Tag Archives: Syurga

ORANG YANG CERDIK ADALAH ORANG YANG BANYAK MENGINGATI MATI

https://i2.wp.com/www.usahataqwa.com/wp-content/uploads/2010/10/alam-barzakh.jpg

Kita masih dan sedang merancang hendak besarkan lagi rumah yang sudah besar. Sedang berkira-kira hendak ambil loan untuk dapat kereta baru. Bersuka-suka dengan perempuan yang tidak halal. Ingin bahkan rebut jawatan, pangkat, gaji besar supaya dapat berbangga, menunjuk-nunjuk, bermewah-mewah. Gila puji, gila dunia, sombong, takabur, dengki, dendam, bakhil dan macam-macam lagi sifat jahat lahir mahupun batin yang kita jadikan mainan hidup kita.

Walhal kalau kita sedar dan rasa yang kita akan mati, tentulah semua kejahatan itu dapat kita elakkan. Tentu rumah yang ada sudah cukup, bahkan mungkin hendak dikecilkan lagi, sebab takut dihisab nanti. Tentu tidak ambil riba lagi dan tidak bantu bank-bank riba. Bahkan duit-duit simpanan pun dikeluarkan dari bank dunia dimasukkan ke bank akhirat. Tentu sudah takut hendak bergaul bebas dengan perempuan yang haram bagi kita. Bahkan hendak pandang pun takut. Takut zina mata. Takut mata itu nanti dibakar oleh api neraka. Sudah takut hendak pegang jawatan besar dan gaji besar sebab itu semua akan memberatkan dan menyusahkan hisab di Padang Mahsyar. Takut hendak bermewah apalagi membazir, kerana takut tidak dapat jawab dan tidak lepas dari hukuman Allah. Sebab itu semua itu di serahkan kepada tabung jihad, tabung akhirat. Dengan harapan untuk bermewah di akhirat.

Pendek kata apa juga perkara yang boleh menyusahkan kita di alam Barzakh dan di alam kubur nanti tentu kita elakkan sedaya mungkin. Hatta soal-soal hati pun dijaga, jangan biarkan busuk dan kotor kerana hati begitu nanti tidak selamat juga daripada dibakar oleh api neraka.

Firman Allah :
Terjemahannya: Pada hari itu (hari kita pergi mengadap Allah) tidak berguna lagi harta dan anak kecuali mereka yang pergi membawa hati yang selamat. (Surah As Syuara` : 89)

Kerana itu orang yang sedar dan rasa dia akan mati bukan saja membersihkan amalan lahir tetapi hati pun dijaga betul. Supaya kekotoran sifat mazmumah diganti oleh mahmudah. Selagi hati masih kotor dan selagi dosa-dosa lahir masih dibuat, selama itu kita tidak rasa tenang dan bahagia. Sebab takut dan rasa tidak selamat dari hukuman Allah di alam barzakh dan di akhirat. Tapi kalau ada orang yang masih rasa tidak apa dan rasa seronok dengan maksiat lahir mahu pun batin, orang itu sebenarnya tidak sedar yang dia akan mati. Orang begini adalah orang yang bodoh.

Kata Rasulullah, orang yang paling cerdik ialah orang yang banyak ingat mati . Maknanya orang yang paling bodoh ialah yang langsung tidak fikir tentang mati. Lebih kurang macam kambing yang walaupun nampak pisau di tangan tuannya, sedang dihala ke lehemya, bakal mengambil nyawanya, tapi dia masih ketawa dan manis muka. Bodoh betullah dia.Tetapi tidak apalah, sebab dia kambing. Kambing tidak akan disoal oleh mungkar nakir. Tidak akan dihisab di Padang Mahsyar. Apa hal dengan manusia yang macam kambing? Ataukah mereka rasa lepas mati kita tidak hidup lagi? Itu satu perkiraan yang tidak wajar. Sebab kehidupan di dunia perlu diadili. Kerana itu Allah akan bangunkan sekali lagi untuk satu pengadilan dan kira bicara yang mutlak.Agar hidup benar-benar bermakna pada semua orang.

Ayat Al Quran:
Terjemahannya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan yang sebenarnya dan hanya kepada Kamilah, kamu dikembalikan. ( Al Anbiya` : 35 )

Ya, mati pasti datang! Dan kita akan dihidupkan kembali untuk dipersoalkan tentang apa-apa yang Allah pertanggungjawabkan pada kita di dunia. Soalnya bilakah masanya kita akan mati? Jawabnya kematian itu mungkin akan berlaku sejam lagi! Mati boleh datang sedetik lagi! Jawabnya kematian itu mungkin akan berlaku seminit lagi. Mati boleh datang sedetik lagi! Jangan kita nafikan hal ini .Jangan kita remehkan hal ini, bahawa Allah cukup kuasa untuk mematikan kita sebentar lagi. Kalau kita tidak gentar dengan keperkasaan Allah ini,cuba doakan agar Allah tarik nyawa kita sekarang juga. Jangan fikir Allah tidak buat. Allah boleh matikan seluruh manusia di dunia sekaligus sekelip mata.Begitu kuasa Allah.”Jadi!”Maka jadilah. Cuma Allah tidak berbuat begitu. Dia benarkan lagi kita hidup untuk beberapa waktu lagi agar sempat lagi kita hidup untuk beberapa waktu lagi agar sempat lagi kita taubat dan menambah bakti dan mengabdikan diri padaNya. Ingat Firman Allah:
Terjemahannya: Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku ( Ad Dzariat : 56)

Maknanya Allah panjangkan lagi umur kita ini dengan tujuan memberi peluang lagi kita mencari jalan untuk menyembah-Nya. Sebab itulah setiap kali Allah bangunkan kita untuk hidup sehari lagi, dan sehari lagi, syukurlah banyak-banyak sebab Allah beri peluang lagi untuk kita mencari dan menambahkan lagi bekal untuk perjalanan dan hidup di akhirat. Serta mintalah pada Allah hidayah dan taufik untuk hari itu dan hari-hari berikutnya, agar dapat kita gunakan sepenuhnya untuk dan kerana Allah.

Dalam pada itu kita mesti selalu ingat bahawa bila-bila masa saja Izrail boleh datang menjemput kita untuk kembali ke hadrat Allah. Memang Izrail tiap-tiap hari menjenguk atau memandang kita. Dua kali sehari. Dia lihat kalau kalau sudah tiba masanya untuk kita dibawa ke alam barzakh. Izrail tidak pernah cuti. Kalau begitu nyawa kita boleh diambil bila-bila saja. Mungkin seminit dari sekarang!

Masya-Allah! Cuba kita rasakan benar-benar yang kita boleh jadi mati seminit lagi. Aduh! Akan jadilah sepertimana orang yang dihukum gantung, yang dibincangkan di awal tadi. Nescaya kita tidak berani lagi hendak buat maksiat kecil atau besar. Bukan saja maksiat, bahkan perkara harus pun sudah tidak lalu. Panggang hati atau ayam pun kalau dihidang tidak ada makna. Isteri muda yang cantik molek pun dibawa, kita tidak ada mood lagi. Yang kita fikir ialah dosa-dosa yang bertimbun. Tentu akan kejar sana, kejar sini, cari orang yang kita ada buat dosa, untuk minta maaf. Panggil siapa sempat untuk wasiat agar bayar hutang, wakafkan harta benda, keluarkan duit di bank. Sambil itu menangis dengan Allah minta ampunkan dosa-dosa. Minta tangguh kalau boleh agar beri masa untuk buat segala-gala amal soleh. Hati tidak fikir lain lagi melainkan Allah, Allah, Allah.

Itulah faedahnya ingat mati. Kita akan takut dengan dosa, bahkan amal yang sia-sia pun tidak terbuat lagi. Ingat mati benar-benar kontrol kita untuk minta ampun dengan Allah dan dengan manusia. Tidak terfikir lagi hendak derhaka pada Allah dan hendak bersengit-sengit hati dengan kawan-kawan. Di samping itu ingat mati akan tambah kekuatan untuk membangunkan amal kebaikan dan berkorban serta berjuang menegakkan agama Allah. Kita tidak fikir panjang lagi untuk korban segala-galanya di jalan Allah. Tidak letih lagi berjuang untuk menegakkan hukurn Allah. Inilah yang dimaksudkin oleh Rasulullah bahawa orang cerdik ialah orang yang banyak ingat mati Yang mana, hasil ingat akan mad akan tercetuslah segala kebaikan dan hapuslah sikap jahat kita. Bukannya bila ingat mati langsung tidak mahu keluar rumah. Hendak sembahyang saja.

Itulah perangai orang jahil. Orang yang faham Islam, bila sebut mati maka berlompatanlah mereka berjuang, membangunkan Islam agar mati syahid. Sebab kematian yang paling mulia ialah mati syahid. Rasulullah dan para sahabat ialah generasi umat Islam yang sangat banyak ingat mati. Apakah mereka bangsa yang pasif dan jumud? Tidak. Di tangan merekalah 3/4 dunia menyerah pada Islam. Mereka berhabis-habisan menyerah tenaga, fikiran dan segala-galanya untuk Allah, sebagai simpanandi akhirat nanti.

Itulah hasil ingat mati. Dan kalau kita boleh ulangi sikap ini (sentiasa ingat mati) nescaya kita juga jadi bangsa yang sentiasa bertenaga untuk berkorban dan berjuang di jalan Allah demi menegakkan Islam ke seluruh dunia. InsyaAllah

PENYAKIT LEMAH JIWA

KITA sungguh biasa dengan istilah lemah jantung. Sebut saja lemah jantung segeralah kita fahamianya satu penyakit fizikal yang merbahaya, yang meletakkan pesakit itu di ambang maut. Tapi kita kurang arif dengan penyakit lemah jiwa. Dan kita pun kurang tahu yang penyakit ini lebih bahaya daripada sakit lemah jantung. Sebab penyakit ini bila-bila mass saja boleh membunuh jiwa. Bila jiwa mati, manusia sebenarnya sudah mati sebelum mati. Dan kes ini sebenarnya lebih dahsyat daripada kes kematian itu sendiri. Tapi sayang, doktor-doktor tidak dapat mengesan sakit ini. Sebab ia bukan sakit fizikal, yang boleh dikesan dengan komputer lahir.Ia adalah sakit rohani yang bersifat rohaniah yang hanya dapat dikesan oleh doktor-doktor rohani yang mursyid. Hanya mereka itu yang dapat melihatnya, menggunakan pandangan basyirah mereka serta pandangan hati yang tembus. Seterusnya memka jugalah yang tahu sebab-sebab terjadinya penyakit ini dan apa pula cara pengubatan dan ubat-ubatan yang boleh menyembuhkannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis Qudsi ertinya, “Takutilah olehmu firasat (pandang tembus) orang Mukmin kerana mereka memandang dengan pandangan Allah. ”
Maknanya, Allah-lah yang membukakan rahsia-rahsia di alam hakikat untuk diketahui oleh hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya. Supaya menjadi panduan pada orang-orang lain, yang mahu mengambil pengajaran dan kebaikan darinya. Sebab itu Allah berfirman:

Terjemahannya: Beruntunglah orang-orang yang menyucikan jiwanya. Rugilah orang-orang yang mengotorkun jiwanya. (Surah Asy Syam : 9-10)

Jiwa yang bersih adalah jiwa yang sihat, sejahtera dan selamat. Manakala jiwa yang kotor itulah jiwa yang sakit.

Sakit lemah jiwa.
Jiwa yang sihat ialah jiwa yang merdeka, berani dan kuat. Jiwa mukmin yang sihat ialah jiwa yang berpegang kuat dan terlalu yakin pada Allah. Maka jadilah dia cukup merdeka, berani dan kuat memegang dan mempertahankan keyakinan jiwanya itu.
Sebaliknya jiwa yang sakit ialah jiwa yang lemah, mudah goyang oleh keadaan, terhoyong-hayang ke sana ke mari tidak ada pendirian dan takut. Bagi seorang Islam yang jiwanya sakit, keyakinan pada Allah adalah lemah, bergoyang-goyang bila ditiup angin dan penakut. Dan inilah yang sudah terjadi pada seluruh umat Islam hari ini. Jiwa mereka yang sakit itu terasa sakitnya dan lemahnya bila bertembung dengan kejadian-kejadian malang atau ujian atau nikmat. Jiwa akan lemah dan bergoyang dan tumbang bila menghadapi keadaan-keadaan yang mencabarnya, sama ada positif atau negatif. Tegasnya keyakinan dan pergantungan pada Allah jadi lemah bila berhadapan dengan ujian atau pun nikmat. Jiwanya akan menyerah pada kehendak keadaan dan jadi longgar atau terlepas langsung pergantungan dengan Allah. Mari kita lihat beberapa contohnya:

Bila berhadapan dengan rumah mewah, kereta besar, binatang ternak dan ladang-ladang tanaman yang luas, terpautlah jiwa padanya.Lemahlah jiwa dan terus menyerah pada dunia itu. Iaitu dengan berusaha dan berharap untuk mendapatkannya. Hingga kerana itu tinggallah perjuangan di jalan Allah, berhentilah ia dari memberi khidmat kepada manusia. Takut untuk menegakkan kebenaran. Jiwa diserah pada dunia yang melambai-lambai itu. Dan lemahlah penyerahan pada Allah SWT.

Bila dapat jadi orang atas, orang besar, pemimpin atau ketua kumpulan, berhadapan dengan kemewahan hidup, sogokan pujian orang, maka lemahlah jiwa dengan Allah. Sebab jiwa terpaut pada kemewahan, sanjungan dan sogokan tadi. Padahal sebelum itu, sebelum berada di kedudukan itu beria-ia berjanji mahu membela nasib rakyat, kalaulah dirinya terpilih jadi pemimpin atau wakil rakyat. Tapi jiwa yang suci itu jadi lemah bila dimasuki oleh keinginan mengambil kemewahan dan sogokan serta pujian orang itu untuk kepentingan diri sendiri. Lupa tanggungjawab. Diri terasa penting, istimewa dan mahu bolot semua peluang-peluang istimewa sebagai orang besar itu untuk diri. Bukan lagi untuk Allah. Itulah penyakit lemah jiwa.

Bila berhadapan dengan perempuan cantik, hati pun tertarik dan jatuh padanya. Lupa Allah, lupa isteri, lupa tanggungjawab. Jiwa diruntun oleh perempuan itu, hinggakan kerja-kerja lain yang lebih besar, jadi kecil dan kurang penting. Keinginan untuk memiliki perempuan itu begitu mencengkam hati hingga jika perempuan itu mengenakan syarat-syarat apa pun, nescaya dia sanggup terima, sekalipun berlawanan dengan syariat Allah.

Bila dapat kejayaan dalam hidup seperti naik pangkat atau dipuji orang, maka hilanglah rasa kehambaan, kekurangan dan kelemahan diri pada Allah SWT, tentu rasa ujub dan riak, rasa diri mampu, besar, istimewa dan hebat. Seterusnya terasalah pula besar diri dan hebat diri, dan terlupalah bahawa segala-gala kejayaan itu pinjaman Allah semata, sedangkan diri tetaplah kerdil dan lemah serta hina. Sama saja dengan orang lain. Lalu menyombonglah ia dengan manusia. Tiada kasih sayang, timbang rasa, kasihan belas pada orang lain terutama orang bawah yang kurang dan lemah. Senyum pun mahal, apa lagi hendak duduk-duduk bersama mereka itu. Kerana rasa tidak layak dan hendak jaga status. Berlanjutanlah keadaan itu hingga akhirnya orang semua benci dan kawan pun lari, tinggallah seorang diri. Itulah akibat penyakit lemah jiwa.

Pejuang-pejuang Islam yang sering berkorban dan terkorban, hingga hiduplah dia dalam susah payah walhal dilihatnya orang lain hidup senang-lenang maka lemah jiwanya pun datang. Dirasanya tidak sabar lagi untuk bersusah-payah. Ingin rasa lapang dan senang macam orang lain. Syaitan pun memberikan suntikan dan menghasut, maka jadilah pejuang tadi pejuang yang letih dan malas.

Para pejuang yang mempunyai isteri yang cerewet, tidak taat, degil dan sombong, selalu mengalah dengan isteri itu. Jiwa perjuangan dan cinta pada Allah dan Rasul tergugat, bergoyang-goyang dan lemah oleh kehendak istri. Bila isteri minta kurangkan keluar rumah, cukup dengan pergi kerja dan balik, tidak payah ‘over-time’ dengan perjuangan, dia pun tidak berani atau tidak sampai hati hendak tolak pandangan isteri itu. Maka tinggallah perjuangan. Tinggallah Allah dan Rasul demi cinta pada seorang perempuan.

Dalam mencari rezeki yang halal, selalunya disiplin sangat ketat. Sengaja orang-orang yang anti-Islam mengenakan undang-undang yang keras misalnya, hendak kerja tidak boleh pakai purdah atau tidak boleh berjubah serban. Maka si lemah jiwa pun tidak berani lagi hendak ikut syariat Allah, maka ikut kata boss pejabat. Atau bagi orang-orang yang berniaga, oleh kerana modal kecil, lambat untung, maka kerana hendak untung besar dan cepat, buatlah pinjaman yang ada riba. Longlailah jiwanya kerana menyerah pada keuntungan dunia yang sedikit. Atau, peniaga-peniaga juga sering berhadapan dengan masalah: barang yang halal, kurang laris, tapi yang haram laris sekali. Maka lemahlah jiwanya. Dijuallah barang haram atau syubhat itu. Maka dapatlah untung di dunia, tapi alangkah ruginya di akhirat nanti.

nAda pemimpin-pemimpin yang kuat jiwanya, pada mulanya. Tapi bila diuji dengan pengikut yang tidak suka dengan perkara-perkara yang diperintahkan Allah seperti sembahyang, tutup aurat, pergaulan yang terbatas lelaki perempuan, menghormati dan mengasihi orang lain, jangan mengata, jangan menuduh. Maka, kerana takut pengikut lari, pemimpin itu pun korbankan prinsip. Berlagaklah dia ikut kehendak pengikut dengan membelakangkan kehendak Allah. Itulah jiwa lemah. Dia sanggup korban prinsip demi harapkan pengikut sokong dan undi dia untuk terus jadi pemimpin. Gila kuasa lebih dari cintakan Allah SWT.

Bila diuji dengan kesusahan hidup seperti turun pangkat, orang kata, miskin, ugutan di tempat kerja, maka jiwa yang asalnya begitu optimis, tiba-tiba saja terasa sakit dan lemah. Rasa kecewa, terhina, takut, putus asa, derita, gelisah, keluh-kesah dan kucar-kacir sekali. Ada yang rasa tidak mahu hidup lagi, terus bunuh diri. Ada yang hendak lupakan semua itu, minum arak atau ambil dadah atau buat maksiat-maksiat lain. Ada yang menuduh-nuduh, meracau-racau, mengadu-ngadu, menghina diri bahkan menyangkan-yangka buruk terhadap Allah SWT. Hingga kerana itu sanggup mengecil-ngecilkan perintah Allah dan Rasul untuk ikut nafsu dan syaitan. Ujian itu tidak dapat diambil sebagai ingatan dari Allah dan penghapusan dosa, pada dosa-dosa yang telah banyak dilakukan. Sedangkan melalui kesusahan-kesusahanlah ramai orang mendapat kebaikan dan kemuliaan dalam hidup. Dalam kesusahan penuh kebaikan, tapi si lemah jiwa jadi lebih susah dengan kesusahan. Susah di dunia dan akhirat. Itulah hasil dari sakit lemah jiwa. Lebih dahsyat dari akibat sakit lemah jantung. Sebab lemah jantung boleh bawa maut tetapi lemah jiwa boleh bawa ke neraka dunia dan akhirat. Ini adalah kerana pesakit jantung tidak bersalah, tapi pesakit lemah jiwa adalah pesalah, penderhaka dan kufur dengan Allah SWT. Allah sudah ingatkan supaya datang ke dunia untuk menghambakan diri pada Allah, yakni dengan merasakan diri adalah hamba Allah. Firman-Nya:

Terjemahannya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku. (Surah AZ Dzariat : 56)

Dalam pada itu tiap-tiap kali berdiri sembahyang mengadap Allah berjanji lagi, hanya Allah yang aku abdikan diriku, bahkan hidup mati untuk Allah. Habis kenapa dalam melaksanakan hidup, berdolak-dalik dengan Allah, bahkan Allah dibelakangkan? Kata-kata Allah, pesanan Rasul, tiada dipakai langsung. Bahkan dipertikai dan diragui, bahkan dikecil-kecilkan dan diketawakan. Konon terasa diri itu pandai, mampu, kuat, berkuasa dan rasa tuan bahkan kadang-kadang rasa ketuhanan itu menguasai hati. Rasa hati seperti apa yang dirasa oleh Firaun itu. Hingga dia berkata, “Akulah Tuhan.”

Sebenarnya rasa inilah sudah masuk dalam hati-hati kita. Terutamanya orang-orang yang Allah kurniakan padanya nikmat bijak pandai, kaya, mewah, disanjung, sihat, cantik, mampu dan serba boleh. Seolah-olah dia berkata akulah Tuhan, dilihat pada sikap dan cakapnya. Rasa kehambaan yakni rasa kecil dan hina bagaikan kecil dan hinanya air mani yang darinyalah Allah reka-bentukkan diri ini, sudah disapu bersih oleh kejahilan, kedegilan, kesombongan, keangkuhan yang sudah berkarat di hati. Yang tinggal dalam hati dan jiwa ialah nafsu dari syaitan. Jadilah jiwa itu kotor sekotor-kotornya. Maka sakitlah ia. Sakit lemah jiwa. Bila dapat amat terlonjak-lonjak, lupa diri, lupa asal-usul dan lupa bahawa Allah berkuasa menarik balik nikmat itu, bila-bila masa saja.

Sebaliknya, bila dapat ujian, rasa putus asa, menderita, kecewa dan hilang pertimbangan. Itulah sifat nafsu amarah dan lawwamah. Nafsu yang sangat jahat, yang setiap detik menuntun jiwa untuk kufur pada Allah. Maka nerakalah tempatnya selama-lamanya. Siapa yang boleh lepas? Sedangkan tiada seorang dari kita yang sihat jiwanya. Semuanya sakit. Pemimpin sakit, ulama sakit, pejuang Islam pun sakit, tok guru pun sakit, anak murid apa lagi. Ayah sakit, anak-anak lebih lagi. Suami sakit, isteri sakit. Pemuda kena pemudi pun sama. Pendek kata semuanya sakit-sakit belaka. Semuanya masih berada di senarai ahli neraka. Wal’iyazubillah.

Tepatlah sabda Rasul tercinta, bahawa. di akhir zaman umatnya ramai. Tapi mereka itu dikeronyok oleh musuh bagaikan makanan dikeronyok oleh tangan manusia. Sebab mereka semuanya sakit., Yakni jiwa mereka lemahnya bagaikan buih. Kerana diserang oleh sakit wahan. Cinta dunia dan takut mati.

Inilah taraf taqwa kita semua. Taqwa yang penuh dengan keinginan pada dunia hingga lupakan akhirat, lupakan mati, bahkan mahu lupa-lupakan mati itu, kerana takut dan benci. Maka inilah hasilnya. Umat Islam hidup bagaikan mayat yang boleh diperlakukan apa saja oleh musuhnya. Umat Islam tidak punya identiti sendiri. Semuanya bersalut dengan salutan musuh, hingga kerana itu makin hari makin hancur dan berkecai, punah-ranah. Mana ada satu negara Islam dan masyarakat Islam yang benar-benar ditakuti kawan dan lawan? Hatta jemaah yang memperjuangkan Islam pun tidak wujud identiti Islamnya.

Kesilapan utama dan pertama pada kegagalan ini ialah kerana kita tidak cukup iman. Hati kita, jiwa kita tidak sekuat yang sepatutnya. Iman dan taqwa kita terlalu lemah. Maka selemah itulah jiwa kita dan nilai diri kita. Sebab Allah tidak bersama kita. Yang memimpin dan mendorong kita selama ini ialah nafsu dan syaitan. Dalam pada itu kita kata kita Islam, Allah Tuhan kita, Muhammad nabi kita. Walhal yang sebenarnya jadi Tuhan dan Nabi kita ialah nafsu dan syaitan. Manalah Allah tidak kutuk kita dan umat Islam seluruhnya.

Kalaulah keadaan ini tidak dibaiki, pasti kita tidak selamat, di dunia pun tidak boleh selamat, apa lagilah di akhirat. Tujuh buah neraka telah disiapkan untuk orang-orang yang sesat dan orang- orang yang Allah benci. Pesakit-pesakit lemah jiwa adalah termasuk orang-orang kebencian Allah, yang pasti menjerit melolong nanti di akhirat oleh azab-Nya. Jangan sampai berita ini diragukan atau tidak difikirkan secara serius. Sebab Allah tidak pernah mungkir janji-Nya. Firman Allah:

Terjemahannya: Sesungguhnya Allah tidak mungkir janji. (Surah Ali Imran: 194)

Orang yang selamat di dunia dan akhirat ialah orang yang hatinya selamat. Lihat betapa indahnya firman Allah. Dan firman Allah lagi:

Terjemahan: Pada hari itu, tidak berguna lagi harta dan anak-anak melainkan mereka yang membawa hati yang selamat sejahtera. (Surah As Syuara’ : 89)

Hati dan jiwa yang selamat ialah yang mendapat maqam mutmainnah atau sekurang-kurangnya mulhamah. Iaitu orang-orang yang mempunyai iman ayyan, yang hatinya sentiasa teringat Tuhan yang Pengasih itu, yakni Allah SWT. Hati diperhambakan betul untuk Alah hingga tidak pernah membesar dan memuliakan diri, walau bagaimana besar pun nikmat yang didapati. Dan hatinya tidak pernah cacat dengan Allah, walau bagaimana dahsyat pun ujian yang diberi. Hati ini adalah hati yang sungguh gagah dan kuat. Nikmat dan ujian tidak pun menggoyang dan melemahkannya. Dia cukup merdeka untuk Allah. Berani dan yakin serta tawakal dan harap pada Allah menyebabkan dia sangat mengutamakan kehendak dan hukum Allah. Hinggal sekiranya dia terpaksa mati untuk tugas itu, maka dirasanya kematian itu ialah pintu pertemuannya dengan Allah yang sangat dicinta dan dirinduinya. Dia sanggup mati mempertahankan prinsip Islam.

Kenapa kita tidak mencuba dapatkan hati yang begitu? Sedangkan Allah sudah berlaku terlalu baik dengan kita. Patut kita sudah rasa terlalu terhutang budi dan malu dengan Allah. Jadilah hendaknya kita umat yang merdeka jiwa. Merdeka dengan Allah. Takut hanya dengan Allah. Tidak lagi takut pemerintah, takut isteri, takut periuk nasi tidak berasap, takut miskin, takut masuk dapur, takut emak dan bapa mertua dan macam-macam lagi. Sebab semua itu tidak ada kuasa apa-apa kalau bukan dengan kuasa dan kehendak Allah. Agar dengan itu selamatlah kita dari penyakit lemah jiwa.
=== sekian ===

KEMATIAN ITU DAHSYAT

Akhirat destinasi yang akhir buat manusia. Tapi malangnya dia telah dilupakan oleh manusia. Persediaan untuk ke sana diabaikan. Tempat persinggahan sementara ke Akhirat ialah kubur atau Alam Barzakh. Border di antara dunia dan Akhirat. Di sana ada peperiksaan…

Adapun peristiwa di alam kubur atau di alam barzakh bermula apabila seseorang itu telah mati dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kubur. Di alam kubur itulah seseorang itu dikatakan berada di alam barzakh. Barzakh ialah dinding pemisah di antara dua alam yang akan dialami oleh setiap manusia iaitu di antara alam dunia dengan alam akhirat.

Setelah seseorang itu mati, dia akan kembali ke alam akhirat tetapi sebelum menempuh alam akhirat, dia akan berada di alam barzakh terlebih dahulu. Alam akhirat yang sebenarnya ialah alam Mahsyar iaitu setelah berlaku kiamat yang seterusnya manusia akan menuju ke syurga atau ke neraka. Jadi, alam barzakh ialah tempat seseorang itu akan menunggu setelah dia mati sebelum dia dibangkitkan semula oleh Allah SWT di hari kiamat nanti.

Apabila seseorang itu mati, dia akan ditanamkan. Ada setengah-setengahnya dibakar, namun hakikamya adalah ditanam juga dan tetap menuju ke alam barzakh juga. Bagi umat Islam, setiap yang telah mati adalah ditanam. Begitu juga sebahagian dari orang-orang kafir. Dan apabila seorang itu telah ditanam atau dikebuminkan, mana-mana yang mempercayai talqin akan membacakan talqin ke atasnya tetapi mana-mana yang tidak mempercayai talqin, mereka yang menghantarkan seseorang yang telah mati itu ke kubur akan pulang, tidak kira sama ada dia suaminya atau anaknya atau isterinya atau siapa saja. Tidak ada siapa yang mahu menunggu lama-lama di atas kubur tadi. Maka akan tinggallah seseorang yang telah mati itu tadi berseorang diri di dalam kubur yang sempit lagi gelap gulita itu.

Menurut satu riwayat hadis Rasulullah SAW, kibaran pakaian orang-orang yang hidup di atas kubur ketika meninggalkan kubur si mati setelah upacara pengkebumian selesai, dapat didengar oleh mayat yang terkujur di dalam tanah itu. Dan setelah beberapa langkah mereka meninggalkan mayat orang yang telah dikebumikan tadi, Allah SWT meniupkan semula roh si mati tadi ke dalam jasadnya. Ketika itu, mayat tadi pun terkejut dan bingkas bangun. Ada satu riwayat dari Syeikh Ibnu Hajar Haitami, roh yang dikembalikan oleh Allah SWT kepada mayat itu hanya kepada sebahagian badannya saja iaitu dari punggung ke atas.

Kemudian, setelah roh ditiupkan semula oleh Allah SWT kepada si mayat, dia pun hidup semula. Ketika itu datanglah dua orang malaikat yang bernama Mungkar dan Nakir untuk menyoal si mayat tadi. Adapun Mungkar dan Nakir ini akan hadir kepada setiap yang mati sama ada dia mukmin atau kafir, sama ada mukmin yang ahli syurga atau pun mukmin yang derhaka, yang munafik, yang musyrik dan sebagainya. Dan Mungkar dan Nakir ini ialah dua orang malaikat yang tidak siapa pun pernah melihat rupanya, walaupun Rasulullah SAW. Dengan sebab itu, tidak siapa pun kenal dan tahu akan kedua malaikat ini.

Sebab itulah mereka berdua dinamakan Munkar dan Nakir. Walau bagaimana pun keadaan kedua orang malaikat ini dapat digambarkan juga oleh ulama-ulama yang jiwa mereka suci dan bersih yang mana mereka itu sentiasa dalam pimpinan Allah SWT. Walau pun kedua malaikat malaikat Mungkar dan Nakir tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun, tidak seperti malaikat- malaikat lain umpamanya Jibril dan Mikail yang mana kedua mereka itu pernah dilihat oleh Rasulullah malah Jibril adalah yang selalu bertemu dengan Rasulullah sama ada dalam rupanya yang asal mahupun dalam rupa menyamar, namun ada riwayat-riwayat hadis yang menggambarkan keadaan Mungkar dan Nakir itu.

Di dalam satu riwayat hadis menceritakan bahawa muka Mungkar dan Nakir ini adalah amat hitam dan legam lagi kebiru-biruan. Mukanya itu adalah terlalu besar dan lebar. Selain dari itu, jasadnya juga adalah hitam legam serta kebiru-biruan. Mata Mungkar dan Nangkir ini adalah merah menyala seperti sebiji periuk tembaga. Di dalam satu riwayat lain, mata Mungkar dan Nakir itu dikatakan seperti kilat yang menyambar, bersinar-sinar lagi tajam. Begitu juga keadaan matanya hinggakan tidak ada siapa pun yang boleh menatap matanya itu.

Suara kedua malaikat itu adalah seperti guruh halilintar yang membelah langit malah lebih dahsyat dari itu lagi. Kemudian, apabila malaikat ini bersuara ketika menyoal si mati dari golongan orang-orang yang mukin tetapi derhaka kepada Allah seperti orang yang mengaku mukmin tetapi tidak sembahyang, tidak puasa, tidak bersedekah, tidak naik haji bila cukup syarat, tidak mahu menunaikan perintah-perintah Tuhan malah melakukan larangan-larangan Tuhan seperti minum arak, main judi, bergaul bebas, berzina, mendedah aurat dan lain-lainnya dan juga bersuara kepada orang-orang munafik, orang kafir serta orang-orang musyrik, keluar dai mulut kedua malaikal itu suatu api yang menyambar dan membakar mayat-mayat tadi.

Cuba kita bayangkan keadaan mayat yang keseorangan diri di dalam alam kubur atau alam barzakh tadi, tiada teman dan taulan, tiada sanak saudara, tiada pangkat dan darjat dan sebagainya. Semua itu sudah tinggal di dunia dan yang akan mengiring mayat ke dalam kubur hanyalah amal soleh yang akan menjadi pembela di dalam segala perbicaraan. Kalau ada amal soleh, maka akan terselamatlah kita di dalam persoalan-persoalan kedua malaikat tadi tetapi kalaulah amal tholeh saja yang mengiring atau amal jahat, maka akan musnahlah si mayat. Dalam keadaan demikian terpekik terlolonglah si mayat seorang diri, tidak ada siapa yang tahu dan tidak ada siapa yang mendengarnya.

Dalam kita membayangkan keadaan mayat di dalam kubur tadi, janganlah kita bayangkan keadaan seperti lubang kubur yang kita korek pada ketika hendak menanamkan mayat. Alam barzakh atau alam kubur, bukanlah seperti liang lahad yang kita korek untuk kita tanamkan si mayat. Ia adalah satu alam yang lain, yang terpisah dari alam nyata ini. Lubang kubur yang kita korek tadi hanya tempat kita hendak menyimpan mayat. Ia masih di alam nyata iaitu di muka bumi. Pendek kata, kalau kita korek semula lubang kubur tadi, kita tetap dapat melihat mayat yang kita tanamkan, terbujur baring dengan dibaham oleh ulat-ulat dan cacing hingga seluruh tulang dan daging reput menjadi tanah.

Oleh yang demikian, bukan itu yang sebenarnya berlaku kepada si mayat di alam kubur. Yang sebenarnya berlaku ialah, mereka sudah berpindah ke alam barzakh sambil menunggu hari Pembicaraan di padang Yaumal Mahsyar nanti. Jadi, di alam barzakh tempat setiap orang yang sudah mati itu menunggu itulah, mereka masing-masing akan bertemu dengan malaikat Mungkar dan Nakir yang keadaan mereka berdua itu seperti yang digambarkan di atas tadi. Seterusnya, di tangan mereka terdapat pemukul daripada besi atau cemeti besi yang mana pemukul mereka itu kalau digunakan untuk memukul bukit-bukit dan gunung di dunia ini, akan hancur luluh semuanya.

Kalaulah gunung-ganang dan bukit bukau yang begitu kuat boleh hancur berderai, bayangkanlah pemukul yang sama itu digunakan kepada jasad si mati yang lemah longlai itu. Apakah daya upaya si mayat tadi untuk mempertahankan dirinya. Tidak ada daya upaya. Cemeti besi yang begitu dahsyat yang menurut satu riwayat lain, kalau berhimpun seluruh umat yang melontar Jumrah di Mina sekali pun cemeti itu tidak terdaya untuk dipikul, tetap akan menghempap ke jasad si mayat yang lemah dan kerdil tadi.

Cubalah kita bayangkan azabnya penderitaan si mayat bila dilibas oleh cemeti besi yang dibawa oleh Mungkar dan Nakir. Kalau kita mati dengan membawa amal tholeh, amal jahat, amal perbuatan yang sentiasa derhaka kepada Allah SWT, kita tidak akan dapat lepas daripada berhadapan dengan kedua malaikat Mungkar dan Nakir. Setiap mukallaf iaitu yang akil lagi baligh, kalau tidak melaksanakan segala suruhan Tuhan dan menjauhkan segala laranganNya, azab yang didatangkan oleh kedua Mungkar dan Nakir akan menimpa dirinya.

Orang-orang yang derhaka kepada Allah SWT, tidak mengerjakan suruhanNya dan tidak menjauhkan laranganNya, dia tidak boleh menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh kedua malaikat tadi. Setiap persoalan yang tidak boleh dijawab, kedua malaikat tadi akan menjalankan penyeksaannya tanpa belas kasihan. Sekali pukul, akan hancur seluruh jasad si mayat dan sakitnya terasa hingga ke hati. Kemudian, jasad itu akan bercantum semula kerana di alam akhirat seseorang tidak akan mati lagi. Apabila bercantum semula jasad si mati, pemukul besi Mungkar dan Nakir akan melibas lagi ke dirinya.

Dan begitulah seterusnya penyeksaan ini berlaku hingga ke hari kiamat iaitu ketika semua manusia dibangkitkan kembali oleh Allah SWT dengan tiupan sangkakala yang kedua. Sebab itulah, kita hendaklah memikirkan dan menghayati kebenaran ini dengan sungguh-sungguhnya hingga terasa gerun dan gentar untuk berhadapan dengan peristiwa di alam kubur kelak.

Persoalan-persoalan yang dihadapkan oleh Mungkar dan Nakir kepada kita adalah merupakan persoalan Ketuhanan, Keimanan dan Keyakinan. Hal-hal yang demikian, termasuk yang kita pelajari ini, hendaklah kita fahami dan kita hayati sungguh-sungguh serta kita laksanakan di dalam kehidupan kita semasa kita boleh lagi menyedut udara Allah di dunia ini, semasa kita masih lagi boleh makan sup ayam, makan sate dan sebagainya.

Kalau hal-hal yang bersangkutan dengan Ketuhanan dan Keimanan dapat kita hayati dan kita amalkan sungguh-sungguh dan dapat menjadi pegangan dan keyakinan kita hingga di saat kita berhadapan dengan sakaratul maut, kita akan terlepas dari azab Mungkar dan Nakir, walaupun kita akan berhadapan dengan keduanya, dengan menyaksikan tongkat besi mereka, suara mereka yang begitu hebat dan dahsyat dan sebagainya. Namun, kita tetap tenang tanpa takut dan gentar.

Malah bagi mukmin yang sejati, mukmin yang taat menjalankan setiap perintah Tuhan, mukmin yang ketika di dunia mengerjakan amal-amal soleh serta amal- amal yang akan dinilai Tuhan sebagai amal yang layak diberi ganjaran pahala, ketika kedua Mungkar dan Nangkir datang bertanyakan diri, mereka akan berkata-kata dengan suara yang lemah lembut walaupun rupanya begitu hebat dan gagah tadi. Walau pun rupa mereka begitu mengerikan, tetapi kerana mereka bersuara dengan lemah lembut, sedikit pun tidak mendatangkan gentar dan khuatir kepada mayat mukmin yang soleh tadi.

Bila kedua Mungkir dan Nakir bertanya kepada mayat mukmin yang soleh tadi, setiap soalannya dapat dijawab. Semua persoalan yang di- kemukakan seperti yang kita dengar melalui pembacaan talqin seperti, “Siapa Tuhan kamu?” “Siapa penghulu kamu?” “Apa agama kamu?” “Siapa imam kamu?” dan sebagainya, semua itu dapat kita jawab dengan lancar dan dengan lidah yang fasih. Inilah yang berlaku kepada orang mukmin yang sejati.

Sebaliknya, orang mukmin yang derhaka, mukmin yang mati membawa amal-amal jahat, mukmin yang mati membawa hati yang kotor yang berselaput dengan sifat riak, sombong, takabur, hasad dengki, gila dunia, kedekut, bakhil, pemarah, pembengis dan lain-lain sifat keji, dia tidak akan dapat menjawab persoalan-persoalan yang walaupun nampaknya mudah saja.

Persoalan seperti “Siapa Tuhan kamu?” tentu nampaknya mudah saja dijawab kerana mungkin di dunia kita telah menyebut nama Tuhan di dalam wirid zikir jutaan kali. Tetapi oleh kerana kita mati dengan membawa amal jahat, amal yang derhaka kepada Tuhan, amal yang dilarang dan diharamkan oleh Allah SWT sama ada yang Iahir mahupun yang batin, persoalan yang mudah seperti “Siapa Tuhan kamu?” tidak akan dapat dijawab.

Allah SWT tidak mengizinkan orang-orang yang derhaka, ingkar dan mungkar menyebut namaNya ketika di akhirat nanti. Allah tidak akan mengizinkan orang yang mengaku dirinya Islam tetapi tidak taat kepada suruhan yang terkandung di dalam ajaran Islam menyebut namaNya ketika di akhirat nanti Allah akan kunci mati mulutnya.

Begitu juga. dia tidak akan dapat menjawab pertanyaan. “Siapa penghulu kamu?” dengan mengatakan “Muhammad nabi aku” kerana di dunia dia tidak menjalankan disunnahkan oleh Rasul. Walaupun di dunia dia menyambut hari keputeraan Rasul, telah membaca sejarah Rasul dan sebagainya, tetapi kerana dia tidak ikut sunnah Rasul. Tindak tanduknya setiap hari tidak sesuai dengan apa yang Rasul suruh dan apa yang Rasul larang, maka di akhirat nanti dia tidak boleh menyebut Muhammad itu pesuruh Allah nabi yang menjadi ikutan kita.

Begitu juga, orang mukmin yang derhaka kepada Allah, dia tidak boleh menjawab soaian “Siapa imam kamu?” Soalan ini nampaknya mudah tetapi bukan mudah bagi mukmin yang derhaka kerana dia tidak faham maksud imam di sini. Imam yang dimaksudkan ialah Al Quran. Dia nanti tidak boleh menyebut Al Quran kerana di dunia dia hanya tahu apa itu Al Quran tetapi hidupnya tidak disuluh dengan Al Quran.
Kehendak Al Quran tidak diikuti sepenuhnya. Boleh jadi kita ikut setengah darinya tetapi yang setengah lagi kita tidak ikut. Kerana ini, orang yang demikian tidak akan dapat menjawab “Al Quran itu imamku”. Malah orang yang demikian, Allah sebut di dalam Al Quran, maksudnya: Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada kitab (iaitu Al-Quran) dan kufur dengan sebahagian yang lain (iaitu engkar). Tidaklah ada balasannya bagi orang yang berbuat demikian melainkan hina hidupnya di dunia dan di akhirat dia akan dikembalikan kepada azab yang amat dahsyat. Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu buat”

Dan bagitu jugalah dengan soalan-soalan yang lain, walaupun nampaknya mudah tetapi bagi orang-orang yang durhaka kepada Allah, lidahnya kelu dan Allah kunci mati mulutnya hingga tidak boleh berkata apa-apa lagi. Mungkar dan nangkir akan mengazabnya dengan azab yang amat dahsyat.

Sebaliknya, bagi orang mukmin yang soleh, yang taat kepada perintah Allah dan Rasul yang mengatur setiap aspek kehidupannya mengikut Al-Quran dan Sunnah dari aspek yang sekecil-kecilnya hinggalah ke aspek yang sebesar-besamya, mereka-mereka ini dapat menjawab dengan mudah setiap soalan yang ditanya oleh Mungkar dan Nakir. Apabila semua soalan itu telah dijawab, maka malaikat Mungkar dan Nakir pun mempersilakan mayat tadi berehat di satu kawasan yang sangat luas.

Kemudian malaikat pun berkala, “Tidurlah kamu di sini sebagai tidur pengantin”. Yang dimaksudkan ialah tidur yang penuh dengan keindahan dan keseronokan yang dinikmati di alam barzakh bagi orang mukmin soleh adalah lebih dari keindahan malam pengantin. Nikmat-nikmat kehidupan di dalam Syurga Allah hantarkan melalui malaikat-malaikat untuk mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. Hadis Riwayat Muslim

Bagi orang-orang munafik dan orang kafir serta mukmin yang derhaka pula, malaikat-malaikat Mungkar dan Nakir akan berkata dengan mereka dengan muka yang menggerunkan serta dengan suara yang kasar hingga si mayat terketar-ketar dan takut. Kehidupan mereka ini di alam barzakh sentiasa penuh dengan ketakutan yang tidak terhingga. Kepada siapa pun dia tidak boleh meminta pertolongan sama ada kepada sanak-saudara, sahabat handai ataupun kepada anak isteri. Masing-masing tidak boleh mendengar jerit-pekik si mayat tadi. Yang mendengar hanyalah binatang-binatang seperti ayam itik, kambing, lembu dan sebagainya.

Adapun azab dan derita yang diberikan kepada orang-orang kafir, orang munafik dan orang-orang mukmin yang derhaka akan berterusan hingga ke hari Qiamat. Cuma bagi orang mukmin yang derhaka kerana dia mati membawa iman, azab yang diterimanya sekali-sekala Allah rehatkan juga. Walaupun azabnya berlaku hingga ke hari Qiamat, tetapi ada ketika-ketikanya orang-orang mukmin yang derhaka itu direhatkan iaitu bila datang malam Jumaat dan bila datang bulan Ramadhan.
Selain dari itu, mukmin yang derhaka ini akan juga mendapat keringanan azab apabila kaum keluarga atau sanak-saudara serta anak isteri di dunia yang masih hidup ingat kepada si mati dan mengirimkan doa serta sedekah jariah yang pahalanya dikasadkan atau disedekahkan kepada si mati. Malah, kalau kiriman yang sepenuhnya diperolehi oleh si mati daripada mereka-mereka yang masih hidup terutamanya dari anak-anak yang soleh, kemungkinan azab atau siksa yang diterima akan diberhentikan terus.

Inilah peluang yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang mati sebelum hari Qiamat iaitu peluang untuk mereka singgah dan berihat di alam barzakh di samping boleh menerima kiriman-kiriman pahala dari mereka-mereka yang masih hidup terutamanya dari waris-waris si mati.

Doa, wirid zikir, baca Al Quran, sedekah tahlil, Yasin dan sebagainya, kecuali amal-amal yang fardhu, semuanya itu boleh dikirimkan kepada mereka-mereka yang telah mati lebih dahulu dengan mengkasadkan atau meniatkan pahalanya disedekahkan kepada mereka. Mereka akan dilonggarkan daripada azab yang diterima dan kalau pahala yang sepenuh diterima, boleh jadi azab yang diterima itu dihentikan langsung.

Jadi, sebagai anak atau sebagai isteri atau sebagai suami yang sanak saudara masing-masing telah kembali ke alam barzakh terlebih dahulu, eloklah meniatkan amal-amal bakti yang bukan fardhu agar pahalanya disedekahkan kepada mereka. Malah bukan saja kita sedekahkan pahalanya kepada sanak saudara kita yang lelah meninggal lebih dahulu, kita juga meniatkan sedekahnya kepada seluruh orang mukmin lelaki dan perempuan.

Sebenarnya, dengan kita mengkasadkan atau meniatkan pahala amal soleh kita kepada orang-orang mukmin yang telah mati lebih dahulu, kita masih lagi mendapat pahalanya. Janganlah kita khuatirkan yang kalau kita sedekahkan pahala amal kita itu kepada sanak saudara serta seluruh orang mukmin yang telah mati, kita tidak mendapat apa-apa pahala lagi.

Sebenarnya, kita tetap juga menerima pahalanya disamping kita dinilai oleh Allah sebagai orang yang tidak kedekut dengan pahala dan kedekut dengan amal. Kita boleh bersikap tamakkan pahala atau mengaut sebanyak pahala yang boleh tetapi kita tidak boleh kedekut dengannya. Hendaklah kita dedahkan kepada siapa saja yang sudah mati sama ada mereka orang soleh ataupun orang yang derhaka.

Seterusnya, selain dari siksa-siksa yang diterima oleh seseorang yang telah mati dalam keadaan derhaka kepada Allah SWT seperti yang kita sebutkan tadi, ada lagi siksa-siksa yang berbagai-bagai jenis yang juga akan diterima oleh si mati. Di antaranya ialah sepertimana kata Rasulullah di dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Abi Said AL Qudri, katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda, (maksudnya).

Terjemahan : Allah SWT telah mengirimkan kepada orang-orang kafir (termasuk juga orang-orang munafik dan orang mukmin derhaka) 99 ekor ular yang besar-besar dan ular-ular itu akan menggigit dan mengetit dengan amat bisanya ke atas mayat itu hingga ke hari Qiamat. Jika sesekor dari ular itu datang ke atas muka bumi lalu menghembuskan nafasnya yang bisa itu ke muka bumi ini, nescaya tidak ada satupun yang akan tumbuh di muka bumi ini.

Begitulah dahsyatnya siksa yang akan diterima oleh orang-orang munafik, orang-orang kafir serta orang-orang mukmin yang derhaka ketika berada di alam kubur. Bukan saja ular-ular itu besar dan meng- gerunkan, malah ia akan mengetit dan menggigit dengan gigitan yang berbisa sekali. Diibaratkan bahawa kalau hembusan nafasnya yang bisa itu ditiup ke muka bumi, nescaya tidak ada satu tumbuhan pun yang dapat hidup di muka bumi ini.

Lagi satu siksa yang diterima oleh mayat yang derhaka kepada Allah di dalam kubur ialah siksa himpitan kubur. Kubur yang sempit itu akan menghimpit mayat hingga berselisih tulang-tulang rusuk. Kubur akan menghimpit si mayat apabila dia tidak dapat menjawab soalan- soalan yang ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nakir. Selain dari itu, azab yang akan diterima oleh si mayat di alam kubur ialah azab yang didatangkan oleh malaikat ketika salah satu dari pintu neraka dibukakan. Api dari pintu neraka itu akan menyembur dan menuju ke alam barzakh tempat mayat itu disiksa. Jadi, di alam barzakh lagi, manusia sudah menerima sebahagian kecil daripada azab api neraka.

Sepertimana yang telah kita sebutkan, bagi orang-orang mukmin yang sejati atau orang-orang mukmin yang soleh, dia terlepas dari sebarang siksa kubur hatta malaikat Mungkar dan Nakir yang begitu ganas dan garang pun menjadi lemah lembut dengan mereka. Bagi mereka, alam barzakh ialah tempat mereka berehat dengan penuh keindahan dan kenikmatan. Allah datangkan untuk mereka nikmat-nikmat yang banyak sepertimana nikmat di dalam Syurga. Setengah daripada nikmat untuk mereka ialah Allah perluaskan kubur mereka hingga 70 hasta lebar. Dan kemudian Allah panjangkan kubur itu sehingga 70 hasta panjang. Maka berehatlah si mayat di dalam rumahnya yang begitu lebar dan luas sehingga ke hari qiamat.

Setelah Allah perluas dan Allah perpanjangkan kubur orang soleh, Allah bukakan salah satu daripada pintu Syurga. Maka mengalirlah sebahagian daripada nikmat Syurga termasuk makanan yang ]azat-lazat, rasa keseronokan dan keindahan yang tidak terkira dan lain-lain nikmat Syurga. Cuma ulama-ulama tidak pernah menyebut tentang nikmat bidadari Syurga bagi mereka yang berehat di alam barzakh.

Begitu juga, di alam barzakh tidak ada pelayan-pelayan sepertimana yang terdapat di dalam Syurga. Ertinya, di alam barzakh, masing-masing adalah bersendiri sahaja. Walau pun bersendirian, tetapi dia masih seronok dan gembira. Hidupnya di alam barzakh penuh bergemerlapan, diterangi oleh cahaya-cahaya dan suasana Syurga. Cahaya yang meneranginya di alam kubur adalah dari lampur yang cantik dan mdah, memberikan dia rasa yang nyaman tidak panas dan tidak juga sejuk.

Kemudian Allah datangkan kepadanya salah satu daripada pohon syurga. Maka adalah baginya buah-buahan yang lazat-lazat di samping ada air yang mengalir. Yang demikian, kata ulamak, jadilah suasana di alam barzakh bagi orang-orang mukmin yang soleh seperti suasana malam bulan purnama setiap saat dan ketika sehinggalah dia dihimpunkan di padang Yaumal Mahsyar kelak.

Demikianlah serba sedikit gambaran terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada manusia di alam barzakh atau di dalam kubur sama ada yang telah berlaku iaitu bagi mereka-mereka yang telah mati lebih dahulu dari kita atau pun yang akan berlaku ke atas kita-kita semua apabila kita mati kelak. Dan pada masa ini, peristiwa-peristiwa itu sedang menimpa mereka-mereka yang berada di alam barzakh. Khususnya bagi orang-orang munafik dan orang-orang kafir, mereka ini sedang menerima siksa dan azab yang tidak henti-hentinya.

Begitu juga bagi bagi orang-orang mukmin yang derhaka, ingkar dan mungkar terhadap perintah-perintah Allah yang ketika di dunia dulu mengakui Islam tidak mahu hidup menurut yang dikehendaki oleh Islam tetapi sebaliknya lebih suka hidup menurut cara-cara yang lain dari Islam seperti cara orang Yahudi, cara orang Nasrani, cara orang barat, cara orang timur dan sebagainya, maka bagi mereka ini juga kini sedang menerima azab siksa kubur yang keadaannya adalah seperti azab di dalam neraka Allah.

Cuma, bagi orang mukmin yang sebenar-benarnya iaitu orang mukmin yang taat mengerjakan perintah Allah, membuat perkara yang disuruh sama ada yang fardhu mahupun yang sunat dan meninggalkan perkara yang dilarang dan yang diharamkan oleh Allah SWT, sama ada yang haram ataupun mereka yang makruh, bagi mereka ini alam barzakh ataupun alam kubur adalah tempat mereka berehat dan tempat mereka menenangkan hati. Kini mereka sedang menikmati sebahagian daripada nikmat-nikmat Syurga yang Allah anugerahkan kepada mereka.

Kita yang masih hidup ini hendaklah menjadikan cerita-cerita yang diriwayatkan dari hadis-hadis sahih Rasulullah SAW ini mengenai peristiwa alam kubur sebagai satu pengajaran yang wajib kita pegang dan kita yakini supaya kita dapat mengatur langkah-langkah yang wajar bagi mengelakkan diri kita daripada siksa dan azab di alam barzakh. Caranya ialah dengan benar-benar menyusun dan mengatur setiap aspek kehidupan ini mengikut yang dikehendaki oleh ajaran Islam, ajaran Allah dan Rasul serta ajaran Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Sama ada dalam kita mengatur diri kita, dalam kita mengatur rumah-tangga kita, dalam kita mengatur anak isteri kita,”dalam kita mengatur usaha ikhtiar kita, dalam kita mencari rezki, mencari ilmu pengetahuan dan lain-lainnya, semuanya itu hendaklah mengikut yang dikehendaki oleh Al Quran dan sunnah. Setiap aspek kehidupan kita itu mestilah menurut ajaran Islam, barulah kita akan terselamat di akhirat nanti.

Ingatkanlah kematian kita itu dari detik ke detik dan dari saat ke saat. Justeru Allah tidak janjikan kematian kita di waktu tua. Begitu juga Allah tidak janjikan kematian kita disebabkan sakit. Tidak pun sakit boleh mati juga. Hal ini sepatutnya tidak payah diberitahu. Semua orang tahu, kan pengalaman bersama. Ada orang mati kecil, ada orang mati muda, ada orang mati tua. Ada orang mati tanpa sebab apa-apa. Sedang rehat-rehat atas kerusi tiba-tiba terlintuk saja. Ditengok nafas sudah tiada.

Oleh itu janganlah senang-senang hati dengan kematian. Kematian bila-bila masa berlaku. Kita tunggulah kematian itu dari nafas ke nafas. Agar kita tidak ada angan-angan yang melalaikan. Hendak membangun, membangunlah. Tapi ingatlah waktu itu boleh mati. Hendak maju, majulah tapi kematian boleh berlaku di waktu itu. Hendak kejar kekayaan kejarlah. Tidaklah salah selagi halal tapi ingatlah mati. Ingatlah mati di dalam sebarang hal. Agar kita tidak lalai, jiwa sentiasa takut dan gentar dengan Tuhan. Bila jiwa takut dengan Tuhan. Kita takut hendak membuat dosa di dalam sebarang hal.

Kemudian, satu peristiwa lagi yang berlaku kepada semua manusia di alam barzakh ialah ketika telah tamat riwayat alam zahir ini ataupun alam dunia ini. Ketika itu, Allah akan perintahkan kepada malaikat bernama Israfil untuk meniup Sangkakala yang pertama yang akan mematikan seluruh isi langit dan isi bumi dengan kematian yang amat mengejut.

Datangnya tiupan Sangkakala yang pertama ini amat menakutkan setiap yang masih hidup hingga ke saat itu kerana bunyinya yang amat dahsyat yang tidak pemah didengar oleh setiap makhluk selama itu. Tidak satu pun makhluk yang bernyawa dapat terselamat. Semuanya akan mati termasuklah iblis dan syaitan yang sentiasa mengajak dan menarik manusia melakukan maksiat.

Jadi, riwayat iblis yang engkar dan derhaka kepada Allah SWT, yang bersumpah untuk memusnahkan manusia dan meminta agar dipanjangkan umurnya, berakhir dcngan tiupan Sangkakala yang pertama ini. Riwayat kejahatan iblis sepertimana yang kita ketahui bermula dari nenek moyang kila Nabi Adam AS dan isterinya Siti Hawa. Iblis dapat masuk ke dalam Syurga dan menghasut isteri Nabi Adam melakukan satu kesalahan hingga menyebabkan mercka disingkir keluar dari Syurga ke alam dunia yang hina dina ini.

Perbuatan iblis telah menyebabkan Nabi Adam dan isterinya terpisah selama lebih kurang 40 tahun di atas bumi yang tandus dan gersang sehinggalah mereka bertemua kembali di Padang Arafah. Cuma, apa yang berlaku kepada Nabi Adam dan isterinya adalah hikmah besar kepada umat-umat yang akan terjadi selepas dari itu. Perlakuan Nabi Adam dan isterinya yang bertemua di Padang Arafah telah menjadi syariat kepada setiap umat Islam selepas itu supaya berhimpun di Padang Arafah pada hari 9 zulhijjah.

Daripada penipuan iblis buat pertama kali yang berlaku kepada Nabi Adam dan isterinya itu, seterusnya berlakulah penipuan-penipuan yang lain kepada umat manusia hinggalah ke saat tiupan Sangkakala yang pertama tadi. Telah ramailah manusia yang tertipu dan terjebak ke dalam perangkap jahat iblis dan syaitan. Terlalu ramailah manusia yang berjaya ditipu dan dihasut oleh iblis serta anak-anak buahnya yang begitu ramai sekali.

Buktinya, lebih dari 3/ 4 umat manusia adalah yang kafir, yang munafik dan yang derhaka kepada Allah SWT kerana telah berjaya dipesongkan akidah mereka oleh iblis dan syaitan. Jadi, iblis dan syaitan begitu panjang sekali umurnya yang hidup di kalangan umat manusia. Ketika hidupnya, setiap manusia telah dihasut dan digoda hingga jatuh ke dalam perangkapnya. Hatta isteri para Rasul dan para Nabi yang kemudian dari Nabi Adam pun, banyak yang tertipu daya oleh iblis dan syaitan.

Malah isteri Rasulullah pun, cemas-cemas juga terperangkap dengan hasutan iblis dan syaitan. Sebab itulah, isteri-isteri kita hendaklah berhati-hati kerana hasutan iblis dan syaitan adalah terlalu halus dan bijak. Kalau isteri Rasul-rasul pun boleh terperangkap, apa lagilah dcngan isteri-isteri kita yang imannya lemah dan longgar. Mudah sekalilah iblis dan syaitan menggoda mereka.

Malah, bukan saja para isteri dan para kaum perempuan saja yang perlu berhati-hati terhadap godaan iblis dan syaitan ini, para-para suami dan kaum lelaki juga wajib berhati-hati dan hendaklah sungguh-sungguh berusaha melawan kehendak iblis dan syaitan, melawan nafsu dan ikhlas beribadah kepada Allah SWT.

Yang demikian sahajalah syaitan akan takut dan akan lari daripada kita. Hendaklah kita faham dan perhatikan sungguh-sungguh tipu daya syaitan ini ialah dengan hati kita sentiasa menyebut nama Allah, hati kita sentiasa mengingati Allah SWT. Iblis dan syaitan adalah makhluk Allah juga dan kalau kita sentiasa mengingati Allah, Dialah yang akan menolong kita menjauhkan iblis dan syaitan itu.

Jadi, iblis dan syaitan yang jahat dan yang panjang umur itu akan mati juga apabila bertiup Sangkakala yang pertama. Malah malaikat-malaikat juga mati semuanya, kecuali mereka-mereka yang masih dikehendaki hidup oleh Allah SWT seperti Bidadari-bidadari Syurga, pelayan-pelayan Syurga dan setengah-setengah malaikat. Jadi, tidak ada siapa yang boleh terlepas daripada mati.

Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al Quran, maksudnya; Terjemahan: Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati – Al Imran: 185

Ertinya, setiap makhluk yang hidup sama ada yang di bumi, di lautan, di langit dan di mana saja, semuanya akan mati. Manusia, jin, iblis, syaitan, malaikat, binatang-binatang dan lain-lain makhluk yang bernyawa, semuanya akan mati. Dan setelah semuanya mati, maka tenanglah segala-galanya. Semuanya sudah tidak ada lagi melainkan Syurga, Neraka, Arasy, Kursi, Luh Mahfudz dan juzuk-juzuk yang Allah kekalkan secara kekal Aradhi.

Cuma, Zat Allah SWT adalah kekal abadi dengan kekal yang wajib dan kekal yang tiada kesudahan kerana wujudnya Allah adalah wujudnya yang tiada permulaan. Dan keadaan yang tenang ini akan berlalu selama kira-kira 40 tahun. Dalam masa 40 tahun inilah, seluruh manusia yang berada di alam kubur juga tenang dan tidur, sama ada yang mukmin mahupun yang kafir.

Sekian.

WAHAI NAFSU, ISLAMLAH ENGKAU!

Image result for islam

Nafsu yang tidak terdidik boleh mengheret kita ke Neraka Allah SWT.

Nafsu yang terdidik dan jinak serta nafsu yang sudah di Islamkan akan membawa kita ke Syurga Allah Taala.

Nafsu Ammarah adalah peringkat nafsu yang paling jahat dan buruk sekali lakunya. Nafsu di peringkat ini akanmenjunamkan kita ke dalam Neraka Jahanam. Wal’iyazubillah.

Nafsul mutmainnah yakni nafsu yang tenang, nafsu yang sudah dijinakkan, nafsu yang boleh membawa seseorang mendapat keredhaan Tuhannya.

Nafsu yang selamat dan layak mendapat pengampunan Allah Taala,  nafsu peringkat ini sudah mampu melatih diri seseorang sabar, tawakkal, pemurah, bertolak ansur. Mesra, mudah berurusan, memahami masalah orang lain, tawaduk, pemaaf, dan lain-lain sifat-sifat terpuji ada padanya.

Sedangkan nafsu Ammarah yang jahat dan belum Islam lagi seperti di atas penuh dengan sifat-sifat keji yang menjijikkan, tamak, dengki, dendam, pemarah, sombong, ego, kasar, kedekut, panas baran, tidak memahami perasaan orang, suka menyakiti hati sesiapa sahaja bahkan sangat jahat sangka dengan Allah dan sangat derhaka pada Tuhannya.

Nafsu Ammarah adalah seburuk-buruk nafsu, nafsu liar yang menjerumuskan kita terjun ke Neraka Allah.

Firman Allah yang membawa maksud:

“Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mengajak kepada kejahatan”.

Manakala Firman Allah yang berkaitan dengan nafsul mutmainnah yang membawa maksud:

“Wahai nafsu yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan Mu dalam keadaan redha dan diredhai, masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurga Ku”.

Kita diajar supaya mengekang nafsu dan bercakap-cakap dengan nafsu agar janganlah nafsu menggoda kita.

Kita juga diajar supaya memohon kepada Allah agar Islamlah nafsu yang ada dalam diri kita agar selamatlah kita dari ditunggang oleh nafsu yang jahat.

Saiyidina Ali KWJ pernah berkata “Wahai Dunia janganlah tipu aku, kalau kau nak tipu , tipulah orang lain”.

Maka kita katakanlah kepada nafsu Ammarah yang ada dalam saluran darah kita “Wahai Nafsu yang jahat, kalau kau nak tipu, janganlah tipu aku, tipulah orang lain”.

Muga dengan kita selalu memberi amaran kepada nafsu yang ada dalam jasad kita, nafsu tidak lagi bermaharajalela dalam diri dan tidak lagi menguasai diri kita. Justeru itu selamatlah kita dari tunggangan nafsu yang liar bagaikan kuda liar itu.

Hati yang selamat dari godaan nafsu Ammarah dan Lawwamah akan berbahagia di alam Akhirat sana dengan membawa hati yang aman dan sejahtera di sisi Tuhan nya.

Berbahagialah bagi mereka yang berjaya memperolehi nafsul Mutmainnah. Bahagia dunia lebih-lebih lagi bahagia di Akhirat yang kekal lagi abadi.

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan memiliki keutamaan dan keistimewaan yang besar. Semua amal soleh yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat balasan lebih banyak dan lebih baik. Oleh kerana itu kita sangat dianjurkan untuk memperbanyak amal kebajikan dan meninggalkan kemaksiatan. Diantara keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan tersebut, disebutkan dalam beberapa riwayat:

1. Ramadhan adalah bulan penuh berkat, pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu. Pada bulan Ramadhan terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Rasulullah SAW bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌمُبَارَكٌ افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فَيْهِ أبْوَابُ الْجَنَّةِ
وَيُغْلَقُ فَيْهِ أبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلًّ فَيْهَ الشَّيَاطَيْنُ فَيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ ألْفِ شَهْرٍ

“Telah datang Bulan Ramadhan, bulan penuh berkat, maka Allah mewajibkan kalian untuk berpuasa pada bulan itu, saat itu pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, para syaitan diikat dan pada bulan itu pula terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan.” (Riwayat Ahmad)

2. Allah SWT membebaskan penghuni Neraka pada setiap malam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:
إذَا كَانَ أوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِرَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِيْنُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِيْ مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذَلِكَ كُلُّ لَيْلَةٍ
“Jika awal Ramadhan tiba, maka syaitan-­syaitan dan jin dibelenggu, pintu-pintu Neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Sedangkan pintu-pintu Syurga dibuka, dan tidak satu pintu pun yang ditutup. Lalu ada seruan (pada bulan Ramadhan); Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang ingin kejahatan, tahanlah dirimu. Pada setiap malam Allah SWT memiliki orang-orang yang dibebaskan dari Neraka.” (Riwayat Tirmidzi)

3. Puasa bulan Ramadhan adalah sebagai penebus dosa hingga datangnya bulan Ramadhan berikutya. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَاُن إلَى رَمَضَانَ
مُكَفِّرَاةٌ مَا بَيْنَهُنَّ إذَاجْتَنَبَ اْلكَبَائِرَ
“Jarak antara solat lima waktu, solat Jumaat dengan Jumaat berikutnya dan puasa Ramadhan dengan Ramadhan berikutnya merupakan penebus dosa-­dosa yang ada diantaranya, apabila tidak melakukan dosa besar.” (Riwayat Muslim)

4. Puasa Ramadhan boleh menebus dosa-dosa yang telah lalu, dengan syarat puasanya ikhlas. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa berpuasa dibulan Ramadhan kerana Iman dan mengharap pahala dari Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Barangsiapa memberi makan untuk orang ramai berbuka puasa maka mendapat pahala sebanyak pahala orang puasa tersebut.
مَنْ فَطَرَ صَائِمًا كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أجْرِ الصَّا ئِمِ لَا يَنْقُصَ مِنْ أجْرِ الصَّائِمِ شَيْئٌ
“Barangsiapa memberi makanan untuk berbuka (makanan atau minuman) kepada orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Riwayat Ahmad)

6. Sedekah yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.
أيُّ الصَّدَقَةِ أفْضَلُ؟ قَالَ صَدَقَةٌ فَيْ رَمَضَانَ
Rasulullah SAW pemah ditanya; Sedekah apakah yang paling mulia? Beliau menjawab: “Yaitu sedekah dibulan Ramadhan.” (Riwayat Tirmidzi)

7. Orang yang banyak beribadah (menghidupkan) bulan Ramadhan, maka dosa-­dosanya diampuni oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Doa orang yang berpuasa adalah mustajab Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٍ ؛دَعْوَةُ الصَّائِمِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُوْمِ
“Ada tiga jenis doa yang mustajab, yaitu doa orang yang sedang puasa, doa musafir dan doa orang yang teraniaya. (Riwayat Baihaqi)

9. Puasa dan ِAl-Qur’an yang dibaca pada malam Ramadhan akan memberi syafaat kepada orang yang mengerjakannya kelak dihari kiamat. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصُّيَامُ وَاْلقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ يَقُوْلُ اَلصِّيَامُ
أيْ رَبِّ مَنَعْتُهُُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتَ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِى فَيْهِ
وَيَقُوْلُ اْلقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِالَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيْهِ قَالَ فَيُشَفِّعَانِ

“Puasa dan Al-Qur’an akan memberikan syafaat seorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Ya Rabbi, aku mencegahnya dari makan dan minum di siang hari”, ِAl-Qur’ an juga berkata: “Aku mencegahnya dari tidur dimalam hari, maka kami mohon syafaat buat dia.” Beliau bersabda: “Maka keduanya dibolehkan memberi syafaat.” (Riwayat Ahmad)

10. Orang yang melaksanakan Umrah pada bulan Ramadhan maka mendapat pahala seperti melakukan Haji. Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ عُمْرَةَ فِيْ رَمَضَانَ حَجَّةٌ
“Sesungguhnya umrah dibulan Ramadhan sama dengan pahala haji” (Riwayat Bukhari)

Keistimewaan bulan Ramadhan:

Pada awal-awal bulan Ramadhan. Allah akan senantiasa memperhatikan setiap ummat Nabi Muhammad SAW. Dengan harapan segala amal perbuatan baiknya akan dilipat gandakannya. Manakala amalan yang sunat dilipat gandakan lagi seakan-akan menjadi wajib sedangkan amalan-amalan wajib akan dilakukannya lebih dari biasa secara bersungguh-sungguh. Dan barangsiapa yang diperhatikan oleh Allah moga-moga dia akan terhindar dari azab kubur dan siksa neraka.

Bau mulut orang yang berpuasa yang berbau akan berubah menjadi wangi sewangi-wanginya melebihi wangi kasturi di hari kiamat.

Pada setiap malam bulan Ramadhan akan ada berpuluh ribu malaikat yang turun ke bumi dan senantiasa memohon keampunan bagi orang orang yang memanfaatkan malamnya dengan solat, sujud, berzikir serta beribadah pada Allah.

Allah akan memerintahkan Syurga untuk berhias diri, sehingga umat Nabi Muhammad SAW yang memasuki Syurga akan senantiasa merasa nyaman dan tenang. Pada akhir-akhir bulan Ramadhan, Allah akan menghapus dosa-dosa orang yang bertaqwa dan beriman pada Allah.

Call Now
Directions