AKAL DAN MATA YANG SELALU MENIPU

Kadang-kadang suatu taman atau kebun,yang ada pokok-pokok dan sebagainya, daripada jauh nampak indah.Tapi cuba kita pergi dekat…kerengge ada, semut ada, penyengat ada, tahi pun ada dan sebagainya. Itu menunjukkan mata selalu membohongi kita.

Sebab itu, kalau kita menilai sesuatu hanya dengan pandangan mata, kita tidak akan dapat nilaian yang tepat. Sebenarnya, yang banyak membohongi kita ialah mata. Jadi setiap hari yang kita lalui sepanjang hidup, matalah yang membohongi kita. Sebab itu kalau kita nak nilai kebenaran hanya dengan mata, kita takkan boleh mendapat jawapan yang tepat.

Akal pun begitu juga. Berapa banyak pandangan akal yang salah? Buktinya, waktu kita berumur 5 tahun, pada waktu itu, kita berfikir logik, munasabah dan sesuai untuk kita bermain longkang, main masak-masak, main pasir. Itulah yang menyeronokkan dan sesuai dengan kita masa itu. Bila emak dan ayah marah dan memberi teguran, kita terasa kebebasan tersekat.

CARA AKAL MENIPU
Kemudian bila meningkat umur 10 tahun, kita dah tak seronok main pasir lagi. Kita lebih seronok nak main guli dan main gasing. Bila mak dan ayah panggil balik, kita balik juga tapi dengan merungut dan dengan hati yang mendongkol. Sebab kalau tak balik, takut kena marah atau kena pukul. Tapi kadang-kadang mak dan ayah marah , kita tak peduli pun…sebab lebih terasa nikmatnya main gasing…tak pergi sekolah pun tak apa.
Bila umur 15 tahun, main guli dan gasing tak cun lagi!… kita tengok dan baca komik pula. Akal terasa ini yang baik. Kadang-kadang sampai ralit membaca hingga lupa nak baca buku sekolah…buku komik dan kartun lebih utama pula.
Inilah sebahagian daripada pembohongan akal dan mata di dalam kehidupan kita. Cuma akal tidak cepat membohongi kita berbanding dengan mata.
Selagi manusia berpegang dengan ideologi dan isme, selagi itulah manusia tidak akan hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni , kerana itu semua ciptaan akal yang lemah dan telah banyak serta sentiasa membohongi manusia.

SUMBER RUJUKAN YANG HAK
Oleh itu kita mesti mencari sesuatu sumber yang dapat menilai secara tepat dan yang dapat menilai secara benar dan tepat hanyalah Allah. Tuhan yang mencipta langit dan bumi. Sebab itu kalau kita tidak rujuk kepada pencipta langit dan bumi yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, di dunia lagi kehidupan manusia tidak akan selamat, apatah lagi di Akhirat.
Oleh itu sumber yang hak (dari Allah), yang tepat dan tidak dapat disangkal lagi yang perlu menjadi rujukan seluruh manusia ialah wahyu yang diturunkan kepada Rasul-Nya. Hanya wahyu saja yang betul dan tepat, firman Allah:
“Yang hak itu datangnya dari Allah dan janganlah kamu mengingkarinya.”

Kalau yang hak itu ditolak oleh manusia, di dunia lagi mereka akan nahas. Kehidupan manusia tidak akan tenteram; akan bergaduh, berkrisis, tipu menipu, jatuh menjatuhkan, bunuh membunuh, kacau bilau dan seribu macam lagi huru-hara akan timbul. Kalau terjadi huru-hara, krisis, kerosakkan dan sebagainya dimuka bumi ini, bukannya Allah yang mendapat kesusahan, kita sebagai manusia juga yang susah.
Jadi untuk menolak kebenaran akal yang salah, akal juga boleh menolaknya. Tidak perlu wahyu menolaknya. Cukup sekadar akal yang tajam untuk menolak ‘kebenaran’ akal yang salah. Sebab itu Islam mempunyai tafsiran tersendiri terhadap ilmu.

HAKIKAT ILMU
Di dalam ajaran Islam, ilmu itu ialah mengetahui sesuatu perkara itu secara tepat. Kalau seseorang itu mengetahui satu benda itu tidak tepat, walaupun sudah menjadi keyakinan, itu bukan ilmu namanya.

Contoh: Seorang itu yakin bas itu adalah kereta…entah macam mana gurunya salah ajar. Tapi dia dah yakin…bermatian-matian dia pertahankan bahawa bas itu adalah kereta. Walaupun dia yakin, tapi sebab dia mengetahui sesuatu benda itu tidak tepat maka itu bukan ilmu namanya.
Kalau begitu berapa ramai orang yang mempelajari ilmu yang sebenarnya bukan ilmu. Berapa ramai profesor yang bukan profesor sebab teori profesor pun banyak yang salah.
Contoh: Darwin mengeluarkan teori ilmu bahawa manusia asalnya dari beruk… itu bukan ilmu tetapi berapa ramai orang yang mengatakan itu ilmu dan mereka mengesahkannya pula. Ini menunjukkan akal dan mata Darwin telah membohongi dan memberi ilmu yang tidak benar.

ILMU YANG TIDAK DAPAT DILAKSANAKAN
Jadi kebanyakan yang dikatakan ilmu oleh manusia di dunia hari ini bukan ilmu yang sebenarnya .. sebab itu banyak teori ilmu itu gagal bila dilaksanakan.
Ramai pakar-pakar ekonomi, pensyarah-pensyarah ekonomi yang ada MA, PhD hingga ada yang bergelar profesor yang cukup bijak mengeluarkan teori di forum-forum, seminar-seminar tetapi tidak dapat mempraktikkan teorinya. Mengapa mereka tidak berniaga? Mengapa mereka tidak yakin dengan teorinya itu? Kalau yakin tentulah mereka jadi orang yang paling kaya di Malaysia. Merekalah orang yang mengamalkan dan berjaya dengan teorinya. Tapi ini tidak berlaku. Sebaliknya ia berlaku kepada orang yang tidak disangka. Ada ahli perniagaan yang tidak belajar tinggi tapi boleh kaya-raya.
Contohnya Boon Siew, hendak tanda-tangan pun tak pandai tapi dia kaya. Usahanya berjaya walaupun tanpa teori ekonomi. Jadi berapa ramai orang anggap ilmu pada perkara yang bukan ilmu. Hakikat ilmu itu, mengetahui sesuatu perkara secara tepat.
Walaupun kenderaan ini merupakan bas, tapi kalau kita tidak dapat mengetahui secara tepat, kita akan terkeliru. Betulkah ini kereta? Betulkah ini gajah?
Bermatian-matian orang kata ini gajah, walaupun hakikatnya bas. Walaupun dia sudah yakin begitu, tapi tetap itu bukan ilmu.
Ini membuktikan lagi bahawa pandangan akal dan mata selalu menipu kehidupan kita. Oleh itu kita perlukan sumber rujukan yang tepat, iaitu Al Quran yang datang dari Allah SWT, disampaikan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya dan wakil-wakil Rasulullah yang dilantik Tuhan.
Disinilah lahirnya pandangan yang tepat dan dapat memimpin kehidupan manusia agar lebih berjaya di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions