Tag Archives: Malaikat

SEBUTIR NASI BUAT RENUNGAN

 

Sebutir nasi adalah rezeki dari Tuhan

Pernahkah kita meluangkan sedikit masa dari umur kita untuk memikirkan hakikat ini?

Sebelum sebutir nasi itu ada di hadapan kita, seluruh jentera kerajaan Tuhan telah bekerja keras menghasilkannya.

Jika kita sedar, pasti kita tidak akan sampai hati untuk memperlekehkannya walaupun sebutir.

Mari kita telusuri perjalanan sebutir padi ciptaan Tuhan, hingga akhirnya terhasilnya sebutir nasi.

Para petani atau pekerja ladang menyemai jutaan benih-benih padi di sawah mereka – benih padi yang sudahpun wujud ratusan kurun, yang belum pernah lagi mengalami kepupusan.

Hari apa dan tarikh bila benih ini diturunkan ke bumi hanya Penciptanya yang tahu.

Setiap hari si petani, pekerja ladang yang rata-rata miskin itu menyiram dan menjaga semaian mereka,

Di sebalik itu sebenarnya para malaikat di bawah perintah Allahlah yang mengawal dan menjaga tumbesaran tanaman rezeki kurniaan Tuhan kepada manusia itu.

Akar-akar padi, Tuhan arahkan agar bergeraklah !! menjalarlah, pecahkanlah!! kelikir-kelikir tanah di bumiKu menjadi ketulan halus..

Molekul2 mineral dan makhluk air pula, TAAT menurut perintah, SETIA berkhidmat terus mengalir di celah-celah tanah, menyerap ke dalam akar tanpa soal,

Sang matahari, SIAJAIB yang tak pernah padam ‘lampu’nya sejak ia diciptakan,
memancarkan cahayanya ke atas dedaunan hijau, demi proses fotosintesis

molekul-molekul O2 yang ‘ghaib’ di udara, juga disedut oleh si makhluk hijau itu untuk proses respirasinya..

Masa ciptaan Tuhan kemudiannya mengizinkan buah-buah padi itu masak, untuk dituai hasilnya.

Ribuan petani atau pekerja yang mengendalikan mesin-mesin di ladang, di kilang, para pekerja sistem pengangkutan, gudang, pasaraya, pekedai, adalah semuanya makhluk Tuhan yang membantu menyampaikan walau sebutir padi kepada kita.

Pernahkah kita si hamba Allah terfikir sesenduk nasi di dalam piring kita itu asalnya dari mana, siapa yang menyemai benihnya ke bumi..dan seterusnya?

Guru mengajar, bila kita di hadapan makanan, rendahkanlah hatimu, berterimakasihlah kepada Tuhan, berdoalah untuk semua petani, nelayan, penanam sayur, pekedai, tukang masak dan semuanya yang membantu memberi nikmat itu kepada kita.

Betapa MAHA baiknya Allah.

Sesungguhnya walau sekaya mana pun manusia, ia tidak akan mampu hidup sendirian.

APA YANG KITA MAHU DAPATKAN DIBULAN RAMADHAN YANG ISTIMEWA

Mari kita bersama-sama menghayati kata-kata sanjungan dan penghargaan kepada Ramadhan, satu-satunya bulan yang disiapkan Tuhan dengan pelbagai peluang kebaikan serta keberkatan bagi mereka yang menghayatinya.
Ramadhan disiapkan Allah dengan keistimewaannya yang tersendiri. Sebaik bermula maghrib 1 Ramadhan, semua syaitan ditangkap dibelenggu dan dirantai bagi membolehkan anak Adam menjalani ibadah puasa dengan lebih mudah. Hanya gangguan nafsu yang di dalam diri sahaja yang tinggal untuk dihadapi. Itulah Ramadhan yang disiapkan Tuhan.
Seolah-olah ‘ada kesibukan’ di alam ghaib yang kita tidak dapat melihatnya. Para malaikat ada tugas dan kerja yang tersendiri. Ramadhan adalah bulan di mana malaikat disuruh membukakan semua pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Malaikat menangkap syaitan dan iblis. Malaikat juga disuruh mengintai-ngintai pekerjaan hamba-hamba Allah yang menghayati Ramadhan untuk diganjari sebaik-baik ganjaran kebaikan.

Ramadhan juga adalah bulan dihentikan buat sementara siksa derita untuk ahli neraka. Ahli neraka merasa amat lega dan berharap biarlah penangguhan siksa ini adalah selama-lamanya. Menurut riwayat, ahli neraka akan kembali menangis meraung melolong sebaik masuknya maghrib 1 syawal. Ketika kita bertakbir raya dengan suara yang syahdu penuh kesyukuran, ahli neraka sedang ketakutan yang amat sangat menyambut kedatangan malaikat juru azab mereka.
Demikianlah hebatnya Ramadhan yang padanya pelbagai janji ganjaran untuk setiap kebaikan yang kita lakukan. Apa yang penting kita beramal dengan niat mendapatkan Tuhan. Kita diajar agar hati jadi tulus denganNya. Kita tidak digalakkan untuk mengejar fadhilat dalam beribadah. Kita juga dipesan agar beribadah untuk mendapatkan rasa hati yang khusyuk dengan Tuhan. Ibadah adalah proses ruh kita dicelikkan.

Ibadah sepatutnya menjadikan hati kita mudah tersentuh dengan Allah. Tumpuan sepatutnya kepada rasa hati terhadap Ramadhan bukannya membicarakan makam khawasul khawas. Almarhum Abuya Ashaari Muhammad pernah menyebut “Biarlah kita tidak pandai menghuraikan tentang makam ibadah yang berbagai peringkat kerana yang penting, hati kita berjaya sampai ke makam terpilih di sisi Tuhan. Apa guna kita alim dan pakar menghuraikan tentang makam-makam (pangkat kedudukan) jika secara hakikatnya – kita masih di takuk yang jauh di bawah yang tidak ada nilai di sisi Tuhan.”

Di bawah ini adalah bait-bait nasyid yang digalakkan untuk kita semua menghayatinya:

Ya Allah..mengapa aku ini
Aku berlainan dari orang lain
Setiap kedatangan Ramadhan
Mereka menyambut dengan gembira
Mereka kelihatan ceria

Tapi aku berlainan
Kedatangan Ramadhan penuh duka
Bukan aku benci bulan-Mu
Yang penuh rahmat dan berkat

Tapi aku benci diriku
Aku bimbang RamadhanMu
Aku tidak mengisi sebaiknya
Aku rasa puasaku tidak sempurna
Ampunilah aku Ya Allah
Aku rasa sembahyangku tidak sah
Terawih, bacaan Al Quran aku tidak sampai kemana
Ya Allah..
Itulah yang menyelubungi hatiku
Setiap kali kedatangan Ramadhan
Adakah satu kesalahan
Ampunkan aku Ya Allah
Maafkanlah aku Ya Allah kalau itu satu kesalahan
Pimpinlah aku betulkan sikapku
Aku mohon keampunan dari-Mu Ya Allah..

Begitulah rasa hati seorang hamba Allah yang sangat tulus dan suci yang penuh rasa bimbang dengan amalan yang akan dilaksanakan. Seorang hamba Allah yang menanti Ramadhan dengan rasa yang sangat cemas.
Kita diajar – dalam beramal ibadah, pastikan kita mengawal rasa hati pada 3 peringkat yang utama iaitu sebelum mengerjakannya, semasa mengerjakannya dan selepas selesai melaksanakan ibadah tersebut. Itulah sunnah Rasulullah SAW yang sangat penting untuk kita laksanakan.

Maka sebelum mengerjakan ibadah puasa, elok kita mengingatkan diri kita masing-masing agar mengasak hati dengan rasa cemas dan bimbang. Antaranya ialah untuk rasa takut kerana tidak membesarkan Ramadhan. Begitu juga rasa bimbangkan hati yang tidak dapat menghayati ibadah puasa, sembahyang dan sebagainya dengan selayaknya. Takut-takut ibadah berkenaan dirasa biasa-biasa – tidak dirasakan ianya agung dan hebat. Sedangkan ibadah itu adalah suatu yang datang dari Tuhan yang Maha Besar lagi Maha Hebat. Tentulah segala-gala yang dari Allah, sangat hebat dan besar. Hati perlu dibawa merasakan sedemikian. Inilah yang sangat perlu kita bimbangkan.

