Tag Archives: umrah

CARA MENGENAL SESEORANG ITU BAIK

Setiap orang Islam itu tidak boleh diukur yang dia baik
waktu datang bersembahyang di masjid sahaja
Belum boleh diukur yang dia baik sering sembahyang berjemaah di rumah Allah
Jangan lagi dilabelkan dia baik selalu naik haji dan buat umrah berulang kali
Tasbih di tangan, wirid dan zikir tidak lekang
Kerana itu semuanya ibarat berladang, baru menanam pokok
Tidak semestinya menanam pokok, pokok itu berbuah lebat dan banyak
Tidak semestinya menanam pokok, mendapat hasil yang memuaskan

Orang yang beribadah tadi kita lihat dahulu di dalam pergaulannya, bagaimana?!
Bagaimana sikapnya di dalam pergaulan mereka?
Mereka berkasih sayang atau tidak?
Mereka bertimbang rasa atau sebaliknya?!
Bagaimana dia menggunakan lidahnya?!
Mereka menyakiti orang? Menghina orang? Menfitnah orang?
Dengan orang miskin dan susah mereka menolong?
Atau buat tidak tahu sahaja kesusahan orang?!
Adakah mereka pemaaf? Meminta maaf, pemurah? Sabar dengan ujian?
Redha dengan takdir Tuhan?!
Mereka mengutamakan diri?! Atau mengutamakan orang lain?
Apakah mereka merasa susah dengan kesusahan orang?
Senang pula dengan kesenangan orang?

Kalau kita dapat menjawab dengan baik dan tepat,
memang kita kenal orang baik dan orang jahat
Ibadah mereka berbuah, orang yang ibadahnya berbuah itulah orang baik
Kalau ibadah sahaja banyak, tapi tidak berbuah, itu bukan orang soleh
Mengukur orang baik bukan dengan banyak ibadahnya
Tapi diukur berbuahkah ibadahnya?
Tinggikah peri kemanusiaannya oleh ibadahnya?!

CARA UMAT ISLAM BERIBADAH DI AKHIR ZAMAN

Di akhir zaman ramai umat Islam beribadah secara jahil kerana mempelajari syariat secara rambang sahaja, tidak faham peranan syariat, tidak faham mana yang fardhu, mana yang wajib, mana yang sunat, sah batal pun tidak begitu difahami oleh ramai umat Islam.

Apakah beribadah seperti ini Allah terima?

Adakalanya kerana mengejar fadhilat terlanggar yang fardhu dan yang wajib, kerana membuat yang sunat tidak peduli pantang-larang syariat. Hendakkan fadhilat puasa Isnin Khamis, waktu berbuka tidak kira makanan halal atau haram. Kerana mengejar pahala umrah, setiap tahun mengerjakan umrah, fakir miskin depan rumah diabaikan, bahkan dibiarkan. Kenduri arwah tidak dicuaikan, tapi sembahyang fardhu diabaikan.

Kerana hendakkan fadhilat sembahyang di Raudhah, berkasar dengan orang, sakit pula hati orang yang wajib dijaga. Kerana hendak mencium Hajarul Aswad melanggar dan menyiku orang, padahal perbuatan itu adalah haram, mencium Hajarul Aswad hanya sunat sahaja di dalam Islam,tidak mencium bukan satu kesalahan.

Rajin bersembahyng malam tapi bakhil menjadi pakaian, sombong menjadi budaya sedangkan perbuatan itu adalah haram termasuk dosa besar. Rajin berdakwah, sering membuat ceramah tapi kerana nama dan glamour yang dilarang Allah. Beribadah di masjid rajin, tapi di rumah Allah Taala itu jugalah dia mengumpat,bercerita tentang dunia. Berpuasa sunat jarang ditinggalkan tetapi sepanjang hari membuka aurat atau berpakaian ketat. Meninggalkan sunat bukan satu kesalahan, mendedahkan aurat perkara yang dilarang.

Begitulah umat Islam bersyariat di akhir zaman. Rajin juga beribadah tapi pantang larang, tata tertib, mana yang utama tidak difaham.Kalau di Mekah atau di Madinah, bersembahyang di kedua-dua masjid ini ada yang melangkah orang sedang bersembahyang, berkasar dengan orang kerana merebut tempat sembahyang. Di dalam beribadah berkecai ukhuwah dan kasih sayang yang sangat dituntut oleh Islam

Call Now
Directions