Tag Archives: Mekah

SEKOLAH RASA HATI

IMG-20150826-WA004

SEKOLAH RASA HATI – MELAHIRKAN HAMBA DAN KHALIFAH ALLAH
Semua orang tahu bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang praktikal atau ilmu yang bermunafaat atau berbuah yakni berhasil dalam kehidupan. Untuk apa ladang rambutan beratus ekar kalau ia tidak berbuah! Bersembahyang itu hasilnya ialah “Kemenangan Dunia Akhirat” dengan syarat setiap sekali bersembahyang bertambahnya rasa takut kepada Allah dan bertambah rindukan Nabi Muhammad SAW. Itulah khusyuk namanya yakni sembahyang dengan rasa hati.
Sembahyang yang sempurna lahir dan batin melahirkan masyarakat atau jemaah yang takut Allah dan rindu Nabi, inilah masyarakat bertaqwa. Mereka mampu praktikalkan Islam sebagai cara hidup. Inilah masyarakat aman, makmur dan mendapat keampunan Allah.
Formula Sekolah Rasa Hati yang dikeluarkan oleh Allah dan Rasul:
Awal-awal agama ialah mengenal Allah. Maknanya sesiapa yang betul-betul mahu berjaya dunia Akhirat, menjadi Muslim yang hakiki, hendaklah ia bermula atau berawal dengan mengenal Allah.
Allah tidak boleh dikenal dengan akal. Akal cuma tahu tentang Allah tapi untuk kenal dan cinta mestilah menggunakan hati. Akal mampu bercerita tentang Allah manakala hati rasa bangga, kagum dan cinta serta takut pada Allah. Akal tahu Nabi tapi hati mampu merindui Nabi.
Maka sesiapa mahu beragama, syaratnya kenalah dia bersekolah tentang hati dan rasa-rasa hati. Tidak cukup kalau ia hanya bersekolah akal dan sekolah ilmu tentang Allah. Sekolah rasa hati telah dibangunkan di muka bumi ini oleh para mursyid. Mereka golongan sufi, tasawuf dan tariqat. Mereka juga mempunyai tauhid dan aqidah yang tinggi. Sebab itu mampu mencapai ilmu tentang hal-hal hati manusia.
Roh atau hati diaktifkan dengan rasa-rasa yang suci melalui sembahyang. Sembahyang itu agung. Pendidikan Rasulullah itu ialah anak-anak 7 tahun disuruh sembahyang. Rasululah tidak perintahkan belajar menulis dan membaca di umur itu. Manusia perlu di rohkan atau dapat rasa-rasa hati dahulu. Bukan akalkan dahulu. Keutamaan diberi pada roh. Akal diasuh membaca menulis untuk kegiatan roh iaitu sembahyang yakni akal itu dibentuk mengikut hala tuju roh ! Akal jangan berdiri sendiri supaya nafsu syaitan tidak dapat menguasai akal.

Dalam sembahyang, Rasulullah akan jadi jambatan dengan berkat guru mursyid ! Setiap orang Islam kena ada guru roh ! Tidak cukup setakat mempunyai guru akal walaupun ramai ! Mursyid seorang cukup ! Siapa yang roh nya tiada mursyid maka syaitan lah mursyidnya. Hati dipenuhi syaitan dan nafsu !

Daripada bacaan-bacaan sembahyang tahulah orang Islam hidup untuk Tuhan. Hidup bukan untuk diri. Sebab diri bukan kepunyaan sendiri. Diri kita ialah ciptaan Tuhan ! Hasil berhubung hati dengan Tuhan di dalam sembahyang maka hati merasai diri hanyalah barang ciptaan ! Diri bukan milik diri ! Diri di ciptakan untuk menjadi hamba dan khalifah Tuhan di bumi. Hati pun rasa takut pada Pencipta bila mana hidup digunakan untuk selain Allah. Hati jatuh cinta pada Tuhan yang sayang gila pada sihamba ! Tuhan sanggup ciptakan alam sebagai bukti cinta pada manusia !. Namun sebesar zarrah pun kejahatan dicatatNya untuk disoal siasat di Padang Mahsyar ! Siapalah tidak takut gila pada Allah yang dahsyatnya begitu sekali ! Sebab itulah sekolah rasa hati mampu lahirkan pejuang-pejuang yang sanggup memperjuangkan Allah dan Rasul. ISO perjuangan yang harganya melebihi nilai dunia dan seisinya !

Hati ialah sumber rasa-rasa. Manakala akal ialah sumber fikiran. Antara Rasa dan fikiran sebenarnya rasalah yang lebih berkesan kepada pembentukan peribadi. Yakni, bila hati itu baik maka balah diri. Bila hati itu jahat maka jahatlah peribadi-peribadi itu ! Demikian maksud Sabda Nabi SAW tentang seketul daging yang terletak di dada-dada manusia. Dia ialah Hati !
Ertinya hati dengan Otak, hati lebih utama ! Maka kalau akal disekolahkan begitu tinggi lebih-lebih lagilah rasa hati itu perlukan pengajian yang lebih tinggi dan utama.

Hari ini umat Islam hanya mengalami proses latihan-latihan akal yang macam-macam bentuk dan jenisnya di pusat-pusat pengajian mereka sekalipun dalam bidang agama Islam ! Hasilnya jadilah umat Islam dapat menguasai ilmu-ilmu tinggi di berbagai-bagai bidang kehidupan duniawi mereka. Namun semua itu hanya lah 50% daripada apa yang sepatutnya mereka kuasai untuk menjadi seorang Islam yang baik ! Sebab dalam Islam, Hati juga kena disucikan. Dilatih untuk menyuburkan segala-gala rasa hati yang baik ! Juga untuk membenteras rasa-rasa hati yang jahat. Supaya seorang teknokerat Islam ialah seorang yang tidak sombong. Supaya seorang ulama’ Islam ialah seorang yang tidak berhasad dengki. Supaya seorang seniman Islam itu juga ialah seorang yang tidak bakhil. Supaya tokoh sains dan politik Islam itu juga ialah seorang yang sangat berkasih sayang ! Demikianlah seterusnya : agar umat Islam itu ialah orang-orang yang bernilai dunia dan juga bernilai akhirat.

Untuk mencapai kecemerlangan insaniah dan lahiriah yang begitu hebatnya oleh umat Islam, kenalah kita mempunyai sekolah-sekolah, institut-institut, kolej-kolej dan universiti-universiti yang melakukan proses latihan rasa hati atau roh atau jiwa !
Namun sebaiknya kedua-dua latihan akal dan roh digabungkan dalam satu sekolah dan Universiti ! Sebaiknya lagi bilamana siswa siswi di persiapkan untuk muncul sebagai pejuang yang full time. Yakni bukan untuk makan gaji dengan majikan ! Yakni Universiti yang melahirkan majikan-majikan. Yang berjuang untuk ugama, bangsa dan Negara tanpa meminta bayaran ! Sebab dirinya sendiri merupakan sumber rezeki kerana mempunyai hubungan yang kuat dengan sekaya-kaya kuasa iaitu Tuhan.
Dasar pandang ke Mekah Madinah yakni kepada Allah dan Rasul dengan mengambil dari Quran dan Hadis itulah yang mampu mencipta sistem yang pendidikan yang ajaib ini. Sebab Allah dan Rasul akan bersetuju untuk menjadi Pemimpin dan Mahaguru serta ibu ayah kepada sistem ini. Allah dan Rasul kedua-duanya ialah kuasa ghaib lagi ajaib yang kemampuan mereka tiada terbatas !. Segala halangan dapat diatasi oleh keajaiban kerana kemampuan kuasa teknologi roh yang ghaib ini ialah mencipta keajaiban. Tentunya keajaiban dapat mengatasi segala kebuntuan akal.
Lihat pembangunan akal material semata-mata sekalipun cukup menakjubkan namun ia berakhir dengan kehancuran ! Sebab manusia-manusianya itu mempunyai hati yang tidak pernah disucikan di sekolah-sekolah tinggi ! Bila manusia dikuasai nafsu semata-mata maka mereka saling jatuh menjatuhkan ! Akhirnya perang dan hancur

Kata Rasulullah SAW : Belajarlah sekalipun sampai keliang lahad !Ertinya manusia-manusia itu sepatutnya menuntut ilmu sampai mati. Sebab manusia perlukan ilmu dari Allah dan Rasul itu, setiap hari, detik dan saat sehinggalah ke akhir hayat. Hatinya kena mampu berdepan dengan kematian penuh tabah ! Waktu itu akal sudah tidak mampu berfikir lagi. Tapi hati sangat perlu kekuatan untuk berdaya tahan untuk menghadapi liang lahad ! Supaya waktu nafas terakhir itu biarlah manusia mampu senyum dan berkata : Tuhan ku dan Nabi ku, selamat bertemu kembali.

PENGURUSAN SOLAT BERJEMAAH – HURAIAN, TEKNIK DAN PENDEKATAN

Marilah sama-sama kita membaca paparan mengenai Pengurusan Solat Berjemaah. Semoga kita sama-sama dapat merasakan betapa perlunya hal ini diberi perhatian. Inilah apa yang patut kita lakukan jika kita benar-benar berusaha mengamalkan sunnah Baginda Nabi saw. Apa yang dipaparkan ini adalah suatu yang dipandang besar dan berharga oleh Nabi Muhammad saw.

1) Ibadah solat adalah amalan yang sangat istimewa dan paling utama. Ianya anugerah Allah kepada Nabi Muhammad saw dan umat Baginda. Solat adalah kayu ukur dan penentu baik jahatnya seseorang hamba itu di sisi Tuhan. Kehidupan kita sepatutnya didasarkan dan difokaskan kepada solat. Kita wajar mengubahsuai jadual harian kita dengan waktu solat. Inilah punca keberkatan diri kita dan keluarga kita pada setiap waktu dan setiap hari. inilah juga punca keberkatan rezeki yang kita perolehi. Justeru GISB dan YKPPM menjadikan bangun tidur untuk beribadah malam sebagai syarat utama seseorang staf itu layak bekerja di sebelah siangnya. Jika dia tidak mengerjakan solat malam, maka dia wajar diberikan cuti atau diberikan kerja yang bukan kritikal. Biasanya mereka diminta melakukan kerja-kerja sampingan yang akan membantu mereka membaiki diri. Pelik bukan? Pada kami, hal sebegini adalah perkara biasa bahkan inilah inovasi yang kami lakukan bagi memastikan tahap kualiti setiap warga GISB / YKPPM setiasa meningkat dari masa ke semasa.

2) Setiap malam di seluruh dunia, warga GISB / YKPPM akan bangun awal dan berada di saf solat untuk solat taubat, solat tahajjud, solat hajat, solat witir dan sebagainya. Sekurang-kurangnya satu jam sebelum masuk waktu Subuh, alunan selawat akan mula dikumandangkan. Semua yang sudah selesai mengerjakan solat-solat sunat akan mula mengalunkan selawat Badawi, Selawat Ibrahimi dan Selawat Rindu Nabi beramai-ramai. Selawat ini dialunkan dengan penuh rasa ingin mendapatkan rasa rindu, kasih dan cintakan Nabi Saw. Apa yang penting amalan ini akan sangat membantu mengkhusyukkan hati ketika mengerjakan solat.

3) Bagi kebanyakan tempat yang mengadakan kawalan malam, aktiviti selawat adalah amalan rutin yang dilakukan secara bergilir-gilir sepanjang malam. Ianya tentulah berbeza dari kelompok kawalan malam yang menghabiskan masa malam mereka dengan bermain terup, mendengar musik yang melalaikan atau melayari laman internet yang merosakkan.

4) Para petugas surau hendaklah menyediakan hamparan solat berwarna putih yang memenuhi seluruh ruang solat tersebut. Warna putih sangat dianjurkan Baginda Nabi saw ketika mengerjakan solat kerana ianya membantu mengingatkan kita kepada kematian. Solat yang khusyuk itu mudah dirasai jika hati sangat mengenang-ngenangkan hari kematian dan merasakan solat yang akan didirikan itu adalah solat terakhir.

5) Pastikan arah kiblat yang tepat. Sedikit kita tersasar, kiblat kita iaitu Baitullah di Mekah akan tersasar ribuan km! Jangan ambil mudah hal ini kerana seseorang yang serius dengan hal solat, dia pasti akan berbuat semuanya dengan tepat, yakin dan sesempurna mungkin. Sediakan juga minyak wangi dan air minum untuk keperluan para jemaah. Minyak wangi untuk memastikan suasana ibadah solat dalam situasi yang segar dengan haruman menarik. Manakala air minuman (air kosong) juga diperlukan oleh sebahagian Jemaah.

6) Azan akan dikumandangkan tepat pada waktunya. Untuk bulan Ramadhan, azan bagi solat Maghrib yang juga untuk berbuka puasa,’ dilajukan’ sedikit. Orang yang dipilih untuk azan dan alunan selawat semestinya dari kalangan yang bersuara merdu. Azan yang merdu dengan nada laungannya yang enak didengar akan mendorong jiwa untuk menyambut seruan azan itu bagi mengerjakan ibadah.

7) Selesai azan, bacalah doa selepas azan dengan memahami dan menghayati ungkapannya. Ianya adalah doa khusus untuk Baginda Nabi saw yang kita panjatkan kepada Allah SWT agar mengurniakan berbagai kelebihan kepada Baginda. Bukankah natijah bagi mendoakan Baginda adalah balasan doa yang penuh bermakna untuk kita daripada Baginda Nabi SAW?

8) Selepas azan dan doa, bangunlah untuk solat sunat qabliah (solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu) dan berdoalah selepas solat sunat tersebut dengan rintihan hati mengharapkan segala yang kita inginkan dan hajatkan. Itulah antara waktu yang mustajab doa (waktu yang mudah diterima doa kita oleh Tuhan).

9) Dalam berdoa, rasakan Allah itu dekat dengan kita dan Maha Mendengar apa yang kita minta. Bersangka baiklah dengan Tuhan yang berjanji akan memberi (mengkabulkan) apa jua permintaan kita. Berharaplah jika ianya tidak kita perolehi di dunia, Tuhan akan simpankannya untuk kita di akhirat. Sebaik-baik doa, doalah dengan keberkatan Rasulullah dan para kekasih Baginda SAW. Berazam dan berjanjilah dengan Allah bahawa kita akan kekalkan rasa hamba yang lemah dan hina dan tidak akan sombong atau lupakan Tuhan diwaktu senang dan susah. Apa juga pemberian Tuhan, kita berharap kita akan menerimanya dengan penuh rasa kehambaan. Itulah adab kita dalam meminta hajat dengan Tuhan.

10) Kemudian bilal akan meminta para makmum bangun untuk berada di saf masing-masing dengan menyebut ‘Saf!!’ yang bermaksud isyarat agar para makmum bangun dan masuk ke dalam saf. Bilal tidak perlu tergesa-gesa melafazkan ‘iqamat’ sebaliknya beri ruang untuk makmum siap sedia dengan tenang. Hendaklah dipenuhkan saf yang lebih depan dahulu dan kemudiannya baru saf di belakang. Setiap orang mendatangi saf dengan memenuhkan bahagian belakang imam kemudian ke bahagian sebelah kanan imam dan bahagian sebelah kiri imam. Seorang demi seorang akan menempati ruang sebelah kanan dan kiri sehingga penuh. Begitulah untuk saf yang kedua dan seterusnya. Saf lelaki yang akhir ialah kanak-kanak lelaki yang sudah baligh manakala saf paling akhir adalah saf kanak-kanak lelaki yang belum baligh. Selepas itu baharulah saf wanita dewasa dan seterusnya.

11) Imam hendaklah berdiri menghadap para makmum untuk memeriksa kedudukan makmum yang di belakangnya. Untuk barisan kedua dan seterusnya, hendaklah bilal dan para ‘siak’ memastikan agar setiap saf berada dalam keadaan yang sangat lurus. Menepati kiblat dan rapat dalam ertikata kaki masing-masing bersentuhan bagi lelaki dan bersentuhan bahu, atau siku, atau lengan atau badan bagi kaum wanita. Pastikan juga makmum yang paling akhir sudah berada di dalam saf sebelum imam mengalihkan badannya mengadap kiblat. Pastikan tidak ada makmum yang masbuk (tertinggal mendapatkan rakaat pertama bersama imam).

12) Pastikan jarak antara saf tidak terlalu jauh dan tidak perlu terlalu dekat. Seelok-eloknya gunakan ukuran seorang yang sederhana tingginya. Sebaik-baik jarak antara kedua saf diukur ketika sujud. Pastikan sujud yang sederhana itu menjadikan hujung kepala / kopiah atau serban makmum di belakang berjarak kurang dari sejengkal dengan kaki imam atau kaki makmum yang di depan ketika sujud. Agakkanlah ini semua di awal solat agar jarak antara barisan saf itu adalah pada kadar yang dibenarkan.

13) Mengenai keadaan makmum yang masbuk atau masuk untuk solat berjemaah tetapi tidak sempat berada dalam rakaat yang pertama bersama imam, maka keadaan sebegini tidaklah digalakkan kecuali ada hal yang tidak dapat dielakkan. Seboleh-bolehnya apabila setiap orang sudah berada di saf solat – dalam masa satu jam, tidaklah memungkinkan lagi ada yang masbuk (tertinggal). Maka semua anak cucu dan warga GISB / YKPPM hendaklah memastikan TIDAK ADA lagi staf yang masbuk ketika mengerjakan solat berjemaah. Kita sedang berusaha menjadikan solat berjemaah itu benar-benar penting dan serius sepertimana Rasulullah SAW mengatakan boleh dibakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

14) Setelah semua orang bersiap dalam barisan saf yang lurus, barulah imam mengadap kiblat, mengangkat takbiratul ihram dan mengimamkan solat.

15) Bermula dari detik itu, peranan imam menjadi sangat utama dan paling bermakna. Imam sedang menerajui satu amalan ibadah yang paling agung dan sangat dinilai Allah SWT. Inilah satu-satunya ibadah yang Rasulullah SAW diminta agar mikraj bertemu Tuhan di Sidratul Muntaha bagi menerima perintah kewajipan mengerjakannya. Jadi ketika solat dimulakan, Imam sedang mengepalai sekelompok jemaah umat Islam yang sedang melakukan suatu amalan, pergerakan dan bacaan yang serupa. Semuanya dihadapkan kepada Tuhan. Semuanya sedang dinilai bagaimana hati mereka dengan Allah swt. Ketika itu hanya suara imam sahaja yang kedengaran. Makmum hanya mengaminkan Al-Fatehah dan mengungkapkan takbir peralihan antara rukun dengan menyebut ‘Allahu Akbar!’ atau Samiallahu Liman Hamidah setelah rukuk.

Hebatnya peranan imam ketika itu. Dia menjadi jurupandu membawa semua makmum di belakangnya mengadap Allah SWT. Mereka sedang membawa hati masing-masing untuk merasa ‘melihat Allah’ atau merasa ‘dilihat Allah’. Perasaan mereka berbaur-baur. Bukan mudah untuk mendapat rasa luar biasa iaitu khusyuk dengan Tuhan. Bukan mudah menolak lintasan demi lintasan api kealpaan yang ditembak iblis dan nafsu dari segenap sudut.

Solat yang hanya antara 5 ke 10 minit itu rupanya menjadi medan perang yang dahsyat. Perebutan antara nafsu syaitan dengan para malaikat dan hati yang inginkan Tuhan berlarutan tanpa henti. Sulitnya mendapat kelepasan dari gangguan yang melalaikan. Jika imam itu orang bertaqwa yang kuat hubungan hatinya dengan Allah swt, mungkin dia akan berupaya membawa anggota jemaahnya mendapatkan sedikit sebanyak rasa yang dikecapinya.

Di sinilah betapa perlunya seseorang imam itu dipimpin jiwanya agar ruhnya meningkat. Imam itu sendiri mesti sanggup merendah diri untuk dididik hati dibawa kepada Allah dan Rasul. Imam itu mesti melalui proses membuang ego dan sombong untuk membolehkan rasa hamba wujud kembali di dalam hatinya. Imam yang bertaqwa diharapkan akan berhasil mengembangkan rasa khusyuk ke hati para makmumnya. Solat berjemaah yang sebeginilah akan mempunyai kesan membentuk peribadi muslim dan masyarakat muslim.

Tanpa setiap makmum terbina jiwanya bagaimana mungkin mereka boleh membaiki diri dan meningkat rasa hati mereka dengan Tuhan. Alhasil jadilah mereka orang yang gagal dan terus gagal. Walaupun rajin bersembahyang, jika rasa khusyuk tidak ada, kemungkinan niat di hati boleh diubah oleh nafsu dan syaitan. Datang ke masjid dan surau bukan lagi atas dasar untuk mendapatkan Allah dan Rasul tetapi mungkin sekadar mengisi masa lapang atau bertemu kawan-kawan. Niat yang tersasar biasanya berlaku tanpa sedar kerana ianya berubah dalam dorongan bukan lagi niat yang diqasadkan di dalam hati.

Jadi besarlah peranan imam dan para pembantunya dalam menguruskan solat berjemaah. Alangkah beruntungnya umat Islam jika jiwa mereka dapat dibina, dicanai dan diasuh melalui sembahyang berjemaah. Jika ruh atau hati mereka dapat meningkat rasa takutkan Allah dan rasa rindukan Nabi saw, pastilah akan ada keajaiban yang Tuhan anugerahkan kepada mereka. Itulah janji Tuhan bagi kaum yang serius dan bersungguh-sungguh menegakkan sembahyang berjemaah.

Bayangkan umat Islam akan menjadi bangsa yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan, kuat keyakinan dan iman mereka dengan Allah yang mencipta seluruh alam. Mereka akan jadi bangsa yang bersatu padu, berkasih sayang dan aktif bekerja untuk mendaulatkan sistem hidup Islam di dalam kehidupan seharian. Islam yang ada di hati kelompok umat yang terbina sebegini rupa yang menjadi kuasa melepaskan umat Islam dari belenggu nafsu, syaitan dan sistem yahudi yang merosakkan.

Bayangkan kebebasan umat Islam dari kemelut sosial yang berbagai ragam apabila mereka semua digembelingkan hati jiwanya kepada Tuhan. Apabila semua hati memusatkan perhatian kepada Allah dan Rasul, mereka tidak akan berpecah belah atau berantakan sebaliknya mereka akan hidup harmoni, berkasih saying saling bekerjasama.

Itulah kubu yang terbina jika kita benar-benar meralisasikan “Pengurusan HablumMinallah!!”

MENYINGKAP RAHSIA PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

Israk Mikraj

Peristiwa ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah saw. Antaranya kematian ayah saudara Baginda iaitu Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga termasuk peristiwa dukacita ialah penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda saw. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah swt kepada kekasihNya.

Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Menurut Imam Nawawi, peristiwa ia berlaku pada bulan Rejab tahun kedua belas selepas kenabian. Peristiwa ini telah menjadikan Masjidil Aqsa dan Baitul Maqdis semakin mulia, Allah yang memberkati tempatnya dan kawasan sekelilingnya. Firman Allah:
سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي باركنا حوله لنريه من آياتنا
Terjemahannya :
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haram (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.” Al-Israa’:1

Pada malam yang mulia itu Jibril telah datang kepada Rasulullah Saw yang sedang tidur di Ka’bah. Jibril telah membawa Rasulullah Saw menaiki Buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Di Masjidil Aqsa sedang berlaku satu perhimpunan yang sangat luar biasa. Allah telah menghidupkan para Rasul dan Para Nabi untuk bertemu dengan Rasulullah Saw. Ulamak menyebut jumlah para Rasul adalah 300 orang dan jumlah para adalah Nabi dua puluh empat ribu orang.
Allah hadirkan mereka semua untuk bertemu dengan Rasulullah Saw. Tidak ada tempat di dunia ini yang semua para Rasul dan Para Nabi telah berkumpul di situ melainkan Ka’bah dan Baitul Maqdis. Rasulullah Saw pernah menyatakan bahawa semua Rasul dan Nabi menunaikan haji di Mekah. Rasulullah Saw telah mengimamkan sembahyang seluruh Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi.. Demikianlah kemuliaan Rasulullah Saw. Ia adalah sebuah persidangan para Rasul dan para Nabi. Sebuah peristiwa yang mungkin tidak berulang kali kedua di bumi ini.

Selepas sembahyang Jibril telah membawa membawa satu bekas susu dan satu bekas arak kepada Rasululah Saw. Rasulullah Saw telah memilih susu. Kata Jibril kepada Rasulullah Saw: “Kamu telah terpimpin kerana memilih susu wahai Rasulullah, begitulah juga umat kamu”. Ini adalah isyarat pertama bahwa arak itu satu yang tidak baik. Selepas itu baru ia diharamkan. Allah telah memelihara Rasulullah Saw, Baginda tidak pernah minum arak dari kecil lagi.

Setelah itu Rasulullah Saw dibawa naik ke langit. Inilah kuasa Allah yang tiada batasannya. Rasulullah Saw telah dibawa dalam perjalanan yang begitu jauh dalam masa yang terlalu singkat. Allah mahu mengajar kepada hambanya bahawa kalau Allah mahu, Allah boleh berbuat sesuatu yang diluar jangkauan akal dan kekuatan manusia. Bila dibuka pintu langit pertama kepada Rasulullah Saw. Baginda telah melihat berbagai perkara yang ajaib. Antaranya Rasulullah Saw melihat seorang lelaki yang tinggi, apabila lelaki itu berpaling ke kanan dia tersenyum dan apabila dia berpaling ke kiri dia menangis.

Rasulullah Saw bertanya kepada Jibril: “Siapa ini?” Kata Jibril: “Itulah Adam AS. Apabila dia melihat ke kanan dia melihat kepada umatnya yang masuk syurga tersenyumlah dia. Apabila dia memandang ke kiri dia melihat umatnya yang masuk ke neraka, menangislah dia”. Selepas itu Rasulullah Saw melihat, ada orang orang yang berenang dalam lautan darah. Apabila mereka sampai ketepi mereka mengangakan mulut mereka lalu Malaikat melontarkan api-api neraka ke dalam mulut mereka. Rasulullah Saw bertanya Jibril: “Siapa mereka ini?” Kata Jibril: “Merekalah orang-orang yang makan harta anak yatim. Mereka disiksa disini dulu sebelum disiksa di akhirat nanti”.

Selepas itu Rasulullah Saw melihat orang-orang lelaki yang perut mereka besar. Mereka semua terlentang, kemudian datang kaum Firaun melalui mereka sambil memijak-mijak perut mereka. Kaum Firaun akan dibawa melihat neraka dua kali sehari supaya mereka dapat melihat tempat mereka nanti. Dalam perjalanan mereka pergi ke neraka mereka memijak-mijak perut lelaki-lelaki yang sedang terlentang ini. Rasulullah Saw bertanya: “Siapa mereka itu?” Kata Jibril: “Mereka adalah orang-orang yang makan riba. Mereka diiazab di alam barzakh sebelum diazab di neraka nanti.

Selepas itu Rasulullah Saw melintasi sekumpulan lelaki-lelaki yang dihadapan mereka dua jenis makanan. Satu yang lazat dan bersih satu lagi yang buruk dan busuk. Mereka makan makanan yang buruk dan busuk itu. Rasulullah Saw bertanya: “Siapa mereka wahai Jibril?” Kata Jibril: “Merekalah orang-orang yang berzina. Mereka mempunyai isteri yang halal tetapi mereka tetap mencari perempuan yang haram.

Kemudian di langit yang kedua Rasululah telah bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS. Dilangit yang ketiga Rasulullah Saw telah bertemu dengan Nabi Yusuf AS. Dilangit yang kelima bertemu dengan Nabi Harun. Di langit yang keenam bertemu dengan Nabi Musa. Kemudian di langit yang ketujuh Rasulullah Saw telah melihat Baitul Makmur. Baitul Ma’mur adalah ka’bah kepada penduduk langit. Disitu para Malaikat bertawaf dan beribadah.

Disitu Rasulullah Saw telah melihat seorang lelaki yang sedang bersandar ke Baitul Ma’mur. Rupanya mirip rupa Rasulullah Saw. Rasulullah Saw bertanya: “Wahai Jibril, siapa orang ini?” Jawab Jibril: “Itulah bapa kamu Nabi Ibrahim As”. Di setiap langit Baginda telah disambut dan diraikan oleh para Nabi dan para Malaikat. Apabila sampai di penghujung langit yang ketujuh Rasulullah Saw melihat Jibril sudah berubah kepada kejadian asalnya. Itulah Jibril yang telah Rasulullah Saw lihat pada kali pertama ketika Rasulullah Saw berlari pulang kerumah dari gua Hirak. Ini adalah kali kedua Rasulullah Saw melihat Jibril dalam rupa sebenarnya itu.

Akhirnya Rasulullah Saw sampai di satu tempat yang tidak pernah seorang pun manusia sampai ke situ walaupun dia seorang Rasul dan Nabi. Kemudian Rasululah Saw melalui satu kawasan yang Malaikat pun tidak pernah sampai kesitu kecuali Jibril. Sampai di satu tempat Jibril meminta Rasulullah Saw bergerak ke hadapan dan dia berkata: “Kalau aku ke hadapan walaupun selangkah, aku akan terbakar”.

Begitulah Allah telah memuliakan Rasulullah Saw. Akhirnya Rasulullah Saw sampai di Sidratil Muntaha. Di sebuah tempat yang sangat luar biasa dan pertemuan yang sangat luar biasa. Di situlah Allah telah menyampaikan perintah sembahyang kepada Rasulullah Saw dan umat Baginda. Rasulullah Saw telah menerima perintah sembahyang terus dari Allah. Sementara seluruh syariat yang lain disampaikan melalui Jibril. Demikianlah, betapa agung dan betapa besarnya sembahyang disisi Allah.

Selepas pertemuan itu Rasulullah turun dan bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa bertanya: “Apa yang Allah perintahkan kepada umatmu” Jawab Rasululah Saw: “Allah perintahkan lima puluh fardu sembahyang sehari semalam”. Kata Nabi Musa: “Bani Israel telah diperintahkan kurang dari itu tetapi mereka tidak mampu melaksanakannya. Mintalah keringanan dari Allah”. Rasulullah Saw kerana belas kasihan kepada umatnya telah meminta keringanan dari Allah sehinggalah Allah telah meringankannya menjadi lima waktu sehari semalam. Walaupun hanya lima kali perlaksanaannya tetapi Allah tetap akan memberi pahala lima puluh kali. Demikianlah Maha Pemurahnya dan Maha Mulianya Allah.

Selepas itu Rasulullah Saw turun ke Baitul Maqdis semula. Dari Baitul Maqdis Rasulullah Saw kembali semula ke Mekah. Dalam perjalanan ini Rasulullah Saw telah menyaksikan berbagai pemandangan. Rasulullah Saw telah melintasi satu kafilah yang menunggang unta. Apabila unta-unta itu melihat Buraq, ada yang lari ketakutan. Puaslah tuannya mencari tetapi unta itu sudah hilang. Rasulullah Saw telah memberitahu mereka tempat unta itu bersembunyi. Mereka semua merasa terperanjat apabila mendengar suara dari langit telah memberitahu mereka dimana unta mereka. Anehnya, apabila mereka pergi ketempat itu mereka telah menjumpai unta mereka.

Sebelum terbit fajar pada malam yang sama, Rasulullah Saw telah berada di Mekah semula. Perjalanan dari Mekah ke Baitil Maqdis dan naik kelangit, kemudian turun semula ke Baitil Maqdis dan kembali ke Mekah hanya berlaku dalam masa separuh malam sahaja. Demikianlah, Allah telah memperlihatkan kuasanya. Selepas menunaikan sembahyang Subuh, Baginda duduk di Ka’bah. Baginda cuba mengingati seluruh peristiwa-peristiwa ajaib yang dilaluinya semalam.

Apabila Abu Jahal melihat Rasululah Saw, dia dapat meneka bahawa ada sesuatu yang berlaku kepada Rasulullah Saw. Dia datang kepada Rasulullah Saw dan bertanya: “Wahai Muhammad, adakah sesuatu telah berlaku kepada kamu?” Jawab Rasulullah Saw: “Ada”. Abu Jahal bertanya lagi: “Apa yang telah berlaku wahai Muhammad?” Jawab Rasulullah Saw: “Malam tadi aku telah pergi ke Baitul Maqdis kemudian aku pulang semula kesini”. Alangkah gembiranya Abu Jahal mendengar berita ini. Dia merasakan bahawa dia telah mendapat sesuatu yang baru untuk memburukkan Rasulullah Saw.

Sikap orang Islam dan Kafir Quraisy terhadap Israk Mikraj
Pada pagi itu Abu Jahal mengumpulkan orang ramai. Dia cukup gembira kerana sudah mempunyai bukti bahawa Rasulullah Saw memang adalah seorang yang menipu. Dia telah mengistiharkan kepada orang ramai peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu. Anehnya orang ramai tidak percaya kepada cerita Abu Jahal itu. Mereka bertanya sendiri kepada Rasulullah Saw dan Rasululah Saw membenarkannya. Peristiwa ini telah menguji iman orang-orang Islam. Ada dikalangan mereka yang lemah iman telah kembali kepada kekufuran.

Penduduk Mekah memang sama sekali tidak dapat mempercayai hal ini. Mustahil begi mereka Muhammad boleh pergi ke Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam. Perjalanan mengenderai unta ke Baitul Maqdis mengambil masa sebulan. Ada di kalangan umat Islam mengadukan hal ini kepada Saidina Abu Bakar. Kata Saidina Abu Bakar: “Kalau itu dari Rasulullah Saw, Rasululah Saw adalah benar”.

Saidina Abu Bakar segera mendapatkan Rasulullah Saw di Ka’bah. Dia melihat Quraisy sedang mengerumuni Rasulullah Saw. Abu Jahal yang panggil mereka semua supaya mereka datang mendengar cerita Rasulullah Saw. Selama ini dia dan pembesar-pembesar Quraisy melarang orang datang kepada Rasulullah Saw. Pada hari itu, merekalah yang memanggil orang datang kepada Rasulullah Saw. Mereka rasa ini satu kemenangan untuk mereka.

Saidina Abu Bakar terus mendapatkan Rasulullah Saw dan bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah Rasulullah telah pergi ke Baitul Maqdis semalam?” Rasulullah membenarkannya. Kata Saidina Abu Bakar: “Kamu telah bercakap benar wahai Rasulullah”. Demikianlah kata-kata yang terbit dari imannya yang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah Saw. Hati yang sangat mengenali dan yakin terhadap Rasulullah Saw. Ketika itu Rasulullah Saw telah bersabda: “Kamu telah berkata benar wahai Abu Bakar yang benar (( أبو بكر الصديق .

Demikianlah peristiwa ini telah mengangkat maqam Saidina Abu Bakar kepada maqam “As-Siddiq”. Inilah kali pertama Saidina Abu Bakar dipanggil As-Siddiq. Begitulah iman Saidina Abu Bakar. Dia tidak ragu langsung terhadap kebenaran Rasulullah Saw. Saidina Abu Bakar tidak mempersoalkan Rasulullah Saw sedikit pun. Dia terus membenarkan Rasulullah Saw. Kafir Quraisy telah menyangkal keyakinan Saidina Abu Bakar itu. Mereka berkata: “Bagaimana kamu boleh mempercayainya?! orang mengambil masa sebulan untuk sampai ke Palestin dan mengambil masa sebulan pula untuk pulang ke Mekah! Bagaimana Muhammad boleh melakukannya dalam satu malam?!”.

Jawab Saidina Abu Bakar: “Aku telah membenarkan Rasulullah Saw dalam perkara yang jauh lebih besar dari itu!. Aku telah beriman dengan Rasulullah Saw tentang wahyu yang turun dari langit dalam masa sekelip mata. Kalau itupun aku telah mempercayainya, kenapa pula aku tidak mempercayai Rasulullah Saw telah pergi ke Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja?”.

Selepas itu Saidina Abu Bakar telah membuktikan kepada Kafir Quraisy bahwa Rasulullah Saw adalah benar dalam semua yang Rasululah diperkatakannya itu. Demikianlah Saidina Abu Bakar mengenali dan memahami Rasulullah Saw. Saidina Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah Saw: “Wahai Rasulullah Saw, kami semua tahu bahawa kamu tidak pernah pergi ke Baitul Maqdis, dikalangan kami ada yang pernah pergi kesana, bolehkah Rasulullah Saw ceritakan kepada kami bagaimana Baitul Maqdis itu?”.

Rasululullah pun menjelaskan keadaan Baitul-Maqdis seperti yang Baginda lihat. Kafir Quraisy pula bertanya Rasulullah Saw, berapa jumlah tiang, pintunya dan tingkap Baitul-Maqdis. Mereka berusaha untuk membuktikan Rasulullah Saw tidak benar walaupun sudah jelas pada mereka Rasulullah Saw telah menceritakan tentang Masjidil Aqsa tepat seperti yang mereka tahu. Allah telah menjelmakan Baitul-Maqddis dalam penglihatan Rasulullah Saw. Apa sahaja yang Kafir Quraisy pertanyakan, Rasulullah Saw dapat menjawabnya.
Kafir Quraisy cukup terperanjat dengan jawapan Rasulullah Saw. Namun, hati mereka belum terbuka untuk beriman. Mereka tetap tidak menerima kebenaran Rasulullah Saw. Rasulullah Saw mencabar mereka: “Di antara kita ada bukti yang dapat disaksikan. Ada satu kafilah yang aku pintas mereka semasa perjalanan pulang”. Rasululah memberitahu Quraisy ciri-ciri kafilah itu bahkan ciri unta yang mengetuai kafilah itu.

Kata Rasulullah Saw lagi: “Ada unta mereka yang hilang semasa perjalanan, aku telah menujukkan kepada mereka tempat unta mereka bersembunyi”. Quraisy bertaanya: Bila kafilah itu akan sampai ke Mekah?” Jawab Rasulullah Saw: “Tiga hari dari sekarang”. Selepas itu semua penduduk Mekah menunggu-nunggu ketibaan kafilah itu.

Pada hari tersebut, orang-orang Mekah sudah menunggu kafilah ini sejak awal pagi. Memang benar, kafilah itu sampai setelah tiga hari seperti yang Rasulullah Saw sebutkan. Kafilah ini didahului oleh seekor unta persis seperti yang disebut oleh Rasulullah Saw. Quraisy bertanya mereka tentang unta mereka yang hilang. Kata mereka: “Benar, seekor unta telah hilang tetapi kami mendengar suara dari langit memberitahu kami tempat unta itu bersembunyi”. Kafilah itu terkejut, darimana Quraisy mengetahui tentang unta mereka yang hilang itu. Demikianlah Allah telah membuktikan kebenaran Rasulnya kepada penduduk Mekah. Tetapi kafir Quraisy tetap tidak mahu beriman.

Ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.

2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;

3. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

* Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

* Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

* Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

* Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada Akhirat.

* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

* Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

4. Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

KISAH BERIMANNYA RAJA HABIB

Abu Jahal dan Abu Lahab selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk membunuh Nabi Muhammad saw. Tiba-tiba Abu Jahal teringat kepada seorang Raja Syam yang bernama Raja Habib Bin Malik. Mereka pun mula merancang untuk membunuh Nabi saw melalui Raja Habib yang terkenal bengis dan zalim itu.


Mereka pun menghantar sepucuk surat jemputan kepada Raja Habib , mengundangnya ke Mekah. Raja Habib pun bersetuju setelah dijanjikan sambutan dan layanan istimewa dari pembesar Quraisy itu lalu berangkat ke Mekah dengan seribu orang pengawal. Abu Jahal dan semua pembesar Quraisy menyambut kedatangan Raja Habib dengan penuh rasa gembira dan mereka pun memberikan pelbagai jenis hadiah yang mahal kepada Raja Habib. Raja Habib pun ditempatkan di Abthah.


