Tag Archives: Rasul

KEM MOTIVASI ALA MADRASAH KEMBALI LAGI !!!

RALK  - School

Tarikh: 16 Mac Hingga 19 Mac 2015 (Isnin – Khamis)
(Cuti Pertengahan Penggal 1/2015)

Menarik, Berilmu, Ceria Dan Menginsafkan
Anjuran : LIMPAHAN KASIH SOLUTIONS
(03-80523814 / 019-6226183)

Tempat KEM: Sek. Men. Islam Zadut Taqwa
(Rumah Amal Limpahan Kasih – RALK)
Lot 115, Lrg Bistari 3, Jalan Jurutera, Kg Seri Aman,
Puchong, Selangor

Umur Peserta: 10 – 13 tahun / 14 – 16 tahun / 17 tahun dan ke atas (Lepasan SPM)

HUBUNGI: Ust Haji Johari: 019-6226183 / Ust Norhan
011-27273314 / Pn Wan Nor Fauziah: 013-2576200

Kem Motivasi yang menyediakan pelbagai elemen menarik:
1. Bimbingan Asas Fardhu Ain & Bacaan Solat
– Perbahasan mudah secara ilmiah dan praktikal dalam LDK
2. Penghayatan Solat Sebagai Asas Bina Insaniah
– Menghayati terjemahan bacaan solat / Kaifyat solat & Mujahadah khusyuk
3. Hafalan Doa dan surah-surah utama dalam Al-Quran
– Kaedah tasmik harian selama 4 hari.
4. Kuliah & Tazkirah Sambil Berhibur / Santai – Tazkirah yang diutamakan; tidak rasmi
5. Alam Barzakh & Program Bina Kesedaran – Proses “RECALL” / muhasabah diri
6. Disiplin Pengurusan Diri, Penggunaan Gajet , HP / Android & Pengurusan Masa
– Disiplin dibentuk dari dorongan bukannya paksaan.
7. Motivasi Pelajar & Tip-tip Menghadapi Peperiksaan
– Kesedaran tentang pentingnya belajar bertitik tolak dari dalam diri.
8. Riadhah Berpendidikan (Tarbiyah) – Senaman berirama nasyid
9. Hiburan Berpendidikan (Tarbiyah) – Hiburan sentiasa berlaku sepanjang program
10. Persembahan kumpulan ala teater, ala silat dan drama Islami
– Bermotifkan mencungkil bakat, kreativiti, bekerjasama dan rasa bersama
11. Nasyid tema Kem Motivasi Ala Madrasah dan seni kebudayaan Islam
– Terdapat 3 buah lagu nasyid yang dialunkan bersama
12. Motivasi pembinaan potensi diri
13. Program Mengasah Minda& Menyuburkan rohaniah:
– Minda perlu diseragamkan dengan kehendak Allah. Kem ini menjadi cabaran membina kaedah berfikir sebenar seperti yang Allah dan Rasul kehendaki.
14. A TO Z Bina Hati Sensitif Dengan Tuhan Pencipta Alam
– Manusia sepatutnya berbuat dan bertindak dengan hati yang takutkan Allah.
15. Program taklimat khas untuk ibubapa
– Pembentangan prestasi anak-anak sepanjang KEM MOTIVASI ALA MADRASAH dan apa yang perlu di lakukan semasa di rumah.
___________________________________________________
SUMBANGAN (4HARI 3 MALAM): RM197.00
(Penyertaan 4 orang hanya RM497.00)
AKAUN MAYBANK LIMPAHAN KASIH SOLUTIONS: 562777220661

KEMATIAN YANG DIRINDUI

Wahai kematian yang dirindui,

Oleh kerana Rasulullah SAW ada bersabda:
“Secerdik-cerdik manusia ialah yang paling mengingati kematian”.

Maka bodoh sangatlah kami ini kerana selama ini kami takut dengan-mu wahai kematian. Bodoh macam orang yang tak mahu kahwin kerana takut nak bersalin. Sakit katanya. Jadi tak kahwin lah dia. Bodoh tak?

Aduh, kematian yang menjanjikan 1001 keindahan itu ditakuti dan dilupakan saja oleh orang Islam! Bodohnya. Kena tipunya dan ruginya wahai orang Islam.
Kenapa dan mengapa sampai terjadi begini agaknya?
Kesalnya kami wahai kematian, tidak terkira-kira lagi rasanya!

Kematian sepatutnya ialah hari yang begitu dipersiapkan.
– Macam orang yang diberikan jamu sedari kecil kepada anaknya sebagai persiapan untuk kahwin.
– Macam orang yang siapkan komputer untuk anaknya yang tak lahir lagi supaya lahir-lahir saja terus pandai main computer.
– Macam orang yang simpan duit sejak di sekolah lagi agar dapat masukkan anak ke universiti.

Kematian sesungguhnya kerana pentingnya, ia lebih-lebih lagi patut dipersiapkan sebenarnya.
Bukannya macam sekarang, bila mati saja seseorang, maka orang yang hidup pun cakap,
“Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Walaupun dia kesayangan kita, namun nampaknya Allah lebih sayangkannya. Saya redha”

Walhal sepatutnya kata-kata yang dibuat itu begini:
“Ya Allah, macamana ni, dia dah mati. Munkar Nakir akan soal macam-macam. Dia boleh jawab tak? Kalau tidak teruklah dalam kubur. Nanti di Akhirat yang mula-mula Allah tanya tentang sembahyang. Cukup bilangan tak? Khusyuk ke lalai? Kalau lalai dalam sembahyang ke neraka Wail lah tempatnya. Macamana ni?
Ya Allah, Tolong, tolong, tolong.

Sebenarnya persiapan untuk mati yang dirindui itu ialah jadikan hidup untuk Allah dan Rasul. Bukankan itu yang diazankan kepada kita seelok kita dilahirkan ke bumi?
Macamana boleh tersilap?
Hidup ialah untuk membalasi cinta Allah dan Rasul yang menghadiahkan kehidupan ini kepada kita?

Cinta Allah dan Rasul terlalu Agung kepada kita. Rasakanlah. Seperti kita sayangkan ibu bapa begitu sekali, macamana boleh terjadi kita tidak menyayangi Allah dan Rasul lebih dari itu?
Sepatutnya cinta Agung itu sangat terjadi antara kita dan Allah serta Rasul.

Sesungguhnya, hanya orang yang mengalami cinta kepada Allah dan Rasul sahaja yang mampu untuk menikmati perasaan rindukan kematiannya. Sebab kematian ialah bertemu dengan seagung-agung cinta!

Sebab hidup yang sebenar-benarnya itu ialah kematiannya yang indah. Kematian bukan memutuskan seperti kata musuh-musuh Allah itu. Kematian menurut Allah dan Rasul ialah penghubung kepada kehidupan Yang Maha Indah penuh kebahagiaan bersama Allah dan Rasul di dalam Syurga mereka

Ampun maaf.

MASALAH DALAM KEHIDUPAN

Ada masalah di dalam kehidupan bukanlah satu masalah,
Masalah memang sudah menjadi sunnatullah di dalam kehidupan di kalangan insan,
Yang menjadi masalah bukan masalah itu,
yang menjadi masalah orang tidak tahu peranan Tuhan,
Tidak kenal Tuhan dan peranan-Nya itulah yang sebenarnya masalah Jadi sudah jadi dua masalah,
yang bukan masalah jadi masalah,yang masalah memanglah masalah.

Apabila tidak kenal peranan Tuhan masalah itu memanglah jadi masalah dua kali masalah,
Kalaulah masalah itu adalah jadi masalah, kekasih Tuhan tidak akan ditimpakan masalah,
Kalaulah masalah itu adalah masalah, Rasul, Nabi,
Tuhan tidak akan timpakan mereka masalah,
Tapi Tuhan datangkan berbagai-bagai masalah kepada kekasih-Nya,
Tuhan tahu pada mereka bukan masalah,
Kerana itulah mereka ditimpakan masalah.

Pada mereka masalah itu adalah ibadah,
Masalah itu adalah kecintaan dan keredhaan Allah,
Kerana itulah masalah itu mereka tidak jadikan masalah,
Bahkan mereka rasa bahagian dengan masalah,
Dengan masalah rasa kehambaan mereka bertambah,
Rasa kehambaan itu adalah ibadah kepada mereka, pangkat dan darjat di dalam Syurga,
Oleh itu Tuhan sering sahaja menambahkan mereka itu dengan berbagai-bagai masalah,

Tuhan bertambah cinta kepada mereka dengan masalah, yang mereka anggap bukan masalah tapi ibadah,
Maha Suci Tuhan menyeksa kekasih-kekasih-Nya,
Orang yang bodoh sahaja yang tidak faham kerja-kerja Allah,
Pada Tuhan masalah yang ditimpakan kepada kekasih-kekasih-Nya bukanlah masalah,
Kerana itulah Tuhan biarkan sahaja mereka bermasalah,
Dengan masalah-masalah itulah mereka mendapat ketinggian darjat di dalam Syurga,
Sungguh pelik kerja Tuhan, payah hendak difaham oleh orang biasa.

KEINDAHAN ISLAM

“Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam…” [Ali Imran: 19]

Satu-satunya agama yang Allah akui kebenarannya, kesempurnaannya dan terbaik untuk manusia adalah Islam. Sebab Islam itu ialah agama yang datang dari Allah, sedangkan agama-agama lain adalah bikinan manusia semata-mata. Adakah sama sesuatu yang datang dari Allah dengan sesuatu yang direka oleh manusia?  Jauh, jauh sekali bezanya.

Allah adalah pencipta manusia, kerana itulah Allah lah yang paling tahu tentang manusia. Oleh kerananya aturan/agama Allah itulah yang paling lengkap dan paling sesuai dengan kejadian semula jadi (fitrah manusia).

Diri manusia terdiri dari 3 unsur, yaitu jasad, akal dan Roh/hati/jiwa. Roh/hati/jiwa manusia mempunyai perasaan yang Tuhan bekalkan bersamaan dengan lahirnya fizikal manusia. Indahnya Islam itu adalah dinul Islam itu sebenarnya sangat sesuai dengan fitrah manusia, dengan kata lain sesuai dengan perasaan manusia. Apa yang hati manusia setuju, itulah yang Allah suruh. Apa yang hati tidak setuju, itulah yang Allah larang.

Kemudian oleh Allah, Rasul diutus untuk membawa perintah untuk membenarkan apa yang ada dalam fitrah manusia, menyuburkan apa yang telah ada. Kerana itulah Islam itu indah sebab memberi makanan pada roh. Apa yang roh kehendaki, itu yang dihidangkan oleh Islam. Seperti makanan untuk fizikal manusia, kita suka daging, tiba-tiba terhidang daging, betapa indahnya. Kita suka ikan, dihidangkan ikan, betapa indahnya. Tapi ketika kita ingin daging dihidangkan lauk yang kita tidak suka, tidak indah.

Mari kita sebut contoh-contohnya.

1. Yang berhubungan dengan Akidah.

Manusia sifatnya suka menghambakan diri kepada tuannya yang menolong, melindungi dan yang memperhatikan dirinya. Atau dengan kata lain manusia rela mengabdikan diri kepada siapa yang dicintainya. Kalau kecintaannya itu perempuan maka ia akan menjadi hamba pada perempuan itu. Kalau kecintaannya pada kereta mewah, maka menghambalah ia pada kereta mewah. Kalau cintanya atau pautannya pada nafsu yakni menurut kata nafsu, jadilah ia seorang hamba nafsu.

Tapi aneh, manusia sangat marah kalau digelar hamba wanita, hamba kereta atau hamba nafsu. Fitrah menolak sekalipun sikapnya memang betul begitu. Mengapa? Sebab fitrah manusia ingin menjadi hamba Allah. Dan keinginan menjadi hamba selain Allah itu bukan fitrah. Katakanlah kepada siapa saja tanpa memandang orang kafir atau Islam, “Kamu ini hamba Allah”, nescaya dia mengiyakan dan rasa senang dengan kata-kata itu baik di mulut atau di hati. Hal ini adalah kerana fitrah manusia telah Allah ciptakan untuk menyembah-Nya dan untuk menghambakan diri kepada-Nya. Lihat firman-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku”
[Az-Zaariyat: 56]

Allah mahu manusia menyembah-Nya dan tidak pada yang lain. Maka dijadikan fitrah manusia itu mempunyai rasa bertuhan dan menghamba diri pada-Nya. Tanyakanlah pada orang-orang yang menyembah Allah atau tidak menyembah Allah, adakah dia ingin menyembah Allah dan suka pada orang-orang yang menyembah Allah. Nescaya mereka menjawab memang suka. Suka pada pekerjaan menyembah Allah dan suka pada orang yang melakukannya. Cuma kalau mereka tidak melakukannya, itu bukan kerana benci, atau hati tidak mengakui, tetapi kerana nafsu dan syaitan menghalang dan melalaikan mereka. Mereka tidak berkuasa melawan nafsu (yang sifatnya ego), lalu menurutinya. Kalaulah bukan kerana nafsu dan syaitan, nescaya manusia ini akan sentiasa merindukan dan membesarkan Tuhannya dan sangat taat pada-Nya. Fitrah roh sudah kenal Allah dan mengaku untuk menyembah-Nya. Di dalam Al-Quran ada menceritakan hakikat ini:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), bahkan kami bersaksi”
[Al A’raf: 172]

2. Yang berhubungan dengan Syariat.

2.1. Manusia ingin menambah ilmu. Ingin mencari pengalaman dan ingin pandai, dan tidak menggantungkan hidupnya pada orang lain. Manusia tidak mahu hidup beku, jahil dan miskin papa. Itu adalah fitrah. Semua orang memilikinya walau apa pun juga bangsa dan agamanya. Memang Allah jadikan jiwa manusia begitu kemahuannya. Oleh kerana itu Allah datangkan agama Islam yang mengajar supaya manusia mengisi tuntutan fitrah itu. Firman Allah:

Katakanlah: “Berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu.”
[Al An’am: 11]

Ertinya kita disuruh mengembara untuk mencari pengalaman. Rasulullah SAW bersabda:

“Menuntut ilmu wajib bagi lelaki dan wanita” (Riwayat Ibnu Abdi Al Barri)

Sabdanya lagi:

“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”

Begitulah yang dikatakan Islam agama fitrah. Yakni apabila sesuatu itu disukai oleh fitrah maka Islam mendorong atau membenarkannya. Disebabkan Allah yang menjadikan fitrah manusia itu demikian maka Allah pun datangkan cara bagaimana keinginan fitrah itu disalurkan. Tanpa petunjuk dari Allah, nafsulah yang akan memimpin manusia untuk melaksanakan kehendak fitrah itu secara membabi buta. Hasilnya akan buruk sekali.

Misalnya apabila ilmu yang dituntut itu ilmu yang haram (ilmu sihir atau ilmu yang tidak dikaitkan dengan tauhid dan jiwa sufi) maka ia akan membawa akibat buruk. Walaupun adakalanya ilmu itu bersumber dari Islam, tetapi tanpa dikaitkan dengan Tauhid dan Akhlak, ia akan menyebabkan manusia sombong, dengki, bakhil, pemarah, rasuah, dan lain-lain.

Demikian juga halnya kalau mengembara yang tidak dikendalikan oleh syariat atau tidak diniatkan kerana Allah atau untuk kebaikan ia akan membawa hasil yang buruk. Sebab itu Islam menurunkan panduan-panduan yang rapi dalam melaksanakan tuntutan fitrah itu.

2.2. Dalam mencari kekayaan yang diinginkan oleh fitrah murni manusia misalnya, Islam tidak melarangnya. Malah Allah mendorong dengan firman-Nya:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون

“Apabila telah ditunaikan solat hendaklah kamu bertebaran di muka bumi dan hendaklah kamu cari kurniaan Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak moga-moga kamu mendapat kemenangan”
[Al Jumuah: 10]

Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Berniagalah kerana sembilan puluh peratus dari rezeki itu ada dalam perniagaan”

Tapi mencari harta tidaklah boleh dibuat secara sewenang-wenang. Islam mengatur cara-cara yang bersih dari riba, penipuan dan tindas-menindas, kerana hal-hal yang buruk itu bertentangan dengan fitrah. Hasilnya tidak untuk berfoya-foya, berjudi atau membekukannya dalam bank, tapi untuk kebaikan seperti membantu fakir miskin, membangun projek yang memenuhi keperluan masyarakat atau membantu usaha jihad fisabilillah. Hal ini diatur begitu rupa kerana ia sesuai dengan fitrah. Sebaliknya apa yang Islam halang adalah bertentangan dengan fitrah.

2.3. Siapa saja, tanpa melihat apakah orang itu Islam atau yang bukan Islam suka kepada makanan sedap; lelaki suka pada perempuan, perempuan suka pada lelaki; ingin mempunyai badan yang sihat dan fikiran yang waras. Begitulah fitrah manusia. Kalau keinginan fitrah ini tidak tercapai, manusia akan rasa susah dukacita dan gelisah. Allah yang menciptakan manusia sedemikian rupa, tahu cara yang sebaik-baiknya untuk manusia mencapai keinginan-keinginan itu, dan tahu juga cara-cara yang dapat merosakkan manusia dalam usaha mereka mencapai keinginan-keinginan itu.

Oleh sebab itu Allah telah menurunkan petunjuk bagaimana keinginan itu boleh dipenuhi dengan sebaik-baiknya. Islam tidak menghalang keinginan fitrah tetapi tidak juga terlalu membiarkan keinginan itu dipenuhi secara membabi buta. Makan sedap, misalnya, dibolehkan dengan syarat, jangan makan makanan yang haram atau berlebihan. Malah, mengikuti sunnah Rasulullah SAW, sunat hukumnya makan daging seminggu sekali.

Demikian juga Islam menunaikan keinginan fitrah manusia untuk menikah. Ia memang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:

“Menikah itu adalah Sunnahku, siapa yang benci pada Sunnahku ini bukanlah ia dari umatku”

Hadis lain berbunyi :

“Dua rakaat solat orang yang menikah lebih baik dari 70 rakaat shalat orang bujang”

Demikianlah indahnya Islam. Dalam usaha mengelakkan masalah dalam perkahwinan, maka ditentukan syarat rukunnya yang wajib dipenuhi. Tanpa memenuhi syarat, rumah tangga akan goyang dan tumbang. Islam membenarkan menikah dan mengharamkan zina. Sebab zina akan menzalimi dan menganiaya kaum wanita. Anak hasil perzinaan yang tidak tentu bapaknya ini akan terkontang-kanting hidupnya. Ke mana anak itu akan membawa diri? Hal ini tidak ada siapapun yang suka. Fitrah menolak. Sebab itulah Allah mengharamkannya kerana ia bertentangan dengan fitrah. Bagaimana tidak, seseorang yang berzina itu akan melibatkan baik itu ibu orang atau isteri orang atau anak perempuan orang. Siapa pun akan marah kalau keluarganya yang terlibat. Kalau begitu sanggupkah kita berzina sedangkan kita sendiri tidak suka perkara itu terjadi dalam keluarga kita?

Dalam Islam ada kaedah:
Tidak mudharat dan tidak memberi mudharat.
Contohnya:

Kahwin boleh, tapi jangan dengan isteri orang.
Kaya boleh, tapi jangan cara mencuri atau menipu wang rakyat.
Tidak ada orang, baik itu Islam atau bukan Islam, yang menganggap zina itu baik. Kalau terjadi juga, itu kerana manusia sudah jadi syaitan dan nafsunya sudah jahat sekali. Namun hati kecilnya tetap menolak; ertinya dia sentiasa dalam keadaan melawan hati kecilnya. Orang ini tidak tenang hidupnya. Dia diburu rasa bersalah dan berdosa sepanjang masa.

2.4. Akhlak yang baik, budi pekerti yang mulia yakni berbuat kebaikan sesama manusia sehingga dapat menghibur hati manusa, semua orang suka. Bagi orang yang suka menyakiti hati orang lain sebetulnya dia pun tidak mahu orang lain menyakiti hatinya dan suka kalau ia dihiburkan. Begitulah fitrah. Maka Islam agama fitrah ini datang memerintahkan agar manusia berakhlak baik sesama manusia.

Sabda Rasulullah SAW, Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling banyak membuat kebaikan untuk manusia lain.

Dengan itu, siapa saja yang berakhlak buruk dengan sesama manusia, seperti sombong, bakhil, hasad dan lain-lain, bererti dia menentang Allah dan juga menentang fitrahnya. Orang begini bukan saja dimurkai Allah tapi dia membenci dirinya sendiri. Hidupnya tidak akan tenang dunia akhirat.

Kalau manusia saling mengisi fitrah, aman damailah masyarakat. Tapi apa yang terjadi sekarang kita susahkan orang tapi minta orang jangan susahkan kita. Al hasil sengketa semakin merata.

Begitulah huraian tentang indahnya Islam yang sesuai dengan fitrah manusia. Dan siapa yang tidak ikut Islam ertinya menentang fitrahnya. Walaupun mereka kaya-raya, mempunyai jabatan tinggi dan banyak ilmu, tidak akan tenang hidup mereka di dunia apatah lagi di akhirat. Kerana bukan saja dia bermusuhan dengan Allah tapi juga bermusuhan dengan dirinya sendiri. Pada lahirnya manusia nampak dia senang-lenang tapi hatinya hanya Allah saja yang tahu; kosong, gelisah, terseksa, serba salah dan mudah marah.

Di Barat hari ini, orang yang kelihatan bijak pandai dan hidup senang dilaporkan banyak yang terkena sakit jiwa. Sehingga jumlah orang yang masuk rumah sakit jiwa melebihi jumlah orang yang masuk ke universiti dan kolej. Di Timur, umat Islam yang sudah rosak imannya kerana terlalu menuruti nafsunya sedang menghadapi hal yang sama. Cara hidup yang mereka pilih telah menghantarkan mereka ke lembah masalah dan kesusahan.

Hanya Islam satu-satunya agama yang sistem hidupnya benar dan terbaik untuk diikuti. Yakni kehidupan Sunnah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin serta semua salafussoleh. Dengan mencontohi mereka, nescaya manusia akan kembali kepada fitrah murninya dan akan bahagia di dunia dan akhirat. Antara ciri-ciri hidup mereka adalah:

• Beriman dan bertaqwa
• Beribadah dan berzikir.
• Berakhlak mulia dengan Allah dan sesama manusia.
• Berjuang dan berjihad dengan Allah dan sesama manusia.
• Berkorban pada jalan Allah.
• Menuntut ilmu dunia dan akhirat untuk melaksanakannya.
• Bekerja mencari rezeki yang halal, di samping membangunkan tamadun ummah.
• Taat dan patuh pada Allah, pada Rasul dan pada pemimpin yang taat kepada Allah.
• Berkasih sayang.
• Saling membantu dalam kebaikan dan menolak kejahatan.
• Bermaaf-maafan.
• Bertimbang rasa di dalam masalah atau di sudut-sudut yang dibolehkan.

TAKUT DAN BIMBANG MENEMPUH RAMADHAN

Petikan: www.suaramuhajirin313.blogspot.com
Kenapa kita perlu mempunyai rasa takut dan bimbang ketika menerima kedatangan Ramadhan? Jawabnya kerana Ramadhan adalah bulan berkat, bulan rahmat dan kasih sayang dari Allah untuk kita. Kita bimbang kita tidak benar-benar menghargai anugerah dan peluang dari Allah yang sangat berharga ini.
Ramadhan sepatutnya kita sambut dengan perasaan cemas kerana kita rasa – seperti tahun-tahun yang lalu, kita gagal menghayati Ramadhan. Ramadhan bulan ibadah tetapi biasanya Ramadhan inilah kita lebih bersuka-ria dan lalai dari mengingati Allah.
Ramadhan sepatutnya bulan kita tertumpu hati kepada Allah dan RasulNya tetapi sepanjang hidup kita, Ramadhan adalah bulan yang sibuk dengan pesta membeli belah. Sedangkan Ramadhan adalah bulan orang-orang soleh dan kekasih Allah ‘berpesta ibadah’. Mereka penuhi Ramadhan dengan sembahyang, puasa, bersedekah, menjamu orang, membaca Al-Quran, berselawat, berterawikh, sembahyang malam, berdoa dan sebagainya. Pada kebanyakan kita, Ramadhan hanya bulan menahan lapar dan dahaga. Keseronokan berpuasa dan berbuka dengan hidangan melimpah ruah adalah pesta – ketawa yang tidak pernah sudah.
Ramadhan di sisi orang-orang pilihan adalah menghayati makna kesabaran dan keredhaan. Mereka mahu turut merasa susah dengan penderitaan orang lain. Puasa yang dihayati akan mendorong mereka berusaha menolong yang susah, membantu meringankan bebanan kehidupan orang yang menderita dan kurang bernasib baik.
Sepanjang hidup kita, puasa kita hanya menempuh lapar dan dahaga. Ianya dikatakan puasa yang tertolak. Malanglah kerana tiada nilai di sisi Allah. Hati yang lalai itulah penyebab puasa kita tidak diterima Allah. Ianya sama seperti sembahyang kerana setiap ibadah itu mestilah mempunyai hubungan hati dengan Allah. Hubungan hati itulah yang dimaksudkan dengan rasa kehambaan dan rasa berTuhan. Itulah khusyuk yang sangat dituntut ketika kita mengerjakan ibadah. Ibadah bukan sekadar melakukan yang lahir tetapi menghayati apa yang Allah mahukan dari hati kita.
Hati kita mahu dicelikkan agar tetap kekal dengan Allah. Inilah yang sukar di dalam setiap ibadah kita dan inilah yang membezakan kita dengan orang-orang soleh. Hati yang tetap tidak putus dengan Allah itu bukan sekadar di dalam sembahyang sahaja. Di luar sembahyang – sepanjang 24 jam sehari semalam – jika kita tidak tidur atau pitam, kita wajib mengingati Allah.
Ianya hukum wajib taklifi atas setiap mukallaf. Lalai dari mengingati Allah ini dinamakan dosa batin. Ia dikira berdosa tapi dosa secara batin. Ini adalah dosa yang lebih serius berbanding dosa lahir. Dosa lahir, dapat dilihat dan diketahui oleh ibubapa atau guru tetapi dosa batin tersembunyi di dalam hati. Tiada siapa yang tahu kecuali yang empunya diri. Bahkan kerap kali yang empunya diri pun tidak menyedarinya seperti sombong, ujub (hairan dengan kelebihan diri), riak (mahu menunjuk-nunjuk kebaikan yang dibuat) dan lain-lain.
Jadi, adakah kita tidak boleh bergembira dengan kedatangan Ramadhan? Jawabnya bergembiralah sebagaimana Rasulullah saw dan para sahabat ‘bergembira’ menyambutnya kerana ianya busyra (khabar baik) dari Allah. Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan limpahan rahmat dan keampunan Allah bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh menghayatinya. Bukankah Allah permudahkan anak Adam dengan dibelenggu syaitan dan dibukakan pintu syurga untuk siapa yang berpuasa lahir dan batinnya?
Justeru sewajarnya kita menyambut Ramadhan dengan melakukan perkara berikut:

1.Berdoa seperti doa Nabi saw:
Dari Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi saw apabila tiba bulan Rejab baginda akan berdoa: “ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Para Salafussoleh berdoa kepada Allah supaya mempertemukan mereka ke bulan Ramadhan, kemudian berdoa supaya mereka dapat menyambut Ramadhan. Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan mereka bergegas berdoa dengan berkata: “Allah Maha Besar, Ya Allah anugerahilah kami keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Limpahkanlah kami taufik seperti yang Engkau sukai dan redhai, Tuhanku dan TuhanMu adalah Allah”. (Riwayat At-Tirmizi, Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban)

2. Panjatkan pujian dan syukur kerana dipertemukan kita dengan Ramadhan. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Al-Azkar: “Ketahuilah bahawa Allah sangat menyukai orang yang apabila memperolehi nikmat yang zahir dan mengelakkan daripada terkena sesuatu kecelakaan yang zahir dia akan bersujud dan memuji-muji Allah kerana syukur kepadaNya”.

Di antara nikmat yang paling besar yang Allah kurniakan kepada hamba ialah taufik dan hidayah untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Justeru suatu nikmat yang besar apabila seorang tiba bulan Ramadhan dalam keadaan kesihatan yang baik. Dengan itu sewajarnya dia bersyukur dan memuji Allah sebagai pemberi nikmat dan kelebihan kepadanya. Berilah pujian sebanyak-banyaknya sepertimana yang patut dilakukan kepada Allah SWT yang memiliki keagungan dan ketinggian kekuasaan.

3. Bergembira dan suka dengan kedatangan Ramadhan. Satu riwayat yang sahih dari Rasulullah saw, bahwa baginda akan menggembirakan para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadhan sambil bersabda: “Telah datang bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya, di bulan ini dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka”. (Ahmad)

Walaupun para salafussoleh yang terdiri dari para Sahabat dan Tabien sangat memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan serta bergembira dengan ketibaannya, hati mereka yang khusyuk dengan Allah menghalang mereka dari terus merasa gembira. rasa sedih dan cemas itulah yang kembali dirasakan di dalam hati. Itulah hati orang yang kuat dengan Allah.

Gembira pun dalam bentuk sangat bersyukur dan malu dengan Allah. Bukannya gembira yang melalaikan hati dengan Allah. Mereka merasakan Ramadhan adalah bulan ujian untuk mereka. Itulah yang membimbangkan mereka dicelah-celah kegembiraan yang ada dengan kedatangan bulan yang mulia ini. Ganjaran yang dijanjikan Allah seolah-olah tidak mereka perhatikan sangat sebab yang lebih penting bagaimana mereka berusaha untuk taat dan patuh padaNya.

4. Berazam memanfaatkan Ramadhan. Jika kita sentiasa merancang untuk dunia, kenapa kita tidak mula membuat perancangan untuk akhirat. Ramadhan adalah bulan yang terbaik bagi memulakan usaha membaiki diri dan meletakkan hati di landasan menuju Allah. Ramadhan adalah bulannya di mana kita memperolehi peluang yang banyak bersama Allah. Jadikan setiap waktunya adalah temu janji penting untuk mendidik jiwa sehingga teguh di atas niat sanggup segala-galanya demi Allah dan Rasul. Tentukan apa yang lebih utama dari yang sampingan. Tentukan agenda untuk Islam dan umat Islam lebih utama dari agenda peribadi dan keluarga. Beribadahlah sebanyak mana pun tetapi yang penting hati yang khusyuk dapat dirasakan dalam setiap ibadah.

5. Jadikan Ramadhan bulan menimba ilmu bukannya bulan untuk bermalas-malas dan hanya tidur seharian.  Menuntut ilmu adalah fardhu dan kewajipan. Hadiri majlis ilmu yang biasanya diadakan setiap pagi selepas subuh di kebanyakan masjid dan surau di negara kita. Beribadah kepada Allah wajiblah mempunyai pengetahuan dan tidak dibenarkan sama sekali jahil tentang perkara-perkara fadhu yang telah Allah wajibkan ke atas hambaNya. Oleh itu tentang puasa Ramadhan, seorang muslim sewajarnya mempelajari permasalahan dan hukum puasa supaya ibadah puasanya betul dan diterima Allah.

6. Sambutlah Ramadhan dengan taubat. Kita hendaklah menyambut ketibaan Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan noda dan dosa serta bertaubat dengan sebenar-benarnya daripada semua keburukan, menyesal dan tidak mengulanginya semula. Ramadhan adalah bulan taubat. Justeru jika tidak bertaubat pada bulan ini bila lagi mahu bertaubat? Firman Allah: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung”. (An-Nur: 31)

7. Berbuat kebaikan dengan sesama insan dan berkasih sayang. Jadikan Ramadhan sebagai bulan kita membanyakkan khidmat kepada masyarakat. Ziarahi sahabat handai, rakan taulan serta saudara mara – jauh dan dekat. Tanyalah khabar mereka dan berusahalah membantu sedaya upaya apa jua masalah mereka. Jika masih ada ibubapa – dapatkan keredhaan dan keampunan mereka kerana apalah maknanya puasa dan ibadat tanpa keredhaan kedua ibubapa. Begitu juga dengan semua yang kita pernah bersalah dengan mereka – minta ampunlah dan berkasih sayanglah sesama manusia.

Bukankah Ramadhan adalah bulan keampunan? Untuk sesama kita – wajarlah kita meriahkan dengan saling maaf memaafkan, bertolak ansur, menjernihkan yang keruh, membuang yang busuk, mendekatkan yang jauh, merapatkan yang renggang dan membina semuanya semula dengan kasih sayang. Rahmat Allah di bulan yang mulia ini sangat besar dan bermakna bagi mereka yang mahu merendah diri serta mahu menghubungkan silaturrahim.
“Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Call Now
Directions