MUGA-MUGA KITA DIREZEKIKAN TAQWA

Sebahagian Ramadhan telah berlalu. Jika umur panjang, ada lapan hari Ramadhan lagi untuk kita. Bererti kita sedang menuju kemuncak Ramadhan. Puncak Ramadhan ialah, moga-moga kamu bertaqwa!

Orang bertaqwa sedih untuk meninggalkan Ramadhan. Ini bermakna mulai hari ke 16 Ramadhan, sekurang-kurangnya perasaan sedih sudah mulai dirasai oleh orang yang bertaqwa. Sedih ditinggalkan oleh Ramadhan yang akan pergi dan belum pasti akan bertemu lagi.

Kenapa perlu sedih?

Ya, secara fizikalnya bulan Ramadhan tidak ada beza dengan bulan-bulan lain. Bumi, bulan, matahari, udara, cahaya, siang dan malamnya sama sahaja. Kalau pun ada beza yang nyata, hanyalah aktiviti manusianya.

Ramadhan punyai roh yang sangat berbeza. Roh Ramadhan bila dihayati akan menghidupkan ‘roh’ atau hati. Hati yang bersifat abstrak atau rohani perlukan sentuhan rohani juga.

Di dalam Ramadhan, hati hanya berperang dengan nafsu. Hati, akal, nafsu dan fizikal adalah empat unsur yang saling melengkapi dalam diri setiap insan. Masing-masing ada peranannya.

Syaitan adalah unsur kejahatan bersifat bathin yang datang dari luar. Sementara nafsu pula ialah kejahatan bersifat bathin yang ‘hidup’ bersama akal dan hati dalam tubuh fizikal manusia.

Sepanjang Ramadhan, syaitan dibelenggu. Yang tinggal hanyalah nafsu yang telah dilatih dan diberikan motivasi oleh syaitan selama 11 bulan sebelum mereka berpisah selama sebulan. Maka berhempas pulaslah nafsu berhadapan dengan akal dan hati sendirian sepanjang Ramadhan.

Jika akal dan lebih-lebih lagi hati sudah sedia mati, kedatangan Ramadhan tidak memberi apa-apa kesan yang nyata. Maksudnya, perangai tidak akan berubah hanya dengan datangnya bulan Ramadhan. Jika sebelum Ramadhan lalai dengan maksiat, maka di bulan Ramadhan juga akan lalai dengan macam-macam maksiat.

Tetapi dengan berkat Ramadhan, kadang-kadang ada juga yang lalai kembali ingat dan mahu mendekatkan diri kepada Allah. Sebab itu tidak hairan terdapat pertambahan yang mendadak di kalangan umat Islam yang hadir ke majlis-majlis ibadah, majlis kebaikan dan kebajikan.

Secara fitrahnya manusia itu memang bersetuju menjadi hamba kepada Allah. Cuma kerana tidak faham atau tidak mampu melawan hawa nafsu, maka kita terjerumus dalam dunia yang menjadikan nafsu, dunia dan selain Allah sebagai Tuhan.

Ramadhan sangat berperanan mendekatkan fitrah, akal dan hati kepada Allah. Hati dan fitrah manusia sememangnya sangat perlukan Allah pada setiap masa dan di mana jua. Tanpa Allah dalam hati, hidup jadi tawar, hambar dan kosong.

Hati atau roh yang aktif sentiasa dapat merasakan Allah berperanan dalam hidupnya. Apa saja yang dilihat, didengar, dihidu, dihirup, dipegang, dilakukan, difikirkan bahkan semua yang terlintas dalam hatinya sentiasa dirasakan sedang diawasi Allah.

Perasaan ini jika menguasai seorang hamba, maka itulah yang dikatakan rasa kehambaan. Hanya yang kekal merasakan diri hamba sahaja maka akan sentiasa kekal hatinya terhubung dengan Allah.

Rahmat dan keberkatan Ramadhan menjadikan hati mudah terhubung dengan Allah. Mengekalkan hati agar terus terhubung dengan Allah bukan kerja fizikal maupun kerja akal. Tetapi kerja hati atau roh.

Hati atau roh yang aktif terhubung dengan Allah akan terpancar pada akal dan fizikal. Akal akan sentiasa terpandu berfikir tentang Allah, Rasul dan Islam. Maka seluruh fikirannya diarahkan untuk menjadi hamba Allah dengan mengikuti jalan Rasul dan membela Islam. Fizikal pula akan bertindak aktif melakukan perkara-perkara yang diperintahkan samada wajib atau sunat, samada wajib ain atau wajib kifayah.

Hati yang memliki rasa hamba akan mampu sabar atau redha atau syukur dengan ujian dan mehnah hidup. Tidak kiralah yang Allah datangkan secara langsung seperti sakit, bencana alam atau kematian. Tetapi mampu juga sabar dan redha dengan ujian yang Allah datangkan secara indirect seperti kata nista orang, caci maki atau apa jua kesusahan yang didatangkan melalui tangan-tangan manusia.

Bulan Ramadhan telah menyaksikan berlakunya perang Badar. Perang fizikal yang paling dahsyat dalam sejarah Islam. Penentu hidup matinya Islam. Sehingga Rasulullah saw merayu-rayu agar Allah datangkan segera bantuan dan pertolongan demi kesinambungan Islam.

Tetapi sebaik pulang dari perang yang begitu dahsyat dan gawat, Rasulullah saw masih berkata bahawa, “kita baru pulang dari peperangan yang kecil dan menuju kepada medan perang yang lebih besar.”

Para sahabat yang mendengar sabda Rasulullah saw tercinta terkejut lantas bertanya, “adakah peperangan yang lebih besar dari ini?”

Ia, ada. Itulah peperangan melawan hawa nafsu! Begitulah ditegaskan oleh Rasulullah saw. Rupanya peperangan melawan hawa nafsu jauh lebih besar berbanding peperangan Badar.

Ramadhan adalah medan sebenar peperangan melawan nafsu. Bukan hanya nafsu makan, nafsu kelamin, nafsu bermewah-mewah, nafsu bermegah-megah, nafsu berlumba-lumba dengan pakaian baru, kelengkapan rumah yang baru dan kenderaan baru.

Yang lebih halus lagi ialah nafsu yang membesarkan diri atau ego sehingga perasaan takut dan tidak cintakan Allah belum lagi menjadi ‘rasa’ yang sangat menguasai dan mencorak diri.

Rindu dan cintakan Rasulullah saw belum cukup kuat meruntun jiwa sehingga sanggup berkorban apa saja demi membela Allah dan RasulNya. Cintakan Islam dan sanggup berjuang dan berkorban untuknya belum menjadi pakaian diri.

Kenapa begitu? Jawapannya ialah sikap membesarkan diri dan dunia masih jauh lebih besar dari membesarkan Allah, Rasul dan Islam. Inilah yang dikatakan nafsu yang membentuk sifat ego dalam diri kita.

Puasa, Ramadhan dan seluruh keberkatan yang ada di dalamnya adalah peluang untuk menumpaskan nafsu dan sifat ego ini. Jika dengan amalan puasa, segala ibadah dan keberkatan Ramadhan belum lagi mampu menundukkan nafsu dan sifat ego dalam diri kita, maka taqwa terlalu jauh untuk digapai.

Sedangkan tujuan atau objektif Ramadhan adalah moga-moga kamu bertaqwa, maksud firman Allah. Bagaimana mahu bertaqwa sedangkan nafsu dan sifat ego masih bertapak kukuh dalam hati yang terus mati!

Inilah yang menjadi salah satu kesedihan orang yang mencari dan menuju puncak Ramadhan, iaitu taqwa. Sedangkan hari atau tempuh mendakinya sudah semakin pendek dan suntuk. Apakah baki yang masih tersisa ini berjaya dilalui dengan penuh disiplin lahir dan batin untuk menjadi seorang yang mendapat title “bertaqwa”?

sumber: matahati.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions