MENGAPA MANUSIA BERAGAMA TETAPI TIDAK MENGUNTUNGKAN UMAT

Alhamdulillah kita masih diizinkan Allah untuk berkongsi ilmu di mana ilmu itu amat penting sebagai panduan hidup dunia dan akhirat. Selawat dan salam untuk junjungan Nabi Besar, Muhammad SAW, manusia yang paling berjasa kepada dunia. Dengan sebab Rasulullah kita beragama, mengenal Tuhan, pandai hidup, faham tentang akhirat dan tahu bagaimana menuju ke sana.

Mari kita berbincang dan menggunakan akal fikiran kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

” Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal”

Maksud hadis ini ialah, kalau kita beragama tanpa menggunakan akal, tanpa ilmu, tanpa logik, tanpa faham, ia tak indah, tak logik, tak lazat dan tak sedap. Kita tak boleh bertahan lama dengan benda yang tak sedap. Tapi kalau kita ada benda yang indah, kita akan hendak lagi dan hendak lagi. Kita beragama perlu ada ilmu, mesti ada hujah, mesti berdasarkan akal dan berdasarkan kefahaman. Dari situ datang penghayatan. Ia akan membangunkan jiwa dan roh kita, jadi darah daging kita, itulah jati diri kita. Itulah keindahannya. Di situlah kita boleh tahan berhadapan
dengan berbagai-bagai ujian dan cabaran-cabaran hidup. Kita ada kekuatan dari penghayatan itu.

Kita hendak berbincang tentang agama Islam yang kita anuti ini. Ilmunya, logiknya, rasionalnya dan faham supaya kita hayati. Bila dihayati akan lahir akhlak mulia seprti pemurah, berkasih sayang, tawaduk, rasa bersama, bekerjasama. Ini manusia yang peri kemanusiaannya tinggi. Mengutamakan orang lain dari diri sendiri. Rasa susah dengan susah orang lain dan senang dengan kesenangan orang lain. Kalau Islam ini diambil tanpa ilmunya, logiknya, tanpa kefahaman maka ia tak boleh dihayati sehingga lahir buahnya. Disinilah kita bincangkan mengapa Islam di seluruh dunia tidak berbuah. Kalau ada pun hanya golongan yang sedikit. Tidak cukup untuk memberi
berkat kepada seluruh dunia dan seluruh umat.

Selama ini kita sudah mengaji Tauhid, atau tentang aqidah atau sifat 20 mengikut cara-cara tersendiri. Kebanyakannya mengikut kaedah Abu Hassan Ashaari, mujadid kurun ketiga. Itulah pegangan ahli sunnah waljamaah. Kalau kita rasa ada kaedah lain yang sesuai untuk diamalkan pada zaman dan kurun ini, tidak pula
jadi masalah untuk digunakan. Setelah kita belajar tentang sifat 20, tentang aqidah dan tauhid, kita faham Tuhan itu Maha Sempurna. Setelah dibahaskan kita dapati Tuhan sempurna. Ertinya tidak lagi bertambah dan berkurang. Kalau berkurang ertinya tidak sempurna. Kalau bertambah ertinya sebelum itu tidak sempurna. Itulah logiknya. Itulah fahaman falsafah. Yang sempurna tidak akan berkurang dan tidak akan bertambah lagi. Kalau bertambah ertinya pernah tidak sempurna. Maha Suci Tuhan. Tuhan itu dari azali, hingga sampai bila-bila masa, Dia stabil. Apa
maksudnya? Kebesaran Tuhan sudah sempurna, kuasa Tuhan juga sempurna. Tidak berkurang dan tidak bertambah. Begitu juga ilmu Tuhan, kehendakNya, keadilan dan kehebatan Tuhan, semuanya sudah sempurna.

Kalau itu yang kita faham, itulah yang akan kita pakai, begitulah yang akal faham, begitulah yang kita yakin bahawa Tuhan itu sudah sempurna;

Mengapa Tuhan minta kita sembah Dia?
Mengapa Tuhan minta kita agungkan Dia?
Mengapa Tuhan minta kita sucikan Dia dan berbagai-bagai lagi permintaan Tuhan?
Kalau sudah sempurna, mengapa berhajat? Padahal kita sudah belajar aqidah, Maha Suci Tuhan dari berhajat.
Mengapa Tuhan minta itu dan ini daripada kita seperti minta kita sembahyang, puasa, zakat, naik haji, suruh buat baik, minta kita tinggalkan kejahatan, berjuang, berkorban sedangkan Dia sudah Sempurna?

