Tag Archives: Sahabat

CONTOH KEHIDUPAN YANG MENGUTAMAKAN AKHIRAT

RAHSIA kejayaan Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin dan sekalian salafussoleh dapat memerintah dan memajukan tiga perempat dunia dengan jayanya ialah kerana mereka cintakan Akhirat lebih dari cintakan dunia.
Kerana memberi tumpuan yang serius kepada Akhiratlah maka mereka dapat menundukkan dunia. Dan kalaulah mereka tidak dapat mengutamakan Akhirat daripada dunia, nescaya mereka pun senasib dengan kita. Yakni bukan sahaja mereka tidak dapat menegakkan empayar, perintah satu negara pun tidak akan berjaya. Satu negeri pun gagal. Bahkan memerintah satu kampung pun tidak upaya. Kalau masalah dalam rumah pun tidak boleh diatasi, tidak selesai-selesai, apa lojiknya kita boleh selesaikan masalah yang lebih besar dari itu.
Berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat mengIslamkan dunia adalah kerana mereka serius dalam menguruskan Akhirat. Proses itu berlaku begini:
Apabila yang diutamakan itu Akhirat, maka mereka tidak mengambil kepentingan-kepentingan duniawi untuk peribadi, keluarga dan klik-klik mereka. Sebab orang yang sangat memikirkan nasib di Akhirat, mereka sangat takut pada Hari Hisab di Padang Mahsyar nanti. Hari penggelidahan lahir batin oleh polis-polis Akhirat, iaitu para malaikat, terhadap setiap orang manusia tanpa kecuali. Yang mana pada hari itu, orang-orang kaya di dunia, yang menimbunkan kekayaan yang halal untuk diri dan keluarganya sahaja, akan tertahan lama di border. Manakala yang kumpul kekayaan secara haram, terus terjun ke Neraka. Sementara orang miskin terutamanya yang miskinnya itu disengajakan kerana harta bendanya digunakan untuk khidmat masyarakat, untuk jihad fisabilillah, untuk ALLAH dan Rasul, untuk pembangunan-pembangunan material demi tertegaknya tamadun Islam yang canggih, maka ia akan dibebaskan dengan mudah, untuk pergi ke Syurga. Dalam Hadis, Rasulullah ada berkata:

Terjemahannya: Orang miskin itu akan masuk ke Syurga 500 tahun sebelum orang kaya.
(Riwayat At Tarmizi)

Atas dasar itulah Rasulullah SAW dan para Sahabat. sangat merebut peluang ini. Mereka meminta agar mereka tetap dapat hidup seperti orang miskin, sekalipun mereka diberi seluruh kekayaan dunia. Sebab itu di waktu ¾ dunia sudah ada dalam tangan, mereka masih tetap dapat zuhud lagi dengan dunia. Dan dengan sebab itulah mereka dapat memerintah dengan jayanya.
Apabila setiap individu sanggup hidup macam orang miskin, kerana kckayaan mereka itu dikorbankan untuk kepentingan masyarakat, demi membangunkan hukum ALLAH, maka hasilnya masyarakat dapat melahirkan banyak projek pembangunan seperti sekolah, hospital, kilang-kilang dan lain-lain lagi. Dalam pada itu kerajaan yang adil pula akan menggunakan wang negara untuk projek-projek pembangunan masyarakat yang semua itu , akan memberi kemudahan pada rakyat. Maka rakyat akan mendapat keselesaan hidup serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan. Jadilah negara itu penuh dengan pembangunan-pembangunan kepunyaan umat Islam dan rakyatnya hidup aman makmur. Proses inilah yang membawa kepada terbangunnya negara yang ALLAH kehendaki, iaitu:
Terjemahannya: Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH. (Saba: 15)

Tanpa proses ini, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang lain, dan rakyat hidup susah. Sebaliknya orang yang memerintah hidup senang-lenang. Keadaan ini boleh dilihat di Malaysia dan lain-lain negara umat Islam di seluruh dunia. Yang mana ekonomi negara dan masyarakat berada dalam tangan bangsa asing. Perojek-projek ekonomi yang besar-besar berada dalam tangan orang luar atau beberapa orang kapitalis Melayu, Cina dan India. Rakyat hidup ala kadar. Pemerintah hidup kaya-raya. Wakil rakyat pun lebih kaya dari sebelumnya. Yang miskin terlalu miskin. Yang kaya terlalu kaya. Keadilan yang sebenar tidak wujud. Keamanan yang sebenar tidak jadi realiti. Kemakmuran yang sebenar tidak terasa. Keampunan dari ALLAH tidak diperolehi hasilnya. Akhirnya di Akhirat masuk Neraka.
Sebab itu Islam meminta umatnya agar berjuang dan berkorban. Yang mana dengan kaedah itu, sistem ekonomi kapitalis akan terbunuh dengan sendirinya. Sayidina Abdul Rahman bin Auf berjaya menghalau kapitalis Yahudi dari Madinah, sekaligus membunuh sistem kapitalis itu, bukan dengan pergaduhan dan peperangan. Tetapi dengan membangunkan sistem ekonomi Islam di sebelah sistem kapitalis. Bila masyarakat memilih sistem Islam, dengan sendirinya sistem kapitalis terbunuh.
Dalam masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam, kemasukan wang kepada negara dan masyarakat cukup besar. Sebab pemerintah tidak ambil wang negara lebih dari keperluan. Mereka cuma ambil maasy yakni mengikut keperluan. Selebihnya untuk negara dan rakyat. Ini yang dapat dibuat oleh Rasulullah dan para Sahabat. Orang-orang kaya pula sangat kuat berkorban. Maka semua wang yang terkumpul digunakan untuk membangunkan kilang-kilang, perniagaan-perniagaan dan macam-macam perusahaan untuk rakyat. Sebab itu rakyat dapat hidup senang. Mungkin lebih senang dari pemimpin-pemimpin dan orang-orang besar mereka. Sebab itu masyarakat tidak buat masalah lagi. Dan jadilah negara itu negara yang benar-benar aman dan makmur.
Tetapi mana ada kerajaan yang mampu mengorbankan kekayaan mereka untuk rakyat. Hampir semua pemimpin yang naik, menjadi lebih kaya dari sebelumnya, sama ada dirancang atau tidak. Sebab dunia itu penipu, kata ALLAH. Pemimpin yang bercita-cita hendak menegakkan Islam pun dapat ditipunya. Apalagilah yang memang bercita-cita untuk dapatkan dunia. Lagi hebatlah tipuannya.
Oleh itu mari kita kaji semula cara hidup Rasulullah SAW dan salafussoleh supaya kita benar-benar terdidik dan cukup kuat untuk menghadapi dunia ini. Moga-moga kita selamat sebagaimana selamatnya Rasulullah dan para Sahabat dalam menghadapi dan menguruskan dunia ini.
Sikap mereka terhadap urusan dunia:
1. Rumah
Kalaulah Rasulullah SAW mahu, rumahnya boleh mengalahkan semua rumah raja-raja di dunia. Sebab baginda dengan doa sahaja boleh dapat apa yang dimahunya. Pasir pun boleh jadi emas. Gunung Uhud pernah bertukar menjadi emas hasil doa Rasulullah. Tetapi semua itu ditolaknya. Bila Rasulullah SAW tolak dunia, jangan kita kata, “Dia Nabi, bolehlah!” Baginda menolak itu bukan kerana dia Nabi. Yang mana kalau bukan Nabi, bolehlah baginda mengambilnya. Bukan begitu! Rasul itu contoh kita dalam segala hal. Rasulullah SAW menolak kekayaan adalah kerana baginda tidak mahu umatnya mengambil kekayaan untuk peribadi dan duniawi. Itulah maksudnya. Sekalipun baginda Rasul kekasih ALLAH, apa saja baginda boleh dapat, tetapi baginda tetap mahu hidup macam hamba. Itulah sikap pemimpin sejati. Yang boleh pun, tidak diambil, apalagi yang tak boleh. Sebab itu rumahnya betul-betul macam rumah seorang hamba kecil, sempit, berbumbung rendah, dibuat dari tanah dan pintunya dari kain guni.
2. Tempat tidur
Alas tidur Rasulullah SAW cumalah anyaman tikar daun kurma (macam tikar mengkuang). Bila bangun, berbekas urat-urat daun anyaman pada badan baginda yang mulia itu. Kebesaran baginda sebagai pemimpin dunia, yang namanya sampai hari ini dilaungkan di segenap pelosok dunia, di surau dan masjid, terkenal dan dicintai oleh dunia, tidak pun menghalang baginda untuk terus hidup seperti hamba yang lemah dan hina. Walhal kita baru jadi kerani sudah mahu bergaya, lagak macam tuan. Sudah rasa tidak layak hendak menjadi hamba. Apalagilah tuan-tuan besar kita itu. Memang takkan sudilah untuk mencemar kemuliaan seperti seorang hamba yang lemah lagi hina di sisi Tuhannya.

3. Makan dan makanan
Rasulullah memanglah makan. Tetapi seringkali juga baginda berlapar. Perutnya pernah diikat dengan batu untuk menahan kelaparan. Kerana makanannya diberikan pada orang lain. Apabila baginda makan, yakni makan hanya bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang, seringnya makanan baginda cuma susu, air dan kurma. Kiranya ada berlebih, baginda tidak buang. Pantang Rasulullah menghina pemberian ALLAH sekalipun sekecil-kecil barang. Baginda sangat sayang dan menjaga rezeki yang ALLAH kurniakan. Sebab itu kalau berlebih, cepat cepat dihantar ke rumah jiran yang perlu untuk dihabiskan. Baginda tidak menyimpan makanan di malam hari. Hidupnya bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Makan pula betul-betul macam hamba. Macam orang susah makan. Iaitu baki-baki kuah dan makanan dalam bekas makannya dijilat hingga licin, disapu bersih. Siti Fatimah AZ Zahra puteri Rasulullah SAW, sangat kenal bekas makan Rasulullah kerana katanya begitu licin seolah-olah sudah berbasuh. Serbuk-serbuk makanan dikutip, kuah yang tumpah disapu dengan jari dan dijilatnya. Dan baginda tidak akan makan seorang diri, mesti secara jemaah.
4. Pakai dan Pakaian
Rasulullah SAW cuma ada sedikit pakaian. Itu pun jenis pakaian orang susah. Sesekali baginda pakai juga pakaian mahal yang dihadiahkan orang, bukan hasil usahanya sendiri. Baginda memakainya kerana menghormati pemberian hadiah dari orang itu. Tetapi lazimnya pakaiannya yang cantik, kemas dan bersih serta wangi itu adalah jenis pakaian murah.
5. Kenderaan
Sebagai hamba, baginda tidak rasa jijik untuk naik keledai. Tetapi baginda juga berkuda dan naik unta sesuai dengan keperluan perjalanan. Sementelahan pula, keperluan perhubungan yang jauh serta peruntukan-peruntukan perjuangan memang memerlukan kenderaan yang agak canggih. Misalnya, baginda menunggang kuda Sambrani, seekor kuda yang dihadiahkan kepadanya.
6. Harta Benda dan Wang Ringgit
Rasulullah SAW asalnya kaya dan berada. Kerana seluruh kekayaan isterinya Siti Khadijah diserahkan padanya. Tetapi sewaktu wafat, baginda tidak meninggalkan apa-apa harta dan wang ringgit. Ertinya kekayaannya bukan untuk tumpuk harta dan simpan harta. Semuanya telah dikorbankan untuk jihad fisabilillah sebagai sumber pembangunan ummah.
Bila sudah berkorban sampai begitu sekali, apa jaminan masa depan anak-anak yang ditinggalkan? Persoalan ini tidak timbul sama sekali. Sebab setiap anggota masyarakat tentu mendapat pembelaan dari masyarakat yang beriman. Iaitu dari kerajaan dan masyarakat yang memerintah, menjaga dan mengawal anak buahnya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab; yang cintakan ALLAH dan Akhirat lebih dari cintakan dunia dan segala kesenangan di dalamnya. Siapa yang hidup dalam jemaah Islam atau negara Islam pasti terbela. Dunia dan Akhirat. Bukan dunia sahaja dan bukan Akhirat sahaja.

Begitulah sikap Rasulullah terhadap dunia. Baginda seolah-olah tidak peduli sangat dengan urusan dunianya. Yakni rumahnya, pakaian, makan minum, tidur baring dan lain-lain urusan duniawi dan peribadi. Tetapi untuk Akhirat, baginda sangat serius. Baginda tidak main-main. Baginda sangat ambil berat dan bersungguh-sungguh.
Marilah kita lihat buktinya:
1. Perjuangan
Saya letakkan perjuangan sebagai perkara pertama dalam kerja-kerja Akhirat yang Rasulullah lakukan. Tujuan saya ialah untuk menarik perhatian pembaca tentang pentingnya perjuangan ini. Di samping untuk menyatakan bahawa ia bukan urusan dunia tetapi adalah urusan Akhirat. Yang mana selama ini ramai menganggap perjuangan itu tidak penting dan merupakan kerja-kerja duniawi, bukan Ukhrawi.
Rasulullah SAW berjuang sepanjang umurnya. Berjuang untuk menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi. Dengan kata lain, berjuang untuk meng-Islamkan dunia. Bahkan perjuangan itu menjadi cita-cita hidup matinya. Dan untuk itulah baginda dilantik jadi nabi dan Rasul. Sebab itu baginda sungguh serius dalam perjuangan. Demi menegakkan perintah ALLAH, baginda sanggup hadapi apa saja risiko. Sekalipun mati. Rasulullah pernah bertegas dengan bapa saudaranya:

Terjemahannya: Demi Allah wahai bapa saudaraku, sekulipun mereku meletukkun matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya, sehingga ALLAH memberi keputusannya.

Umur baginda habis untuk perjuangan. Harta benda habis untuk itu. Tenaga, fikiran, jiwa raga semuanya untuk jihad fisabilillah. Baginda jadi miskin, dihina, diburu, dikejar, diundang ke medan perang dan hampir-hampir mati ditetak. Semuanya dihadapi semata-mata mahu memperkenalkan ALLAH pada dunia serta menegakkan syariat-Nya. Begitulah bersungguh-sungguhnya baginda Rasulullah SAW dalam berjuang.
2. Mendidik
Usaha ini adalah satu dari cabang perjuangan yang penting. Ia juga urusan Akhirat. Rasulullah SAW siang malam, pagi petang, atau di mana saja, sentiasa mendidik umatnya. Tidak minta upah dan tidak cari kepentingan. Baginda lakukan itu semata-mata kerana sayangkan umat, agar mereka selamat dunia Akhirat. Baginda sangat serius menasihati, menegur, memandu dan menunjuk ajar siapa saja tanpa mengira pangkat atau darjat. Baginda pergi ke pasar, pergi ke Taif, pergi ke mana-mana sahaja, sekalipun di atas unta, untuk menyampaikan mesej Ilahi pada manusia. Hingga waktu sakit tenat dan hampir wafat pun baginda masih bercakap tentang nasib umat.
3. Berkorban
Perjuangan dan pendidikan tidak akan berjalan baik tanpa pengorbanan. Sebab itu Rasulullah sangat serius berkorban. Korban wang ringgit, harta benda, masa, tenaga, fikiran dan segala-galanya. Baginda pergi ke medan perang, di baris hadapan. Baginda ikut sama mengorek parit dan mengangkat batu dalam Perang Khandak. Baginda hidup bersama fakir miskin, janda dan anak yatim untuk menjadi pembela pada orang-orang susah itu. Bila dapat harta rampasan perang, baginda dahulukan ahli suffah dan masyarakat lainnya. Diri dan keluarga tidak dapat apa-apa. Orang berhutang, bagindalah yang membayar. Kalau ada masakan, mesti dihulurkan pada jiran, sekalipun kaki kambing. Pendeknya, untuk keselamatan ummah, baginda yang menanggung susah dan payahnya.
4. Akhlak
Baginda sangat serius menjaga akhlaknya. Ini juga soal Akhirat. Baginda memiliki akhlak yang agung, kata ALLAH. Ertinya ALLAH pun kagum dan memuji keupayaan Rasul-Nya dalam melayani ALLAH dan hamba-hamba ALLAH, dengan sebaik-baik akhlak. Kita lihat tiga contoh yang memperlihatkan agungnya akhlak Rasulullah:
a. Pemaaf
i. Ada seorang perempuan tua Yahudi yang selalu menyusahkan Rasulullah di perjalanan. Yakni dengan menabur duri dan najis di jalan yang dilalui oleh Rasulullah bila pergi berdakwah. Si tua itu sangat benci dengan Rasulullah. Tetapi satu hari ketika ia jatuh sakit, satu-satunya orang yang datang ziarah beliau ialah Rasulullah. Alangkah pemaafnya baginda. Bukan sahaja diziarah tetapi dicarikan ubat. Hingga di atas akhlak yang luar biasa itu, perempuan tua itu akhirnya memeluk Islam.
ii. Satu hari Rasulullah berjalan dengan memakai baju Arab Najran. Tiba-tiba seorang Arab Badwi menarik baju itu dan meminta diberikan kepadanya. Hampir-hampir luka leher Rasulullah kerana tarikan tersebut. Tetapi baginda memaafkan si Badwi tersebut. Bahkan baju itu dibuka dan dihadiahkan kepada si Badwi tadi.
b. Kasih Sayang
Kalau dua tiga hari Rasulullah tidak nampak salah seorang Sahabatnya atau tidak bertemu, nescaya akan ditanya dan dicari oleh baginda. Bagindalah yang akan ziarah ke rumah Sahabat tanpa rasa sombong. Baginda makan, sembahyang, dan duduk sama-sama dengan para Sahabat. Satu hari, ketika sedang mengadap hidangan makanan, datang seorang tua yang berkudis, hitam legam kulitnya, buruk rupanya dan berair pula kudisnya, datang meminta makanan. Rasulullah tanpa jijik dan dengan penuh tawadhuk, memegang tangan orang itu, dibawa ke sebelahnya untuk makan bersama-sama. Masya-ALLAH, agungnya akhlakmu ya Rasulullah.
c. Ibadah
Perkara ini memanglah perkara Akhirat. Yang pada sesetengah orang Islam telah ‘diduniakan’ juga, untuk mencari untung dunia. Rasulullah telah menunjukkan ibadah yang terbaik dan terbanyak. Tetapi ingat, hal itu bukan khusus untuknya sebagai Nabi. Rasulullah mencontohkan ibadah untuk kita ikuti jejak langkahnya. Rasulullah sembahyang sunat terlalu banyak. Adakala semalaman tidak tidur hingga bengkak-bengkak kakinya. Ertinya beribu-ribu rakaat baginda dapat rukuk dan sujud untuk Tuhan dalam menyatakan syukur dan kehambaan yang setinggi-tingginya.
Puasa juga banyak. Sehari puasa, sehari pula makan. Begitulah digilir-gilirkan. Tentang zikir, bukan sahaja waktu jaga, dalam tidur pun baginda berzikir. Baginda adalah ‘Al Quran bergerak’. Ertinya Al Quran bukan sahaja dihafal bahkan dijadikan panduan seluruh hidupnya. Melihat kepada ciri-ciri ini, benarlah dia Nabi kekasih ALLAH. Yang sangat cintakan ALLAH dan Akhirat. Hatinya tidak terpaut sedikit pun pada dunia. Maka marilah kita letakkan kasih dan rindu padanya. Ini adalah kerana terlalu besar jasanya pada kita.
Setelah menyaksikan bagaimana sikap Rasulullah SAW terhadap dunia dan juga terhadap Akhirat, bolehlah kita simpulkan bahawa nisbah dunia Akhirat bukan fifty-fifty (50:50). Sebaliknya ialah 1:99.
Untuk dunia satu peratus sahaja. Untuk Akhirat 99 peratus. Kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk dunia ialah satu. Manakala kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk Akhirat ialah 99. Barulah sesuai dengan darjat dan nilai masing-masing. Itulah keseimbangan dalam Islam. Itulah ukuran yang tepat, bijak, lahir dari fikiran yang luas dan matang. Sesiapa yang masih mahu menyamakan kerja untuk dunia dengan keperluan untuk Akhirat, 50-50, itu datangnya dari nafsu yang jahat dan fikiran yang sempit. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak pun akan hairan dan mentertawakannya. Tersesat dalam berfikir! Jahil dalam menilai dunia dan Akhirat.
Bila Islam meletakkan nisbah dunia Akhirat 1:99, jangan kita anggap umat Islam mesti tinggal dunia. Sebaliknya kerana diuntukkan kepada Akhirat 99 itulah maka dunia dapat dibangunkan dengan keadaannya yang aman dan wujud masyarakat yang kaya-raya. Hingga semua orang dapat merasa nikmat hidup termasuk orang kafir. Sebaliknya kalau dunia 99, Akhirat 1, akan terjadilah macam hari ini. Yakni individu kaya tetapi masyarakat miskin dan Islam tidak dapat ditegakkan.

BAGAIMANA BELAJAR SEDIKIT FAHAM BANYAK

Orang mukmin tidak mengikat dirinya. Lebih-lebih lagi hatinya tidak terikat dengan dunianya. Diri kepunyaan Tuhannya. Hati berpaut kepada-Nya. Hatinya tidak terhutang budi kepada sesiapa. Dia merasa merdeka dengan manusia. Bahkan juga dengan sebarang benda. Ia cukup dengan Tuhannya. Kalaupun berhubung dengan manusia atau dengan benda. Ada kaitan dengan Tuhannya. Identiti Islam dibawa ke mana-mana. Prinsip hidupnya tidak berubah oleh suasana. Oleh itu kapitalis tidak dapat memilikinya. Yang punya cemeti tidak dapat mengikatnya. Perempuan cantik tidak dapat mempesonakannya. Ia boleh hidup di mana-mana. Buminya di mana-mana saja. Ia tidak terikat dengan rumahnya. Ia merdeka sepenuh masa kecuali dengan Tuhannya.

Para Sahabat di zaman awal Islam, sedikit sahaja diajar oleh Rasulullah SAW, mereka dapat faham dengan banyak, luas dan mendalam. Segala apa yang Rasulullah ajar, mereka mampu mengembangkan, mengaitkan, mengkiaskan dan mensyarahkannya hingga ia menjadi sumber ilmu yang lengkap dan menyeluruh.

Berlandaskan ilmu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW itu juga para Sahabat mampu mentafsir dan mengembangkan ayat-ayat AI Quran. Sayidina Ali k.w.j.contohnya, mampu mengupas Surat Al Fatihah hinggakan kalau sepuluh ekor unta pun tidak akan cukup untuk memikul kitab-kitab kupasan dan tafsirannya itu.

Rasulullah SAW sendiri memang percakapannya ringkas dan pendek, tetapi isinya padat. Baginda tidak bercakap terlalu panjang tentang sesuatu perkara. Apa yang disabdakan baginda padat, lengkap dan penuh berisi. Untuk dapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan, ilmu itu mesti difikir-fikirkan. Kalau boleh ia perlu juga dimuzakarahkan dan dibawa berbincang. Dengan cara ini, ilmu yang matan itu akan bercambah dan berkembang.

Sebenarnya dalam ilmu ada ilmu, dan dalam ilmu kita boleh dapat penambahan ilmu. Daya fikir pula akan menjadi lebih murni dan tajam dengan roh atau hati yang bersih dan yang sentiasa terhubung dengan Tuhan. Bila roh atau hati itu bersih, Allah SWT akan mudahkan bagi akal untuk meneroka dan memahami perkara-perkara yang bersangkutan dengan ilmu. Itu sebabnya, di zaman kegemilangan Islam, di kalangan para Sahabat, Tabiin dan Tabiit Tabiin, ramai yang dapat menguasai berbagai-bagai bidang ilmu. Tidak hanya ilmu Islam seperti tauhid, fekah, tasawuf, tafsir, ilmu Hadis dan lain-lain lagi tetapi juga ilmu falsafah, astronomi, astrologi, perubatan, matematik, ketenteraan dan sebagainya.

Tambahan pada itu ramai daripada mereka yang dapat menguasai berbagai bagai ilmu ini pada satu masa. Walhal sebelum Islam, mereka hanyalah pengembala-pengembala kambing dan ilmu tentang kambing itu sajalah yang ada pada mereka. Dengan didikan Rasulullah SAW menjadikan insan mereka terbina, hati dan roh menjadi bersih, akal mereka mampu memahami, mengupas, menyaring dan menterjemah berbagai-bagai ilmu dari tamadun Yunani dan Parsi. Selepas itu mereka pula menambah dan menyumbangkan ilmu-ilmu tersebut dengan berbagai-bagai penemuan yang baru hingga negara Islam menjadi pusat ilmu bagi semua bangsa di waktu itu.

Cara kedua, untuk mendapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan ialah dengan mengamalkannya. Dengan amalan, ilmu akan jadi meluas dan terhurai. Allah SWT ada berfirman:
“Barangsiapa mengamalkan ilmu, Aku akan ajarnya ilmu.”
Apabila kita amalkan ilmu yang kita pelajari (ilmu yang tersurat), maka lama-kelamaan, Allah SWT akan ajar kita ilmu hikmah (ilmu yang tersirat). Ilmu seperti ini tidak perlu belajar. Allah SWT akan jatuhkannya terus ke hati kita. Ilmu ini dinamakan juga ilmu ilham atau ilmu laduni.

MENGAPA AKHIRAT PERLU KITA UTAMAKAN?

ALLAH SWT menyuruh kita utamakan Akhirat. Banyak sekali ayat ALLAH dalam Al Quran yang menyebut kebesaran Akhirat dibandingkan dengan dunia. Hingga kerana itu ALLAH sangat mengutamakan Akhirat dan memerintahkan kita berbuat begitu. Hal ini janganlah diragukan lagi. Dan jangan berdolak-dalih atau serba salah lagi.

Antara Akhirat dengan dunia, utamakan Akhirat. Kerana itulah Rasulullah, para Sahabat besar dan sekalian salafussoleh telah zuhud dengan dunia kerana menyimpan kekayaan untuk Akhirat. Mereka itu boleh kaya-raya kalau mereka mahu. Sebab anak kunci seluruh kekayaan dan khazanah perbendaharaan langit dan bumi ada di tangan mereka. Tetapi lihatlah kehidupan duniawi mereka. Bagaikan si miskin yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Rezeki pagi mereka habiskan di waktu pagi. Rezeki petang pula tidak berbaki lagi di waktu malamnya. Rumah mereka kecil dan kosong. Hanya cukup untuk merehatkan badan sejenak dengan serba sedikit alat keperluan yang penting.

Sayidatina Khadijah Ummul Mukminin yang pernah jadi hartawan dan bangsawan Quraisy itu telah menyerahkan seluruh harta miliknya kepada ALLAH dan Rasul. Untuk kegunaan masyarakat dan pembangunan Islam. Supaya masyarakat menjadi mewah dan senang, manakala dirinya tetap zuhud. Sehingga yang tinggal hanyalah diri dan suaminya sahaja. Tinggal bersama Rasulullah dalam sebuah bilik kecil, yang bumbung biliknya itu boleh dicapai dengan tangan. Pintu bilik cuma dibuat dari kain guni. Dari kandungannya lahirlah Sayidatina Fatimah, bakal wanita penghulu Syurga, yang menjadi wanita paling miskin di dunia. Tetapi ingat, bukannya mereka menderita dengan kemiskinan tersebut. Mereka bukan saja redha dan tidak takut miskin, bahkan dalam keadaan mereka boleh kaya itu, mereka juga meminta supaya mereka dapat hidup bagaikan orang miskin.

Lihat doa yang pernah diajarkan oleh Rasulullah kepada mereka: Wahai Tuhan, hidupkan aku dalam kemiskinan, matikan aku dalam kemiskinan. Dan masukkan aku dalam Syurga bersama orang-orang miskin. (Riwayat At-Tarmizi)

Rasulullah SAW sampai berdoa supaya diselamatkan dari jadi orang kaya, yang bermewah-mewah dan membazir. Mereka bahagia dan merdeka dengan kemiskinan. Peribadi mereka tidak punya apa-apa tetapi tiga suku dunia dalam tangan mereka. Ertinya jemaah dan masyarakat mereka kaya. Mereka miskin papa, tetapi kerana redhanya mereka, maka orang yang tidak tahu, menyangka mereka itu kaya-kaya belaka. Mereka puas, bahagia dan cukup dengan ALLAH dan Rasul. Kerana itulah mereka dapat menolak kekayaan peribadi, untuk diberi kepada masyarakat dan negara. Peluang untuk kaya yang ALLAH anugerahkan kepada mereka diserahkan untuk mengkayakan masyarakat, negara dan dunia Islam yang mereka cetuskan. Hasil pengorbanan itu, ALLAH telah ciptakan Syurga untuk mereka di Akhirat yang kekal abadi. Untuk meyakinkan ini, diperturunkan sebanyak-banyaknya ayat Quran dan Hadis yang menyebut keutamaan Akhirat daripada dunia.

Rasulullah bersabda: Barang siapa mencintai dunia, nescaya membawa kepada binasa di Akhirat. Dan barang siapa mencintai Akhiratnya, nescaya beroleh keuntungan di dunia. Maka utamakan apa yang kekal, atas apa yang fana (lenyap binasa). (Riwayat Ahmad, Al Bazzur dan At Thabrani)

Sabda Rasulullah lagi: Apa yang aku ketahui, jikalau kamu ketahui nescaya kamu akan tertawa sedikit dan menangis banyak. Pada kamu dunia sudah jadi hina dan kamu akan memilih Akhiraf. (Riwayat At Thabrani)

Sabda Rasulullah lagi: Tidaklah dunia pada bandingan Akhirat melainkan seumpama seseorang yang memasukkan anak jarinya ke dalam laut. Maka perhatikan berapa banyak yang lekat padanya? (Riwayat Muslim)

Rasulullah juga bersabda: Hai Fatimah! Teguklah kepahitan dunia, untuk mendapat kenikmatan abadi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kampung Akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya kalau mereka mengetahui. (Al Ankabut: 64) Dan pasti kehidupan Akhirat lebih tinggi fingkatannya dan lebih besar keutamaannya. (AI Israk: 21)

Firman-Nya lagi: Kampung Akhirat itu Kami berikan kepada mereka yang tidak hendakkan sanjungan tinggi dan fidak juga berbuat bencana di muka bumi. (Al Qasas: 83)

Barang siapa yang ingin kepada keuntungan Hari Akhirat, Kami berikan tambahan kepada keuntungannya itu. Dan barang siapa yang ingin kepada keuntungan dunia ini, akan Kami berikan sebahagian keuntungan itu kepadanya tetapi dia tidak nempunyai bahagian lagi di Hari Akhirat. (Asy Syura: 20)

Kemudian kita lihat pula bukti-bukti’atau hujah-hujah akal yang membenarkan bahawa Akhirat lebih utama dari dunia.

A. NIKMAT

Mula-mula kita bandingkan nikmat dunia dan Akhirat.

1. Rumah

Rumah yang kita idam-idamkan di dunia, paling besar mungkin sebesar Istana Raja Brunei yang ada 2000 buah bilik. Dibuat dari batu-bata dengan hiasan marmar dan beratap genting. Tetapi rumah di Akhirat yang ALLAH, sediakan untuk orang-orang yang bertaqwa ialah mahligai seluas langit dan bumi, dibuat daripada emas, permata, dinding berkilau-kilauan cahaya, atapnya intan berlian yang tidak terkata indahnya dan nikmat berada di dalamnya. Di dunia, sebuah bandar itu adalah kepunyaan bersama tetapi di Akhirat, seorang sahaja memiliki berpuluh-puluh buah bandar.

Peralatan-peralatan dalam rumah pula yang kita gila-gilakan di dunia ialah katil empuk, kerusi empuk, tv mewah, peti ais dua pintu, langsir mahal, karpet tebal, pinggan mangkuk moden dan bermacam-macam lagi. Manakala di Akhirat, rumah dilengkapi dengan katil, permata, hiasan sutera halus buatan Akhirat, tilam gebu yang menenggelamkan badan dan lain-lainnya, yang sungguh indah dan mempesonakan. Sembilan puluh sembilan kali lebih canggih dari buatan dunia yang mudah rosak itu.

Peralatan mewah di Akhirat tidak akan rosak dan musnah. Bahkan makin dipandang semakin cantik, semakin terasa nikmat. Sekali pandang lain cantiknya, dua kali pandang, lain pula cantiknya. Pandang kali ketiga, lain pula cantiknya. Demikianlah kalau 1001 kali pandang, maka 1001 kalilah pula cantiknya. Dan lagi, tidak akan jemu bila menggunakannya dan juga tidak akan rosak untuk selama-lamanya. Sedangkan perhiasan dunia itu baru setahun sudah jemu, masuk dua tahun sudah mulai rosak.

2. Kenderaan

Kenderaan dunia yang paling hebat ialah Mercedes, Pujero, BMW dan kapal terbang. Itu pun selalu accident dan rosak serta punah-ranah. Kenderaan Akhirat ialah apa saja yang kita ingini. Katalah kita teringat hendak naik kapal terbang, maka datanglah ia dengan sekelip mata sahaja. Bahkan sebenarnya niat sahaja, terus berada dalam kapal terbang itu, yang keadaannya sebesar dan secantik mana yang kita mahu. Terbanglah ia selaju mana yang kita mahu dan ke mana saja yang kita ingin tuju. Bergerak sendiri dan berhenti sendiri menurut kemahuan kita. Tidak ada bahaya apa-apa pun; semuanya indah dan lazat. Dan tidak akan rosak-rosak.

3. Pakaian dan Perhiasan

Pakaian dan perhiasan dunia yang kita asyik-asyikkan itu cumalah kain biasa yang murah, bila dipakai terasa rimas dan panas. Lama-lama jemu. Makin lama semakin lusuh dan reput dan akhirnya jadi barang terbuang. Tetapi pakaian dan perhiasan yang ALLAH sediakan untuk orang-orang yang bertaqwa di Akhirat cukuplah indah, selesa digunakan, banyak, tidak menjemukan dan tidak rosak-rosak. Gelang, subang, rantai, anting-anting dan cincin yang bergemerlapan menghiasi seluruh tubuh. Bukan hanya satu dua sahaja tetapi sebanyak mana yang kita mahu akan diperolehi. Bila-bila masa sahaja boleh ditukar ganti dan tidak pula menjemukan. Tidak payah dicari-cari, niat saja sudah menjelma di depan mata.

4. Kecantikan

Wajah yang cantik sangat diingini oleh semua manusia. Sebab itu segala usaha dilakukan oleh mereka untuk mendapatkan wajah cantik. Sebab itu di dunia ini sengaja ALLAH tidak ramaikan orang-orang yang berwajah cantik. Hanya ada satu dua orang sahaja yang betul-betul cantik hinggakan mabuk-mabuk orang yang melihatnya. Tetapi di Akhirat, setiap orang bertaqwa dipercantikkan oleh ALLAH, 99 kali lebih cantik dari waktu hidup di dunia ini. Mereka juga dipermudakan hingga sentiasa muda dan sentiasa gadis. Tidak akan tua-tua untuk selama-lamanya.