Selepas itu Abu Jahal pun memulakan rancangan jahatnya iaitu mula mengadu masalah yang dihadapi oleh penduduk Mekah dan memohon jasa baik Raja Habib untuk membantu mereka. Abu Jahal pun mengadu bahawa Nabi Muhammad saw telah mengaku menjadi pesuruh Allah dan membawa satu agama baru dan kononnya telah menghina Tuhan-Tuhan yang disembah mereka sejak nenek moyang mereka lagi. Mereka mengadu bahawa Nabi Muhammad saw akan membawa perpecahan dan kekacauan di Mekah jika terus dibiarkan begitu sahaja.


Raja Habib pun memerintahkan supaya Nabi Muhammad saw datang mengadapnya. Pada mulanya pemergian Nabi saw dibimbangi oleh Saiyidina Abu Bakar dan isterinya Saiyidatina Khadijah kerana Raja Habib memang terkenal sebagai seorang Raja yang zalim, namun setelah Nabi saw meyakinkan mereka bahawa Allah akan melindunginya, maka mereka pun berangkat mengadap Raja Habib. Nabi Muhammad saw telah memakai jubah yang berwarna merah dan memakai serban yang berwarna hitam.

Setelah terpandang wajah Nabi saw yang mulia, hati Raja Habib yang terkenal dengan sikap yang bengis itu tiba-tiba menjadi lembut, lalu mempersilakan Nabi saw duduk di sebelahnya.
Raja Habib pun mula bertanya: 

“Wahai Muhammad,benarkah seperti apa yang telah saya dengar bahawa kamu telah mengaku menjadi pesuruh Tuhan?”.
Jawab Nabi saw “memang benar”. 
Raja Habib bertanya lagi : “Siapa Tuhan kamu?” . ”Allah”  jawab Nabi saw.
“Sekiranya kamu seorang Nabi, sudah tentu kamu juga mempunyai mukjizat seperti Nabi-Nabi yang lain sebelum kamu”  kata Raja Habib. Lalu Nabi saw pun bertanya, “Apa yang tuan mahukan?”

“Saya mahu melihat perkara pelik yang belum pernah terjadi, sekiranya kamu seorang Nabi sudah tentu kamu mampu melakukannya”. Lalu Nabi saw menjawab: “Dengan izin Allah, pasti terjadi”
“Saya mahu matahari terbenam sebelum waktunya. kemudian bulan terbit lalu turun ke bumi. Bulan itu terbelah dua lalu masuk ke dalam pakaian kamu. Bulan itu akan keluar dari lengan baju kanan dan baju kiri kamu. Kemudian bercantum semula menjadi bulat di atas kepala kamu dan bulan itu mengucapkan syahadah membenarkan kenabian kamu kemudian kembali ke tempat asalnya di angkasa. Bulan itu terbenam. Kemudian matahari terbit kembali dan keadaan seperti biasa.”  Kata Raja Habib.

“Sekiranya Muhammad tidak boleh melakukannya, tuan bawa dia balik ke Syam ataupun bunuh saja”  Kata Abu Lahab dengan penuh perasaan jahat bercampur gembira kerana beliau yakin Nabi saw tidak mampu melakukan perkara yang rumit itu.
“Sekiranya berlaku seperti yang tuan mahukan, apakah tuan akan beriman kepada Allah ?” Tanya Nabi saw kepada Raja Habib pula.
“Ya, barulah saya percaya kamu adalah pesuruh Allah”.jawab Raja Habib.

Nabi Muhammad saw pun mendaki Bukit Kubaisy yang tidak jauh dari Kaabah lalu berdoa kepada Allah swt . Malaikat Jibril pun datang membawa Firman Allah lalu memberitahu Nabi saw : “Wahai kekasihKu, janganlah engkau takut dan janganlah engkau bersedih hati kerana Aku bersamamu di mana pun engkau berada. Aku sudah mengetahui sejak mula apa yang diminta oleh Habib. Pergilah kepada mereka , tunjukkan ayatKu. Bentangkan secara terang dan tegas risalahmu. Ketahuilah, yang Aku sudah menempatkan matahari, bulan, malam dan siang di bawah perintahmu. Dan ketahuilah yang anak perempuan Habib akan Aku sembuhkan daripada penyakit lumpuh dan kedua-dua matanya yang buta sudah pulih semula”


Tiba-tiba berlakulah peristiwa ajaib yang belum pernah dilihat oleh manusia dan penduduk Mekah sebelum itu. Matahari dengan perlahan bergerak ke ufuk barat lalu terbenam. Cahaya siang bertukar menjadi malam.Selepas itu bulan pun terbit lalu terbelah dua. Bulan yang terbelah itu pun turun lalu masuk kedalam jubah Nabi Muhammad saw. Kemudian bulan yang terbelah itu pun keluar dari lengan baju kanan dan kiri Nabi Muhammad saw dan bercantum semula di atas kepala Nabi saw sambil mengucap dua kalimah syahadah, iaitu mengaku “Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”. Kemudian bulan pun bergerak ke tempat asalnya lalu terbenam di ufuk barat. Matahari pun terbit semula lalu suasana menjadi seperti sediakala. Raja Habib dan orang ramai kagum dengan kejadian itu.
Saiyidina Abu Bakar bertakbir apabila menyaksikan mukjizat Rasulullah saw itu.Selepas itu Nabi saw pun turun dari Bukit Kubaisy lalu menemui Raja Habib.
“Ketahuilah wahai Raja Habib , anak perempuan kamu yang sakit telah sembuh dari penyakitnya dan matanya yang buta telah dapat melihat semula” Kata Nabi Muhammad saw kepada Raja Habib.
Raja Habib pun terkejut kerana tidak ada sesiapun yang tahu penyakit anaknya itu iaitu lumpuh dan matanya buta kecuali orang-orang istana dan mereka yang dekat dengannya sahaja. Dia merasa gembira lalu berkata :


“Wahai seluruh penduduk Kota Mekah, tidak ada kekafiran sesudah beriman. Ketahui yang saya percaya tidak ada Tuhan kecuali Allah dan mengaku Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya”. Selepas itu Raja Habib dan seribu orang pengawalnya telah memeluk islam, namun Abu Jahal dan Abu Lahab masih terpinga-pinga, marah dan masih tidak mendapat hidayah!
Raja Habib pun terus pulang ke Syam bersama pengawalnya tanpa menghiraukan Abu Jahal dan Abu Lahab. Setibanya di Syam, anak gadisnya yang lumpuh dan buta sedang berdiri menunggu di hadapan istana sambil mengucapkan kalimah syahadah. Raja Habib pun bertanya dari manakah anaknya itu belajar mengucap itu, lalu anaknya menjawab :
“Saya bermimpi di datangi oleh seorang pemuda yang mengatakan bahawa ayah telah memeluk islam dan saya akan sembuh daripada penyakit bila mengucap kalimah syahadah. Maka saya ucapkannya di dalam mimpi. Bila bangun dari tidur, saya dapati penyakit saya sudah sembuh dan mata saya sudah dapat melihat semula”  jawab anak gadisnya itu.


Raja Habib pun bersujud tanda kesyukuran kepada Allah swt. Sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Nabi Muhammad saw, Raja Habib pun mengirimkan hadiah berupa emas, intan dan permata yang banyak sehingga perlu dibawa oleh 5 ekor unta!
Bila utusan Raja Habib sampai ke Mekah, maka Abu Jahal pun mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya, tetapi telah dinafikan oleh pengawal utusan Raja Habib bahawa semua hadiah itu adalah untuk Nabi Muhammad saw. Suasana menjadi kecoh dan menarik perhatian ramai bila Abu Jahal menuduh pengawal utusan itu sudah terkena sihir Muhammad.

Bila mengetahui hal tersebut Nabi Muhammad saw pun pergi ke tempat itu. Abu Jahal yang tamak haloba itu masih mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya dan pembesar Quraisy yang lain. Abu Sufian bertanya orang ramai siapakah yang boleh menjadi pengadil dalam hal itu, lalu Nabi saw pun mencadangkan agar bertanya kepada unta yang membawa hadiah itu sendiri. Abu Jahal pun bersetuju, maka tempoh sehari diberikan lalu Abu Jahal pun balik menyembah dan memohon pertolongan dari berhala al-Latta dan al-Uzza bagi mendapatkan harta dari Raja Habib itu.
Bila tiba hari pengadilan, maka bertanyalah Abu Jahal kepada unta itu :
“Wahai unta, atas nama tuhan-tuhanku, al-Latta , al-Uzza dan al-Manata, beritahu kami untuk siapakah hadiah yang kamu bawa ini?” . Unta itu senyap dan tidak menjawab walaupun telah ditanya oleh Abu Jahal berulang-ulang kali sehingga beliau sendiri naik jemu dan penat.

Maka tibalah giliran Nabi Muhammad saw bertanya kepada unta itu pula :
“Dengan izin Allah,maka berkata-katalah wahai unta, untuk siapakah barang-barang yang kamu bawa ini?”  Lalu salah seekor dari unta itu pun menjawab “Kami membawa barang-barang ini sebagai hadiah daripada Raja Habib bin Malik untuk Nabi Muhammad saw”. Selepas mendengar kata-kata unta itu, orang ramai sekali lagi terpegun dan Abu Jahal pun terpaksa mengalah.


Selepas itu Nabi saw menyuruh Abu bakar dan sahabat-sahabatnya membawa kesemua barang itu naik ke atas Bukit Kubaisy. Selepas itu Nabi saw pun berdoa kepada Allah swt agar semua emas, permata, intan berlian itu menjadi tanah. Dengan izin Allah, dalam sekelip mata semua barang berharga itu bertukar menjadi tanah!

Itulah serba sedikit kisah seorang Raja yang mendapat hidayah, walaupun Baginda berada jauh di Syam, tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Nabi saw , namun selepas ditunjukkan bukti mukjizat Nabi Muhammad saw , baginda terus beriman kepada Allah swt dan Rasulnya, sedangkan Abu Jahal, Abu Lahab dan beberapa orang pembesar Mekah masih tertutup pintu hatinya untuk islam dan beriman kepada Allah swt walaupun telah diperlihatkan berpuluh-puluh kali mukjizat oleh Nabi Muhammad saw. Itulah nikmat iman dan hidayah…. Semuanya anugerah Tuhan…ianya tidak boleh dijual beli, tidak boleh dipaksa dan tidak boleh ditiru oleh sesiapa, kecuali kepada mereka yang dikehendaki olehNya jua.

BESARNYA MAKNA DAN HIKMAH HIJRAH

Hijrah sebagaimana kita maklum adalah tahun baru Islam, kita rasa pelik tahun baru Islam dihitung ketika hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah. Tidak diambil daripada tarikh Rasulullah saw lahir. Atau tidak diambil dari tarikh sejak Rasulullah saw jadi rasul. Yang sebenarnya kalau tak silap saya, Rasulullah saw ketika nak sambut tahun baru Islam Baginda mesyuarat bersama sahabat-sahabat minta pandangan sahabat-sahabat. Sahabat-sahabat berbeza pendapat, namun akhirnya dapat disepakati tarikh tahun baru Islam diambil dari tarikh hijrah.

Terjemahan Hadis :
Sesungguhnya setiap amal itu dinilai kerana niatnya, siapa yang berhijrah kerana dunia dia akan memperolehinya, yang hijrah untuk nikah dengan wanita. dia akan menikahinya, siapa berhijrah kerana Allah dan Rasul maka mereka akan dapat Allah dan Rasul.

Yang sebenarnya, hijrah yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Rasulullah saw, ada hikmah yang mendalam yang tersirat mahu pun tersurat. Yang tersirat lebih banyak lagi. Mungkin waktu hijrah itu Rasulullah saw dan sahabat tak tahu natijahnya, apa yang akan berlaku di masa depan, cuma Rasulullah Rasulullah saw ikut perintah Tuhan, disuruh hijrah, dia hijrah.

Kalau kita berpegang dengan surat khabar kita tak boleh faham apa itu hikmah hijrah. Cuba kita baca sikit sejarah. Bahkan terjemahan tentang hijrah itupun disalah terjemahkan. Setengah orang diterjemah dengan pelarian, ini adalah buruk sangat. Sedangkan apa yang dibuat Rasulullah saw adalah arahan wahyu samada perkataan perbuatan Rasulullah saw adalah arahan wahyu. Nampaknya macam lari tapi jangan diterjemahkan lari. Macam orang kena halau, buruk sangat. Mana boleh mengatakan Rasulullah saw lari atau sebagai pelarian itu silap. Rasulullah saw rasa nak hijrah itu adalah wahyu dari Tuhan, bukan kehendak Rasulullah saw. Padahal Rasulullah saw itu oleh kerana agama Islam belum smepurna Tuhan mesti menyempurnakan Islam, kalau dia tak hijrahpun dia takkan terancam, dia takkan kandas. Jadi Allah rasakan pada Rasulullah saw nak hijrah, itu wahyu, bukan kehendak Rasulullah saw. Kalau wahyu, besar hikmahnya. Ia adalah strategi besar.

Huraian sejarah :

Sepertimana kita maklum Rasulullah saw berjuang 2 peringkat, 2 era, bahagian 1 sebelum hijrah, bahagian ke 2 selepas hirah. Dengan kata-kata lain di Mekah 13 tahun, di Medinah 10 tahun. Waktu di Mekah 13 tahun terlalu sedikit syariat, kebanyakannya berhubungan dengan ketuhanan, dengan akhirat. Bahkan waktu hijrah itu baru 2 tahun saja sahabat bersembahyang seperti kita bersembahyang, iaitu tahun 11 kenabian. Mengapa terjadi begitu?

Begitulah hadis Rasulullah saw tentang hijrah.

Kerana syariat adalah untuk melahirkan rasa cinta takut Tuhan, nak melahirkan rasa kebesaran Tuhan. Kalau orang tak takut Tuhan, tak cintakan Tuhan apa ertinya sembahyang. Sebab itu Rasulullah saw didik sahabat selama 13 tahun untuk kenalkan Tuhan, dapatkan Tuhan, cintakan Tuhan, cintakan Rasul, cintakan hari Akhirat. Maka bila mereka itu disuruh bersyariat, itu semua untuk mempersembahkan rasa cinta kepada Allah.

Jadi hijrah kalau kita faham, wahyu dari Tuhan yakni dengan memasukkan perasaan ke dalam hati Rasulullah saw. Mungkin Rasulullah saw belum faham jawapannya, sahabat pun tak tahu, tapi kerana itu perintah dari Tuhan, mereka ikut saja. Rupanya setelah mereka hijrah, di sini Tuhan nak tinggikan wibawa Rasulullah saw. Kalau Rasulullah saw itu penyelamat sedangkan orang tak dapat melihat wibawanya besar orang tak dapat terima. Hasil hijrah sampai dapat tawan Mekah semula. Setiap hari di Medinah wibawa Rasulullah saw ditingkatkan sampai dapat balik Mekah.

Selepas Rasulullah saw perjuangkan cinta Tuhan, takut Tuhan, cinta akhirat, cinta Rasulullah saw, sahabat mabuk dengan Tuhan, Rasulullah saw dan Akhirat. Di sini kita lihat wibawanya Rasulullah saw. Kalau 2-3 tahun baru Rasulullah saw ceritakan cinta Tuhan dan akhirat kemudian ajak hijrah, sahabat tak mahu, tak larat. Senang ke mereka nak pindah. Perjalanan saja sebulan. Orang Arab, mereka hidup dengan kambing, unta. Nak bawa kambing unta. Kalau bukan cinta Allah, cinta Rasul, cinta Akhirat sudah tentu mereka tak larat. Tapi bila dah tertanam cinta Allah, cinta Rasul cinta, Akhirat, bila disuruh pindah, semua pindah. Yang tak pindah yang tua, yang sakit dan yang miskin.

Jadi kalau sahabat ikut Rasulullah saw berpindah dengan begitu susah, hebatnya Rasulullah saw. Apa kekuatan dia sehingga orang disuruh pindah, pindah saja? hal ini didengar orang Rom, Parsi, orang2 Arab dari Bani lain, mereka hairan. Disuruh pindah, pindah. Tinggal kebun tinggal rumah. Siapa Rasulullah saw ini? Yang sebenarnya Tuhan nak lahirkan wibawa Rasulullah saw. Di situ sudah tercengang dunia, dah terkejut. Apalah hikmahnya Muhammad ini yang mana dia suruh pengikutnya pindah dia pindah. Itulah yang pertama hikmahnya untuk meningkatkan wibawa Rasulullah saw. Senang ke nak pindah? hari ni ada kapal terbang pun orang susah nak pindah.

Ketika Rasulullah saw sudah sampai Medinah, dah berjuang 13 tahun, orang Medinah yang dah ulang alik ke Mekah, terus Islam di tangan Rasulullah saw sebab memang mereka menunggu. Dengan menyanyikan tholaal badru. Dengan Raja pun orang tak buat. Ini dibuat pada Muhammad, siapa Muhammad ini, apa kebesaran dia, apa keistimewaan dia?

Rasulullah saw sendiri buat hijrah ini mungkin dia tak diberi tahu, tapi Allah nak naikkan wibawa Rasulullah saw. Dah 2 bentuk untuk menaikkan wibawa Rasulullah saw. Kemudian dalam pindah beramai-ramai itu harta banyak tinggal, yang dibawa hanya sedikit kambing dan unta. Orang Medinah kerana cinta dengan orang muhajirin, mereka dinamakan orang Ansar, yang ada 2 rumah, 2 kebun dia bagi 1 rumah, 1 kebun atau dikongsikan. Yang tak ada isteri dikahwinkan. Yang ada 2 isteri 1 diceraikan dibagi pada muhajirin. Dunia terkejut sanggup memberi semuanya. Yang selama ini bangsa ini hanya tahu berperang saja. Bangsa yang berkuasa waktu itu puak Aus & Kahdraj, beratus tahun berperang, boleh berdamai, boleh berkasih sayang. Sanggup beri harta dan rumah. Apa yang Muhammad buat? apa dah terjadi yang selama ini banyak pemimpin tak boleh damaikan asyik perang saja. Dah 2 wibawa Rasulullah saw. Nampak?

Yang lagi mengejutkan, mungkin Rasulullah saw sendiri tak perasan mulanya, tapi Allah tahu. Di Medinah itu Yahudi pernah berkuasa 300 tahun. Yahudi cerdik, dia pandai, dia ada ekonomi ada ilmu. 300 tahun orang Arab di bawah dia, dihasut oleh Yahudi, orang-orang Medinah asyik perang, Yahudi untung. Yahudi jadi kapitalis beratus tahun lamanya. Dia beli barang orang-orang Arab dengan harga murah dia jual dengan harga mahal, ini berlaku beratus tahun lamanya. Jadi pusat ekonomi Yahudi di Medinah, bukan di Mekah.

Selepas Rasulullah saw dan sahabat berpindah dipersaudarakan Ansar dan Muhajirin kemudian Rasulullah saw arahkan Abd Rahman Auf buka pasar Ansar. Oleh kerana terjalin perpaduan, oleh kerana takut Tuhan, cinta Tuhan, cinta akhirat, mereka akhirnya memulaukan Yahudi. Bahan-bahan mentah dibeli umat Islam dengan harga lebih berpatutan dijual juga dengan berpatutan. Dua-dua pihak dapat untung. Orang-orang yang menguasahakan dapat untung yang beli dapat untung. Tak sepert Yahudi yang mana beli barang-barang mentah dengan harga murah sangat, bila dijual balik dengan harga mahal sangat, kedua-dua pihak rugi, yang hasilkan bahan mentah rugi, yang beli rugi. Tapi dengan didikan Rasulullah, dengan persaudaran orang Ansar Muhajirin dia pulaukan ekonomi yahudi dan mereka berdiri sendiri. Dalam masa 6 bulan orang-orang yahudi terpaksa berpindah keluar Medinah, dunia gempar terutama yahudi gempar. Apa dah jadi? apa Muhammad buat? Yang sebelum ni bergaduh, ekonomi dimonopoli yahudi, yahudi lari ke Palestin. Lagilah wibawa Rasulullah saw meningkat.

Fikirlah, orang yahudi terpaksa berpindah ke Palestin dengan terhina, sebab itu sampai sekarang yahudi marah sangat pada orang Arab sebab mereka terusir. Dunia waktu itu gempar. Ada apa dengan Muhammad?

4 perkara tadi begitu menjadikan Rasulullah berwibawa. Bangsa-bangsa lain nak ambil tahu nak sangat faham apa Muhammad dah buat? Sedangkan dunia waktu itu huru hara, tak selamat. Dunia sudah mula berfikir jangan-jangan ini penyelamat, mereka ingin tahu sekali. Sebab itu pembesar-pembesar, raja-raja ziarah ke Madinah dan balik bawa cerita. Hebat Muhammad, orang berperang boleh di satukan, kekuatan yahudi boleh hancur. Orang berfikir siapa ni? Sebab itu bila Tuhan perintahkan balik ke Mekah, tak perang sangat, sebab orang Mekah dah menganggap dia penyelamat. Sebab itu bila masuk semula ke Mekah perang kecil saja hanya 20 orang terlibat. Maka orang beramai-ramai masuk Islam dan mengatakan ini penyelamat. Selepas tu turun ayat, Izajaa anasrullahi wal fath..

Bila Mekah dan Madinah dapat ditawan, maka bangsa Rom dan Parsi dan orang-orang Arab lain inginkan kedatangan orang Muhammad ke negara mereka, mereka mahu bernaung di bawah Muhammad. Ini penyelamat, kami dah bergaduh beratus tahun. Sebab itu selepas Rasulullah saw wafat tentera Islam masuk ke Palestin, ke Irak, tawan Rom dan Parsi. Kebanyakan mereka sabotaj dengan bangsa mereka sendiri sebab rakyat menganggap ini penyelamat. Walaupun mereka bukan dari bangsa kami, kami ingin mereka selamatkan kami.

Jadi Allah perintahkan Rasulullah saw berhijrah dari Madinah bukanlah sabagai pelarian tapi sebagai strategi jangka panjang untuk ditiru pejuang-pejuang Islam sepanjang zaman. Siapa penyelamat mesti ada wibawa, kalau tak ada wibawa ilmu banyak pun tak berguna. Sebab itu kalau kita nak jadi penyelamat, mesti pemimpinnya berwibawa. Kalau begitu sejarah Hijrah ni nak kita tiru supaya pengikut dapat berfikir macam mana nak wibawakan pemimpin mereka supaya orang boleh tunduk pada mereka. Itulah hikmah hijrah yang tak dicungkil oleh ulama.

Itu baru sikit, masih banyak lagi hikmahnya. Setakat 5 hujah tadi kita mengakui betapa hebatnya wibawa Rasulullah saw. Selepas itu dah senang, bila dah ada wibawa orang menyerah-nyerah. Tapi ingat yang susah tu 13 tahun. Tapi selepas tu senang, sebab Rasulullah saw dah ada wibawa.

Jadi hijrah itu besar hikmahnya yang tak dapat dilihat hikmahnya oleh orang di zaman ni. Sebagai pejuang kena kita usahakan bagaimana supaya pemimpin itu dapat dilihat wibawa. Kalau pemimpin itu tak dilihat wibawanya, orang lihat sebagai orang baik saja, nak serah diri susah. Kita kena belajar dari hijrah Rasulullah saw, yang mana hijrah itu untuk menonjokkan wibawa Rasulullah saw sebagai penyelamat dunia.

Jadi hijrah tu bukan pelarian, ia diarah oleh Tuhan. Tapi Rasulullah saw sendiri mngkin tak faham peringkat awalnya. Dah lama berhijrah itu baru nampak hikmahnya. Mereka kata, patut Allah perintahkan kita hijrah.

Call Now
Directions