Tag Archives: rahmat

RASA BERTUHAN PARA SAHABAT

sahabat

Kalau kita lihat di zaman Rasulullah SAW, para sahabat rasa bertuhannya kuat, ertinya ke mana pun pergi mereka membawa rasa bertuhan. Seolah-olah Tuhan berkata, di mana engkau berada di situlah Aku berada, ertinya Tuhan dihayati betul-betul dalam jiwanya. Perasaan bertuhan itu kuat. Kalau rasa bertuhan itu kuat, maka akan terasa selalu diawasi oleh Tuhan di mana pun dia berada.

Mereka memiliki hubungan yang kuat dengan Tuhan. Ibadah-ibadah yang fardhu terutama solat tidak terabai oleh kerja-kerja lain. Walaupun kerja dunia itu kadang-kadang nampak besar dan berjaya, tapi bagi orang beriman ketika datang panggilan Tuhan, maka itulah yang utama. Bahkan bagi mereka, setengah jam sebelum waktu solat sudah mesti menyiapkan diri. Kalau tidak dapat, minimal 15 minit sebelum solat.

Para sahabat Rasulullah SAW, disiplin solatnya sangat kuat. Hal ini disebabkan kekhusyukan dalam solat dapat dibantu dengan datang awal ketika masuk waktu solat. Ketika itu kita bertafakur, berfikir tentang kebesaran Tuhan dan mengingat dosa-dosa. Hal itu sangat membantu untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Cuba bandingkan bila ketika 10 minit lagi hendak solat, kita makan dulu, lihat majalah dulu dll. Tentunya kegiatan itu yang akan ada dalam ingatan kita ketika solat. Sedangkan kejadian yang telah 2 tahun dahulu, tiba-tiba dapat teringat, apalagi yang 10 minit menjelang solat.

Sebab itu sepatutnya 10 atau 15 minit atau setidak-tidaknya sewaktu azan kita sudah ada di tempat solat. Walaupun misalnya 10 atau 15 minit itu kita bukan di tempat solat, tapi mungkin di tempat kerja atau di dalam bilek, tapi kita sudah keadaan siap sedia untuk menunaikan solat. Ketika azan terus menuju tempat solat.

Kalaulah kita menjaga hak-hak Tuhan, terutama ibadah solat, maka hubungan kita baik dengan Tuhan. Nantinya kerja-kerja dunia akan menjadi mudah, sebab Tuhan yang akan melakukannya untuk kita. Kalau kita bersusah-susah untuk amalan yang akan menyelamatkan kita di akhirat, maka dengan dunia ini kita akan dimudah-mudahkan oleh Tuhan.

Sebab itu perlu untuk selalu istiqamah dalam mengerjakan segala ibadah, terutama ibadah yang fardhu. Kita mohon pada Tuhan untuk dapat selalu istiqamah. Bahkan itu lebih utama daripada memohon keselamatan. Dengan istiqamah itulah kita akan mendapat keselamatan. Sebab kalau kita kadangkala istiqamah, kalau Tuhan memberi kejayaan bukan atas dasar kasih sayang-Nya (istidraj).

Istiqamah diawali dengan ibadah yang fardhu, kemudian barulah yang sunat, seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dll. Ibadah solat sunat yang utama diistiqamahkan adalah solat malam. Ibadah itu meningkatkan darjat seorang hamba kerana jatuh kasih sayang Tuhan kepadanya.

Namun istiqamah bukanlah satu yang mudah. Istiqamah itu dapat dilakukan oleh orang yang kuat disiplinkan diri. Sebagaimana Sayidatina Aisyah tidak pernah meninggalkan amalan sedekah walaupun hanya dengan setengah biji kurma. Banyak sekali amalan yang kita buat tidak istiqamah, seperti solat, kadang dibuat tepat waktu, kadang tidak. Bahkan lebih selalu dibuat terlewat dari waktunya. Kadang puasa, kadangkala tidak. Padahal kalau kita dapat membuat amal secara istiqamah, maka insya Allah kerja kita dimudahkan oleh Tuhan.

Kadangkala kita beralasan tidak dapat istiqamah dalam beribadah, seperti solat di awal waktu ataupun solat berjemaah disebabkan kesibukan kerja-kerja rumah tangga, mengurus anak-anak dll. Memang begitulah kenyataan yang kita hadapi sehari-hari. Tapi bila rasa beTuhan telah kuat tertanam dalam hati, sebagaimana kehidupan wanita di zaman para sahabat, maka walaupun kehidupan mereka lebih susah, tapi dapat pertahankan istiqamah.

Sebab bagi mereka kalau kita kita jaga hubungan dengan Tuhan, maka Tuhan akan mudahkan segala urusan kita. Cuba kita bayangkan kehidupan para wanita di zaman Rasulullah SAW, untuk mendapatkan air wudhu mesti pergi dulu ke perigi di padang pasir. Tapi mereka tetap dapat juga istiqamah sembahyang malam. Sebab itu pernah Rasulullah bercerita pada para sahabat, nanti umatku dimudahkan oleh Allah dengan bermacam-macam kemudahan, seolah-olah waktu itu Rasulullah nampak air pun ada di dalam rumah.

Sahabat yang ketika itu mendengar merasa sedih. Seolah-olah sahabat berkata, mudah-mudahan umat Rasulullah SAW di waktu itu kuat ibadah, sebab merasakan betapa mereka susah untuk ibadah kerana susah untuk mendapatkan air. Rasulullah SAW berkata, “Oh tidak begitu,sekarang adalah lebih baik. Seolah-olah Rasulullah SAW berkata kemudahan itulah yang melalaikan, kesusahan kamu itulah yang menjadikan kamu kuat dan bersiap siaga.

Kalau kita sungguh-sungguh maka akan jatuh kasih sayang Tuhan. Walaupun kita letih pada malam hari tapi tetap Tuhan bangunkan pukul 4 pagi untuk tetap istiqamah solat malam, walaupun hanya tidur selama 1 jam. Waktu itu Tuhan beri kemudahan, setelah kita sungguh-sungguh mujahadah pada hari-hari sebelumnya sebagai suatu ujian.

Rasa bertuhan itu perlu dibawa kemana-mana. Walaupun sukar dan belum berjaya tapi mesti dicuba. Tuhan nilai bukan kerana ibadah, tapi usaha yang istiqamah, sehingga datang rahmat Tuhan. Jika tak berjaya, mohon ampun dengan Tuhan. Tuhan tidak berkata, siapa yang berjaya itu selamat, tapi siapa yang mencoba, kemudian tak berjaya tapi rasa tersiksa, maka akan datanglah rahmat Allah kepadanya.

PANDAI-PANDAILAH MENILAI RAHMAT DAN NIKMAT

Ramai umat Islam merasakan rahmat dan nikmat Tuhan itu kesihatan badan
Diberi murah rezeki, dianugerahkan anak, mendapat pangkat tinggi
Rumah besar, banyak harta, kereta mewah dan canggih
Padahal nikmat yang disebutkan belum boleh menyelamatkan kita
Adakalanya ia merosak dan dan membinasakan kita
Kalau tidak di dunia, ia akan berlaku di Akhirat

Tapi ada rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi
Setengah orang tidak sedar bahawa itu adalah rahmat dan nikmat
Rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi itu banyak pula
Di antaranya kalau kita berdosa diingatkan agar kita bertaubat dan bersedih dengan dosa
Di waktu kita lalai dengan-Nya disedarkan kita
Sekali-sekala disusahkan kita agar kita insaf
Adakalanya kesusahan itu untuk darjat dan pangkat
Selalu sahaja kita mengingati Dia
Dimasukkan di dalam hati kita sentiasa takut kepada-Nya
Di samping itu rasa cinta kepada-Nya selalu ada
Digemarkan kita membuat kebaikan dan dibencikan kita dengan kejahatan
Dijadikan kita boleh berlemah lembut dengan orang
Boleh meminta maaf dan boleh memberi maaf
Boleh beristiqomah dengan kebaikan

Inilah di antara rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi
Kalau hendak bersyukur, bersyukur kerana itulah yang lebih utama
Kerana rahmat dan nikmat yang tersembunyi itu jarang orang dapat
Tidak seperti rahmat dan nikmat di atas tadi
Oleh itu pandai-pandailah menilai rahmat dan nikmat
Agar syukur kita lebih sempurna dan tepat

Menjelang Maghrib
22.2.2000

 

PERBEZAAN ANTARA BERKAT DAN ISTIDRAJ

Image result for image garden malaysia

Terima kasih Tuhan kerana masih lagi memilih kita untuk terus hidup dan masih lagi mengizinkan kita untuk menimba ilmu Tuhan yang sangat berseni ini. Selawat dan salam keatas Nabi Besar Junjungan kita Muhammad SAW.

Muslimin muslimat yang dikasihi. Sunnatullah. Sudah jarang umat Islam mengambil pengajaran tentang hal ini. Sunnah Rasulullah selalu orang perkatakan.

Pada kita Sunnatullah merupakan rahsia Tuhan, mestilah kita mengambil tahu, membincangkan. sebab dunia ini berjalan, terutama pentadbiran Tuhan pada manusia melalui sunnah-Nya, sedangkan sunnah itu dilakukan sejak azali lagi dan tidak diubah-ubah oleh Tuhan.

Yang tidak diubah Tuhan inilah kita bahaskan, kita intai-intai supaya tindakan kita tidak bersalahan dengan Sunnatullah dan agar selamat kita dunia akhirat.

Dalam beberapa ayat yang Tuhan sebut bahawa sunnah-Nya tidak berubah-ubah, disinilah keadilan Tuhan, padahal Tuhan berkuasa mutlak, apa saja Dia nak lakukan siapa nak objek, tapi Tuhan tidak langgar.

Diantara Sunnah Tuhan kepada alam, terutama manusia, adalah berdasarkan rahmat-Nya dan berdasarkan berkat. Ikut rahmat-Nya: siapa yang ikut Sunnatullah Tuhan mula-mula sekali memberi rahmat kepada Rasulullah, Tuhan cipta Rasulullah menjadi rahmat kepada alam, sebelum dan sesudah, beliau Shahibul Zaman, apa-apa saja yang diciptakan kerana Rasulullah, sebab itu Rasulullah itu disebut sebagai Rahmat kepada alam.

Padahal kalau Tuhan tak jadikan dunia kerana Rasulullah bukan Tuhan cacat, bukan Tuhan susah, tapi Tuhan nak melihatkan kebesaran hamba-Nya, yaitu Rasulullah. Seolah-olah Tuhan hadiahkan dunia ini pada Rasulullah, apa saja yang berlaku baik buruk kerana Rasulullah.

Rahmat Rasulullah itu kalau dialirkan kepada hamba-hamba Tuhan. Kalau pada orang bertaqwa dikatakan berkat: “walau anna ahlal…. Jadi kalau Tuhan nak cetuskan kebaikan kepada orang bertaqwa samada ilmu, kekayaan, kepandaian itu atas dasar berkat.

Apa arti berkat?

Muslimin muslimat yang dikasihi. Berkat, asalnya Rahmat, kepada Rasulullah, selepas Rasulullah maka diberi pada Mujaddid, kemudian dialirkan kepada orang-orang bertaqwa maka jadi berkat, ertinya bertambah.

Kalau Tuhan beri kerana berkat, maka ilmu, kejayaannya kerana berkat maka ertinya keimanannya bertambah, kebaikannya bertambah. Rahmat Rasulullah tadi dialirkan kepada orang bertaqwa di namakan berkat.

Apa erti Istidraj ?

Tapi bagi orang-orang yang durhaka, orang jahat Tuhan bagi juga atas dasar Rahmat yang telah diperuntukkan kepada Rasululah, berupa kejayaan, rezeki tapi dengan istidraj atau kemurkaan-Nya.

Tuhan tidak diskriminasi, kedua-dua kelompok manusia Tuhan bagi tapi ada atas nama kasih sayang-Nya, berkat ada juga atas nama murka-Nya atau Istidraj.

Saperti kita pergi ke Zoo ke kawasan beruk, beruk datang berebut-rebut pisang yang kita bawa, kita sakit hati, lalu kita lempar pisang itu ke muka beruk, di makannya, tapi kita benci.

Begitulah manusia sama-sama dapat nasi, duit, kaya, tapi atas murka Tuhan, akhirnya ada duit tapi tak ada ketenangan, tak ada keamanan dan keselamatan.

Begitulah manusia hari ini nak apa saja bukan ikut cara Tuhan, boleh juga Tuhan bagi tapi kesannya isteri tak taat, anak durhaka, pergi sana sini takut, bertambah rosak bertambah buruk sehingga kejayaan sudah tidak ada arti apa-apa, bahkan menyusahkan. Kalau diberi kepada orang-orang yang bertaqwa kesannya akan bertambah baik.

Berkat: Berkat ini ada yang didapati atas dasar individu dan jemaah. Kalau pada individu mungkin kerana ada individu yang bertaqwa. Ini mudah dikesan.Yang payah dikesan apabila diberi oleh Tuhan atas nama jama’ah.

Tuhan beri supaya jamaah nampak indah, tapi tidak semua individu dapat kerana Tuhan nak lakukan keadilan-Nya. Supaya ada kasih sayang, perpaduan. Sebab itu jama’ah kebenaran, Tuhan berbagaikan berkat, tidak sama jenisnya.

Sebab itu kita tidak boleh mengatakan sesuatu yang kita dapat kerana berkat kita seorang, tapi katakan berkat orang lain, sandarkan dengan salah seorang pemimpin kita, baru beradab, tawadu’. Kalau kita lihat kejayaan lahir para jutawanlah yang banyak berkat, lalu sombong maka yang asalnya berkat, lama-lama jadi istidraj.

Kerana itu bukan orang-orang tu tak ada berkat, tapi bentuknya lain. Seperti pokok kalau tak faham, kita pujilah ranting-ranting yang banyak buahnya, manis buahnya, lupa dengan pokok dan akar.

Jadi masing-masing ada peranan. Kerana itu dikalangan kita jangan kita anggap lebih. Kita tidak tahu di tangan siapa yang mendapat berkat itu. Walaupun kita kata nak lahirkan orang-orang bertaqwa tapi kalau tak faham maka kita akan sakit-sakit hati, jatuh menjatuhkan. Pecah ukhuwah.

Kalau kita faham kita akan takut dengan Tuhan, malu, cemas, bimbang dan sandarkan dengan berkat orang lain. Peristiwa Kehancuran Islam di zaman Kamal Artartuk di Turki:

Nak hancurkan orang yang istidraj . Nak naikkan orang yang ikhlas. Tuhan dalam mengatur alam ini sangat berseni. Nabi Yunus Tuhan biarkan 40 hari dalam perut ikan demi hendak menginsyafkan umatnya.

Kita tidak akan mampu membaca secara lahir cara Tuhan dalam kejadian Nabi Yunus itu. Kejadian itu bukan kejadian istidraj tapi berkat. Kalau betul-betul kita bertaqwa kalau ada yang mahu menonjolkan kita, kita akan tolak.

Akhir Zaman nanti Tuhan akan alihkan dengan sendirinya yang akan berperanan sekalipun nampak sekarang yang menojol itu banyak dikalangan pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, maka Tuhan dengan sendirinya akan mengubah peranan itu.

Sekian

YANG TERSIRAT DI SEBALIK RAMADHAN

Image result for ramadhan malaysia

Untuk kita lebih menghayati Ramadhan yang mulia marilah kita sama-sama belajar dan faham apakah maksud yang tersirat di sebalik Ramadhan. Agar dengan itu ianya dapat dihayati sepenuhnya dan hasil atau natijahnya akan dibawa hingga selepas Ramadhan.

Ramadhan merupakan bulan exam dimana 11 bulan sebelum puasa itu merupakan latihan. Bila masuk exam tentulah bertujuan untuk dapat ‘degree’ yakni degree Taqwa. Bila disebut exam juga tentulah ada yang pass dan ada yang fail. Jangan kita anggap semua yang berpuasa itu dapat pahala kecuali mereka yang benar-benar mengikut peraturan, pantang larangnya, menghayatinya dan ikhlas kerana Allah. Ikhlas maksudnya puasa itu dinilai sendiri oleh Allah SWT. Banyak-banyaklah kita berdoa agar ibadah kita ikhlas kerana Allah.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah bertujuan untuk mengembalikan manusia kepada fitrah asal semulajadinya. Maksudnya, selama sebelas bulan dalam setahun, roh manusia digoda oleh bermacam-macam hal. Digoda oleh dunia, nafsu dan syaitan. Roh manusia yang asalnya baik, kenal Tuhan, cinta Tuhan dan takut pada Tuhan tetapi bila digoda oleh nafsu, syaitan dan dunia, maka datanglah hasad dengki, tamak, sombong dan berdendam. Akhirnya manusia hilang bahagia. Bila hilang bahagia, manusia mudah bergaduh, berkelahi dan berperang.

Supaya manusia tidak terus berada di dalam kegelisahan, Allah hadiahkan puasa di bulan Ramadhan sebagai ubat untuk memulihkan jiwa yang jahat. Mazmumah dipulihkan kepada mahmudah. Gelisah dipulihkan kepada ketenangan. Apabila menyambut Aidilfitri, kita sebenarnya menyambut pulihnya jiwa kita dari sakit. ‘Id itu ertinya ‘mengulangi’ atau ‘mengembalikan’. Fitri itu ialah fitrah semula jadi. Ertinya selepas satu bulan di bulan Ramadhan, kita dikembalikan semula kepada fitrah asal semulajadi kita yang tenang.

Di dalam Ramadhan terkandung: 1. Rahmat

Rahmat Allah ertinya pemberian yang tidak terbatas. Termasuk di dalam rahmat Allah itu ialah pahala yang diberikan berganda-ganda kepada ibadah yang dijalankan. Sebab itu Ramadhan dikatakan sebagai pesta ibadah. Maksud pesta ibadah di sini di dalam Ramadhan ada berbagai-bagai ibadah untuk dipersembahkan kepada Tuhan; sembahyang terawih, sedekah, baca Quran, membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah dan berbagai lagi. Dalam Ramadhan juga kita lihat ada banyak ibadah sembahyang – sembahyang terawih, witir, dll. Sembahyang menjadi tunggak dalam bulan Ramadhan kerana di dalamnya terkandung doa, zikir, pembaharuan ikrar dll lagi sebagaimana yang saya kuliahkan sebelum ini. Tidak kiralah berapa jumlah rakaat terawih yang penting sembahyang itu berkualiti dan memberi kesan.
Dengan rahmat Allah juga diturunkan Al Quran pada bulan Ramadhan yang merupakan panduan kepada kita. Begitu juga juga dengan rahmat dan kasih sayang Allah dihadiahkan Lailatul Qadar yakni satu malam daripada malam Ramadhan itu yang sangat special yang telah kita maklum kelebihannya. Kita dapat hidup lagi hingga bertemu Ramadhan yang akan datang juga merupakan satu rahmat Allah.

2. Maghfirah
Erti maghfirah ialah keampunan Allah. Hasil daripada Ramadhan yang dihayati akan dapat keampunan Allah. Apa tanda orang yang mendapat keampunan Allah? Antaranya Allah permudahkan kita untuk pemaaf, lemah lembut, bersedekah dan berbagai lagi kebaikan-kebaikan.

3. Sakinah (Ketenangan)
Tanda orang yang dapat maghfirah juga ialah mendapat sakinah yakni ketenangan. Tenang di sini contohnya bila susah boleh tenang dan sabar, bila orang kata, caci maki boleh tenang, begitu juga bila berhadapan dengan berbagai ujian hidup boleh tenang.

4. Barakah
Contoh barakah yang ingin saya bawa di sini ialah umur. Jika umurnya ada barakah, mengalir kebaikan dari dirinya kepada orang lain sepanjang hidupnya. Jika barakah ada pada rezekinya, mengalir rezekinya untuk dikongsi kepada orang lain yang memerlukan. Hasilnya juga mendapat rezeki dari sumber yang tidak diduga.

Semua yang disebut seperti rahmat, maghfirah, sakinah dan barakah bukanlah bermakna dikecapi semasa Ramadhan sahaja tetapi ianya mampu dibawa hingga selepas Ramadhan hingga bertemu lagi Ramadhan akan datang untuk digilap semula. Barulah boleh dikatakan telah lulus exam Ramadhan.

Akhir sekali banyakkanlah kita berdoa dan merintih dengan Tuhan agar apa yang kita buat ikhlas dan dinilai oleh Allah SWT.

RAHMAT DAN BERKAT

Perkataan rahmat dan berkat
Tidak asing lagi di dalam ajaran Islam,
Akhir-akhirnya dua istilah ini menjadi bahasa kita,
Hampir setiap hari disebut perkataan rahmat dan berkat,
Oleh itu mari kita mempelajarinya,
Apa itu erti rahmat dan berkat?
Rahmat itu adalah sifat Tuhan,
Daripada perkataan Ar Rahman Ar Rahim,
Kalau tidak cukup ilmu,
Seolah-olah rahmat dan berkat itu sama,
Yang sebenarnya rahmat dan berkat
Pengertiannya berlainan,
Rahmat merupakan khazanah Tuhan
Yang di Luh Mahfuz,
Khazanah Tuhan itu di dalamnya ada berbagai-bagai kebaikan,
Ada iman, ada taqwa, ada ilmu,
Ada kebaikan yang bersifat maknawi,
Ada kebaikan yang bersifat maddi,
Jadi Tuhan nak menurunkan rahmat-Nya
Daripada Luh Mahfuz kepada hamba-hamba-Nya
Samada secara individu
Mahupun secara jemaah,
Ia ada sistem,
Sistem itu Tuhan tetapkan di azali
Yang merupakan sunatullah,
Yang tidak ada berubah-ubah,
Sebab itu adalah satu ketetapan Tuhan diazali lagi,
Barakah saluran kebaikan Tuhan,
Daripada rahmat yang ada pada azali,
Samada yang berbentuk maknawi atau maddi,
Yang disalurkan kepada individu yang bertaqwa
Ataupun jemaah yang bertaqwa,

Barakah itu saluran
Yang diberi kepada orang yang bertaqwa itu,
Itu juga karamah orang itu,
Samada orang bertaqwa itu individu atau jemaah,
Kalau orang itu, Tuhan salurkan barakah kepadanya
Itulah karamah yang Tuhan bagi padanya,
Melalui barakah orang itu
Disalurkan kepada orang lain,
Samada secara individu atau jemaah,
Kadang-kadang emak atau ayah yang bertaqwa
Disalurkan barakah kepada anak-anak,
Kadang-kadang seorang guru yang ada barakah,
Dialirkan kepada murid-murid
Kadang-kadang pemimpin yang ada barakah
Disalurkan kepada pengikut-pengikutnya,
Cara karamah itu mengalir
Samada orang itu bertawasul kepadanya
Atau tidak bertawasul,
Jadi barakah itu aliran rahmat
Kepada orang-orang bertaqwa
Samada individu atau jemaah,
Kemudian dialirkan kepada orang lain,
Samada secara individu atau jemaah,
Kemudian perlu diingat,
Barakah ini kalau berlaku di dunia orang kafir pun dapat,
Bantuan yang bersifat maddi
Seperti kekayaan, intan berlian, makan minum,
Pakaian, rumah, kenderaan-kenderaan,
Tetapi perlu diingat
Kalau orang yang dapat berkat itu ada yang jahat,
Ia akan jadi istidraj,
Contoh:
Kalaulah seorang ada berkat,
Berkat itu dialirkan kepada seorang yang bertaqwa,
Contohnya kekayaan,
Kekayaan itu akan menjadi kebaikannya,
Ia jadi pemurah,
Menolong orang atau
Kalau barakah itu dialirkan kepada
orang yang bertaqwa itu ilmu,
ilmu itu akan memberi kebaikan kepadanya,
dengan bertambah ilmu, bertambah iman,
bertambah kebaikan, bertambah taqwa,
tapi kalau disalurkan kepada orang jahat,
contohnya ilmu,
dengan ilmu itu, orang itu jadi jahat,
jadi sombong,
kalau barakah itu disalurkan kepada orang yang jahat berkat orang baik
contoh kekayaan,
kekayaan itu menjadikannya sombong,
bangga, jadi membazir,
dengan kekayaan jadi istidraj,
asalnya baik iaitu rahmat,
akhirnya berkat itu jadi istidraj

14-07-o6

Call Now
Directions