5. Makanan

Di dunia ini makanan yang paling lazat, paling mahal sekalipun, kalau selalu dimakan akan jemu juga. Rasanya juga tidak sedap lagi. Sebab rasa lazatnya itu sama sahaja antara suap yang pertama dengan suap yang terakhir. Kemudian, lagi banyak makan, lagi cepat ke jamban. Kita kalau boleh tidak ingin ke jamban. Tetapi hasil akhir dari makan makanan di dunia ini kita mesti ke jamban. Bukan main busuk pula, apa yang kita keluarkan dari perut kita itu. Yakni yang mula-mula kita masukkan ke mulut kita. Bila lapar kita makan lagi. Itulah dia nikmat dunia yang kita rindu-rindukan itu. Yang dari situ jugalah macam-macam penyakit datang menimpa. Antaranya kencing manis,barah, darah tinggi dan sebagainya. Tetapi di Akhirat, kita tidak akan lapar-lapar. Sentiasa kenyang. Makanan yang kita makan tidak pernah menjemukan. Sebab rasanya berlainan. Suap mula-mula, sedapnya lain. Suap lagi, lain pula sedapnya. Demikian seterusnya. Maknanya kalau sebiji buah di Akhirat mempunyai sepuluh jenis rasa atau lebih dari itu. Jadi mana boleh timbul rasa jemu.

Begitu juga dengan jenis-jenis makanan yang lain. Makanlah sebanyak mana pun tidak akan memudaratkan. Tidak juga susah payah untuk ke jamban. Tidak ada najis yang busuk-busuk itu lagi. Semuanya sedap, baik, lazat dan indah-indah belaka. Maka kalau begitu mengapa kita tidak inginkan nikmat Akhirat yang 99 kali lebih hebat dari nikmat dunia. Sedangkan nikmat dunia yang tidak ada harga itu pun kita rebut-rebut, kita buru-buru dan gila-gilakan. Hingga kita sanggup berkorban berhabis-habisan untuk memiliki dunia yang menipu itu. Mustahil kita tidak rindukan Syurga itu kalau kita benar-benar meyakininya.

B. AZAB

Kalau nisbah nikmat dunia Akhirat ialah 1:99 maka azab pula nisbahnya 1:70. Kita buat contoh:

1. Penjara

Penjara dunia dibuat daripada bahan-bahan biasa seperti bangunan-bangunan lain juga. Makanannya masih makanan yang mengenyangkan. Azabnya tidak sampai menggugurkan kulit dan tulang-tulang mangsanya. Tetapi itu pun kita sudah cukup ngeri dibuatnya. Apatah lagi kalau penjara Akhirat. Ia dibuat daripada api yang 70 kali lebih panas daripada api dunia. Api dunia pun kita tidak. boleh pegang, apalagi api Neraka. Kita berada dalam rumah api yang dindingnya api, bumbungnya api, lantainya api, makanannya api, minumannya juga api, pakaiannya api, bantalnya api dan segala-galanya adalah api.

2. Miskin

Kita cukup takut miskin di dunia. Sedangkan orang miskin itu masih ada rumah, ada makanan dan ada tempat mengadu. Cuma tidak berlebih. Cukup-cukup sahaja. Pun kita sudah takut sekali. Mengapa kita tidak takut dengan kemiskinan di Akhirat yang maha dahsyat itu. Tidak ada ruang Akhirat untuk orang yang berdosa melainkan dalam kawah api Neraka. Dalam kita meronta-ronta kesakitan dan kelaparan, tidak ada seorang pun yang peduli.

3. Sakit

Di dunia terlalu banyak hospital untuk mengubat sakit-sakit ringan apalagi sakit berat. Sebab orang cukup takut dengan sebarang penyakit. Patutnya orang cukup berhati-hati dengan sakit di Akhirat. Kerana di sana tidak ada hospital lagi sedangkan sakitnya maha dahsyat dari sebarang sakit di dunia ini.

4. Panas

Selain daripada panas api Neraka, yang 70 kali ganda dari panas api dunia, panas matahari juga sangat dahsyatnya sewaktu kita masih di Padang Mahsyar. Matahari yang begitu jauh dari kita itu pun kita tidak tahan teriknya yang membahang dan membakar, apalagilah kalau ianya didekatkan sejengkal dengan kepala kita. Bayangkanlah.

5. Jatuh

Di dunia kita cukup ngeri kalau kapal terbang yang kita naiki atau lain-lain kenderaan itu jatuh accident. Kerana ia boleh bawa mati. Tetapi ingatlah bahawa kiranya kita terjatuh ke Neraka, 70 tahun baru kita akan sampai ke dasarnya. Relakah kita untuk selama 70 tahun berpusing-pusing dan tunggang terbalik di mulut kawah api Neraka, sebelum terjunam ke dasarnya? Sedangkan untuk dihumban ke dalam laut selama satu jam pun kita tidak upaya menahannya. Ya ALLAH selamatkan kami dari api Neraka.

Jadi sekarang, sesudah melihat nikmatnya Syurga dan dahsyatnya Neraka di Akhirat dibandingkan dengan indah dan susahnya dunia, mana yang mesti kita utamakan? Rindukan Syurga dunia atau Syurga Akhirat? Gerunkan Neraka dunia atau Neraka Akhirat? Katalah bahawa sepatutnya Akhiratlah yang utama dan diutamakan. Dunia rasanya cukup kecil untuk terlalu dibimbangkan. Bandingannya mana boleh di’50-5O’kan? Katalah kita hendak beli sebuah rumah teres dan sebuah rumah banglo mewah. Samakah peruntukan kepada ke-dua-dua rumah tersebut? 50-50 ke? Kalau 50-50, ertinya kita tidak akan dapat salah satu darinya. Begitulah antara dunia dan Akhirat. Mustahil kita ’50-50′kan kalau kita jujur. Sebab Akhirat terlalu jauh bezanya dengan dunia. Sebab itulah ALLAH SWT di dalam kitab-Nya, sering membawa kita meliha-lihat atau mengingat-ingatkan Akhirat, sekalipun di dalam ayat-ayat yang membincangkan hal-haldunia. Apalagilah dalam ayat-ayat yang khusus tentang Akhirat.

Lihatlah contoh-contoh firman ALLAH ini: Makanlah dan minumlah tetapi jangan melampau (membazir). Sesungguhnya ALLAH fidak suka orang yang membazir. (Al ‘Araf: 31)

Di antara sifat Mukmin itu ialah mengorbankan hartanya di waktu senang dan susah. (Ali lmran: 134)

Nikahilah mana-mana perempuan yang baik pada (pandangan) kamu. (An Nisa 3)

Semua ayat di atas adalah perintah-perintah yang harus hukumnya. Yakni boleh dibuat dan boleh juga ditinggalkan. Memang urusan duniawi, harus sahaja hukumnya. Boleh makan, boleh tidak. Boleh berjalan-jalan, boleh juga tidak. Boleh nikah dan boleh tidak. Tetapi dalam soal-soal itu pun ALLAH tetap mengingatkan akibatnya di Akhirat. ALLAH kata boleh makan tetapi jangan membazir. Boleh berjalan-jalan tetapi jangan lalai hingga membuat maksiat. Boleh nikah tetapi dengan perempuan yang baik-baik. Supaya dia tidak jadi isteri yang derhaka. ALLAH tetap ingatkan bahawa sifat-sifat jahat dan buruk di dunia itu akan membawa kerugian di Akhirat.

Kalau tidak untuk Akhirat, tentu tiada sebab mengapa ALLAH mahu larang pembaziran, maksiat dan lain-lain kemungkaran itu. Supaya urusan-urusan dunia pun kita dapat jadikan Akhirat. Apalagilah urusan Akhirat, ALLAH memang wajibkan. Ertinya sangat penting dan memang iinggi nilainya. Lihat pula firman-firman ALLAH tentang urusan Akhirat: Takutlah kepada ALLAH dengun sebenur-benur tukut. (Ali Imran: 102)

Perintah takut ini adalah wajib. Wajib takut dengan ALLAH. Tetapi bukan wajib sahaja. Bahkan dalam wajib, ada wajib kedua iaitu takut itu hendaklah sungguh-sungguh, bukan takut main-main. Wajib takut dan wajib sungguh-sungguh takut.

Berjuanglah untuk ALLAH dengan sebenar-benar berjuang. (Al Huj:78)

Perintah ini juga wajib. Ini juga urusan Akhirat. Wajib berjuang dan wajib bersungguh-sungguh. Dalam wajib ada wajib lagi. Yakni wajib berjuang bersungguh-sungguh. Maknanya, urusan Akhirat memang kena buat dengan serius manakala urusan dunia boleh buat dan boleh tidak. Atas dasar itulah maka saya mengatakan bahawa Rasulullah bermaksud dalam sabdanya itu, supaya kita buat kerja dunia jangan lebih daripada keperluan duniawi kita. Jangan pula kurang dari keperluan. Dan dengan Akhirat pula jangan kurang daripada keperluan Akhirat yang maha hebat itu. Dan jangan pula berlebihan sampai langsung tidak ambil keperluan duniawi atau langsung tidak membangunkan dunia untuk mencipta tamadun dunia Islam.
Untuk dunia, kesederhanaannya ialah 1%. Jangan lebih dan jangan kurang. Untuk Akhirat 99%, jangan lebih dan jangan kurang. Itulah sederhana ikut keperluan namanya. Kita ambil dunia 1% sahaja, selebihnya 99% kita gunakan untuk Akhirat. Tidak bermaksud supaya dunia tidak dipedulikan. Tetapi diurus dengan sebaik-baiknya. Bukan untuk kepentingan peribadi dan duniawi tetapi untuk Akhirat.

NABI MUHAMMAD SAW – CAHAYA SEGALA CAHAYA

Nabi Muhammad SAW itu cahaya segala cahaya,
Maksud yang tersirat, Nabi Muhammad SAW itu
Saluran petunjuk dari Tuhan,
Yang tidak ada tandingannya,
Yang berlaku kepada rasul-rasul sebelumnya,
Ertinya ajaran yang Tuhan sampaikan kepadanya
Paling lengkap dan sempurna,
Iaitu syariat paling sempurna dan lengkap,
Yang tidak pernah berlaku kepada rasul-rasul dan nabi-nabi sebelumnya,
Yang merupakan saluran rahsia Tuhan,
Yang tidak pernah berlaku, sebelum dan sesudahnya,
Dia merupakan ubat segala penyakit,
Penyakit lahir mahupun penyakit batin
Yang Tuhan anugerahkan kepadanya,
Dan dia merupakan anak kunci pintu kemudahan,
Maksud yang tersirat,
Kemudahan dapat rahmat, kemudahan dapat berkat,
Kemudahan dapat ilmu, kemudahan dapat rezeki,
Kemudahan dapat bantuan dan pertolongan,
Nabi Muhammad SAW itu pilihan diatas pilihan,
Daripada segala nabi dan rasul,
Dan keluarga-keluarganya, suci lagi murni,
Suci lagi murni daripada dosa lahir dan batin,
Jiwanya bersih daripada mencintai dunia,
Serta sebesar habuk pun tiada,
Hati mereka terpaku dengan di Akhirat sana,
Dunianya sudah dijual semuanya,
Untuk membeli Akhiratnya,
Para sahabat-sahabatnya adalah pilihan Tuhan,
Cintanya kepada Rasulullah SAW tidak ada tandingan,
Setianya kepada Rasulullah SAW luar biasa,
Berjuang dengan Rasulullah SAW dengan gigihnya,
Mempertahankan Rasulullah dengan bermati-matian,
Pengorbanannya untuk Tuhan dan Islam dengan tenaganya,
Hartanya dan nyawanya,
Kerana itulah Islam itu cemerlang dan gemilang,
Di tangan mereka tidak ada tara dan tandingan sesudahnya,
Sahabat juga menjual semua dunianya untuk Akhiratnya,
Akhirat itulah matlamat mereka,
Ini tidak dapat dilakukan oleh umat Islam selepasnya.

Call Now
Directions