Tag Archives: baiki diri

USAHA MEMBAIKI DIRI

cara-medidik-nafsu

Usaha-usaha membaiki diri ini memang susah kerana tiga faktor iaitu:
1. Memerlukan mujahadatun nafsi yang serius.
2. Latihan mengawal nafsu ini satu kerja yang sangat menjemukan dan meletihkan. Risikonya, payah hendak istiqamah.
3. Banyak halangan dan rintangan yang menyekat iaitu dunia dan tarikannya serta keluarga dan sahabat-handai yang melalaikan kita.

Kalau begitu halnya, apa yang patut kita buat untuk mengatasi keadaan ini? Apa pula pendorong untuk kita terus berjuang membaiki diri?

Jawapannya ialah ilmu rohaniah inilah pendorongnya. Yang patut kita buat ialah:

1. Suluh kelemahan diri kita.

2. Bangkitkan kesedaran jiwa.

Kedua-dua ini hendaklah dibuat melalui tafakur. Antara perkara-perkara yang boleh kita tafakurkan ialah:

A. Lemahnya diri kita

Mari kita sama-sama tafakur, merenung sekejap ke dalam diri kita. Rasakan di hati kita bahawa kita ini hamba Allah yang maha dhaif, lemah dan hina.

Buktinya:

1. Bolehkah kita elak diri kita dari sakit?

Kalau terkena atau tercucuk duri yang halus dapatkah kita menahan bisanya? Itupun sudah terlalu sakit, sudah tidak tertahan lagi rasanya. Itulah tanda lemahnya kita. Bolehkah kita melihat kalau jarum tercucuk di mata kita? Bolehkah kita bernafas kalau air tersumbat di hidung kita? Tentu tidak boleh. Itulah tanda lemahnya kita ini. Apatah lagi kalau Allah tarik satu sahaja urat saraf kita, meranalah kita seumur hidup.

2. Bolehkah kita elak dari orang caci maki dan kata kita?

3. Bolehkah kita menolak dari bencana alam yang melanda mengejut pada kita?

Tentu tidak boleh walaupun berkumpul seluruh tenaga makhluk yang berada di langit dan di bumi. Bencana alam tetap terjadi juga. Kita tidak mampu menahannya. Banjir yang melanda, datangnya tidak mampu diempang. Angin taufan, ribut yang mengangkat dan menghumban, tidak mampu kita membendungnya. Gempa bumi yang dahsyat yang membunuh segala hidupan, tidak kuasa manusia menahannya. Lemahnya manusia ini.

4. Dapatkah kita menahan kematian orang yang kita cintai?

Akhirnya kita juga akan mati. Dapatkah kita menolaknya? Tentu tidak mampu. Betapa lemah dan hinanya kita. Sudah mati jadi bangkai. Tidak seorang pun yang mahukan jasad kita itu. Isteri tidak mahu. Suami tidak mahu. Anak-anak pun tidak mahu. Ibu ayah tidak mahu. Kekasih pun tidak mahu. Sebab itulah orang hantar cepat-cepat ke kubur kerana kalau dibiarkan, busuk! Bila dinilai bukti-bukti tadi menggambarkan betapa hinanya kita. Cuba kita rasakan kehinaan dan kelemahan itu setiap ketika dan kita bawa perasaan itu di mana-mana.

B. Nikmat yang kita dapat

Hitung-hitungkan pula nikmat-nikmat yang ada pada kita. Mata, hidung, mulut, telinga, kaki, tangan, akal dan lain-lain lagi yang sangat penting untuk kehidupan kita itu.

Fikirkanlah tentang akal yang dikurniakan pada kita. Alangkah berharganya. Dengan akal itulah kita jadi cerdik, pandai dan bijaksana. Dengan akal itu juga kita membelah bumi, menerobos angkasa, menguasai lautan dan daratan. Kita bebas buat apa saja semahu-mahunya. Hatta jadi kaya-raya dan berkuasa. Menungkanlah, apakah layak akal yang begitu mahal kita gunakan hanya semata-mata untuk meruntuhkan tamadun manusia dengan berperang dan membunuh? Rasakan di hati takut pada Tuhan kerana sebelumnya kita tidak gunakan akal itu untuk memikirkan kebesaran-Nya dan nikmat-nikmat pemberian-Nya yang ada pada kita.

C. Nikmat di luar diri kita

Fikirkan dan hitungkan pula nikmat-nikmat Allah yang berada di luar diri kita. Hitung berapa banyak harta, duit, rumah, kereta, perabot, pinggan mangkuk, periuk belanga, kain baju, kasut, barang kemas, makanan yang kita simpan, berapa jenis lauk yang dimakan untuk satu hari, berapa banyak kenderaan kita, kebun, anak-anak, isteri-isteri, kawan-kawan, pengikut-pengikut, pembantu-pembantu, udara yang dihirup, bumi yang dipijak, cahaya matahari yang kita dapat manfaat darinya. Rasakan di hati bahawa alangkah banyaknya kurniaan Allah pada kita selama ini.

Kemudian pandang ke langit. Lihatlah besarnya ciptaan Tu-han itu. Tergantung tanpa tiang. Walhal rumah kita yang kecil pun ada tiangnya. Bumi yang terhampar tempat kita berpijak, sangat berguna pada kita. Saksikanlah matahari yang turun naik, yang cahayanya sangat memberi manfaat, yang menjadikan silih bergantinya siang dan malam, memberi peluang untuk kita bekerja dan rehat. Menjadikan waktu yang bermusim juga sangat berfaedah pada manusia. Air yang disedut naik, hujan yang turun, ini memberi bekalan air untuk seluruh hidupan. Memeriahkan alam dengan cahaya. Tenaga solar serta tenaga elektriknya. Rasakan ke dalam hati kita betapa pentingnya ini semua. Rasakan betapa perlunya nikmat-nikmat ini dalam kehidupan kita.

Fikirkanlah! Bolehkah manusia mencipta tanah, api dan air itu? Dapatkah kita tumbuhkan pokok? Yang kayunya kita gunakan untuk membuat rumah itu? Dapatkah kita buat segala keperluan-keperluan asas yang jadi peralatan hidup kita itu? Bolehkah hidup tanpa kita gunakan barang-barang ciptaan Allah itu? Tentu tidak. Oleh itu datangkan rasa insaf pada diri kita bahawa kita tidak mampu mengadakan itu semua.

Bila kita sedar begitu barulah kita terasa perlunya Allah itu pada kita. Barulah kita terasa patut kita menyembah-Nya. Barulah terasa patut kita taat perintah-Nya. Kalau begitu bukankah patut kita patuh kepada-Nya. Bukankah patut kita jadikan Allah itu Tuhan kita. Tidaklah kita hendak bertuhankan diri kita lagi. Inilah pendorong untuk kita beribadah.

Bila kita bawa berfikir tadi barulah kita terasa Tuhan itu terlalu berjasa dan pemberi. Barulah terasa patutnya kita bersyukur pada Allah kerana segala-galanya adalah ciptaan-Nya dan pemberian-Nya. Bukan kita buat sendiri. Inilah pendorong.

D. Kehidupan selepas mati

Lihatlah kepada kehebatan dunia ini. Semua yang kita miliki itu nanti akan terlucut dari kita kerana dunia ini negara yang fana. Allah jadikan kita bukan untuk tinggal terus di sini buat selama-lamanya. Tetapi akan mati dan pulang ke negara asal, negara Akhirat yang kekal lagi abadi. Yakni Syurganya kekal, Nerakanya juga kekal. Nikmatnya kekal, azab siksanya pun kekal.

Cuba kita rasakan nikmat Syurga yang kekal itu. Tiada bandingan dan tandingannya. MasyaAllah terlalu hebat! Patah lidah untuk mengungkapnya. Tiada bahasa yang dapat menggambarkannya. Tiada mampu mata pena untuk menulisnya. Mahligainya saja sudah seluas langit dan bumi, dibuat daripada emas, permata, dinding yang berkilau-kilau cahayanya, atapnya intan berlian yang tidak terkata indahnya dan nikmat berada di dalamnya. Seorang yang bertaqwa saja memiliki berpuluh-puluh buah bandar. Kalau rumahnya saja seluas langit dan bumi, agaknya berapa pula luas sebuah bandar? Apatah lagi kalau berpuluh-puluh buah bandar. Tentulah tidak dapat hendak dibayangkan betapa luasnya bandar-bandar kepunyaan seseorang itu. Tidak dapat pena menulisnya. Tidak ada kiraan di dunia ini. Peralatan mewah dalam mahligai itu pula tidak pernah rosakrosak. Bahkan makin dipandang, makin cantik. Semakin terasa nikmat. Sekali pandang lain cantiknya. Dua kali pandang, lain pula cantiknya. Tidak pernah jemu-jemu menikmatinya.

Kenderaan di Akhirat pula ialah apa saja yang kita inginkan. Teringat saja, sekelip mata datang. Teringat hendak naik kapal terbang, niat saja terus berada dalam kapal terbang yang diidamidamkan. Terbanglah selaju mana yang kita mahu dan ke mana saja yang kita ingin tuju, tidak pernah rasa bimbang dan cemas. Kalau naik kapal terbang dunia, hati selalu diragut takut tetapi di Akhirat, kalau ingin jatuh, ia jatuh tapi tidak sakit. Sebaliknya tetap lazat.

Rasakan pula nikmat di Akhirat itu tidak pernah lapar-lapar. Atau tidak pernah haus-haus. Sentiasa kenyang. Makanan yang kita makan tidak pernah menjemukan. Sebab rasanya berlainan. Suapan pertama dengan yang kedua, berlainan rasanya. Begitulah seterusnya. Untuk satu jenis buah, kita akan dapat berpuluhpuluh jenis rasa. Jadi tidak pernah jemu memakannya. Makin dimakan makin hendak dan semakin lazat. Demikian juga dengan jenis-jenis makanan yang lain. Makanlah sebanyak mana pun tidak akan memudaratkan. Tidak menyakitkan perut. Tidak juga susah payah untuk ke jamban. Tidak payah buang najis yang busuk itu. Tidak ada istilah tahi lagi seperti tahi mata, tahi telinga dan tahi gigi. Semuanya sedap-sedap, baik-baik, lazat dan indah-indah sahaja. Hatta peluh kita pun berbau wangi.

Rasakan pula setiap orang bertaqwa itu hadiahnya ialah bidadari-bidadari yang cantik jelita. Bukan seorang tetapi berpuluh-puluh dan beratus-ratus orang, yang nikmat dan kepuasannya tiada tolok bandingannya dengan dunia ini. Seperti firman Allah dalam Al Quran: “Mereka bertelekan di atas dipandipan berderetan dan Kami kahwinkan mereka dengan bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli. Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka inginkan. Di dalam Syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tidak pula perbuatan dosa. Dan sekeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk melayani mereka, seakan mereka itu mutiara yang tersimpan.” (At Thur: 20 – 24)

Kemudian kita rasakan ke lubuk hati kita betapa azabnya Neraka yang kekal itu. Penderitaannya amat dahsyat dan mengerikan. Tidak dapat hendak ditulis dengan mata pena kedahsyatannya itu. Api yang dahsyat itu 70 kali ganda panasnya dari panas api dunia. Api di dunia pun kita tidak boleh pegang, apatah lagi api Neraka. Kita berada dalam rumah api, dinding api, bumbung api, lantainya api, makanannya api, minumannya api, pakaiannya api, bantalnya api dan segala-galanya dalam api. Apabila hancur daging-daging tubuh kita maka digantikan dengan daging baru, dibakar lagi hingga jadi bara dan diganti lagi.

Begitulah terus-menerus. Rasakan di hati, aduh, betapa sakitnya. Dahsyat dan ngeri. Rasakan di hati takut yang amat sangat. Di penjara Akhirat itu, seluruh kaki tangan diikat dan disatukan. Dihumban dan tenggelam di dalam api yang ombaknya bergelombang, menggulung dan membakar. Bila tubuh kita jadi bara dan hangus, diganti dengan kulit yang baru, kemudian diseksa lagi. Di samping itu malaikat Zabaniah yang tidak pernah senyum-senyum mencemeti terus setiap detik hingga jadi hancur-lebur, bersepai-sepai.

Gambarkan betapa dahsyatnya azab yang pedih itu yang tidak akan tertanggung oleh kita. Itu baru sedikit gambaran yang dapat digambarkan. Tidak akan tertulis hal keadaan yang sebenarnya betapa rasa azab itu. Yang diceritakan itupun sudah cukup untuk menggambarkan betapa ngerinya.

Kemudian datangkan rasa takut itu berterusan di hati kita. Di sana tidak ada yang boleh membela dan membantunya. Pangkat kita, kereta menjalar, pengikut-pengikut, pemimpin-pemimpin, ibu ayah, suami, isteri, anak-anak dan sahabat-handai kita, seorang pun tidak menjenguk kita. Tidak ada sebarang makhluk pun yang akan datang menolong meringankan penderitaan yang maha dahsyat itu. Rasakanlah di hati, kita sendirian nanti menanggung kesakitan itu, yang penderitaannya puluhan kali ganda seperti yang disebutkan.

Kalau kesemua rasa-rasa yang kita gambarkan di atas tadi dapat diresapkan secara serius ke dalam hati nurani kita, langsung kita bawa hati itu ke mana-mana, itulah yang jadi motor atau power yang kuat untuk mendorong hingga kita mudah dan ringan untuk membaiki diri. Inilah yang dikatakan hati mukmin. Al hasil kita tidak tergamak untuk melakukan dosa-dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Kita akan rasa malu.

Hati mukmin ini walaupun fizikalnya bersama dengan makhluk tetapi hatinya tetap dengan Allah. Hatinya sentiasa meneroka alam Akhirat. Hatinya sentiasa takut dengan Allah, rindu dengan Allah dan Syurga-Nya. Perasaan-perasaan inilah yang akan menyelamatkan kita di dunia dan di Akhirat. Tetapi kalau kesedaran jiwa dalam hati seseorang itu tidak ada, apakah yang akan jadi pendorong untuk mengelak daripada kemungkaran? Apakah yang jadi pendorong untuk cinta Allah dan hari Akhirat? Tentu tidak ada.

Kalau perasaan ini tidak wujud di hati, apa yang akan terjadi ialah:

1. Makin tinggi ilmu seseorang, makin alim dia, makin jahat lagi sifatnya.

2. Bertambah kaya seseorang itu, makin dia angkuh dan sombong.

3. Makin berkuasa seseorang itu, bertambah lagi zalim dan kejamnya.

4. Bolehkah kita percaya dia dapat berlaku adil, tidak rasuah, tidak menipu, tidak mencuri masa dan lain-lain lagi? Apakah jaminannya? Tentu tidak ada.

Oleh itu sematlah perasaan-perasaan di atas. Moga-moga ia dapat membantu kita dalam membaiki diri. Inilah jalan yang menyelamatkan kita yakni bila hati kita selalu sedar dan insaf.

UJIAN DAN MUSIBAH, SEMUANYA DATANG DARI TUHAN

Tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari musibah atau malapetaka atau kesusahan. Tidak kira samada manusia itu mukmin atau kufur. Itu juga merupakan bukti yang sangat jelas dan nyata bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Bagi manusia kufur sepatutnya mereka insaf dan sedar bahawa Allah SWT itu wujud dan berkuasa ke atas sekelian alam ini. Bagi orang beriman pula akan bertambah keimanannya kerana menyedari bahawa manusia ini lemah dan mesti tunduk kepada Allah SWT samada secara terpaksa mahupun sukarela.

Musibah atau malapetaka akan menambah dan meningkatkan iman orang mukmin kerana mereka semakin dapat melihat dengan hatinya betapa Allah SWT telah menzahirkan kekuasaanNya yang tidak mampu ditolak oleh sebarang makhluk termasuk manusia. Bertambah keinsafan, bertambah sabar, bertambah redha terhadap ketentuan Allah SWT dan akan bertambah pula rasa kehambaan seperti rasa takut, rasa malu, rasa lemah, rasa hina, rasa dhaif, rasa camas, rasa bimbang, dan rasa harap. Para mukmin juga akan menyedari bahawa musibah yang Allah SWT datangkan itu merupakan peringatan langsung daripada Allah SWT. Peringatan kepada manusia bahawa mereka sudah terlalu derhaka, lalai, banyak dosa, maksiat dan berbuat mungkar. Peringatan itu agar segera membaiki diri,bertaubat dan membuat perubahan. Itu baru kesengsaraan di dunia sementara, betapalah andainya dihadapkan dengan azab hakiki iaitu neraka di akhirat.

Ujian dan musibah yang Allah SWT timpakan kepada para mukmin ada dua maksud:

Pertama:
Sebagai penghapusan dosa sekiranya dihadapi dengan sabar.

Kedua:
Bagi golongan yang tidak berdosa, ujian dan musibah itu sebagai meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Hanya sebagai beradab dan menepati sebagai hamba walaupun tidak melakukan dosa, maka perlu dirasakan berdosa juga.

Setelah jelas kepada kita bahawa tiada siapa yang dapat menghindari dari ditimpa musibah, bukankah lebih baik menjadi orang mukmin yang ditimpa musibah berbanding menjadi kafir yang juga tidak dapat lari dari musibah. Banyak keterangan dari hadis-hadis Rasulullah SAW yang membawa erti iaitu musibah biar kecil sekalipun berpunca dari dosa yang dilakukan manusia. Ertinya setiap dosa, maksiat dan kemungkaran merupakan anak kunci terbukanya pintu musibah dan bencana yang Allah turunkan kepada manusia itu sendiri.

Umpama Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada seseorang itu ditimpa musibah di hadapannya, di belakangnya, di kanannya, di kirinya, di atasnya dan di bawahnya melainkan berpunca dari dosa yang dilakukannnya.”

Apabila sesuatu musibah, bencana atau malapetaka itu didatangkan oleh Allah SWT yang sifatnya terlalu berat, menggerunkan, menyakit dan amat menyukarkan manusia, berpanjangan dan buntu dari penyelesaian, itu tandanya penduduk sesuatu tempat itu sudah terlalu melupai Allah SWT, banyak kezaliman, penindasan, dosa, maksiat dan kemungkaran sudah berlaku tanpa kawalan. Malah mereka berbangga pula dengan kemungkaran. Maksiat tidak disekat malah dipromosi dan digalakkan. Terutama sekali apabila pemimpinnya sangat zalim dan menindas, para ulamanya jahat dan mabuk dunia, orang kayanya bakhil dan perampas, orang miskinnya tidak sabar dan laiai, maka kemurkaan Allah SWT akan turun secara merata yang dirasai oleh semua golongan. Inilah punca sebenar mengapa kini tidak putus-putus umat Islam mengalami kesengsaraan dari berbagai bencana. Silih berganti, berpanjangan dan ada yang menggerunkan seperti kebuluran, peperangan, kemarau dan wabak penyakit. Bukan sahaja musibah itu menimbulkan berbagai-bagai kesusahan kepada manusia, tetapi juga buntu dalam mendapatkan jalan penyelesaiannya. Berbagai kaedah dicuba dan diiringi oleh kegagalan.

Ambil satu contoh, di negara kita yang dilanda gejala negatif. Bukan sahaja yang terlibat, semua pihak turut merasa bahangnya dirundung kegelisahan dan keresahan. Berbagai kaedah pula telah dicuba yang berakhir dengan kegagalan. Sepatutnya umat Islam kembali kepada kaedah yang tepat iatu ajaran Islam itu sendiri. Tidak usah `mengimpot` kaedah dari sumber lain terutamanya barat yang terbukti masyarakatnya telah rosak dan hancur. Sebagaimana musibah itu sendiri berpunca dari dosa dan maksiat. Maka untuk menghindari musibah berpanjangan dan terlalu mencengkam kehidupan maka hendaklah bersungguh-sungguh membaiki diri. Membaiki diri itu hendaklah dalam beberapa aspek penting.

Di antaranya:

1. Hendaklah benar-benar merasai diri itu adalah hamba Allah SWT. Rasa hamba itu mestilah tidak lekang dari jiwa sehingga dengan itu dapat pula merasai bahawa Allah SWT itu Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mendengar, Maha Melihat dan memiliki segaia sifat-sifat kesempumaan. Segala rasa-rasa itu hendaklah sampai ke tahap merasai takut hendak berbuat maksiat dan mungkar. Umpamanya seseorang itu merasai Allah SWT Maha mengetahui lubuk hatinya. Ertinya dia akan sedar bahawa bukan sahaja perkara lahiriah, malah bisikan atau lintasan hatinyapun Allah SWT mengetahui. Orang seumpama ini bukan sahaja gerak geri lahirnya dikawal dari dosa malah lintasan hatinya pun diawasi agar tidak terdorong kepada perkara jahat

2. Rasa kehambaan yang mendalam,yang dijiwai dan dihayati itu sangat penting yang sekaligus akan menjiwai pula rasa keTuhanan yang tinggi, ini akan menjadikan seseorang itu bersih dari dosa terutamanya dosa batin atau penyakit-penyakit hati yang berupa mazmumah. Mazmumah itu ibarat racun yang sangat merosakkan. Mazmumah itulah yang paling utama membawa berbagai angkara, kerosakan, krisis, peperangan, penindasan di dalam kehidupan manusia. Sifat-sifat mazmumah ini tidak akan hilang atau padam atau terbakar musnah kecuali seseorang itu memiliki rasa kehambaan yang mendalam dan menjiwai rasa keTuhanan.

Ini adalah agenda utama dan penting bagi seluruh umat Islam; Aspek inilah yang sangat terabai dan dipinggirkan oleh umat Islam. Natijahnya umat Islam sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT. Yakni bukan sahaja jauh dari bantuan dan pertolongan Allah SWT malah sebaliknya kemurkaan Allah SWT yang ditimpakan kepada umat Islam. Bukan sahaja tidak memperolehi kejayaan dan kemenangan, sebaliknya kehinaan di mana saja dan berpanjangan silih berganti.

3. Perbaiki sembahyang dan sempurnakan lahir dan batin. Sembahyang itu sendiri mestilah berperanan. Memanglah menunaikan sembahyang itu adalah wajib. Namun ianya mestilah berkesan dan berperanan bagi seorang hamba itu benar-benar menghadap Allah SWT dengan sepenuh hati. Tempat di mana seorang hamba itu benar-benar meletakkan dirinya sebagai sehina-hina makhuk. Menghina diri di hadapan Allah SWT yang Maha Agung. Penuh dengan rasa malu, menyerah dan mengharap sehingga dengan itu terbakar segala mazmumah.

Kalau seseorang itu di saat di mana dia benar-benar sepenuhnya menghadapkan hatinya kepada Allah SWT, pun lalai dan leka tidak dapat merasai kehambaan dan membakar mazmumah maka di luar sembahyang lebih sukar lagi. Maka di luar sembahyang dalam mengendalikan urusan kehidupan sudah tentulah penuh didorong oleh nafsu rakus dan jahat. Sembahyang yang sempurna lahir batin itu ialah yang dapat memahami dan menghayati setiap lafaz atau bacaan. Yang dengan itu apa yang difahami dari sembahyang itu dapat membina dan membentuk peribadi yang benar-benar mulia. Kedudukan mereka dekat dengan Allah SWT, dan layak mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT.

Di dalam sembahyang, mereka sangat membesar dan mengagungkan Allah SWT. Di luar sembahyang juga tidak lekang dari membesarkan Allah SWT, dengan hidup bersyariat, menjauhi mungkar dan maksiat, akhlak dan disiplinnya tinggi dan luhur. Allah SWT menaungi mereka. Dan semua orang merasa puas dan seronok, selamat dan sejahtera bernaung di bawah mereka. Orang yang mencapai taraf ini saja yang layak memimpin umat kerana mereka adil kepada diri mereka sendiri iaitu berjaya mengembalikan rohnya kenal dan takut kepada Allah SWT, mengembalikan dirinya, mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Keadilan mereka itu pula akan melimpah dan merata kepada umat yang lain. Mereka inilah yang dikatakan orang soleh, orang Ashabul Yamin (golongan kanan), Al Muflihun (yang mendapat kemenangan). Mereka yang dimaksudkan oleh Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud, “Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba hambaNya yang soleh” ‘ Siapakah orang soleh itu? Salah satu cirinya ialah dalam firman Allah bermaksud “Beruntunglah (menanglah/berjayalah) orang mukmin, iaitu mereka yang di dalam sembahyangnya khusyuk.” (Al Mukminun: 1-2)

Mereka jugalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Barangsiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya.”. (Riwayat AI Hakim)

Bagi umat Islam yang ditimpa musibah silih berganti dan berpanjangan tiada pilihan lain untuk mengatasinya kecuali kembali menhambakan harapan kepada Allah SWT. Caranya pula ialah memperbaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT. Sungguh-sungguh bertaubat dan membersihkan dosa, kemungkaran, maksiat serta lebih-lebih lagi dosa batin iaitu mazmumah Selagi Allah SWT tidak sudi memandang kita lebih-lebih lagi berada dalam kemurkaan Allah SWT, biar berbuih mulut meminta melalui doa, atau hitam dahi kerana sujud sembahyang hajat, Allah SWT tidak akan tunaikan permintaan itu.

Call Now
Directions