PANDAI-PANDAILAH MENILAI RAHMAT DAN NIKMAT

Ramai umat Islam merasakan rahmat dan nikmat Tuhan itu kesihatan badan
Diberi murah rezeki, dianugerahkan anak, mendapat pangkat tinggi
Rumah besar, banyak harta, kereta mewah dan canggih
Padahal nikmat yang disebutkan belum boleh menyelamatkan kita
Adakalanya ia merosak dan dan membinasakan kita
Kalau tidak di dunia, ia akan berlaku di Akhirat

Tapi ada rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi
Setengah orang tidak sedar bahawa itu adalah rahmat dan nikmat
Rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi itu banyak pula
Di antaranya kalau kita berdosa diingatkan agar kita bertaubat dan bersedih dengan dosa
Di waktu kita lalai dengan-Nya disedarkan kita
Sekali-sekala disusahkan kita agar kita insaf
Adakalanya kesusahan itu untuk darjat dan pangkat
Selalu sahaja kita mengingati Dia
Dimasukkan di dalam hati kita sentiasa takut kepada-Nya
Di samping itu rasa cinta kepada-Nya selalu ada
Digemarkan kita membuat kebaikan dan dibencikan kita dengan kejahatan
Dijadikan kita boleh berlemah lembut dengan orang
Boleh meminta maaf dan boleh memberi maaf
Boleh beristiqomah dengan kebaikan

Inilah di antara rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi
Kalau hendak bersyukur, bersyukur kerana itulah yang lebih utama
Kerana rahmat dan nikmat yang tersembunyi itu jarang orang dapat
Tidak seperti rahmat dan nikmat di atas tadi
Oleh itu pandai-pandailah menilai rahmat dan nikmat
Agar syukur kita lebih sempurna dan tepat

Menjelang Maghrib
22.2.2000

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions