Tag Archives: Rumah anak yatim islam near me
Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ
Daripada ‘Aisyah radliallahu ‘anha bahawa “Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum solat Subuh”. (HR Bukhari No: 1110) Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum zohor.
2. Baginda SAW juga sentiasa melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh.
Ayuh kita menuruti sunah Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat mengiringi waktu antaranya solat sunat sebelum zohor dan sebelum subuh.
MALAM NISFU SYAABAN

Malam Nisfu Syaaban
عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:”يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ”
Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah mendatangi makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban. Dia mengampuni makhluk kecuali orang musyrik (berbuat syirik) dan yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.
2. Malam Nisfu Syaaban juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang syirik dan bermusuhan sesama mereka.
3. Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana Nabi SAW bersabda:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ
Daripada ‘Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi’, baginda bersabda: ” Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?” saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ta’ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing.” (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif
4. Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).
5. Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.
Marilah kita merebut peluang memperbanyakkan ibadat dengan solat sunat, zikir, membaca al-Quran, selawat, doa dan memohon keampunan setiap waktu dan masa.
07hb Mac 2023
14hb Syaaban 1444H
Jangan Menangguh Untuk Bersedekah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga ruh sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, “Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan.” (HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sedekah yang paling besar pahalanya ialah ketika kita sihat dan berasa sayang dengan harta tersebut malah kita bimbang harta akan berkurang apabila bersedekah dan kita pula berhasrat dengan mengumpul harta itu akan menjadi kaya.
2. Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita
3. Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai dihalkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.

27hb Februari 2023
06hb Syaaban 1444H
Amalan Yang Tidak Ikhlas

Amal Yang Tidak Ikhlas
إِنَّ اَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَعَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا قَالَ: قَاتَلْتُ فِيْكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ ِلأَنْ يُقَالَ جَرِيْءٌ, فَقَدْ قِيْلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى اُلْقِيَ فيِ النَّارِ, وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأََ اْلقُرْآنَ فَأُُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَعَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيْكَ اْلقُرْآنَ, قَالَ:كَذَبْتَ, وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ وَقَرَأْتَ اْلقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِىءٌٌ فَقَدْ قِيْلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى اُلْقِيَ فيِ النَّارِ, وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ وَاَعْطَاهُ مِنْ اَصْْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا قَالَ: مَاتَرَكْتُ مِنْ سَبِيْلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيْهَا إِلاَّ أَنْفَقْتُ فِيْهَا لَكَ, قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيْلَ, ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ
“Sesungguhnya orang pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati kerana syahid di jalan Allah. Diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang ia perolehi di dunia, lalu ia pun mengakuinya. Kemudian ditanya kepadanya : Apa yang engkau perbuat dengan nikmat tersebut? Ia menjawab : Aku berperang untuk-Mu Ya Allah, sehingga aku syahid. Allah berkata: Engkau dusta! Engkau berjihad supaya dikatakan engkau seorang yang berani. Dan itu telahpun dikatakan orang padamu. Kemudian diperintahkan para Malaikat untuk menyeret orang itu atas wajahnya, lalu dilemparkan ke neraka. Dan juga orang yang menuntut ilmu, ia juga mengajarkannya serta membaca Al Quran. Ia diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang ia dapatkan di dunia, lalu ia pun mengakuinya. Kemudian Allah berkata kepadanya: Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu? Ia menjawab: Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, aku juga membaca Al Quran kerana Mu ya Allah. Allah pun berkata : Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar disebut alim (orang yang berilmu), engkau membaca Al Quran supaya disebut qari’ (ahli membaca Al Quran), dan orang telahpun mengatakannya. Kemudian diperintahkan para Malaikat agar menyeret atas wajahnya dan dilemparkan ke dalam neraka. Dan juga orang yang Allah berikan ia kelapangan rezeki dengan bermacam harta benda. Ia diperlihatkan kenikmatan yang ia peroleh di dunia, lalu ia pun mengakuinya. Allah berkata kepadanya : Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu? Dia menjawab : Aku tidak pernah meninggalkan suatu jalan kebaikan kecuali aku berinfaq kerana Engkau ya Allah’. Allah berkata : Engkau dusta! Engkau melakukan itu supaya disebut dermawan dan orang telahpun mengatakan itu. Kemudian diperintahkan malaikat agar menyeret di atas wajahnya dan ia dilemparkan ke dalam neraka” (HR. Muslim No: 1905). Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap kita akan di hadapkan di padang mahsyar untuk dihisab setiap amal dan perbuatan.
2. Orang yang mati syahid ada yang dihumban ke neraka kerana berjihad mengharapkan orang lain menyebut tentang keberaniannya.
3. Orang yang menuntut ilmu ada yang dihumban ke neraka kerana belajar bertujuan agar orang menyebutnya sebagai orang alim.
4. Orang yang membaca al-Quran juga ada yang dihumban ke neraka kerana mengharap agar dia digelar seorang qari
5. Orang yang berinfaq juga ada yang dihumban ke neraka kerana mengharap agar orang lain menyebutnya sebagai seorang dermawan.
Pastikan agar setiap amal yang kita lakukan ikhlas untuk mencari keredhaan Allah bukan sebaliknya.
28hb Februari 2023
07hb Syaaban 1444H

MENUNGGU KEDATANGAN RAMADHAN (1444 H/2023)
RASULULLAH S.A.W BERSABDA :-
“Apabila RAMADHAN telah datang,
maka dibukalah pintu-pintu syurga,
ditutuplah pintu-pintu neraka
dan diikatlah semua syaitan”
(HR ABU HURAIRAH R.A)