Contoh: Kalau seorang raja besar di sebuah negara, kalau dia tidak ditaati oleh rakyatnya, dia rasa dirinya besar tak? Tidak. Kalau rakyat taat padanya barulah dia rasa besar. Sebab itu rakyat perlu taat padanya supaya dia rasa besar. Ertinya dia tidak sempurna kerana dia berhajat. Lebih-lebih lagi kalau rakyat berdemonstrasi hendak jatuhkan raja itu. Bukan saja dia tidak rasa dirinya besar bahkan dia tercabar.
Macam kalau kita seorang ayah di rumah. Kita kaya dan pandai tetapi anak isteri tak taat, maka sakit jiwa kita. Rasa tercabar. Tak sempurnalah. Kerana anak isteri tak taat, kita sudah menderita. Itu satu kelemahan.

Jadi tajuk perbincangan kita kali ini, kalau dikatakan Tuhan itu sempurna, mengapa Dia minta kita sembah Dia,
besarkan Dia, Agungkan Dia? Tadi kita bincangkan seseorang yang minta dirinya dibesarkan ertinya dia tak sempurna. Bila tak dibesarkan, dia terasa kurang. Tetapi Tuhan tidak begitu. Yang sebenarnya perintah Tuhan kepada kita terhadap ZatNya bukan untuk kepentingan Tuhan. Ini ada rahsia dan ada hikmah untuk kepentingan makhlukNya.
Bila seseorang itu benar-benar kenal Tuhan atas dasar ilmu dan faham sehingga dapat dihayati akan datang takut dan cinta. Ia akan beri kesan yang baik. Bukan untuk Tuhan tetapi terhadap sesama manusia. Inilah dikatakan rahmat Tuhan yang tersirat, yang mata dan akal tidak nampak. Hanya dapat dirasai oleh roh yang faham, yang ada ilmu dan boleh menghayati. Inilah rahmat Tuhan yang tersembunyi kepada makhluknya.

Kalaulah semua makhluk ini boikot Tuhan. Buat kempen besar-besaran untuk pulaukan Tuhan dan tidak sembah
lagi Tuhan. Adakah Tuhan akan tergugat? Maha Suci Tuhan. Kurangkah Tuhan? Tidak. Perintah Tuhan itu kepada kita terhadap Zat Nya adalah untuk kesan sampingan yang baik kepada makhlukNya. Makhluk macam kita ini tak sempurna. Kita perlu memerlukan. Kalau Tuhan tidak setkan satu cara, kita akan terkorban. Manusia akan jadi susah dan payah.

Bila kita dapat Tuhan, dapat hayati, datang takut dan cinta. Apa side effectnya?… Bila kita takut dengan Tuhan, kita takut hendak buat salah dengan manusia. Siapa yang untung? Manusia atau Tuhan? Kita takut hendak pukul manusia, siapa yang untung? Kalau kerana takut dengan Tuhan maka kita takut hendak mencuri, takut hendak bergaduh, siapa yang untung? Sudah tentu jawabnya manusia! Siapa yang dapat manfaat? Manusia lagi bukan Tuhan. Faedahnya bukan kepada Tuhan tetapi kepada kita. Jadi kalau kita ada ilmu, faham , hayati kehendak
Tuhan, kita akan takut dan cinta Tuhan. Bila kita cinta Tuhan otomatik kita cinta manusia. Bila cinta sesama manusia, manusia yang untung.

Tuhan buat satu kaedah, bukan untuk menguntungkan Dia tetapi untuk menguntungkan manusia. Kalau kita cinta
Tuhan, kita kasih sesama manusia, kita mudah bantu, mudah berkasih sayang dengan orang, boleh beri maaf
orang, boleh minta maaf dengan orang, boleh bersatu padu, siapa yang untung? Kita. Ini rahsianya mengapa kita disuruh besarkan Tuhan. Rupanya kalau kita beragama cara faham, cara ilmu, cara akal, side effectnya untuk manusia.

Kalau kita ikut fakta sejarah Melaka, sudah 500 tahun orang Melayu peluk Islam. Kalau ikut fakta Terengganu,
sudah 700 tahun orang Melayu peluk Islam. Ertinya tidak kurang 500 tahun orang Melayu sudah memeluk Islam. Ada tak side effectnya kepada kita hasil kita memeluk Islam? Tadi kita dah bahaskan tadi, side effectnya untuk
manusia. Hasil kita beragama, ada tak side effectnya yang baik? Tidak ada. Tidak kita rasa. Yang kita rasa hidup nafsi-nafsi. Yang kaya semakin kaya, yang susah semakin susah. Yang dapat bala tanggung sendiri manakala yang dapat kesenangan, dia punya sendiri. Tidak dapat rasa bersama. Padahal kalau ikut ajaran Islam sepatutnya side
effectnya yang baik untuk kita. Nampaknya Islam kita tak berbuah. Kalau berbuah tentu Amerika tidak akan
buat kacau. Obama tidak akan sombong. Dunia sudah campur tangan. Kalaulah side effectnya daripada ibadah
itu ada, maka secara global sudah dikuasai umat Islam.Tapi nampaknya kita tidak mendapat keuntungan dari agama yang kita amalkan. Di sinilah datangnya syariat.

Mengapa bersyariat tetapi tidak melahirkan akhlak mulia? Bukan sahaja tidak boleh berkasih sayang dengan jiran bahkan dengan anak isteri pun payah. Paling baik pun sekadar tidak bergaduh. Sekalipun tidak bergaduh tetapi tidak ada kasih sayang, tidak ada cinta. Kalau dengan anak beranak payah hendak berkasih sayang, dengan jiran, dengan masyarakat dan dengan negara lagi payah. Hendak berkasih sayang seluruh dunia lagi payah. Itu nasib umat Islam. Terumbang ambing. Akhirnya Yahudi dan Amerika mencatur kita.

Sekarang kita bahas tentang syariat. Syariat yang kita bangunkan tidak berbuah sepertimana yang sepatutnya. Kita tidak lahirkan buah yang baik. Manusia tidak dapat faedah bersama. Umat Islam yang mengamalkan Islam ini ada 4 kategori. Disini barulah kita nampak, patutlah Islam kita, syariat kita dan ibadah kita tidak berbuah. Patutlah sembahyang kita tak berbuah.
4 kategori umat Islam yang beramal dengan Islam ialah:

1. Secara umumnya umat Islam beragama mengikut suasana tempatan atau mengikut environment tempatan. Ertinya Islam secara ikut-ikutan. Katalah kita berada di satu kampung atau taman yang mana ramai umat Islam di situ sembahyang dan puasa. Kita pun Islam. Kita fikir, “Aku orang Islam. Kalau tak sembahyang, tak kena gaya.” Maka kita pun sembahyang tetapi cuma hasil tengok-tengok orang atau dengar-dengar sahaja. Cuma tambah-tambah sikit bacaan sebab takut Islam kita tak sah. 80% dari hasil melihat-lihat orang. Orang begini beragama mengikut keadaan setempat. Agama semacam ini tidak berdasarkan ilmu. Bila tidak berdasarkan ilmu tentu tidak berdasarkan kefahaman. Bila tidak faham sudah tentu payah untuk dihayati. Kalau tidak dihayati, patutlah ibadah kita tak berbuah. Dalam satu kampung pun tidak boleh bersatu, tidak boleh sabar, bertolak ansur. Bahkan saling berhasad dengki dan bergaduh kerana agama yang diamalkan berdasarkan keadaan tempatan atau suasana.

2.Golongan kedua beragama kerana warisan ibu ayahnya. Kita pun tak tahu sama ada mak ayahnya beragama itu
hasil belajar atau tidak, hasil ikut kuliah atau pesantren. Atas dasar itu, anak-anak yang kerana taat mak ayahnya ikut sembahyang, ikut puasa dan dengar sedikit nasihat emak dan ayahnya. Yang ini rukun Islam yang 5, beres nampaknya. Ini lebih baik sedikit dari yang pertama tadi. Namun begitu, paling tidak 70% tidak berdasarkan ilmu dan kefahaman. Kalau begitu dia tidak boleh dihayati. Islam yang diamalkan tidak lahirkan akhlak mulia. Cara ini untuk lahirkan perpaduan, kasih sayang sesama keluarga pun tidak mampu. Cuma ia lebih baik sedikit dari yang pertama.

3. Golongan ini orang-orang yang mengamalkan Islam atas dasar dicorak, oleh tempat pengajian seperti di pesantren, sekolah agama, universiti Islam. Kita perlu faham, mengamalkan Islam cara ketiga ini lebih baik dari cara yang pertama dan kedua tetapi tidak cukup. Mengapa? Mengamalkan Islam hasil pengajian sekolah, pondok itu,
matlamatnya untuk timba ilmu. Lebih banyak menghafal. Kalau ada peperiksaan,ia lebih bermaksud untuk lulus
periksa. Pendidikannya lemah. Kalau pendidikannya lemah, penghayatannya juga lemah. Sebab itu apakah hasil yang kita lihat? Apakah boleh berkasih sayang? satu pondok yang ada 20 ribu orang pelajar, apakah boleh bersatu, boleh berkasih sayang? Apakah terbangun ekonomi, kebudayaan dan kemasyarakatan di situ? Tidak. Kadang-kadang ada pondok yang kita lihat, di pondok mengaji bab berniaga.Tetapi yang berniaga dekat pondok itu adalah Cina. Rupanya ilmu kita dapat tetapi hasilnya orang kafir dapat. Sebab ilmu kurang dihayati sebab kurang didikan. Hanya memperkatakan ilmu. Orang yang buat Islam secara ketiga ini akan lahirkan dua puak iaitu kalau dia tak berjuang, dia jadi pasif. Makan minumnya disuap. Kalau dia berjuang, dia jadi militan. Ganas dan bunuh orang. Lagi sekali umat Islam tak dapat apa-apa hasil. Hasil pengajian, umat Islam tidak dapat apa-apa kekuatan, tidak dapat berkat, tidak dapat nikmatnya. Sekadar di pesantren itu pun tidak dapat. Buktinya ekonomi pun tidak dapat. Pengamalan kena jaga. Inilah kategori ketiga orang beragama.

4.Kategori ke empat, orang yang beragama perlu ada pemimpin. Pemimpin monitor selalu. Bila beragama kena
berjemaah berdasarkan sabda Rasululllah, “Wajib kamu berada di dalam jemaah.” Rasulullah kata wajib. Bila berada dalam jemaah, dipimpin oleh pemimpinnya, maka Rasulullah kata, “Adanya jemaah itu rahmat, berpecah
itu azab.” Tuhan hendak datangkan rahmat atas dasar jemaah atau kelompok. Di pondok bukan jemaah. Sekadar
bertemu. Kita kena faham bahawa umat Islam hanya diberkati Tuhan bila mana dia ada jemaah. Jemaahlah yang buat aktiviti ke dalam dan ke luar. Aktiviti ke dalam untuk membangunkan kekuatan ahlinya, aktiviti ke luar adalah seperti berdakwah, berjihad, buat perhubungan, mencetuskan berbagai-bagai keperluan umum dari kekuatan yang telah wujud dalam jemaah.
Golongan yang keempat ini sudah beratus tahun tidak ada. Secara umumnya tidak ada. Sebab itu rahmat Tuhan
tidak dapat. Bila Tuhan tidak rahmati maka tidak ada kekuatan. Bila lemah, musuh catur kita. Kita tidak pernah diajar oleh ulama tentang peranan jemaah, peranan pemimpin dan ciri-ciri pemimpin. Padahal bila dapat pemimpin sebenar, kita dapat ayah,ibu, guru, pemimpin dan kawan setia. 5 ciri pada pemimpin sebenar. Tidak ada mak ayah pun tidak apa kalau dapat pemimpin. Tapi hari ini mana ada pemimpin yang ada 5 ciri ini. Bertemu pemimpin sebegini, rasa bahagia. Berpisah rasa rindu. Mana ada. Sebab kita tidak pernah diajarkan ciri-ciri pemimpin dan peranan pemimpin.

Sekarang kita boleh faham mengapa umat Islam hari ini terumbang-ambing. Walaupun dilaungkan ‘bersatu’, secara rela tidak ada orang buat. Buat kerana terpaksa.Diharapkan fikiran kita dah mula terbuka dan faham mengapa beragama tetapi hasilnya tiada. Beragama itu indah tetapi kita tidak rasa indah. Kita rasa terpaksa. Sebab kita tidak ambil agama itu secara logik, secara faham dan penghayatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions