, jangan kata agama Islam melarang cari kekayaan tetapi yang penting kita ada ilmu mengenainya.

Bila disebut sahaja kekayaan, yang cepat dingat dan difokus ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Manusia memburu dan mencari… tak ada wang dan harta tak kaya namanya. Tak terfikir akan kekayaan selain harta dan wang ringgit. Kalaupun ada yabg terfikir bahawa kekayaan itu bukan semata-mata harta dan wang ringgit, tetapi aspek ini kurang diminati, kurang diperbualkan, kurang diperkatakan oleh manusia…tak jadi igauan. Ini menunjukkan di antara fitrah semulajadi manusia ialah ingin kaya atau kekayaan yang sangat menjadi tarikan dan minat adalah kekayaan harta dan wang ringgit. Sehinggakan budak kecil pun terpengaruh dengan wang ringgit…lihatlah suasana di Hari Raya di mana budak-budak kecil asyik mengira duit raya mereka. Ini menunjukkan kekayaan wang ringgit dan harta kekayaan mata benda dunia sangat mempengaruhi jiwa dan fikiran manusia. Akhirnya manusia sibuk mengumpul harta macam Qarun… bila jumpa kawan-kawan,tanya ada projek ke ?

Dalam pengalaman kehidupan manusia kita lihat manusia bertungkus lumus, bekerja keras mencari harta dan wang ringgit, lebih dari yang lain… tetapi dalam mencari Tuhan mereka tak bekerja keras pula macam mencari harta sedangkan yang dicari itu Tuhan yang punya. Ada yang mencari harta sampai lupa Tuhan,sampai lupa sembahyang. Orang kaya raya seperti Onassis pun mati. Dalam belajar mencari ilmu pun ingat nak gaji tinggi, nak jadi kaya . Nak berkawan pun ada niat nak jadi kaya. Hingga nak berkahwin pun adakalanya nak cari harta juga. Begitulah kuatnya pengaruh kekayaan harta dan wang ringgit kepada manusia.

1.JENIS-JENIS KEKAYAAN
Yang sebenarnya kekayaan dalam kehidupan manusia di dunia ini bukan kekayaan harta dan wang ringgit sahaja semata-mata. Banyak lagi kekayaan-kekayaan lain yang jarang diperkatakan manusia. Bahkan ada kekayaan lebih baik daripada wang ringgit dan harta. Di bawah ini kita akan senaraikan jenis-jenis kekayaan manusia:-
1.Kaya wang ringgit dan harta
2.Kaya ilmu dan pengalaman
3.Kaya dengan anak-anak
4.Kaya dengan pengikut
5.Kaya jiwa
6.Kaya budi bahasa
7.Kaya kawan dan kenalan

KAYA WANG RINGGIT DAN HARTA

Salah satu tarikan kepada manusia ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Disini ada dua golongan manusia:

1.Golongan yang mencari harta yang halal semata-mata.

2.Golongan yang mencari harta tak kira halal dan haram, semuanya disapu belaka. Apa saja yang boleh mendatangkan kekayaan dibuat. Contoh: berjudi, arak, menipu, menerima rasuah, membuka disko dsbnya.

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan sesuai dengan fitrah manusia itu tetapi dengan beberapa syarat: (Sila ambil perhatian bahawa perbincangan ini adalah untuk orang Islam. Sebab kalau kita tak cukup ilmu, dari kekayaan yang halal akan jadi haram)

1.Mencari kekayaan hendaklah secara yang halal; bertani, berniaga, mengajar dsbnya.

2.Bila dah guna cara yang halal, kemudian dah jadi kaya dan cukup haulnya (tempoh masa) kenalah diberi
zakat. Kalau tak beri zakat, harta yang halal tadi dah jadi haram pula.

3.Bila dah kaya, hendaklah bersifat pemurah, rajinlah bersedekah. Kita tanam padi, padi yang lebih yang
dimakan binatang, kita niat sedekah.

4.Harta kekayaan yang kita perolehi hendaklah kita gunakan ke jalan ALLAH untuk menyelamatkan diri daripada
kemurkaan ALLAH…menutup aurat, bangunkan rumah  ibadah, bukan masjid sahaja tetapi juga bangunkan
sekolah, hospital, rumah anak yatim dll.

5.Jangan ada pembaziran dan membuang-buang harta dengan tidak menentu. Pengurusan harta hendaklah
dengan betul. Seeloknya kita jadi ‘bank’ kepada  masyarakat…kita beri sedikit-sedikit, macam dam atau empangan air; kita buka saluran air dengan kecil, supaya tak jadi bah atau banjir besar.

6.Kekayaan yang kita perolehi tidak digunakan untuk maksiat dan menderhakai ALLAH. Cuba beli dari kedai
orang Islam. Tak usahlah beli majalah-majalah yang tak senonoh.

7.Dalam mencari harta kekayaan, jangan sampai meninggalkan perkara-perkara yang asas dalam Islam
seperti jangan sampai tak sembahyang, tak puasa, tak naik haji.

8.Sebagai orang yang kaya harta dan wang ringgit kita kena tunaikan wajib yang aradhi (wajib yang datang
kemudian) contoh: pada suatu masa masyarakat Islam perlu buat sekolah atau masjid, kewangan tak cukup,
masyarakat umum tak mampu, maka orang kaya (orang yang ada duit lebih) di kalangan mereka kena tanggung
kewajipan ini.

Sekiranya syarat-syarat yang diatas dipenuhi barulah harta dan wang ringgit yang kita punyai dikira halal…jadi bila kita nak kaya kenalah pasang  niat…bila kaya nanti saya nak bayar zakat, nak bagi diskaun dekat pelanggan, nak bantu orang susah, nak tolong ibu bapa dll. Kalau kita tak ada ilmu macam mana kita nak pasang niat.

Selalunya sikap orang kaya Islam, majoritinya apa yang berlaku dalam sejarah tidak bersykur kepada ALLAH dan
mereka membuat perkara-perkara seperti dibawah:-

1.Selalunya mendapat kekayaan tidak kira halal dan haram.
2.Sombong dengan Tuhan dan manusia
3.Bakhil dan kedekut
4.Menjadi orang yang tamak yang rasa tidak cukup.
5.Lalai dengan ALLAH seperti cuai dengan syariatNya.
6.Tidak mengeluarkan zakat.
7.Menyalah-gunakan kekayaan dengan memberi rasuah.
8.Apatah lagi hendak bertanggungjawab dengan
keperluan-keperluan masyarakat Islam yang aradhi
sudah tidak berlaku.Kalaupun ada bantuan, ada udang
disebalik batu.

Mari kita sama-sama suluh-suluh diri kita… apa yang kita lakukan selama ini dah ikut syarat atau belum? Kalau tak cukup syarat, sudah tentu tak selamat diri kita dan juga orang-orang lain di bawah tanggungan kita. Nanti di Akhirat sudah tentu kita terhukum…akibat tak cukup ilmu dan tak faham syariat.

 

ZUHUD ITU SATU KEPERLUAN

Seringkali apabila kita membicarakan tentang ZUHUD, kita sering beranggapan orang yang zuhud adalah orang yang meninggalkan segala kemewahan dunia dan hidup dengan keadaan yang sangat daif seperti kehidupan para suffah di zaman RSAW dahulu. Golongan suffah ini adalah satu golongan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kehidupan mereka hanya di dalam lingkungan masjid sahaja.

Mereka ini di zaman Rasulullah SAW dahulu adalah golongan yang sangat cintakan ilmu dan berusaha mendapatkannya bukan untuk tujuan duniawi dan mencari kekayaan, pangkat atau glamor tetapi menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk mewibawakan umat Islam yang lain dengan menghafal al Quran dan Hadis serta ilmu-ilmu yang berkaitan bagi tujuan kepentingan ummah. Itulah antara pengorbanan para-para sahabat di zaman Rasulullah SAW ini di dalam mewibawakan Islam hingga Islam menjadi gemilang di zaman mereka.

Bagaimanapun, adakah golongan ini sahaja yang boleh kita ambil sebagai contoh untuk menjalani hidup sebagai orang Islam yang zuhud, apakah para-para sahabat Rasulullah SAW yang lain tidak zuhud? Sebenarnya, Rasulullah SAW telah mendidik sifat zuhud kepada semua para sahabat-sahabat beliau tetapi kezuhudan itu sebenarnya sangat mendalam maksudnya. Ia bukan menggambarkan hal yang tersurat sahaja tetapi sebenarnya yang lebih utama adalah kezuhudan hati itu. Sebab itu walaupun dunia ketika itu berada di tangan para sahabat tetapi dunia tidak menjadi keutamaan mereka. Bagaimanakah mereka dapat mengatasi penyakit cinta dunia ini walaupun segala-gala kenikmatan dunia berada dalam genggaman mereka. Mari kita sama-sama memahami apakah sebenarnya erti zuhud itu.

Memiskinkan diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada sesama manusia. Inilah sebenarnya erti zuhud. Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskin diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata.

Apabila orang kaya merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala. Tuhan jadikan miskin dan kaya supaya manusia kenal-mengenal, bantu-membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain, kerana masing-masing saling memerlukan. Dunia ini Allah punya, segala-segala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan, kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita tidak memiliki apa-apa sebaliknya kita dimiliki.

Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan, wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, ia juga adalah milik Tuhan. Kita sebagai manusia dalam keadaan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk masyarakat. Allah jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hambanya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah kurniakan itu cukup untuk hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.

Allah jadikan miskin kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan wujud dan berkembang.

Manusia hanya akan sibuk mencari makanan sehari-hari untuk diri dan keluarga masing-masing. Semua manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak akan berlaku interaksi, usahasama, kerjasama, khidmat dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak akan ada kemajuan. Tidak akan terbangun masyarakat, tamadun dan peradaban. Semua manusia akan hidup macam orang asli atau kaum aborigin yang semuanya sama-sama miskin. Sebaliknya kalau dalam masyarakat manusia semuanya kaya-kaya belaka, maka kekayaan itu tidak ada apa-apa makna. Orang kaya akan menjadi susah juga.

Siapa yang akan menanam padi. Siapa yang akan ke laut menangkap ikan. Siapa yang akan menternak lembu, kambing dan ayam. Siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan. Bukankah ini semua kerja orang miskin. Apa yang orang kaya hendak makan. Takkan hendak makan duit, emas, perak, intan dan berlian. Siapa yang akan bina rumah, buat jalan, angkut sampah, potong rumput, menjadi pekerja bekalan air dan elektrik dan beribu-ribu macam khidmat lagi.

Kalau hendak gerakkan industri dan ekonomi pula siapa yang akan jadi buruh. Siapa yang akan jadi pekerja. Siapa yang akan jadi penyelia. Akhirnya siapa yang akan jadi pembeli atau pengguna bagi barangan dan khidmat yang dikeluarkan.

Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenal-mengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.

Namun begitu, rezeki dan kekayaan yang Allah limpahkan ke bumi ini adalah untuk semua manusia walaupun pembahagiannya tidak sama banyak dan tidak sama rata. Justeru itu apabila ada orang atau pihak yang tidak menjaga dan tidak mentadbir harta dan kekayaan yang Allah amanahkan kepada mereka dengan baik, maka akan berlakulah bencana. Apabila orang kaya tidak menyama ratakan harta kekayaan mereka kepada fakir miskin dan yang memerlukan, maka akan datanglah malapetaka. Apabila orang kaya mula merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka sendiri dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala. Rezeki, harta dan kekayaan Allah itu adalah untuk semua manusia dan masyarakat bukan untuk manusia yang tertentu sahaja. Ia mesti disama ratakan. Kalau tidak akan timbul kelas dan kasta kaya miskin dalam masyarakat yang satu sama lain benci-membenci, curiga-mencurigai, hina-menghina dan dengki-mendengki. Masyarakat akan menjadi kucar-kacir, kacau-bilau, bergaduh dan berkelahi. Akan belaku berbagai bentuk jenayah dan penindasan. Hilang ukhwah dan kasih sayang. Manusia tidak kira kaya atau miskin akan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

Oleh itu, semua manusia terutama yang kaya, perlu memiskinkan diri. Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskin diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata. Kalau pun kita kaya dan berharta, kita tahu dan kita sedar bahawa kita sebenarnya miskin. Kekayaan yang ada itu adalah amanah dari Allah yang wajib kita jaga dan tadbirkan mengikut kehendak-Nya. Kita boleh ambil setakat mana yang perlu sahaja dan menggunakan yang selebihnya untuk golongan fakir miskin dan masyarakat. Memiskin diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada golongan miskin dan masyarakat.

Inilah sebenarnya erti zuhud. Zuhud bukan bermaksud tidak kaya atau tidak berharta. Zuhud ertinya tidak merasakan kekayaan dan harta ini kita punya.

Zuhud ertinya merasakan harta dan kekayaan itu kepunyaan Allah yang perlu diagihkan kepada yang berhak. Zuhud ertinya mempunyai kekayaan di tangan tapi tidak di hati. Orang yang zuhud ialah orang yang telah memiskin dirinya hingga mudah baginya menggunakan kekayaannya untuk masyarakat dan golongan yang memerlukan.

Call Now
Directions