PENGERTIAN LALAI DALAM SEMBAHYANG

Aktiviti Harian - Solat Berjemaah Dilatih Pada Awal Usia Kanak-kanak

Aktiviti Harian – Solat Berjemaah Dilatih Pada Awal Usia Kanak-kanak

Tuhan ada berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud:

“Neraka Wail bagi orang yang sembahyang iaitu mereka
yang lalai dalam sembahyangnya” (Ayat Al Maun :4 & 5)

Terdapat banyak tafsiran dan kupasan tentang maksud
“lalai” dalam ayat ini. Maksud pertamanya ialah cuai
bersembahyang hingga habis waktunya. Sembahyang itu
sama ada diqadhakkan ataupun ditinggalkan terus.

Maksud “lalai” yang kedua ialah tidak khusyuk dalam
sembahyang. Iaitu tidak hadir hati dalam sembahyang.
Dalam sembahyang teringat perkara-perkara diluar
sembahyang yang tidak ada kena mengena dengan
sembahyang. Malahan, bukan sahaja tidak hadir hati
dalam sembahyang, maksud perbuatan dan lafaz dalam
sembahyang pun tidak diketahui atau difahami. Jauh
sekali untuk dihayati atau dijiwai.

Ketiga ialah tidak melaksanakan segala ikrar dan janji
yang dibuat di dalam sembahyang. Dalam sembahyang
berbagai-bagai ikrar dan janji dibuat. Di antaranya
kita berikrar bahawa segala sembahyang, ibadah, hidup
dan mati kita hanyalah kerana Allah. Tetapi selesai
sahaja sembahyang , janji itu dilupakan. Buat kerja
seolah-olah Tuhan itu tidak wujud atau tidak relevan.

Walapubagaimana pun , kalau kita kaji betul-betul
ketiga-tiga tafsiran di atas, kita akan dapati
puncanya berbalik juga kepada ketiadaan khusyuk dalam
sembahyang. Tidak khusyuk dalam sembahyang adalah
kerana tidak khusyuk di luar sembahyang. Sekiranya
seseorang itu khusyuk di luar sembahyang, khusyuk itu
sudah pasti berterusan dan akan dibawa ke dalam
sembahyang. Ertinya, orang yang khusyuk dalam hidupnya
di luar sembahyang akan merasa khusyuk dalam
sembahyang. Hanya apabila di dalam sembahyang, rasa
khusyuknya lebih subur dan lebih tajam kerana
sembahyang itu ada rukun dan disiplinnya.

Bagi orang yang khusyuk, tidak timbul masalah cuai
bersembahyang hingga habis waktu kerana orang yang
khusyuk itu selalu menanti-nanti dan menunggu-nunggu
waktu untuk bersembahyang. Menunggu sembahyang itu
baginya seperti menunggu untuk bertemu kekasih. Tidak
juga timbul hati tidak hadir dalam sembahyang atau
teringat perkara-perkara lain diluar sembahyang kerana
orang yang khusyuk itu hatinya sentiasa bergelora
dengan Tuhan.

Tidak menunaikan ikrar dan janji yang dibuat di dalam
sembahyang adalah berpunca dari ketiadaan khusyuk.
Apabila tidak khusyuk, segala janji yang dibuat
hanyalah di lidah semata-mata. Paling tinggi, akal
mungkin turut serta dalam membuat ikrar dan janji
tersebut. Tetapi hati tidak ada peranan kerana tiada
khusyuk. Khusyuk itu perkara hati. Oleh itu ikrar dan
janji berkenaan dibuat tanpa komitmen dan kesungguhan
kerana hati tidak dilibatkan dan tidak dibawa bersama.
Ertinya ikrar dan janji itu tidak dibuat dari hati.
Janji yang bukan dari hati bukan janjilah namanya.
Tidak hairanlah kenapa janji hanya tinggal janji.

Khusyuk yang dituntut dari manusia bukan hanya ketika
dalam sembahyang. Tuhan bukan wujud dalam sembahyang
sahaja. Tuhan wujud setiap masa dan ketika. Oleh itu
kita perlu khusyuk sepanjang masa. Orang yang khusyuk
sembahyang itu ialah orang mukmin yang berjiwa Tauhid.
Orang yang rasa cinta dan takutnya dengan Tuhan
sentiasa mencengkam jiwa dan hati nuraninya. Rasa-rasa
ini dibawanya ke mana-mana sahaja dia pergi.
Lebih-lebih lagilah dalam sembahyangnya.

Lalai dalam sembahyang pula ada beberapa peringkat
seperti berikut:

1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain
di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena
langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai
salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang
sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2.Dalam sembahyang, ada masa lalai dan ada masanya
ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang.
Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat
hal-hal dunia.

3.Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam
sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang
dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan
nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai. Bila tidak
faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak
menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

4.Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan
dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini
sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai
mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum
ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa
bukan setakat tahu atau faham.

5.Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan
dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak
pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang.
Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai.
Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang
tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang
waktu dalam sembahyang.

6.Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa
mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-rubah dari
satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang
dibaca dan apa yang dilafazkan,bermula dari
takbiratulihram hinggalah kepada salam. Inilah
sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang
benar-benar khusyuk.

Sesuailah pembahagian peringkat-peringkat lalai ini
dengan erti sebenar khusyuk dalam sembahyang. Khusyuk
bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa
yang dibaca dalam sembahyang tetapi ialah dapat
menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan. Kalau tidak ada
rasa-rasa yang berubah dalam sembahayng seperti gerun,
hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan dan
lain-lain, maka itu tanda tak khusyuk.

Lalai berpunca dari pengaruh dunia. Kalau dunia berada
di hati, amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam
sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang. Sebab
itu kalau pun ada rasa di dalam sembahyang, hanyalah
ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok tadi baru
berjumpa kawan atau rasa takut tengah-tengah
sembahyang polis saman kereta kita salah parking atau
tengah sembahyang, bimbang takut tak sempat pergi ke
bank sebelum bank tutup dan sebagainya. Rasa-rasa ini
ialah rasa dunia yang melalaikan, buka rasa-rasa
khusyuk.

Kalau kita berjalan-jalan dalam hutan dan keindahan
hutan itu sangat mempengaruhi hati kita hingga apabila
terserempak dengan harimau pun kita tak sedar dan
tidak merasa takut, maka kita sebenarnya tidak kenal
harimau. Kalau kenal, sudah tentu secara spontan kita
rasa gerun dan takut. Begitu juga, kalau kita seronok
dengan nikmat dunia ini hingga terbawa-bawa ke dalam
sembahyang sampai kehadiran Tuhan sewaktu kita
bersembahyang pun kita tak sedar, itu tanda kita tidak
kenal Tuhan dan tidak terkesan atau terpengaruh dengan
kehadiran Tuhan.

Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu
dan percaya sahaja , kita tidak akan dapat rasa
khusyuk. Paling tinggi ketauhidan kita hanya
diperingkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan
percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang
berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.

Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat
khusyuk. Setelah Tuhan kita kenal, barulah kita akan
dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati
kita kerana kenal itu perkara hati. Barulah kita akan
dapat rasa berTuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa
berTuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia
tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: ” Awal-awal agama mengenal Allah”

Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar
untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.
Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum
berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita
tidak akan mampu mengamal dan menegakkan syariat Islam
secara lahir dan batin. Mungkin kita boleh laksanakan
syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada
khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal
Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions