Tag Archives: Allah

KEAGUNGAN SOLAT

24 ciri keagungan solat:

1.Ia merupakan ibu segala ibadah
‎2. Ia merupakan tiang seri agama Islam
‎3. Ia diperintah oleh Allah dengan cara Allah Taala memanggil Rasulullah SAW mengadapNya pada malam Israk Mikraj tanpa melalui Malaikat Jibrail sedangkan suruhan amalan yang lain diterima melalui Malaikat Jibrail.

4. Siapa yang meninggalkan solat , dia menjadi kafir.
Maksud hadis ;
“Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja – kafir yang nyata”

5. Di dalam solat, seluruh anggota terlibat, perbuatan, perkataan, fizikal, bacaan ,( lisan ) dan hati atau roh, kerana merasa dan menjiwai dan akal kerana memahami (4 anggota berjalan serentak ).

6. Mengerjakannya disyaratkan suci lahir dan batin daripada hadas ‎besar dan kecil, najis ‘ain dan najis hukmi.

7. Kena mengadap kiblat, ertinya merupakan lambang perpaduan umat Islam.

8.Terikat dengan waktu.

9. Digalakkan berjemaah.

10. Berbagai-bagai amalan malaikat ada di dalam solat kerana malaikat itu ibadahnya hanya satu perkara sahaja seperti ada yang bertasbih sahaja sejak diperintah hinggalah hari kiamat; ada yang bertakbir sahaja, rukuk sahaja, berdiri sahaja, ada yang sujud sahaja, begitulah seterusnya.

11. Ada berbagai bentuk amalan di dalam solat, ada berdiri, ada ruku’ ada sujud, duduk antara dua sujud, ada tasbih, ada tahmid, ada takbir, ada munajat, ada berbagai bentuk doa, ada zikir, ada selawat, ada fizikal, ada akal, ada roh, ada material ada maknawi.
12. Ia merupakan ibadah yang terikat dengan disiplin yang tertentu dan cara yang tertentu.

13. Amalan solat merupakan intipati dan intisari ajaran Islam. Di dalamnya ada aqidah, ada ibadah, ada thaharah, ada masyarakat, ada perpaduan, ada disiplin ada pemimpin, ada yang dipimpin (politik), ada pendidikan, ada syariat, ada tasawuf, ada akhlak, ada kebudayaan, ekonomi dan psikologi. Ertinya solat menggambarkan ajaran Islam secara ijmali (rangkuman)

14. Ia merupakan penyembahan atau peribadatan yang paling lengkap, kerana segala bentuk ibadah dan zikir para malaikat wujud di dalam solat.

15. Ia merupakan zikir yang paling besar atau agung, kerana seluruh bentuk zikir ada di dalam solat.

16. Ia merupakan peribadatan di mana semua anggota lahir dan batin terlibat, ada yang bersifat fizikal dan ada yang bersifat maknawi dan rohani.

17. Dalam solat seluruh bentuk doa ada, ertinya berbagai ‎permintaan ada di dalam solat.

18. Berbagai amalan para rasul ada di dalam solat.

19. Solat merupakan mikraj orang mukmin.

20. Pada solat ada latihan jasmani, ada latihan mental dan ada latihan rohani.

21. Solat merupakan simbol merendah diri, ketaatan dan kepatuhan dan symbol manusia berdiri di padang mahsyar seolah-olah berhadapan dengan Tuhan menunggu perintahNya.

22. Solat merupakan pembaharuan ikrar manusia kepada Tuhan sehari semalam lima kali.

23. Solat merupakan pembaharuan syahadah dan iman.
Maksud ayat Quran ;
“ Perbaharuilah iman kamu dengan ucapan “Lailahaillallah”.

24. Solat merupakan pembersihan jiwa dan dosa.

‎PERANAN SOLAT

1. Menghayati solat bermaksud menghayati dan merasakan di dalam hati setiap lafaz dan ungkapan di dalamnya. Bukan sekadar tahu maknanya sahaja.
2. Menghayati solat dapat membangun jiwa dan mental, memperolehi hikmah dan didikan, akhirnya akan terbinalah peribadi agung yang memiliki tujuh ciri.

3. Oleh itu peranan solat ;
Akan melahirkan peribadi yang agung dan kuat keyakinannya
Akan melahirkan peribadi yang kuat imannya.
Akan melahirkan peribadi yang kuat dan agung akhlaknya.
Akan melahirkan peribadi yang berdisiplin dalam hidupnya.
Akan melahirkan hamba Allah yang bersih jiwanya dari sifat-sifat mazmumah.
Akan melahirkan hamba Allah yang bersih lahir dan batinnya dari maksiat dan kemungkaran, kalaupun ada sangat sedikit.
Akan melahirkan peribadi yang kuat syariatnya.

4. Peribadi agung yang memiliki 7 ciri ini menjadikan bangsa-bangsa lain boleh bernaung di bawah mereka. Ini kerana peribadi-peribadi agung ini dinaungi oleh Allah SWT Yang Maha Agung.

SOLAT YANG ADA ROH

Solat yang benar-benar dihayati lahir dan batin akan membuahkan peribadi yang agung, iaitu lahir satu bangsa yang kuat dan berdaulat. Bukan sahaja berdaulat tetapi boleh mencatur dunia dengan ajaran Allah hingga bukan umat Islam dapat manfaat tetapi orang bukan Islam pun dapat manfaat di dunia ini. Kalau begitu ajaran Islam ini sangat indah dan hebat, selamat dan menyelamatkan. Selama ini kita lakukan solat sekadar cukupkan syarat dan rukunnya sahaja.

Hasil solat yang tepat dan dijiwai atau ada roh akan menjadikan dirinya sangat memberikan manfaat kepada umat Islam dan orang bukan Islam di atas muka bumi ini. Hasil solat yang agung juga dapat bangunkan satu bangsa yang berkasih sayang, yang bersatu padu, yang boleh rasa bersama, bekerjasama, boleh berdaulat dan menjadi empayar. Islam yang menaungi dunia.

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN.

Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solatnya tetapi dengan syarat, mesti ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.

PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH.

Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada latihan yang berterusan dalam keluarga yang mendidik ke arah solat yang agung. Kalau tidak ada pimpinan dalam keluarga yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku. Pemimpin keluarga itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang ketua keluarga. Ketua keluarga yang hendak menjadikan keluarganya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia mahu mendidik anak isterinya supaya mempunyai ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti usahakan berkat dari Tuhan melalui mursyidnya. Bila terhubung berkat dengan mursyidnya barulah ada kekuatan. Dia juga akan memiliki kekuatan yang mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.

Pendidikan keluarga mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain. Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:

1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan

Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini.

Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu. Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan: “Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)

Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini: Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”

Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan. Inilah sumber kekuatan umat Islam yang Allah janjikan. Siapa yang mengusahakannya pasti akan dibantu. Siapa yang bercita-cita menjadi pejuang Islam dan pejuang kebenaran, ini mesti diketahui dan diambil perhatian. Jika tidak, perjuangannya boleh dipersoalkan dan dipertikaikan. Dari mana lagi sumber kekuatan umat Islam jika tidak dari sembahyang!

MISKIN DAN KAYA

sedekah-untuk-kaya

“Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” ( Hadith Riwayat At Tabrani)

Dunia ini Allah punya. Segala-gala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan, kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita manusia tidak memiliki apa-apa. Sebaliknya kita dimiliki.

Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan dan wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, adalah milik Tuhan.

Kita sebagai manusia, dalam keaadan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai banyak harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil dan guna sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita itu tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk kemaslahatan masyarakat.

Allah SWT jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hamba-Nya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah SWT kurniakan itu cukup untuk semua hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada golongan yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.

Allah jadikan miskin dan kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan wujud dan tidak akan berkembang.

Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenal mengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.

RASA BERTUHAN PARA SAHABAT

sahabat

Kalau kita lihat di zaman Rasulullah SAW, para sahabat rasa bertuhannya kuat, ertinya ke mana pun pergi mereka membawa rasa bertuhan. Seolah-olah Tuhan berkata, di mana engkau berada di situlah Aku berada, ertinya Tuhan dihayati betul-betul dalam jiwanya. Perasaan bertuhan itu kuat. Kalau rasa bertuhan itu kuat, maka akan terasa selalu diawasi oleh Tuhan di mana pun dia berada.

Mereka memiliki hubungan yang kuat dengan Tuhan. Ibadah-ibadah yang fardhu terutama solat tidak terabai oleh kerja-kerja lain. Walaupun kerja dunia itu kadang-kadang nampak besar dan berjaya, tapi bagi orang beriman ketika datang panggilan Tuhan, maka itulah yang utama. Bahkan bagi mereka, setengah jam sebelum waktu solat sudah mesti menyiapkan diri. Kalau tidak dapat, minimal 15 minit sebelum solat.

Para sahabat Rasulullah SAW, disiplin solatnya sangat kuat. Hal ini disebabkan kekhusyukan dalam solat dapat dibantu dengan datang awal ketika masuk waktu solat. Ketika itu kita bertafakur, berfikir tentang kebesaran Tuhan dan mengingat dosa-dosa. Hal itu sangat membantu untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Cuba bandingkan bila ketika 10 minit lagi hendak solat, kita makan dulu, lihat majalah dulu dll. Tentunya kegiatan itu yang akan ada dalam ingatan kita ketika solat. Sedangkan kejadian yang telah 2 tahun dahulu, tiba-tiba dapat teringat, apalagi yang 10 minit menjelang solat.

Sebab itu sepatutnya 10 atau 15 minit atau setidak-tidaknya sewaktu azan kita sudah ada di tempat solat. Walaupun misalnya 10 atau 15 minit itu kita bukan di tempat solat, tapi mungkin di tempat kerja atau di dalam bilek, tapi kita sudah keadaan siap sedia untuk menunaikan solat. Ketika azan terus menuju tempat solat.

Kalaulah kita menjaga hak-hak Tuhan, terutama ibadah solat, maka hubungan kita baik dengan Tuhan. Nantinya kerja-kerja dunia akan menjadi mudah, sebab Tuhan yang akan melakukannya untuk kita. Kalau kita bersusah-susah untuk amalan yang akan menyelamatkan kita di akhirat, maka dengan dunia ini kita akan dimudah-mudahkan oleh Tuhan.

Sebab itu perlu untuk selalu istiqamah dalam mengerjakan segala ibadah, terutama ibadah yang fardhu. Kita mohon pada Tuhan untuk dapat selalu istiqamah. Bahkan itu lebih utama daripada memohon keselamatan. Dengan istiqamah itulah kita akan mendapat keselamatan. Sebab kalau kita kadangkala istiqamah, kalau Tuhan memberi kejayaan bukan atas dasar kasih sayang-Nya (istidraj).

Istiqamah diawali dengan ibadah yang fardhu, kemudian barulah yang sunat, seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dll. Ibadah solat sunat yang utama diistiqamahkan adalah solat malam. Ibadah itu meningkatkan darjat seorang hamba kerana jatuh kasih sayang Tuhan kepadanya.

Namun istiqamah bukanlah satu yang mudah. Istiqamah itu dapat dilakukan oleh orang yang kuat disiplinkan diri. Sebagaimana Sayidatina Aisyah tidak pernah meninggalkan amalan sedekah walaupun hanya dengan setengah biji kurma. Banyak sekali amalan yang kita buat tidak istiqamah, seperti solat, kadang dibuat tepat waktu, kadang tidak. Bahkan lebih selalu dibuat terlewat dari waktunya. Kadang puasa, kadangkala tidak. Padahal kalau kita dapat membuat amal secara istiqamah, maka insya Allah kerja kita dimudahkan oleh Tuhan.

Kadangkala kita beralasan tidak dapat istiqamah dalam beribadah, seperti solat di awal waktu ataupun solat berjemaah disebabkan kesibukan kerja-kerja rumah tangga, mengurus anak-anak dll. Memang begitulah kenyataan yang kita hadapi sehari-hari. Tapi bila rasa beTuhan telah kuat tertanam dalam hati, sebagaimana kehidupan wanita di zaman para sahabat, maka walaupun kehidupan mereka lebih susah, tapi dapat pertahankan istiqamah.

Sebab bagi mereka kalau kita kita jaga hubungan dengan Tuhan, maka Tuhan akan mudahkan segala urusan kita. Cuba kita bayangkan kehidupan para wanita di zaman Rasulullah SAW, untuk mendapatkan air wudhu mesti pergi dulu ke perigi di padang pasir. Tapi mereka tetap dapat juga istiqamah sembahyang malam. Sebab itu pernah Rasulullah bercerita pada para sahabat, nanti umatku dimudahkan oleh Allah dengan bermacam-macam kemudahan, seolah-olah waktu itu Rasulullah nampak air pun ada di dalam rumah.

Sahabat yang ketika itu mendengar merasa sedih. Seolah-olah sahabat berkata, mudah-mudahan umat Rasulullah SAW di waktu itu kuat ibadah, sebab merasakan betapa mereka susah untuk ibadah kerana susah untuk mendapatkan air. Rasulullah SAW berkata, “Oh tidak begitu,sekarang adalah lebih baik. Seolah-olah Rasulullah SAW berkata kemudahan itulah yang melalaikan, kesusahan kamu itulah yang menjadikan kamu kuat dan bersiap siaga.

Kalau kita sungguh-sungguh maka akan jatuh kasih sayang Tuhan. Walaupun kita letih pada malam hari tapi tetap Tuhan bangunkan pukul 4 pagi untuk tetap istiqamah solat malam, walaupun hanya tidur selama 1 jam. Waktu itu Tuhan beri kemudahan, setelah kita sungguh-sungguh mujahadah pada hari-hari sebelumnya sebagai suatu ujian.

Rasa bertuhan itu perlu dibawa kemana-mana. Walaupun sukar dan belum berjaya tapi mesti dicuba. Tuhan nilai bukan kerana ibadah, tapi usaha yang istiqamah, sehingga datang rahmat Tuhan. Jika tak berjaya, mohon ampun dengan Tuhan. Tuhan tidak berkata, siapa yang berjaya itu selamat, tapi siapa yang mencoba, kemudian tak berjaya tapi rasa tersiksa, maka akan datanglah rahmat Allah kepadanya.

BACAAN TALQIN : SOALAN BOCOR RAHMAT TUHAN UNTUK YANG MASIH HIDUP

Mari kita dengan memikirkan sejenak tentang tajuk di atas… sebagai seorang yang bergelar manusia kita akan melalui 5 alam sama ada kita suka atau tidak. Alam roh,alam rahim, alam dunia,alam barzah dan akhir sekali alam mahsyar.

Segala panduan telah diberi di dalam Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Dalam kita nak masuk alam barzah, Allah juga dah berikan kepada kita soalan-soalan yang akan ditanya oleh malaikat Munkar dan Nankir…kebanyakan dari kita meremeh-remehkan soalan malaikat dalam kubur seolah-olah itulah dikatakan soalan bocor.

Sepatutnya Munkar dan Nankir marah sebab soalan dah bocor tetapi kebanyakan dari umat manusia tak boleh jawab soalan itu nanti. Kita kena gentlemen, soalan dah bocor tapi tak boleh jawab juga!  Kita kena faham bahawa soalan itu susah nak dijawab dan atas rahmat Allah kita dah diberitahu siang-siang.
Cuba kita perhatikan salah satu soalan dalam kubur…Siapakah saudaramu?
Apakah kita boleh jawab? Jawapannya ialah orang mukmin.
Cuba cek berapa sahabat yang kita dapat yang betul-betul mukmin? jangan-jangan belum ada? Dalam sembahyang lebih terlihat lagi dalam kita beri salam ke kanan dan ke kiri: untuk memberi kesejahteraan kepada manusia,itulah target sembahyang. Tapi nampaknya lepas sembahyang kita tak buat apa-apa pun kepada manusia. Orang miskin kita biarkan, kita tak pernah beri kecuali diminta…ertinya aqidah kita tentang sembahyang belum berbuah lagi atau tak ada side effectnya.

Talqin itu lebih manfaatnya kepada orang yang hidup padahal ianya dibacakan sewaktu perkebumian.

Apa itu talqin?…ia adalah himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW, ia-itu Rasulullah SAW-lah yang mencipta dan menyusun bacaan talqin itu. Saya tak mahu bincangkan apa yang dibaca tetapi kepada saudara,saudari yang telah biasa menghadiri majlis perkebumian sudah tentu lebih mengetahui apa yang dibacakan.
Talqin itu sikit sangat fungsinya, ianya hanya mengingat-ingatkan kita sahaja sebab bukan waktu kita dalam kubur baru nak belajar ilmu . Talqin itu faedahnya 10% untuk orang yang dah mati, manakala 90% lagi adalah untuk orang yang hidup.
Pengajaran kepada yang hidup – sewaktu kita dengar talqin itu, ia mengingatkan kita, esok bila kita mati kita akan di soal begitu,begini, dah siap ke kita?
Seolah-olah Allah dah beritahu kalau kamu mati, datang malaikat soal, itulah yang akan ditanya,dah siap ke?

Dah ada ke persiapan? Macam mana kita dengan Tuhan? Untuk orang yang dah mati, talqin itu hanya sebagai reminder kepada yang dah siap. Bukan waktu itu baru nak belajar!

Contoh: Kalau ada seorang budak nak ambil PMR,tapi dia tak pernah masuk kelas pun. Kemudian kita suruh dia masuk exam, sudah tentu tak lulus. Tak ada persiapan,macam mana nak pass! Bila kita mati maknanya kita kena masuk exam, sepatutnya dah siap belajar, dah habis semua proses pembelajaran. Dah siap betul.

Anak kita nak ambil PMR, kita dah siapkan dia daripada tadika lagi. Kita masukkan dia dari satu tahap sekolah ke tahap sekolah yang lebih tinggi.Kita ambil perhatian tentang tuitionnya dan sebagainya hinggalah dia meningkat umur 15 tahun.Dia lulus PMR dan persiapannya dah dibuat lebih awal,dari 10 tahun yang lalu. Begitulah kita usahakan persediaan untuk kejayaan seseorang.

Kita tahu yang mati itu dahsyat dan kita dah diberitahu kehebatan mati walaupun kita dah buat persiapan. Allah datangkan kasih sayangNya, itulah rahmatNya disedarkan kita dengan soalan-soalan yang akan ditanya oleh kedua-dua malaikat di dalam kubur nanti.

Kita sebagai orang Islam telah Allah siapkan perjalanan kita seawal saat kita dilahirkan sehinggalah saat kita berakhir. Semua manusia mati dan akan masuk ke dalam tanah dengan kaedah yang sama. Sedangkan Islam sahaja yang mengajarkan…kalau kamu mati, kamu masuk tanah dan kamu akan jadi begini,begini… Islam memberi panduan cara kita hidup sampailah saat kita mati. Tidak bijaklah kita bila sudah dah beritahu yang kita nak masuk exam , soalannya juga dah diberitahu tapi kita tak bersedia pun! padahal semua orang akan ditanya tak kira Islam atau kafir.

Sepatutnya sebagai persiapan untuk mati kita sediakan dari waktu kita dilahirkan lagi. Bukan bila dah masuk kubur baru nak diajar,baru nak dibacakan siapa Tuhan,siapa Allah,siapa Imam kamu,siapa saudara kamu? sudah tentu tak lulus exam.

Salah satu perkataan dalam talqin ialah “Hidup mati kita berpegang kepada konsep Lailahaillah Muhammadar Rasulullah” Jadi tujuan manusia didatangkan ke dunia ini adalah untuk melakukan tuntutan Lailahaillah Muhammadar Rasulullah. itu maksudnya. Kita berikrar hidup mati kita diatas kalimah itu tapi kita buat macam tak perasan saja. Sepatutnya kita ikrarkan secara sedar, dalam bahasa Melayu untuk dijadikan teras dan pegangan hidup kita. anak-anak kita patut dididik seawal mungkin untuk mengambil ikrar Lailahaillah Muhammadar Rasulullah.

Di dunia kita siapkan anak-anak kita dengan jalan yang dia nak lalu iaitu… pertama sekali syahadah, kemudian sembahyang, diikuti dengan puasa,zakat dan haji. Kereta yang dia nak naik ialah Rukun Iman…percayakan Allah, Malaikat,Rasul,Kitab,Hari Kiamat dan Qadak dan qadar Allah. Apa juga sistem kehidupan yang dia nak lalui mesti di atas landasan Rukun Iman dan Rukun Islam.

Kita nak dapat markah 100%…mungkin syahadah 10%, itu pun kita tak pernah tahu dan tak pernah tanya! Sembahyang yang menjadi tiang agama bernilai 40%,dicampur dengan syahadah jadilah 50% tingkat ketaqwaan kita. Ini kita baru nak hafal bacaan sembahyang, baru nak hafal makna. Sembahyang belum lagi dijadikan pakaian dan hiasan diri, rasa-rasa kehambaan belum ada lagi.
Masuk bab puasa, ia bernilai 20%. Ini program Allah yang disetkan untuk kita sebagai workshop untuk overhaul hati,akal dan nafsu dan juga zahir kita. Ini terdapat dalam Rukun Islam. Puasa adalah khazanah maknawiyah( yang kita tak nampak) yang boleh membuat manusia jadi kaya,manusia yang berwatak malaikat… ini pun kita tak pernah kaji.
Seterusnya zakat yang bernilai 20% merupakan satu agenda,satu program pembersihan jiwa daripada sifat bakhil,tamak dan takut miskin…perkara ini pun kita tak pernah study. Istilah zakat pun mungkin 10 tahun sekali keluar.
Akhirnya datang pula Haji yang bernilai 10% dari perjalanan kita keakhirat. Haji adalah pengunci, pemeteri sehinggakan seorang yang pergi haji, maka pulangnya ke tanah air sebagai seorang malaikat berwajah manusia yang dialah yang menjadi aset di negara-negara yang Allah hantarkan kesana.

Bila kita suluh diri kita,terlalu banyak tuntutan Allah yang kita tak buat… begitu zalimnya kita terhadap apa yang Allah dah setkan untuk kita.

Ya Allah, kami berlindung dengan Engkau daripada fitnah hidup dan mati, dan kami berlindung dengan Engkau daripada seksa kubur dan kami berlindung dengan Engkau daripada seksa api Neraka dan kami berlindung dengan Engkau daripada fitnah Dajjal. Aamiin Ya Allah

 

Call Now
Directions