Tag Archives: Iman

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan memiliki keutamaan dan keistimewaan yang besar. Semua amal soleh yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat balasan lebih banyak dan lebih baik. Oleh kerana itu kita sangat dianjurkan untuk memperbanyak amal kebajikan dan meninggalkan kemaksiatan. Diantara keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan tersebut, disebutkan dalam beberapa riwayat:

1. Ramadhan adalah bulan penuh berkat, pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu. Pada bulan Ramadhan terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Rasulullah SAW bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌمُبَارَكٌ افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فَيْهِ أبْوَابُ الْجَنَّةِ
وَيُغْلَقُ فَيْهِ أبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلًّ فَيْهَ الشَّيَاطَيْنُ فَيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ ألْفِ شَهْرٍ

“Telah datang Bulan Ramadhan, bulan penuh berkat, maka Allah mewajibkan kalian untuk berpuasa pada bulan itu, saat itu pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, para syaitan diikat dan pada bulan itu pula terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan.” (Riwayat Ahmad)

2. Allah SWT membebaskan penghuni Neraka pada setiap malam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:
إذَا كَانَ أوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِرَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِيْنُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِيْ مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذَلِكَ كُلُّ لَيْلَةٍ
“Jika awal Ramadhan tiba, maka syaitan-­syaitan dan jin dibelenggu, pintu-pintu Neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Sedangkan pintu-pintu Syurga dibuka, dan tidak satu pintu pun yang ditutup. Lalu ada seruan (pada bulan Ramadhan); Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang ingin kejahatan, tahanlah dirimu. Pada setiap malam Allah SWT memiliki orang-orang yang dibebaskan dari Neraka.” (Riwayat Tirmidzi)

3. Puasa bulan Ramadhan adalah sebagai penebus dosa hingga datangnya bulan Ramadhan berikutya. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَاُن إلَى رَمَضَانَ
مُكَفِّرَاةٌ مَا بَيْنَهُنَّ إذَاجْتَنَبَ اْلكَبَائِرَ
“Jarak antara solat lima waktu, solat Jumaat dengan Jumaat berikutnya dan puasa Ramadhan dengan Ramadhan berikutnya merupakan penebus dosa-­dosa yang ada diantaranya, apabila tidak melakukan dosa besar.” (Riwayat Muslim)

4. Puasa Ramadhan boleh menebus dosa-dosa yang telah lalu, dengan syarat puasanya ikhlas. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa berpuasa dibulan Ramadhan kerana Iman dan mengharap pahala dari Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Barangsiapa memberi makan untuk orang ramai berbuka puasa maka mendapat pahala sebanyak pahala orang puasa tersebut.
مَنْ فَطَرَ صَائِمًا كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أجْرِ الصَّا ئِمِ لَا يَنْقُصَ مِنْ أجْرِ الصَّائِمِ شَيْئٌ
“Barangsiapa memberi makanan untuk berbuka (makanan atau minuman) kepada orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Riwayat Ahmad)

6. Sedekah yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.
أيُّ الصَّدَقَةِ أفْضَلُ؟ قَالَ صَدَقَةٌ فَيْ رَمَضَانَ
Rasulullah SAW pemah ditanya; Sedekah apakah yang paling mulia? Beliau menjawab: “Yaitu sedekah dibulan Ramadhan.” (Riwayat Tirmidzi)

7. Orang yang banyak beribadah (menghidupkan) bulan Ramadhan, maka dosa-­dosanya diampuni oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Doa orang yang berpuasa adalah mustajab Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٍ ؛دَعْوَةُ الصَّائِمِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُوْمِ
“Ada tiga jenis doa yang mustajab, yaitu doa orang yang sedang puasa, doa musafir dan doa orang yang teraniaya. (Riwayat Baihaqi)

9. Puasa dan ِAl-Qur’an yang dibaca pada malam Ramadhan akan memberi syafaat kepada orang yang mengerjakannya kelak dihari kiamat. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصُّيَامُ وَاْلقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ يَقُوْلُ اَلصِّيَامُ
أيْ رَبِّ مَنَعْتُهُُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتَ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِى فَيْهِ
وَيَقُوْلُ اْلقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِالَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيْهِ قَالَ فَيُشَفِّعَانِ

“Puasa dan Al-Qur’an akan memberikan syafaat seorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Ya Rabbi, aku mencegahnya dari makan dan minum di siang hari”, ِAl-Qur’ an juga berkata: “Aku mencegahnya dari tidur dimalam hari, maka kami mohon syafaat buat dia.” Beliau bersabda: “Maka keduanya dibolehkan memberi syafaat.” (Riwayat Ahmad)

10. Orang yang melaksanakan Umrah pada bulan Ramadhan maka mendapat pahala seperti melakukan Haji. Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ عُمْرَةَ فِيْ رَمَضَانَ حَجَّةٌ
“Sesungguhnya umrah dibulan Ramadhan sama dengan pahala haji” (Riwayat Bukhari)

Keistimewaan bulan Ramadhan:

Pada awal-awal bulan Ramadhan. Allah akan senantiasa memperhatikan setiap ummat Nabi Muhammad SAW. Dengan harapan segala amal perbuatan baiknya akan dilipat gandakannya. Manakala amalan yang sunat dilipat gandakan lagi seakan-akan menjadi wajib sedangkan amalan-amalan wajib akan dilakukannya lebih dari biasa secara bersungguh-sungguh. Dan barangsiapa yang diperhatikan oleh Allah moga-moga dia akan terhindar dari azab kubur dan siksa neraka.

Bau mulut orang yang berpuasa yang berbau akan berubah menjadi wangi sewangi-wanginya melebihi wangi kasturi di hari kiamat.

Pada setiap malam bulan Ramadhan akan ada berpuluh ribu malaikat yang turun ke bumi dan senantiasa memohon keampunan bagi orang orang yang memanfaatkan malamnya dengan solat, sujud, berzikir serta beribadah pada Allah.

Allah akan memerintahkan Syurga untuk berhias diri, sehingga umat Nabi Muhammad SAW yang memasuki Syurga akan senantiasa merasa nyaman dan tenang. Pada akhir-akhir bulan Ramadhan, Allah akan menghapus dosa-dosa orang yang bertaqwa dan beriman pada Allah.

KISAH BERIMANNYA RAJA HABIB

Abu Jahal dan Abu Lahab selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk membunuh Nabi Muhammad saw. Tiba-tiba Abu Jahal teringat kepada seorang Raja Syam yang bernama Raja Habib Bin Malik. Mereka pun mula merancang untuk membunuh Nabi saw melalui Raja Habib yang terkenal bengis dan zalim itu.


Mereka pun menghantar sepucuk surat jemputan kepada Raja Habib , mengundangnya ke Mekah. Raja Habib pun bersetuju setelah dijanjikan sambutan dan layanan istimewa dari pembesar Quraisy itu lalu berangkat ke Mekah dengan seribu orang pengawal. Abu Jahal dan semua pembesar Quraisy menyambut kedatangan Raja Habib dengan penuh rasa gembira dan mereka pun memberikan pelbagai jenis hadiah yang mahal kepada Raja Habib. Raja Habib pun ditempatkan di Abthah.


Selepas itu Abu Jahal pun memulakan rancangan jahatnya iaitu mula mengadu masalah yang dihadapi oleh penduduk Mekah dan memohon jasa baik Raja Habib untuk membantu mereka. Abu Jahal pun mengadu bahawa Nabi Muhammad saw telah mengaku menjadi pesuruh Allah dan membawa satu agama baru dan kononnya telah menghina Tuhan-Tuhan yang disembah mereka sejak nenek moyang mereka lagi. Mereka mengadu bahawa Nabi Muhammad saw akan membawa perpecahan dan kekacauan di Mekah jika terus dibiarkan begitu sahaja.


Raja Habib pun memerintahkan supaya Nabi Muhammad saw datang mengadapnya. Pada mulanya pemergian Nabi saw dibimbangi oleh Saiyidina Abu Bakar dan isterinya Saiyidatina Khadijah kerana Raja Habib memang terkenal sebagai seorang Raja yang zalim, namun setelah Nabi saw meyakinkan mereka bahawa Allah akan melindunginya, maka mereka pun berangkat mengadap Raja Habib. Nabi Muhammad saw telah memakai jubah yang berwarna merah dan memakai serban yang berwarna hitam.

Setelah terpandang wajah Nabi saw yang mulia, hati Raja Habib yang terkenal dengan sikap yang bengis itu tiba-tiba menjadi lembut, lalu mempersilakan Nabi saw duduk di sebelahnya.
Raja Habib pun mula bertanya: 

“Wahai Muhammad,benarkah seperti apa yang telah saya dengar bahawa kamu telah mengaku menjadi pesuruh Tuhan?”.
Jawab Nabi saw “memang benar”. 
Raja Habib bertanya lagi : “Siapa Tuhan kamu?” . ”Allah”  jawab Nabi saw.
“Sekiranya kamu seorang Nabi, sudah tentu kamu juga mempunyai mukjizat seperti Nabi-Nabi yang lain sebelum kamu”  kata Raja Habib. Lalu Nabi saw pun bertanya, “Apa yang tuan mahukan?”

“Saya mahu melihat perkara pelik yang belum pernah terjadi, sekiranya kamu seorang Nabi sudah tentu kamu mampu melakukannya”. Lalu Nabi saw menjawab: “Dengan izin Allah, pasti terjadi”
“Saya mahu matahari terbenam sebelum waktunya. kemudian bulan terbit lalu turun ke bumi. Bulan itu terbelah dua lalu masuk ke dalam pakaian kamu. Bulan itu akan keluar dari lengan baju kanan dan baju kiri kamu. Kemudian bercantum semula menjadi bulat di atas kepala kamu dan bulan itu mengucapkan syahadah membenarkan kenabian kamu kemudian kembali ke tempat asalnya di angkasa. Bulan itu terbenam. Kemudian matahari terbit kembali dan keadaan seperti biasa.”  Kata Raja Habib.

“Sekiranya Muhammad tidak boleh melakukannya, tuan bawa dia balik ke Syam ataupun bunuh saja”  Kata Abu Lahab dengan penuh perasaan jahat bercampur gembira kerana beliau yakin Nabi saw tidak mampu melakukan perkara yang rumit itu.
“Sekiranya berlaku seperti yang tuan mahukan, apakah tuan akan beriman kepada Allah ?” Tanya Nabi saw kepada Raja Habib pula.
“Ya, barulah saya percaya kamu adalah pesuruh Allah”.jawab Raja Habib.

Nabi Muhammad saw pun mendaki Bukit Kubaisy yang tidak jauh dari Kaabah lalu berdoa kepada Allah swt . Malaikat Jibril pun datang membawa Firman Allah lalu memberitahu Nabi saw : “Wahai kekasihKu, janganlah engkau takut dan janganlah engkau bersedih hati kerana Aku bersamamu di mana pun engkau berada. Aku sudah mengetahui sejak mula apa yang diminta oleh Habib. Pergilah kepada mereka , tunjukkan ayatKu. Bentangkan secara terang dan tegas risalahmu. Ketahuilah, yang Aku sudah menempatkan matahari, bulan, malam dan siang di bawah perintahmu. Dan ketahuilah yang anak perempuan Habib akan Aku sembuhkan daripada penyakit lumpuh dan kedua-dua matanya yang buta sudah pulih semula”


Tiba-tiba berlakulah peristiwa ajaib yang belum pernah dilihat oleh manusia dan penduduk Mekah sebelum itu. Matahari dengan perlahan bergerak ke ufuk barat lalu terbenam. Cahaya siang bertukar menjadi malam.Selepas itu bulan pun terbit lalu terbelah dua. Bulan yang terbelah itu pun turun lalu masuk kedalam jubah Nabi Muhammad saw. Kemudian bulan yang terbelah itu pun keluar dari lengan baju kanan dan kiri Nabi Muhammad saw dan bercantum semula di atas kepala Nabi saw sambil mengucap dua kalimah syahadah, iaitu mengaku “Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”. Kemudian bulan pun bergerak ke tempat asalnya lalu terbenam di ufuk barat. Matahari pun terbit semula lalu suasana menjadi seperti sediakala. Raja Habib dan orang ramai kagum dengan kejadian itu.
Saiyidina Abu Bakar bertakbir apabila menyaksikan mukjizat Rasulullah saw itu.Selepas itu Nabi saw pun turun dari Bukit Kubaisy lalu menemui Raja Habib.
“Ketahuilah wahai Raja Habib , anak perempuan kamu yang sakit telah sembuh dari penyakitnya dan matanya yang buta telah dapat melihat semula” Kata Nabi Muhammad saw kepada Raja Habib.
Raja Habib pun terkejut kerana tidak ada sesiapun yang tahu penyakit anaknya itu iaitu lumpuh dan matanya buta kecuali orang-orang istana dan mereka yang dekat dengannya sahaja. Dia merasa gembira lalu berkata :


“Wahai seluruh penduduk Kota Mekah, tidak ada kekafiran sesudah beriman. Ketahui yang saya percaya tidak ada Tuhan kecuali Allah dan mengaku Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya”. Selepas itu Raja Habib dan seribu orang pengawalnya telah memeluk islam, namun Abu Jahal dan Abu Lahab masih terpinga-pinga, marah dan masih tidak mendapat hidayah!
Raja Habib pun terus pulang ke Syam bersama pengawalnya tanpa menghiraukan Abu Jahal dan Abu Lahab. Setibanya di Syam, anak gadisnya yang lumpuh dan buta sedang berdiri menunggu di hadapan istana sambil mengucapkan kalimah syahadah. Raja Habib pun bertanya dari manakah anaknya itu belajar mengucap itu, lalu anaknya menjawab :
“Saya bermimpi di datangi oleh seorang pemuda yang mengatakan bahawa ayah telah memeluk islam dan saya akan sembuh daripada penyakit bila mengucap kalimah syahadah. Maka saya ucapkannya di dalam mimpi. Bila bangun dari tidur, saya dapati penyakit saya sudah sembuh dan mata saya sudah dapat melihat semula”  jawab anak gadisnya itu.


Raja Habib pun bersujud tanda kesyukuran kepada Allah swt. Sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Nabi Muhammad saw, Raja Habib pun mengirimkan hadiah berupa emas, intan dan permata yang banyak sehingga perlu dibawa oleh 5 ekor unta!
Bila utusan Raja Habib sampai ke Mekah, maka Abu Jahal pun mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya, tetapi telah dinafikan oleh pengawal utusan Raja Habib bahawa semua hadiah itu adalah untuk Nabi Muhammad saw. Suasana menjadi kecoh dan menarik perhatian ramai bila Abu Jahal menuduh pengawal utusan itu sudah terkena sihir Muhammad.

Bila mengetahui hal tersebut Nabi Muhammad saw pun pergi ke tempat itu. Abu Jahal yang tamak haloba itu masih mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya dan pembesar Quraisy yang lain. Abu Sufian bertanya orang ramai siapakah yang boleh menjadi pengadil dalam hal itu, lalu Nabi saw pun mencadangkan agar bertanya kepada unta yang membawa hadiah itu sendiri. Abu Jahal pun bersetuju, maka tempoh sehari diberikan lalu Abu Jahal pun balik menyembah dan memohon pertolongan dari berhala al-Latta dan al-Uzza bagi mendapatkan harta dari Raja Habib itu.
Bila tiba hari pengadilan, maka bertanyalah Abu Jahal kepada unta itu :
“Wahai unta, atas nama tuhan-tuhanku, al-Latta , al-Uzza dan al-Manata, beritahu kami untuk siapakah hadiah yang kamu bawa ini?” . Unta itu senyap dan tidak menjawab walaupun telah ditanya oleh Abu Jahal berulang-ulang kali sehingga beliau sendiri naik jemu dan penat.

Maka tibalah giliran Nabi Muhammad saw bertanya kepada unta itu pula :
“Dengan izin Allah,maka berkata-katalah wahai unta, untuk siapakah barang-barang yang kamu bawa ini?”  Lalu salah seekor dari unta itu pun menjawab “Kami membawa barang-barang ini sebagai hadiah daripada Raja Habib bin Malik untuk Nabi Muhammad saw”. Selepas mendengar kata-kata unta itu, orang ramai sekali lagi terpegun dan Abu Jahal pun terpaksa mengalah.


Selepas itu Nabi saw menyuruh Abu bakar dan sahabat-sahabatnya membawa kesemua barang itu naik ke atas Bukit Kubaisy. Selepas itu Nabi saw pun berdoa kepada Allah swt agar semua emas, permata, intan berlian itu menjadi tanah. Dengan izin Allah, dalam sekelip mata semua barang berharga itu bertukar menjadi tanah!

Itulah serba sedikit kisah seorang Raja yang mendapat hidayah, walaupun Baginda berada jauh di Syam, tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Nabi saw , namun selepas ditunjukkan bukti mukjizat Nabi Muhammad saw , baginda terus beriman kepada Allah swt dan Rasulnya, sedangkan Abu Jahal, Abu Lahab dan beberapa orang pembesar Mekah masih tertutup pintu hatinya untuk islam dan beriman kepada Allah swt walaupun telah diperlihatkan berpuluh-puluh kali mukjizat oleh Nabi Muhammad saw. Itulah nikmat iman dan hidayah…. Semuanya anugerah Tuhan…ianya tidak boleh dijual beli, tidak boleh dipaksa dan tidak boleh ditiru oleh sesiapa, kecuali kepada mereka yang dikehendaki olehNya jua.

RAHMAT DAN BERKAT

Perkataan rahmat dan berkat
Tidak asing lagi di dalam ajaran Islam,
Akhir-akhirnya dua istilah ini menjadi bahasa kita,
Hampir setiap hari disebut perkataan rahmat dan berkat,
Oleh itu mari kita mempelajarinya,
Apa itu erti rahmat dan berkat?
Rahmat itu adalah sifat Tuhan,
Daripada perkataan Ar Rahman Ar Rahim,
Kalau tidak cukup ilmu,
Seolah-olah rahmat dan berkat itu sama,
Yang sebenarnya rahmat dan berkat
Pengertiannya berlainan,
Rahmat merupakan khazanah Tuhan
Yang di Luh Mahfuz,
Khazanah Tuhan itu di dalamnya ada berbagai-bagai kebaikan,
Ada iman, ada taqwa, ada ilmu,
Ada kebaikan yang bersifat maknawi,
Ada kebaikan yang bersifat maddi,
Jadi Tuhan nak menurunkan rahmat-Nya
Daripada Luh Mahfuz kepada hamba-hamba-Nya
Samada secara individu
Mahupun secara jemaah,
Ia ada sistem,
Sistem itu Tuhan tetapkan di azali
Yang merupakan sunatullah,
Yang tidak ada berubah-ubah,
Sebab itu adalah satu ketetapan Tuhan diazali lagi,
Barakah saluran kebaikan Tuhan,
Daripada rahmat yang ada pada azali,
Samada yang berbentuk maknawi atau maddi,
Yang disalurkan kepada individu yang bertaqwa
Ataupun jemaah yang bertaqwa,

Barakah itu saluran
Yang diberi kepada orang yang bertaqwa itu,
Itu juga karamah orang itu,
Samada orang bertaqwa itu individu atau jemaah,
Kalau orang itu, Tuhan salurkan barakah kepadanya
Itulah karamah yang Tuhan bagi padanya,
Melalui barakah orang itu
Disalurkan kepada orang lain,
Samada secara individu atau jemaah,
Kadang-kadang emak atau ayah yang bertaqwa
Disalurkan barakah kepada anak-anak,
Kadang-kadang seorang guru yang ada barakah,
Dialirkan kepada murid-murid
Kadang-kadang pemimpin yang ada barakah
Disalurkan kepada pengikut-pengikutnya,
Cara karamah itu mengalir
Samada orang itu bertawasul kepadanya
Atau tidak bertawasul,
Jadi barakah itu aliran rahmat
Kepada orang-orang bertaqwa
Samada individu atau jemaah,
Kemudian dialirkan kepada orang lain,
Samada secara individu atau jemaah,
Kemudian perlu diingat,
Barakah ini kalau berlaku di dunia orang kafir pun dapat,
Bantuan yang bersifat maddi
Seperti kekayaan, intan berlian, makan minum,
Pakaian, rumah, kenderaan-kenderaan,
Tetapi perlu diingat
Kalau orang yang dapat berkat itu ada yang jahat,
Ia akan jadi istidraj,
Contoh:
Kalaulah seorang ada berkat,
Berkat itu dialirkan kepada seorang yang bertaqwa,
Contohnya kekayaan,
Kekayaan itu akan menjadi kebaikannya,
Ia jadi pemurah,
Menolong orang atau
Kalau barakah itu dialirkan kepada
orang yang bertaqwa itu ilmu,
ilmu itu akan memberi kebaikan kepadanya,
dengan bertambah ilmu, bertambah iman,
bertambah kebaikan, bertambah taqwa,
tapi kalau disalurkan kepada orang jahat,
contohnya ilmu,
dengan ilmu itu, orang itu jadi jahat,
jadi sombong,
kalau barakah itu disalurkan kepada orang yang jahat berkat orang baik
contoh kekayaan,
kekayaan itu menjadikannya sombong,
bangga, jadi membazir,
dengan kekayaan jadi istidraj,
asalnya baik iaitu rahmat,
akhirnya berkat itu jadi istidraj

14-07-o6

BEZANYA ORANG ISLAM, ORANG MUKMIN, ORANG BERTAQWA

Istilah Islam, mukmin dan taqwa ini sering atau kerap kita dengar. Walaupun secara umumnya ia berkaitan dengan orang yang beragama Islam, namun maksudnya tidak sama. Terdapat perbezaan di antara orang Islam, orang mukmin dan orang bertaqwa.

Orang yang masuk agama Islam tidak dikatakan masuk iman atau dikatakan orang mukmin. Orang yang masuk Islam tidak diistilahkan sebagai orang beriman.

Lebih-lebih lagi dia tidak dikatakan orang yang bertaqwa. Istilah yang dipakai ialah dia orang Islam atau muslim. Secara umumnya, itulah umat Islam. Mereka tidak dikaitkan dengan iman dan taqwa. Iman dan taqwa adalah perkara yang berbeza.

Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk mendapat iman dan taqwa. Untuk menjadi orang Islam, mudah. Cukup dengan bersyahadah sahaja. Namun dengan sekadar bersyahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang mukmin atau orang bertaqwa. Dia baru Islam. Bagaimana pun seorang yang bersyahadah tidak boleh dikatakan kafir. Kalau dia sembahyang, puasa, naik haji dan berjuang, tentulah dia orang Islam.

Untuk menjadi orang Islam, itu mudah tetapi untuk menjadi orang mukmin, susah. Untuk menjadi orang bertaqwa lebih lagi susah. Sebab itu masuk sahaja agama Islam, dia dikatakan Islam atau muslim tetapi tidak dikatakan mukmin atau taqwa.

Di antara orang mukmin dengan orang Islam sangat jauh bezanya.

1.Kalau kita hendak buat misalan, bolehlah kita kata Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu ada pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan sayur-sayuran.

Orang yang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan berada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia menjelajah taman. Syahadah itu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu apa lagi yang ada di dalam taman itu. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan dan pendengaran dan lain-lain.

Orang mukmin itu, dia sudah menjelajah taman. Sudah round taman. Dia sudah melihat keindahan taman.

Orang bertaqwa pula, dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayur-sayuran dalam taman itu. Maka orang bertaqwalah yang paling tinggi.

2. Sebagai contoh lagi, katalah kita hendak ziarah sebuah zoo. Kita ambil tiket lalu duduk di pintu. Lepas itu kita balik. Atau di sebuah taman bunga yang indah, kita ambil tiket dan duduk di kerusi. Lepas itu kita balik. Kemudian kita cakap kita sudah masuk zoo dan sudah masuk taman. Betullah kita sudah masuk. Tetapi kita belum tengok dan belum rasa hebat dan cantiknya zoo dan taman itu. Soal sudah masuk itu satu perkara. Itulah Islam. Soal sudah tengok dan sudah rasa keindahan dan kenikmatan zoo dan taman, itu satu perkara lain pula. Itulah mukmin dan taqwa.

3. Contoh lain, macamlah orang yang hendak masuk ke universiti. Dia baru baftar nama, belum belajar dan belum pusing-pusing kawasan universiti lagi. Baru diterima masuk, dia baru ada nama sebagai pelajar universiti. Itulah Islam. Dia belum boleh dikatakan seorang intelek atau seorang graduan. Intelek dan graduan itu ibarat mukmin dan taqwa. Cuma selesai pendaftaran, automatik dia menjadi student. Dia belum dapat ilmu. Jelajah kawasan universiti pun belum.

4. Atau kalau hendak dicontohkan lagi, Islam adalah ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nampak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mungkin tambah lagi dengan sedekah, belajar dan lain-lain. Itu kulit. Itu Islam.

Kalau kita hendak beli buah, adakah kita hendak makan kulit atau isi? Tentulah isi. Tetapi perlu ingat, kalau kulit cacat kita tidak akan beli buah itu walaupun bukan kulit yang hendak dimakan. Kalau kulit tidak elok, kita tidak beli. Tetapi ada juga buah yang kulitnya cantik dan elok tetapi di dalamnya ada ulat. Kalau kulit baik, belum tentu isinya baik, tetapi kalau kulit rosak sudah tentu, confirm yang di dalamnya rosak. Tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan isi yang elok. Begitu juga tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan rasa isi yang sedap. Katalah isi elok, namun belum tentu rasanya sedap. Kalau isi elok, boleh dimakan tetapi belum tentu rasanya sedap. Isi elok, itu tamsilan orang mukmin. Rasa sedap, itu tamsilan orang bertaqwa.

Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namum, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa).

Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namum, kedua-duanya mesti dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,”Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur,” Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.”

Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.

Katalah seseorang itu sembahyangnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang. Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa.

KISAH PERTARUNGAN DI ANTARA SEORANG LELAKI DAN IBLIS

Sepasang suami isteri itu hidup tenteram di awal kehidupan mereka bersama. Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah s.w.t. dihindari, dan mereka beribadah dengan tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi setelah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup. Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan dia melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Ia mendekati mereka. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Ramai juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangannya laris.

“Ini syirik,” fikir lelaki yang alim tadi. “Ini harus dibanteras habis-habisan. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah s.w.t..” Maka pulanglah dia dengan terburu-buru. Isterinya hairan, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis laknatullah yang menyerupai sebagai manusia.

“Hai, kamu mahu ke mana?” tanya si iblis laknatullah. Orang alim tersebut menjawab, “Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah s.w.t.. Saya sudah berjanji kepada Allah s.w.t. akan menebang roboh pohon syirik itu.” “Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut syirik seperti mereka. Baik kamu balik sahaja.” “Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras,” jawab si alim bersikap tegas.
“Berhenti, jangan teruskan!” bentak iblis laknatullah marah. “Akan saya teruskan!”

Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis laknatullah. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis laknatullah menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakita dia berkata, “Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar.Segeralah pulang saja, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,”

Mendengar janji iblis laknatullah dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah niat tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup tidak pernah cukup. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.

Demikianlah, semenjak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, “Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus.” Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong. “Kurang ajar. Penipu,” teriak si isteri. “Ambil kapak, tebanglah pohon itu.” “Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya,” sahut si alim itu. Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis laknatullah yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, “Mahu ke mana kamu?” herdiknya menggegar.

“Mahu menebang pohon,” jawab si alim dengan gagah berani. “Berhenti, jangan lanjutkan.” larang si iblis laknatullah “Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang.” jawab lelaki itu.
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis laknatullah yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan, “Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?” Iblis laknatullah itu dengan angkuh menjawab, “Tentu sahaja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampu menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu.”

Mendengar penjelasan iblis laknatullah ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah s.w.t. lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah s.w.t., dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari sia-sia yang berpanjangan Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah s.w.t. dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata ?

“Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman.”
Hadith Riwayat Muslim

Call Now
Directions