Category Archives: Blog

COUNTDOWN RAMADHAN..

COUNTDOWN RAMADHAN

“Sesunguhnya telah tiba bulan Ramadan yang penuh barakah, iaitu satu tempoh Allah memfardhukan kepada kamu puasa.  Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka,diikat padanya syaitan.  Padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang dihalang kebaikannya maka sebenarnya dia dihalang kebaikan yang banyak”.  
(Riwayat Ahmad, Nasaie).

Bulan Ramadan : Anugerah Istimewa Kepada Kita.

Definisi puasa dari segi adat ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap.  Dari segi Syariat Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.  Ramadan membawa erti kepanasan atau batu-batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas.  Ramadan merupakan satu tempoh masa umat Islam diwajibkan berpuasa. Puasa bulan Ramadan telah difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah. Ibadat puasa bukan sahaja dilakukan oleh umat nabi Muhammad SAW bahkan umat-umat terdahulu.

Apabila Ramadan datang, Rasulullah SAW begitu senang dan seronok dengan kedatangannya.  Para sahabat r.a. turut bergembira. Ini disebabkan Ramadan datang dengan banyak kelebihan dan keutamaan.  Baginda SAW dan para sahabat menunjukkan kegembiraan dan kesyukuran dengan perbuatan iaitu melakukan ketaatan menunaikan perkara yang fardhu dan sunat sepanjang bulan ini.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan imam Abu Hurairah, baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Sesunguhnya telah tiba bulan Ramadan yang penuh barakah, iaitu satu tempoh Allah memfardhukan kepada kamu puasa.  Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka,diikat padanya syaitan.  Padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang dihalang kebaikannya maka sebenarnya dia dihalang kebaikan yang banyak”.  (Riwayat Ahmad, Nasaie).

Di antara kebaikannya ialah Ramadan merupakan bulan keberkatan.  Berkat membawa maksud bahagia, beruntung dan berkembang.  Ar-Raghib Al-Isfahani mendefinasikan berkat sebagai wujudnya kebaikan ilahi di dalam sesuatu.  Mencari berkat dapat disimpulkan mencari redha dan kebaikan daripada Allah SWT dalam melakukan amal kebajikan sehingga menghasilkan keberkatan.   Berkat diperolehi melalui amal ibadah yang bertepatan dengan perintah agama dan dilakukan semata-mata ikhlas kerana Allah SWT. Walaupun ibadat puasa membawa maksud lapar dan dahaga tetapi dengan pelaksanaanya yang ikhlas kerana Allah SWT, maka mudah-mudahan akan membawa berkat dengan mewujudkan sifat takwa dalam diri.

Banyak ibadat lain yang membawa kerberkatan apabila dilakukan dengan ikhlas apatah lagi dalam bulan Ramadan yang dijanjikan pahala berlipat ganda.  Kita sebenarnya diberi pelbagai pilihan untuk melakukan amal kebajikan.  Bersedekah di bulan Ramadan antara amalan terpuji dalam agama dan bukan sebagai adat semata-mata.  Dalam sebuah hadis riwayat imam Muslim yang bermaksud “Apabila kamu memasak lauk, maka perbanyakkanlah kuahnya, kemudian lihatlah ahli jiran kamu dan berikanlah kepada mereka”.  Di samping memohon doa untuk diri, keluarga, kita juga jangan lupa memohon doa dengan ikhlas untuk kebaikan orang lain.  Ini bertepatan dengan satu sabda nabi SAW yang bermaksud “Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para malaikat: Bagi kamu seperti itu juga”.  Begitu juga, kita boleh membanyakkan sedekah di bulan Ramadan.  Ini kerana maksud sabda nabi SAW “Sedekah dan solat di tengah malam dapat menghapuskan dosa seperi air memadamkan api” (Riwayat Tirmizi).

Di samping itu, bulan Ramadan merupakan bulan keampunan.  Apatah lagi bulan yang disediakan malam Lailatur Qadar.

Akhirnya, Ramadan merupakan bulan yang dapat mendidik dan membina akhlak mulia melalui madrasahnya selama sebulan.  Jadi kita sebagai mereka yang bertuah kerana dapat berjumpa bulan Ramadan, marilah merebut keistimewaan yang diberikan ini dengan bersyukur melalui ibadat yang ikhlas, mudah-mudahan ia menjadi asas untuk amalan kebaikan kita sepanjang hayat.

Petikan Dari

https://www.ikim.gov.my/index.php/2014/07/09/bulan-ramadan-anugerah-istimewa-kepada-kita/

MENGHITUNG HARI

BERAPA HARI LAGI RAMADHAN ?

Semoga kita semua sudah bersedia untuk menyambut bulan Ramadhan yang penuh mulia dan berkat yang bakal menjelang tidak lama lagi.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1445H

Call Now
Directions