Tag Archives: manusia

KEKAYAAN ILMU DAN PENGALAMAN

Diwaktu zaman Imam Ghazali, 1,000 tahun dahulu, umatnya takut dengan kekayaan jadi mereka tak bincang tentang kekayaan – hidup mereka hanya bela kambing, sebab mereka takut jadi kaya.
Tetapi waktu itu mereka bergaduh dengan ilmu, akhirnya ramailah yang buka pondok pengajian.
Hari ini pula manusia asyik bincang fasal kekayan harta dan wang ringgit. Sebenarnya ilmu dan didikan amat penting untuk kita menilai, untuk kita pilih mana yang baik .

Kekayaan Ilmu dan Pengalaman
_________________________

Ajaran Islam sangat menggalakkan kepada umatnya menuntut ilmu, sama ada ilmu dunia atau ilmu Akhirat.
Mengapa Allah menggalakkan umat Islam menguasai ilmu dunia dan akhirat? Diantara hikmahnya ialah:-

1. Agar mengenal Allah dan boleh menyembahnya …kenal Pencipta serta takut denganNya kerana Dia berkuasa di atas kita. Kita belajar ilmu apa sekali pun, yang pentingnya ilmu itu membawa kita bertemu Tuhan –  belajar jadi engineer, saintis, doktor, pakar jantung, belajar berniaga semuanya boleh asalkan kita kenal Tuhan akhirnya.

2.Supaya umat Islam menuntut ilmu, agar berbagai ilmu maklumat boleh diketahui. Kita boleh kenal nama-nama binatang, nama-nama pokok dsbnya tetapi kita tak jadi sombong dengan ilmu itu.

3.Agar umat Islam terpimpin dengan syariatNya di dalam seluruh kehidupannya dan berakhlak mulia. Kenal mana yang halal, mana yang haram, yang sunat, yang makruh, yang harus. Ilmu tentang wanita nak bersalin bukankah elok wanita yang belajar agar terjaga syariat Allah? Berperanankah ilmu Tauhid, Fiqah, Tasawuf dan Akhlak mulia di dalam kehidupan kita?

4.Agar dengan ilmu dan pengalaman manusia boleh maju di dalam seluruh aspek kehidupan. Macam seorang dokor kenalah buat praktikal, baru ada pengalaman supaya boleh maju.

5.Agar umat Islam cinta dengan Akhirat dan mengutamakannya daripada dunia –  dengan demikian segala harta yang kita perolehi dapat diinfakkan untuk Akhirat. Harta dan kekayaan kita letak di tangan untuk diagih-agihkan kepada orang lain bukan diletakkan di hati sehingga kita rasa semuanya kita punya sendiri.

6.Agar umat Islam dengan ilmunya mudah menarik dan mempengaruhi orang yang bukan Islam masuk Islam – berapa ramai orang bukan Islam yang dah kita berjaya jadikan orang Islam yang sebenarnya?

7.Agar umat Islam dengan ilmu dan pengalamannya pandai mengendalikan urusan kehidupan sehingga mudah dan senang menguruskan kehidupan mereka. Bila kita berilmu dalam Islam, sewaktu bangun pagi dan hingga kita tidur balik dimalam hari semuanya jadi senang.

8.Agar kita layak menjadi khalifah Allah Ta’ala di bumi ini – nak layakkan diri kenalah ada 7 perkara yang diatas, kena ada ilmu dan pengalaman.

9.Agar dapat memimpin manusia ke jalan yang benar.

Biasanya berlaku kepada ahli-ahli ilmu ( lawan kepada hikmah diatas):
Allah menginginkan kepada ahli ilmu seperti yang kita sebut di atas tadi. Tapi lumrah berlaku dalam sepanjang sejarah manusia pada ahli ilmu adalah seperti berikut:

1.Sombong apabila menjadi ahli ilmu, dengan ilmu bukan hendak merendah diri dengan Tuhan dan dengan manusia. Dapat sahaja sekeping ijazah dengan emak, ayah nak tunjuk sombong – Allah hukum, berapa ramai siswazah yang tak ada kerja!. Walau ilmu apa kita punyai kita kena merendah diri, ilmu dunia, ilmu agama tak ada beza.

2.Menggunakan ilmu sebagai sumber mencari kekayaan dunia dan pangkat untuk kepentingan diri sendiri. Walaupun seorang ustaz…dalam nak cari duit, tipu semasa buat claim.

3.Tidak pun rasa takut dengan Allah, itulah cara majoritinya kecuali sedikit.

4.Ilmu yang dimiliki tidak dijadikan panduan hidup kecuali di aspek-aspek yang tertentu sahaja.

5.Dengan ilmu yang banyak tidak pun menarik orang yang bukan Islam masuk Islam kecuali sedikit sangat. Oleh kerana tidak ikhlas , masyarakat cepat jadi jahat kerana cendiakawannya jahat.

6.Ahli-ahli ilmu tidak menjadi obor/ikutan dalam kehidupan manusia lain.

HURAIAN BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Image result for image bismillahirrahmanirrahim

Dalam hidup kita, ada atau tidak, pada setiap hari seseorang yang memberitahu kita bahawa dia terlalu sayang dan terlalu pemurah kepada kita? Kita mungkin terfikirkan orang tersebut boleh jadi adalah ibu, suami atau isteri kita. Mereka kemudian memanggil kita duduk bersama, memberi sedikit sebanyak apa yang kita mahu dan perlu sehingga kita merasa yang mereka benar-benar sayang kepada kita.

Sebenarnya di dalam sembahyang, Allah, Tuhan Pencipta kita memanggil kita untuk ‘duduk-duduk’ denganNya dan Dia berkata kepada kita bahawa Dia adalah sangat Pemurah dan sangat Penyayang kepada kita. Ini adalah satu hadiah yang sangat istimewa. Ibu, suami atau isteri kita walau pun dia sayang tetapi dia tidak boleh katakan bahawa mereka terlalu sayang dan terlalu kasihkan kita. Namun kita dapat merasa kasih sayang mereka.

Tetapi Allah, Dia memanggil kita supaya datang kepada-Nya kerana terlalu sayang dan telah memberi apa sahaja untuk kita. Apa yang seharusnya kita rasa? Tentulah kita merasa seronok, bertuah, berbahagia.. Tuhan sayang kepada aku! Itulah perasaan, tindak balas kita kepada Allah. Tuhan mahu kita merasai kasih sayang-Nya dan kasih sayang itu akan Dia membalas lebih lagi.

Seperti sayang kita kepada ibu, maka kita sanggup memberi apa sahaja kepada ibu kita. Tetapi kenapa dengan Allah, kita tidak membalasnya? Kita tidak berusaha untuk membalasinya? Sebab itulah kita mesti kerap bertemu dengan-Nya (dalam sembahyang). Kalau kita mati tidak sempat membawa hati yang berperasaan terhadap Tuhan seperti yang Dia mahu, yakni hati yang tidak selamat maka tidak ada gunanya lagi, tiada nilainya kita dihantar ke dunia ini. Sembahyang menuntut kita sangat berhubung dengan Allah, merasai apa perasaan yang Dia mahu dari kita dan kita cuba membalasinya. Dalam sembahyang itu Allah seolah-olah mengajak kita untuk ‘berbual-bual’.

Huraian Bismillahirrahmannirrahim dalam Al Fatihah

Al Fatihah dimulai dengan Bismillah ( dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang). Daripada 99 nama-nama Allah dalam Asmaul Husna, Tuhan sangat menonjolkan sifat Rahman dan RahimNya. Istilah ALLAH itu dikatakan Ismu Jalalah, nama Tuhan yang Maha Agung. Nama bagi satu Zat yang dikatakan Dia lah Tuhan, yang menciptakan langit dan bumi. Yang dimasyhurkan ialah dua sifat Nya iaitu Rahman dan Rahim. Mengapa Tuhan tonjolkan dua sifat ini dan tidak sifat yang lain? Kalau kita kaji setidak-tidaknya ada beberapa maksud atau faedahnya iaitu:

Kalau kita prihatin, memang dua sifat inilah yang tertonjol. Katalah As Syakur, ia tidak berapa nampak. Al Jabbar dan Al Qahhar boleh dilihat sekali sekala seperti gunung berapi meletus, dilanggar kereta, ada pemimpin yang jatuh. Sekali sekala nampak Al Kabir dan Al Kudrah Nya. Tetapi Rahman dan Rahim sangat tertonjol. Setiap detik tertonjol, terserlah tetapi aneh kita tidak prihatin!.

AR RAHMAN – Yang Maha Pemurah

Orang yang lurus dan bersih hatinya, yang sangat sensitif, dia nampak sangat Rahmat Tuhan itu, seolah-olah macam salji yang turun.Pada kita yang terkesan ialah sifatnya yang sekali sekala berlaku. Berlaku gempa bumi di Iran, sebulan orang perbualkan padahal beberapa tahun sekali sahaja ia berlaku. Ajaib sekali. Bila ada orang mati dilanggar kereta, ia jadi bualan padahal bukan setiap detik ia berlaku.

Sepatutnya yang diperhatikan ialah Rahman dan Rahim Tuhan itu sebab ia bukan sahaja setiap detik berlaku bahkan setiap suku detik ia berlaku. Buktinya, ia berlaku dari kita bangun tidur sejak pagi. Sedar-sedar sahaja kita boleh bernafas.

“Hidup lagi aku. Sayangnya Tuhan dengan aku”.

Dengan nafas itulah aku boleh hidup. Kita hidup itu adalah dari kurnia Rahman dan Rahim Tuhan.

Bila kita pergi bilik air, itu Rahman dan Rahim Tuhan. “Boleh melangkah lagi aku. Tuhan sayang lagi dengan aku.”

Masuk bilik air, ada air lagi untuk mandi. Kita rasa segar. Tenaga kita yang tidak aktif semalaman itu , bila dapat air, terasa segar. Padahal waktu sakit itu dahsyat. Kena air, ¾ sakit hilang. Itulah kasih sayang Tuhan. Baru sampai bilik air sahaja, berapa ribu Rahman dan Rahim Tuhan. Mandi, bernafas dalam bilik air. Lepas itu kita boleh sembahyang dengan Rahman dan Rahim Tuhan juga. Seterusnya kita keluar pergi kerja dengan nafas yang turun naik, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan yang berlaku setiap detik.

Kita melangkah kaki, memijak di bumi Tuhan. Kalaulah Tuhan jerluskan bumi, bukankah dahsyat. Boleh berpijak dengan baik di bumi Tuhan. Boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah,

“Rupanya mata aku tidak buta. Ini Rahman dan Rahim Tuhan.”

Dengan Rahman dan Rahim Tuhan itu, kita seperti di lambak-lambak dengan nikmat Tuhan. Kalau seseorang yang terlalu jatuh cinta dengan Allah dan dia bukan seorang pemimpin manusia, perasaan yang dirasa untuk dirinya sahaja maka dia akan mabuk (sakr) dengan Tuhan. Itulah istilah-istilah yang dipakai. Dia mungkin seperti orang gila kerana tidak tahan dengan Rahmat dan nikmat yang bukan sahaja matanya dapat lihat bahkan hatinya juga melihat. Kalau Rasulullah SAW itu bukan pemimpin, mungkin dia sudah mabuk. Kalau sudah mabuk, sudah tidak boleh memimpin orang ramai.

Tetapi biasanya pemimpin-pemimpin itu Tuhan kawal perasaannya supaya tidak sampai mabuk. Setakat hatinya sahaja yang mabuk. Sebab itu kalau kita lihat ahli sufi yang bukan memimpin, ramai yang aneh-aneh. Kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka sebab perhubungannya dengan Tuhan terganggu kerana kita.

Sebab itu Sayidina Ali RA dan Sayidina Umar RA , ketika bertemu Uwais Al Qarni, Uwais Al Qarni tidak mahu bercakap panjang dengan mereka. Tentulah Sayidina Umar dan Sayidina Ali lebih tinggi pangkat dan darjat dari Uwais Al Qarni yang hanya afdhol tabiin iaitu tabiin yang paling utama. Orang yang ada hubungan hati dengan Tuhan, dia tidak seronok untuk berhubung dengan manusia jika dia bukan pemimpin manusia. Uwais hanya menjaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama berwatak nabi yang hanya jaga dirinya. Sebab itu dia mabuk dengan Allah. Biasanya orang kalau berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, mereka hendak berlama-lama kerana mereka rasa itulah ibadah mereka. Melihat muka mereka pun terasa terhubung hati kita dengan Tuhan. Tetapi orang macam Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan, dia jadi semacam mabuk bersendirian.

Jadi itu hikmah yang pertama mengapa Allah menonjolkan diriNya dengan dua sifat ini. Kalau orang yang prihatin dalam kehidupannya, mata, akal dan rohnya prihatin, memang sifat Rahman dan Rahim Tuhan ini kelihatan yang sangat menonjol. Sifat Rahman dan Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang yang berada di padang pasir kemudian didatangkan salji yang tidak berhenti-henti. Munasabahlah dua sifat ini tertonjol. Tetapi pelik, begitu sekali pun tertonjol dalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan ingatkan selalu dengan disebut Rahman dan Rahim itu melalui Bismillahirrahmanirrahim, namun kita buat tidak tahu dan kita tidak merasakan.

Padahal saya telah sebut tadi, mulai bangun tidur, di bilik air, di hadapan pintu rumah, belum jauh pun kita melangkah, kita merasa begitu banyak nikmat Tuhan. Jadi munasabahlah Tuhan menyuruh kita menyebut nama ini pada setiap perbuatan yang baik. Memang sifat inilah yang paling tertonjol . Tetapi sifat yang tertonjol ini tidak diperhatikan manusia. Menunjukkan hati kita sudah terlalu lalai. Kalau orang bukan Islam, kita tidak hairanlah. Hati yang lalai ini dimiliki orang yang masih solat, puasa dan sudah naik haji. Seolah-olahnya Rahman dan Rahim Tuhan itu kebetulan sahaja.

Contohnya kita ada seorang kawan yang kaya yang pemurah. Dia mengaajak kita bersiar-siar sekali sekala, memberi kita pakaian, hadiah untuk dibawa balik kepada anak. Dua bulan kemudian , kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita round-round lagi dengan keretanya.Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itupun kita mula bercakap, “Baiknya orang itu, pemurah dan berkasih sayang.”

Tapi aneh anak kita atau kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan ibu, diberi buku sekolah, diberi pakaian, sekali sekala dibawa keluar, kita tidak pernah rasa ibu ayah begitu sayangkan kita berbanding kawan kita yang bebuat sekali sekala. Kita boleh terikat hati dengan orang luar padahal sekali sekala sahaja orang itu berbuat baik pada kita

Ini samalah dengan apa yang orang buat pada Tuhan. Tuhan Pemurah dengan mereka, setiap detik dan setiap saat tetapi tidak pernah pula disebut. Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan. Kalau mengikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan logik atau tidak logiknya, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita bukan yang belanja sebulan sekali. Tetapi yang tidak logik itulah berlaku. Begitulah kita buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak nampak nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan.

Enam bulan sekali, bila sakit gigi, kita berkata, “Apalah Tuhan ni!!”. Yang sekali itu yang diingat. Waktu sihat itu kita lupa. Termasuklah kita yang berjuang, solat, puasa dan naik haji tetapi tidak teringatkan rahmat dan nikmat Tuhan. Itu menunjukkan hendak hidupkan hati susah sekali padahal kita dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari.

Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah kerana Dia hendak mengisytiharkan dua sifat ini yang menonjol. Sifat yang lain hanya berlaku sekali sekala untuk kesedaran, untuk insafkan manusia.

Supaya berkat setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang bersifat maddi atau maknawi, rohaniah, jangan lupa baca Bismillah. Supaya lahir cinta terhadap Tuhan. Apa rahsianya? Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap. Ia tidak berubah sama ada kita cinta atau bencikan Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita apabila kita baca Bismillah, kita tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin dengan banyaknya nikmat Tuhan. Supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan. Faedahnya bukan untuk Tuhan.

Kalau orang cintakan Tuhan automatik dia akan cinta sesama manusia. Untungnya dirasai sesama manusia. Bila cinta sesama manusia, tiada pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada peperangan.

Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Dalam Rahman dan Rahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, dalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam Rahman ada Rahman. Dalam Rahim ada Rahim. Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan. Kalau yang di luar pun kita tidak sedar, yang mata boleh melihat pun tidak perasan, betapalah yang tersirat.

Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik beri kita rahmat, tidak pernah kita puji atau promosikan Nya. Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak terfikir bagaimana hendak membalas nikmat Tuhan. Khusyuk atau tidak kita dalam solat sebagai kesyukuran kepada Tuhan? Sebab itu Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah. Besar peranannya yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu berkasih sayang. Agar dengan itu manusia mencintai Tuhan. Hasil cinta Tuhan, akan cinta sesama manusia. Akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan.

Selama ini kita belajar Bismillah,

”Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah ya. Jangan tidak ikut sunnah ya.” Setakat itu sahaja. Tidak perasan mengapa besarnya Rahman dan Rahim Tuhan itu. Tidak terasa besarnya Tuhan, tidak terasa peranan Nya besar. Tidak nampak hikmahnya besar. Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan. Tidak nampak patutnya kita cinta Tuhan supaya cinta kita sesama manusia.

MUTIARA HIKMAH

Sekiranya kita tidak bimbang akan berlakunya dosa di masa-masa depan, itu menunjukkan bahawa kita telah berdosa kerana kita yakin dengan diri kita sendiri iaitu kita berasa kita akan selamat dengan dosa dan kesalahan.
Bila kita yakin dengan diri kita itu bermakna kita sudah tidak beradab dengan Tuhan. Sepatutnya kita mengharapkan pemeliharaan dari Tuhan terhadap diri kita sendiri. Sebenarnya kita tidak punyai kuasa apa-apa, kerana itulah kita perlu kepada penjagaan dari Tuhan. Hanya Dialah yang boleh menjaga diri kita semua.
Perlunya kepada Tuhan itu amat penting. Ini menunjukkan kelemahan kita dan ingin pertolongan Tuhan. Rasa umpama ini adalah sangat disukai Allah kerana kita masih dapat mengekalkan rasa kehambaan.

Tuhan sangat suka seseorang hamba itu dapat merasa kehambaan. Seorang hamba tidak boleh rasa aman, dia sepatutnya selalu bimbang jika terbuat dosa atau melakukan kesalahan. Dia selalu runsing dengan kelemahan dan kecuaiannya. Bila-bila sahaja dia boleh melakukan kesalahan dan kesilapan.

Begitula sifat orang mukmin, dia tidak pernah merasa aman. Kerana itulah rasa bertuhan begitu menebal. Dia mengharap selalu hidayah dan taufik dari Tuhan. Dia tidak merasa selamat tanpa Tuhan. Kerana itulah Tuhan sentiasa dalam ingatannya. Dia yakin Tuhan sahaja yang boleh menyelamatkannya.
Memang Tuhan itu salah satu sifatnya adalah penyelamat.”

ZIKIR TAUBAT

 

 

 

 

Image result for image al anbiya 87

Surah Al Anbiya : 87

Laa ila hailla anta subhanaka inni kuntu minadzolimin….

( Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim )

~~~~~
Kekuatan orang bertaqwa kerana dia mampu bertaubat. Hendak elakkan dari melakukan dosa, kita tak mampu. Sebab memang begitulah seorang hamba. Para wali juga dikatakan mahfuz dan Rasulullah juga maksum tetapi mereka sangat merasa bersalah kepada Tuhan. Mereka mahfuz dan maksum dalam hal syariat sesama manusia tetapi Tuhan suruh Rasulullah membaca ayat itu kerana Tuhan mahu para hamba-Nya mengaku zalim terhadap Allah. Mereka juga diminta bertaubat mengaku diri zalim. Kalau kita yang membaca ayat ini, memang selayaklah kita mengaku zalim. Tetapi mereka ( para wali dan Rasulullah ) pun membaca ayat ini dan melihat diri mereka sebagai orang yang zalim.

Hebatnya ayat itu kerana ia sangat memperlihatkan kelemahan diri kita yang kita adalah orang yang jahat dan paling tidak selamat di zaman ini. Kalau seseorang dapat merendahkan dirinya begitu, semua merasa akan lemah, hina dan bolehlah merendah diri dan tak akan sombong, tak tengking orang, dia akan sentiasa menguasai dirinya. Kalau terbuat juga, dia taubat. Ayat ini membuatkan seseorang sangat melihat kejahatannya. Kalau orang puji, dia akan nampak yang ‘lain’ sebab dia kata… “aku termasuk orang-orang yang zalim”.

Kalau ada satu hari kita rasa tidak bersalah dan berdosa, itulah waktunya kita sangat bersalah dan berdosa kerana tidak ada rasa hamba dan melihat diri istimewa.

Seseorang yang tidak rasa takut selepas sembahyang, itu tandanya sembahyangnya tidak diterima. Begitulah bila kita tidak rasa hina, itu tandanya kita tidak ada rasa hamba. Melihatkan ini, kita jadi tertekan sangat sebenarnya. Tetapi sebenarnya bila kita tak mampu dan kita rasa bersalah, kita diberi peluang dan kemaafan. Islam itu memang indah. Sseseorang yang rasa takut selepas sembahyang, barulah sembahyangnya diterima. Kita dibingungkan dengan kenyataan-kenyataan bersifat roh. . Bila kita betul-betul rasa menghadap Tuhan dan ada buat silap maka kita rasa tak sempurna. Itulah satu tamsilan yang kita disuruh takut. Bukan saja disuruh tetapi siapa sembahyang yang tepat, dia mesti ada rasa takut dan itu ciri bahawa sembahyangnya diterima. Rasa takut yang bukan dipaksa-paksa tetapi ada gegaran ketakutan yang diperlukan.

Dalam zikir taubat ini, kita diminta melihat 1001 kejahatan diri terutama kepada Allah. Betapa kita mensia-siakan Allah. Sanggup melakukankan semuanya kerana cintakan keluarga tetapi kita tidak buat begitu kepada Allah. Kalau disuruh berkorban ke jalan Allah tidak seperti pengorbanan kita untuk anak-anak. Kalau untuk anak, tidak rasa terkorban pun. Tetapi kalau kepada Allah, kita rasa azab.(Contoh, bangun malam demi anak atau untuk qiam, mana yang mudah?)

Bagi orang yang bertaqwa, tidak perlu disuruh kerana Allah itu yang utama. Kita bahagia memberi kepada Tuhan yang sangat kita cintai. Kalau anak meminta sesuatu yang berat, memanglah rasa tersiksa tapi kita berdoa supaya dia dapat apa yang dia hajati. Itu baru cinta fitrah. Kalau anak menyusahkan kita teruk sangat pun kita rasa tak patut kalau dia tak ditolong. Tetapi kalau untuk cinta Allah, untuk Tuhan buat kita dapat balik khusyu’ kepada Allah, rasa berat……

Sepatutnya jika Tuhan hendak ambil balik anak kita seperti kisah Nabi Ibrahim, kita akan jawab, ‘saya setuju supaya Engkau dapat imbangkan nikmat dan ujian. Kalau kerana poligami yang buatkan saya terkenang-kenangkan Engkau, ya Allah… maka silakan..’

Dalam zikir taubat ini, kita diminta hitung kejahatan maka Tuhan kata, Aku hendak uji engkau.

Maha suci Allah, kerana-Nya, agama-Nya mampu menyelesaikan segala masalah bukan sahaja hutang malah poligami.

Sebuah Hadis menceritakan tentang seorang yang dapat melepasi semua halangan di Akhirat tetapi bila sudah sampai dekat dengan Syurga, dia tak boleh masuk. Bila nak masuk, ada orang yang tarik dia kerana dia rupanya masih berhutang. Ini bermakna, hutang itu besar di sisi Tuhan tetapi bagi kita tak penting. Hutang tidak ditangiskan dan tidak dirintihkan.

Dalam masyarakat solafussoleh, bila berlaku satu rompakan di dalam negeri, mereka akan tertanya-tanya apakah dosa yang sudah berlaku sehingga berlakunya rompakan? Begitu juga bila mereka berhutang. Mereka akan tercari-cari dosa apakah yang mesti ditaubatkan agar hutang diselesaikan Tuhan.

Sebenarnya kita belum bertaqwa. Bila kita bercakap, anak buah atau isteri atau anak-anak tidak mahu dengar. Tanyakanlah pada diri berapa kali habis zikir? Kalau sikit, patutlah lidah tak masin. Wirid itu adalah jalan taqwa.

Bila kita baca ayat ini, kita kata bahawa kita zalim tetapi kadang-kadang tak dapat rasa lagi yang kita zalim. Tambah bagi perempuan, mulutnya tidak boleh dipakai sangat sebab tidak dari hati. Hati sebenarnya belum menangis. Banyak kezaliman kita kepada Allah. Kita tidak membesarkan-Nya. Kita tidak pun merasakan kehebatan-Nya. Sedangkan oksigen itu kalau hanya sekejap tidak Dia berikan kepada kita, kita akan mati. Kita tidak takutkan Allah kerana itu kita boleh merajuk dengan suami. Kita tidak beradab dengan Allah. Kalau hati kita dihancurkan dalam pengembaraan ayat ini, mudah-mudahan kita sempat kekal dalam keadaan hamba.

Mereka yang sudah meningkat mungkin lebih cepat sebab mereka zikir dengan hati jadi dapat memecut dengan laju. Sebab mereka betul-betul dikuasai oleh ayat-ayat itu. Berbanding dengan kita, macamlah orang naik kereta dan kita naik basikal. Bukankah kita akan letih dan penat?

Hakikat Hidup

 

bg-sunset

Banyak orang mencari kebahagiaan bukan dengan Tuhan tapi dengan makhluk.
Padahal lumrah berlaku kepada manusia tapi manusia tidak juga mengambil
iktibar dan pengajaran. Ada isteri cantik banyak kerenah pula. Banyak harta
ditimpa penyakit bermacam-macam jenis pula. Ilmu banyak kerana kesombongan
manusia benci pula. Pangkat tinggi banyak pula orang benci kerana sikapnya.
Akhirnya kebahagiaan yang diburu tidak juga kunjung-kunjung tiba. Setengah
orang semua keistimewaan dunia dimilikinya Allah datangkan seribu masalah
pada dirinya. Kebahagiaan berkecai di dalam nikmat yang serba ada dan mewah
pula. Oleh itu carilah Allah dia adalah sumber segala kebahagiaan.

———————————————————————————-
Banyak orang menganggap masa depan itu hanya setakat hidup dunia. Sedikit
sekali yang mengatakan masa depan itu ialah kehidupan di akhirat. Maka
ramailah manusia memikirkan dunia dan sedikit sekali yang memikirkan
akhirat.

———————————————————————————
Banyak orang menyebut nafsu tapi tidak banyak orang tahu bagaimana hendak
membaikkan nafsu. Bila nafsu tidak dapat dibaikkan kita telah membuat
highway di dalam tubuh kita untuk perjalanan syaitan. Bila perjalanan
syaitan ada di dalam tubuh kita ertinya setiap detik kita digoda oleh
syaitan tapi kita tidak sedar. Akhirnya kita jadi bola oleh syaitan, dia
boleh tendang kita ke mana-mana. Di masa yang sama ada kalanya kita maki
syaitan, syaitan ketawa.

Call Now
Directions