Selain itu, hati juga dibina rasa cemas dalam hendak menyambut Ramadhan atau dalam hendak berdiri mengerjakan sembahyang atau dalam hendak berbuat lain-lain ibadah. Cemasnya hati kerana kita sendiri sedar bahawa kita pasti akan gagal dalam khusyuk. Kita tentu akan sekali lagi mengulangi kelalaian dalam ibadah.
Kita tentu dapat merasakan semasa beribadah nanti, hati kita akan melupakan Tuhan seperti selalunya. Justeru hati kita diasak dengan rasa cemas dan takutkan kemurkaan Allah. Adakah ibadah kali ini juga mengulangi semua kegagalan sebelum ini? Adakah sekali lagi kita mendapat dosa hasil ibadah yang tertolak sedangkan ibadah sepatutnya menambahkan dekatnya kita dengan Allah? Adakah semakin beribadah semakin menjauhkan kita denganNya?
Hal ini sangatlah perlu kita runsingkan.

Rasa hati yang lebih halus lagi ialah rasa tidak layak, rasa hina diri yang teramat sangat. Hati merasakan ibadah yang difardukan Allah itu adalah anugerahNya. Hati merasakan Tuhan memberi penghormatan dengan anugerah ibadah yang sedemikian besar dan agung. Justeru sebagai hamba yang hina dina, yang rasa tidak layak, situasi ini patut sangat mengharu-birukan hati kita. Gejolak rasa hati adalah serba salah di antara rasa hina dan rasa sangat mahu bersyukur, rasa sangat menghargai anugerah Tuhan ini.

Justeru orang-orang soleh di sepanjang Ramadhan, menempuhnya dengan perasaan yang bercampur baur. Sepanjang bulan Ramadhan mereka amat menghayati setiap yang berlalu tanpa dibiarkan sia-sia. Semuanya di isi dengan rasa cinta dan takutkan Allah. Apa jua ibadah yang dilakukan semata-mata mencari redha yang Maha Kuasa, mendekatkan hati dengan kekasih agung iaitu Rasulullah SAW.

Dunia yang sedang di depan mata, tidak dirasakan wujud. Mereka berada di alam yang lagi satu iaitu di alam rohaniah. Ruh sedang ghairah meneroka ke segenap ruang keampunan Allah dan kasih sayangNya. Semua ibadah dan aktiviti kehidupan yang ditempuhi sepanjang Ramadhan dapat membawa hati mereka kepada Tuhan. Inilah golongan yang terlalu sedikit yang ada di atas muka bumi ini. Yang ramai tentulah para pemburu dan pencinta dunia yang menipu.
Ramadhan yang Tuhan persiapkan untuk hamba-hambaNya yang pilihan benar-benar menjadi medan membezakan yang terpilih dan yang terbuang. Orang-orang pilihan Tuhan tetaplah mengutamakan Tuhan dan membesarkan Ramadhan dengan solat, baca Quran, terawih, zikir, tazkirah, berdakwah, berjuang dan berjihad. Orang-orang yang terbuang tetaplah kekal dengan kelalaian demi kelalaian. Kami mohon berlindung dariMu Ya Allah daripada termasuk golongan yang lalai.

Muga-muga Allah rezekikan kita rasa hamba itu di awal Ramadhan, pertengahan dan di akhirnya. Ianya satu rasa hati yang sempurna dan terpelihara yang dianugerahkan Tuhan untuk hati. Bukan mudah mengekalkan rasa hamba sebegini rupa. Ramai yang mampu bercakap dan bersyarah tetapi gagal pada penghayatan. Hatilah yang diberi keutamaan bukannya pada hebatnya cakap atau berjelanya ijazah ‘kelayakan’.

Janganlah kita menjadi seperti mereka yang ramai yang tertipu. Mereka merasakan ilmu itulah satu-satunya modal kejayaan sedangkan Islam itu adalah agama rasa. Iman dan tauhid itu tunjangnya adalah rasa hati dengan Allah. Bukannya ilmu yang dikira tetapi bagaimana rasa takutkan Allah yang menguasai hati kita. Bukankah taqwa yang disyarahkan adalah rasa takutkan Allah. Takut itulah rasa!!!

Ilmu itu hanyalah penyampai untuk hati dibantu mendapatkan rasa. Walaupun ianya fardhu dan sangat penting, keutamaan tetaplah bagaimana mendapatkan hati yang tunduk, patuh dengan rasa cinta dan takutkan Allah!

KISAH BERIMANNYA RAJA HABIB

Abu Jahal dan Abu Lahab selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk membunuh Nabi Muhammad saw. Tiba-tiba Abu Jahal teringat kepada seorang Raja Syam yang bernama Raja Habib Bin Malik. Mereka pun mula merancang untuk membunuh Nabi saw melalui Raja Habib yang terkenal bengis dan zalim itu.

Mereka pun menghantar sepucuk surat jemputan kepada Raja Habib , mengundangnya ke Mekah. Raja Habib pun bersetuju setelah dijanjikan sambutan dan layanan istimewa dari pembesar Quraisy itu lalu berangkat ke Mekah dengan seribu orang pengawal. Abu Jahal dan semua pembesar Quraisy menyambut kedatangan Raja Habib dengan penuh rasa gembira dan mereka pun memberikan pelbagai jenis hadiah yang mahal kepada Raja Habib. Raja Habib pun ditempatkan di Abthah.

Selepas itu Abu Jahal pun memulakan rancangan jahatnya iaitu mula mengadu masalah yang dihadapi oleh penduduk Mekah dan memohon jasa baik Raja Habib untuk membantu mereka. Abu Jahal pun mengadu bahawa Nabi Muhammad saw telah mengaku menjadi pesuruh Allah dan membawa satu agama baru dan kononnya telah menghina Tuhan-Tuhan yang disembah mereka sejak nenek moyang mereka lagi. Mereka mengadu bahawa Nabi Muhammad saw akan membawa perpecahan dan kekacauan di Mekah jika terus dibiarkan begitu sahaja.

Raja Habib pun memerintahkan supaya Nabi Muhammad saw datang mengadapnya. Pada mulanya pemergian Nabi saw dibimbangi oleh Saiyidina Abu Bakar dan isterinya Saiyidatina Khadijah kerana Raja Habib memang terkenal sebagai seorang Raja yang zalim, namun setelah Nabi saw meyakinkan mereka bahawa Allah akan melindunginya, maka mereka pun berangkat mengadap Raja Habib. Nabi Muhammad saw telah memakai jubah yang berwarna merah dan memakai serban yang berwarna hitam.

Setelah terpandang wajah Nabi saw yang mulia, hati Raja Habib yang terkenal dengan sikap yang bengis itu tiba-tiba menjadi lembut, lalu mempersilakan Nabi saw duduk di sebelahnya.
Raja Habib pun mula bertanya:
“Wahai Muhammad,benarkah seperti apa yang telah saya dengar bahawa kamu telah mengaku menjadi pesuruh Tuhan?”.
Jawab Nabi saw “memang benar”.
Raja Habib bertanya lagi : “Siapa Tuhan kamu?” . ”Allah” jawab Nabi saw.
“Sekiranya kamu seorang Nabi, sudah tentu kamu juga mempunyai mukjizat seperti Nabi-Nabi yang lain sebelum kamu” kata Raja Habib. Lalu Nabi saw pun bertanya, “Apa yang tuan mahukan?”

“Saya mahu melihat perkara pelik yang belum pernah terjadi, sekiranya kamu seorang Nabi sudah tentu kamu mampu melakukannya”. Lalu Nabi saw menjawab: “Dengan izin Allah, pasti terjadi”
“Saya mahu matahari terbenam sebelum waktunya, kemudian bulan terbit lalu turun ke bumi. Bulan itu terbelah dua lalu masuk ke dalam pakaian kamu. Bulan itu akan keluar dari lengan baju kanan dan baju kiri kamu. Kemudian bercantum semula menjadi bulat di atas kepala kamu dan bulan itu mengucapkan syahadah membenarkan kenabian kamu kemudian kembali ke tempat asalnya di angkasa. Bulan itu terbenam. Kemudian matahari terbit kembali dan keadaan seperti biasa.” Kata Raja Habib.

“Sekiranya Muhammad tidak boleh melakukannya, tuan bawa dia balik ke Syam ataupun bunuh saja” Kata Abu Lahab dengan penuh perasaan jahat bercampur gembira kerana beliau yakin Nabi saw tidak mampu melakukan perkara yang rumit itu.
“Sekiranya berlaku seperti yang tuan mahukan, apakah tuan akan beriman kepada Allah ?” Tanya Nabi saw kepada Raja Habib pula.
“Ya, barulah saya percaya kamu adalah pesuruh Allah”.jawab Raja Habib.

Nabi Muhammad saw pun mendaki Bukit Kubaisy yang tidak jauh dari Kaabah lalu berdoa kepada Allah swt . Malaikat Jibril pun datang membawa Firman Allah lalu memberitahu Nabi saw : “Wahai kekasihKu, janganlah engkau takut dan janganlah engkau bersedih hati kerana Aku bersamamu di mana pun engkau berada. Aku sudah mengetahui sejak mula apa yang diminta oleh Habib. Pergilah kepada mereka , tunjukkan ayatKu. Bentangkan secara terang dan tegas risalahmu. Ketahuilah, yang Aku sudah menempatkan matahari, bulan, malam dan siang di bawah perintahmu. Dan ketahuilah yang anak perempuan Habib akan Aku sembuhkan daripada penyakit lumpuh dan kedua-dua matanya yang buta sudah pulih semula”

Tiba-tiba berlakulah peristiwa ajaib yang belum pernah dilihat oleh manusia dan penduduk Mekah sebelum itu. Matahari dengan perlahan bergerak ke ufuk barat lalu terbenam. Cahaya siang bertukar menjadi malam. Selepas itu bulan pun terbit lalu terbelah dua. Bulan yang terbelah itu pun turun lalu masuk ke dalam jubah Nabi Muhammad saw. Kemudian bulan yang terbelah itu pun keluar dari lengan baju kanan dan kiri Nabi Muhammad saw dan bercantum semula di atas kepala Nabi saw sambil mengucap dua kalimah syahadah, iaitu mengaku “Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”. Kemudian bulan pun bergerak ke tempat asalnya lalu terbenam di ufuk barat. Matahari pun terbit semula lalu suasana menjadi seperti sediakala. Raja Habib dan orang ramai kagum dengan kejadian itu.

Saiyidina Abu Bakar bertakbir apabila menyaksikan mukjizat Rasulullah saw itu. Selepas itu Nabi saw pun turun dari Bukit Kubaisy lalu menemui Raja Habib.
“Ketahuilah wahai Raja Habib , anak perempuan kamu yang sakit telah sembuh dari penyakitnya dan matanya yang buta telah dapat melihat semula” Kata Nabi Muhammad saw kepada Raja Habib.
Raja Habib pun terkejut kerana tidak ada sesiapa pun yang tahu penyakit anaknya itu iaitu lumpuh dan matanya buta kecuali orang-orang istana dan mereka yang dekat dengannya sahaja. Dia merasa gembira lalu berkata :

“Wahai seluruh penduduk Kota Mekah, tidak ada kekafiran sesudah beriman. Ketahui yang saya percaya tidak ada Tuhan kecuali Allah dan mengaku Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya”. Selepas itu Raja Habib dan seribu orang pengawalnya telah memeluk Islam, namun Abu Jahal dan Abu Lahab masih terpinga-pinga, marah dan masih tidak mendapat hidayah!

Raja Habib pun terus pulang ke Syam bersama pengawalnya tanpa menghiraukan Abu Jahal dan Abu Lahab. Setibanya di Syam, anak gadisnya yang lumpuh dan buta sedang berdiri menunggu di hadapan istana sambil mengucapkan kalimah syahadah. Raja Habib pun bertanya dari manakah anaknya itu belajar mengucap itu, lalu anaknya menjawab :
“Saya bermimpi di datangi oleh seorang pemuda yang mengatakan bahawa ayah telah memeluk Islam dan saya akan sembuh daripada penyakit bila mengucap kalimah syahadah. Maka saya ucapkannya di dalam mimpi. Bila bangun dari tidur, saya dapati penyakit saya sudah sembuh dan mata saya sudah dapat melihat semula” jawab anak gadisnya itu.

Raja Habib pun bersujud tanda kesyukuran kepada Allah swt. Sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Nabi Muhammad saw, Raja Habib pun mengirimkan hadiah berupa emas, intan dan permata yang banyak sehingga perlu dibawa oleh 5 ekor unta!

Bila utusan Raja Habib sampai ke Mekah, maka Abu Jahal pun mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya, tetapi telah dinafikan oleh pengawal utusan Raja Habib bahawa semua hadiah itu adalah untuk Nabi Muhammad saw. Suasana menjadi kecoh dan menarik perhatian ramai bila Abu Jahal menuduh pengawal utusan itu sudah terkena sihir Muhammad.

Bila mengetahui hal tersebut Nabi Muhammad saw pun pergi ke tempat itu. Abu Jahal yang tamak haloba itu masih mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya dan pembesar Quraisy yang lain. Abu Sufian bertanya orang ramai siapakah yang boleh menjadi pengadil dalam hal itu, lalu Nabi saw pun mencadangkan agar bertanya kepada unta yang membawa hadiah itu sendiri. Abu Jahal pun bersetuju, maka tempoh sehari diberikan lalu Abu Jahal pun balik menyembah dan memohon pertolongan dari berhala al-Latta dan al-Uzza bagi mendapatkan harta dari Raja Habib itu.

Bila tiba hari pengadilan, maka bertanyalah Abu Jahal kepada unta itu :
“Wahai unta, atas nama tuhan-tuhanku, al-Latta , al-Uzza dan al-Manata, beritahu kami untuk siapakah hadiah yang kamu bawa ini?” . Unta itu senyap dan tidak menjawab walaupun telah ditanya oleh Abu Jahal berulang-ulang kali sehingga beliau sendiri naik jemu dan penat.

Maka tibalah giliran Nabi Muhammad saw bertanya kepada unta itu pula :
“Dengan izin Allah,maka berkata-katalah wahai unta, untuk siapakah barang-barang yang kamu bawa ini?” Lalu salah seekor dari unta itu pun menjawab “Kami membawa barang-barang ini sebagai hadiah daripada Raja Habib bin Malik untuk Nabi Muhammad saw”. Selepas mendengar kata-kata unta itu, orang ramai sekali lagi terpegun dan Abu Jahal pun terpaksa mengalah.

Selepas itu Nabi saw menyuruh Abu bakar dan sahabat-sahabatnya membawa kesemua barang itu naik ke atas Bukit Kubaisy. Selepas itu Nabi saw pun berdoa kepada Allah swt agar semua emas, permata, intan berlian itu menjadi tanah. Dengan izin Allah, dalam sekelip mata semua barang berharga itu bertukar menjadi tanah!

Itulah serba sedikit kisah seorang Raja yang mendapat hidayah, walaupun Baginda berada jauh di Syam, tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Nabi saw , namun selepas ditunjukkan bukti mukjizat Nabi Muhammad saw , baginda terus beriman kepada Allah swt dan Rasulnya, sedangkan Abu Jahal, Abu Lahab dan beberapa orang pembesar Mekah masih tertutup pintu hatinya untuk Islam dan beriman kepada Allah swt walaupun telah diperlihatkan berpuluh-puluh kali mukjizat oleh Nabi Muhammad saw. Itulah nikmat iman dan hidayah…. Semuanya anugerah Tuhan…ianya tidak boleh dijual beli, tidak boleh dipaksa dan tidak boleh ditiru oleh sesiapa, kecuali kepada mereka yang dikehendaki olehNya jua.

ORANG-ORANG YANG DIDOAKAN MALAIKAT

Allah SWT berfirman, “Sebenarnya (malaikat–malaikat itu) adalah hamba–hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah–perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa’at melainkan kepada orang–orang yang diridhai Allah, dan mereka selalu berhati–hati kerana takut kepada-Nya” (QS Al Anbiyaa’ 26-28)

Inilah orang–orang yang didoakan oleh para malaikat :

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci’” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)

2. Orang yang duduk menunggu solat. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia’” (Shahih Muslim no. 469)

3. Orang–orang yang berada di saf bahagian hadapan di dalam solat. Imam Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra’ bin ‘Azib ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang–orang) yang berada pada saf–saf terhadapan” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud I/130)

4. Orang–orang yang menyambung saf (tidak membiarkan sebuah kekosongan di dalam saf). Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang orang yang menyambung saf-saf” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272)

5. Para malaikat mengucapkan ‘Amin’ ketika seorang Imam selesai membaca Al Fatihah. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang masa lalu” (Shahih Bukhari no. 782)

6. Orang yang duduk di tempat solatnya setelah melakukan solat. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhunya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia’” (Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadis ini)

7. Orang–orang yang melakukan solat Subuh dan ‘Asar secara berjama’ah. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh lalu para malaikat ( yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat ‘asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat ‘asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana kalian meninggalkan hambaku ?’, mereka menjawab, ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat’” (Al Musnad no. 9140, hadits ini disahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda’ ra., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata ‘aamiin dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan’” (Shahih Muslim no. 2733)

9. Orang–orang yang berinfak. Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali 2 malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang pelit’” (Sahih Bukhari no. 1442 dan Sahih Muslim no. 1010)

10. Orang yang makan sahur. Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang–orang yang makan sahur” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhiib wat Tarhiib I/519)

11. Orang yang menjenguk orang sakit. Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang bila-bila saja hingga petang dan di waktu malam bila-bila saja hingga subuh” (Al Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkomentar, “Sanadnya sahih”)

12. Seseorang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain. Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah di antara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain” (disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi II/343)

Call Now
Directions