Tag Archives: Taqwa

ELAKKAN DARI MENGEJAR FADHILAT DALAM BERIBADAH

Image result for image sholat tarawih umat islam

Ramadhan adalah bulan ibadah, namun janganlah kita termasuk orang yang tertipu dalam puasa dengan fadhilat-fadhilat. Di masjid-masjid, kerana harapkan fadhilat itulah, minggu terakhir, ramai orang yang sembahyang tarawih. Dalam hadis ada menceritakan tentang kelebihan sembahyang tarawih tetapi bagaimana nak tafsirkan agar tak tertipu?

Sepertilah kita jadi petani. Adakah orang berkata bila nak buat ladang itu? Mari kita tanam-tanam untuk dapatkan buah? Mana ada orang kata begitu. Zaman ini terutamanya, orang sibuk fikirkan bagaimana nak pilih benih, nak tanam benih, nak pilih baja. Bila dah tanam, kita fikir macamana nak jaga. Ada ke sebut buah? Buah tu dah maklum. Kalau tepat penanamannya dan penjagaannya, pasti dapat ‘yang terbaik dari ladang!!’ Kalau sembahyang itu betul, pasti fadhilat dapat. Itu Tuhan yang tentukan. Tak usah fikirlah fadhilat puasa. Walaupun kita tak pernah belajar tentang fadhilat, insyaAlalh dapat fadhilat itu. Orang yang fikir fadhilat, cuba renungkan! Bolehkah dapat buah dari pohon yang tidak subur? Nanti orang salah guna. Orang yang kejar fadhilat, mana ada yang perangainya berubah hasil ibadah. Kalau tak ubah perangai, boleh kah dapat fadhilat?

Katalah orang tak pernah belajar tentang lailatul qadar tapi dia belajar puasa dengan menghayati, apakah dia tak dapat pahala lailatul qadar? Sedangkan kalau ada orang yang belajar dan faham betul tentang lailatul qadar tetapi puasa dan amal ibadahnya tak ikut displin, tak hayati, dapatkah pahala lailatul qadar? Tak. Tak tahu fadhilat, tak berdosa tapi kalau tak hayati amalan, berdosa.

Sepertilah kita dengan mak ayah kita. Kalau kita buat kerja khusus untuk mak ayah, kita tentu tak berfikir sama sekali apakah dia nak beri makan, dia nak hukum ke, yang penting aku buat kerja ini kerana mak ayahku. Tentu tidak sama orang yang kerja dengan mak ayah untuk dapatkan harta dari mak ayah. Ataupun orang yang buat kerja, takut mak marah, tak bagi makan. Jadi kalau berkhidmat kerana mengharapkan balasan daripada mak ayah, tentu tak ada kesan apa-apa di hatinya. Tapi kalau berkhidmat dengan tujuan semata-mata untuk mak ayah, ia manambah kasih-sayang. Macam kitalah dapat hadiah tak sama dengan dapat orang yang memberi hadiah. Mungkin bila kerana orang itu, kita sibuk macam mana nak berhadapan dengan orang itu. tapi kalau kerana hadiah, kita lupa pemberi hadiah.

Mungkin orang itu hendak fadhilat Ramadhan, dari sekarang sudah meriah, hendakkan fadhilat. Hamba yang hendakkan Tuhan mula berdebar-debar : ‘Macam mana ibadah aku di bulan Ramadhan ni?’. Tidak sama rasa mereka. Orang yang nak Tuhan, berhadapan dengan Ramadhan, hati takut. tapi kalau untuk fadhilat, telah meriahlah dari sekarang. Seronok mengira-ngira fadhilat, malam pertama dapat apa, kedua dapat apa. sebab itu kita dapat kesan orang ramai datang terasa meriah, terasa nak kenduri nampak mcam sibuk. Tapi kalau kerana Allah lain : ‘Nak jalan tak seronok, dalam ramai orang terasa keseorangan, nak berbual-bual dengan kawan rasa tak minat. Berbeza. Macam orang sembahyang. Ada yang takut Allah, ketika wudhu’ pun dah pucat. tapi setengah orang bahagia, nak dapat pahala. Hati sendiri boleh rasa. Bacalah hati kita ni. Hati kita masing-masing. Nak fadhilat ke nak Allah.

Sebab itu Tuhan ajar, Islam ini anak kuncinya kenal Tuhan. Sebab itu dari kecil disuruh kenal Tuhan, bukan kenal syariat. Hadis, “Awal-awal agama, mengenal Allah.” Ajarkan anak-anak mengenal Tuhan, bukan syariat. Bukan kenal puasa dan sembahyang. Kenal Tuhan dulu. Kalau anak-anak itu dari kecil dah kenal Tuhan, mujahadah tak susah sangat. Takut nak buat dosa. Kita susah nak mujahadah sebab anak kunci tak dapat. Apa-apa hal pun mesti kenal Tuhan. Tapi kalau macam kita ini, kalau nak mujahadah, fikir-fikir dulu, susah sikit. Orang yang tauhidnya dihayati, automatik menolak kejahatan itu.

Apa yang kita dengar bila ibadah kita nak minta sesuatu dari Tuhan. Tak terfikir aku beribadah aku nak minta sesuatu dari Tuhan. Kita faham sembahyang nak pahala, itu bukan ta’abbud (pengibadatan). Bila kita puasa minta fadhilat dari Tuhan, padahal kita beribadah, Tuhan nak sesuatu dari kita. Konsep ibadah pun dah terseleweng. Seolah Tuhan berkata begini engkau sembahyang sembah Aku, aku nak tagih janji engkau takut dengan Aku. Ini tak, kita tagih fadhilat dari Tuhan, itu hak Tuhan mengapa nak tagih hak Tuhan? padahal Tuhan nak dari kita! Sudahkah kita tunaikan?

Saya buat contoh: Katalah di kampung kita ada orang kaya, pemurah ataupun ada raja pemurah, orang besar yang pemurah setiap tahun atau setiap bulan dia beri hadiah. Dia beri itu ada syarat, orang kampung pun pergi nak ambil. Dia punya syarat siapa yang dapat buat begian-begian aku akan beri hadiah. Ada syarat. Orang kampung itu nak hadiah mesti tunaikan syarat. Kita nak hadiah kenapa tak tunaikan syarat, mengapa? Jangan fikirkan hadiah, tapi fikirkan syaratnya. Begitu juga Tuhan, nak dapat fadhilat bila kita dapat tunaikan syarat-syaratnya. Dengan kata lain: Aku akan beri hadiah kepada kamu bilamana kamu bertaqwa. Dari sembahyang dan ibadah kamu, kamu jadi jadi orang bertaqwa atau tidak? Ada tuntutan Tuhan dari kita dahulu, baru dapat anugerah. Kita nak dapat dari Tuhan, kena fikir yang dari kita apa? Begitu juga puasa di bulan Ramadhan. bila dapat ditunaikan tuntutan kepada Tuhan, baru dapat hadiah. Dengan kata-kata lain segala fadhilat Ramadhan, sembahyang, puasa, baca Quran, wirid zikir lihat kalau bertaqwa atau tidak, kalau bertaqwa jangan susah hati automatik dapat. Soalnya kamu bertaqwa atau tidak, kalau tak bertaqwa, fadhilat pun tak dapat, pernahkah kita diajar begitu selama ini? Selama ini kita belajar kalau buat ini dapat ini. Pernahkah kita diajar bila buat ibadah begini perasaannya begini, bila buat ibadah begini perasaanya begini. perasaan itulah taqwa, itulah ibadah, itulah rasa kehambaan, itulah rasa bertuhan, Kalau rasa-rasa itu tak ada, fadhilat-fadhilat itu apa ertinya. Tak ada erti apa-apa. macam seorang raja, lebih-lebih lagi raja sombong dengan kebesarannya. kalau rakyatnya berhadapan dengan dia, apa yang dia suka. Kalau seorang datang dengan rasa takut, raja suka, kalau datang berdepan dengan raja dengan cekak pinggang, kena halau. Buat kurang ajar depan raja. Begitu juga depan Tuhan, Raja segala raja, lebih-lebih lagi.

Setelah kita bahas ibadah yang dikatakan agama itu, siapa beribadah dengan baik rupanya tak jadi ibadah. Pergi haji tak jadi ibadah, buat umrah tak jadi ibadah, tertipulah kita selama ini. Jadi Ibadah itu yang Tuhan mahu rasanya, sesuai dengan kebesaran Tuhan, apa yang ada pada Tuhan. Apa yang ada? Dia hendak kena rasa, kalau Tuhan Besar terasa kebesaran Tuhan. kalau Tuhan beri rezeki terasa Tuhan beri rezki, bila sihat terasa Tuhan yang beri kesihatan bukan doktor. Nampaknya ibadah yang bersifat agama pun tak jadi ibadah. Kalau selama ini orang yang beribadah dianggap orang baik rupanya tak baik, orang jahat. Orang macam itu berjuta-juta orang bila mati sebenarnya dia mati sebagai orang jahat, nampak beribadah tapi tidak beribadah yang sebenarnya.

———————————–

Setelah kita menempuh Ramadhan bulan rahmat dan berkat

Selepas itu jangan pula kita jadikan bulan-bulan berikutnya bulan laknat

Setelah kita berada di bulan Ramadhan kita agak baik sedikit

Jangan pula selepas itu kita jadikan bulan-bulan berikutnya bulan membuat jahat

Setelah kita menempuh bulan keramat

Jangan pula selepas itu kita menempuh bulan-bulan kifarah

Bulan Ramadhan bulan maghfirah

Apakah bulan berikutnya kita membuat dosa berleluasa

Kemudian menunggu pula Ramadhan akan datang

Kita cuba membuat baik selepas itu kotorkan semula?!

Begitukah kita bersikap dengan Tuhan?

Ada bulan mujahadah pada kita

Ada pula kita anggap bulan meredah dosa buat apa sahaja

Apakah kita mengadap Tuhan, macam kita mengadap raja dunia?!

Depan raja pura-pura baik, di belakang raja buat jahat?!

Dengan Tuhan tidak ada istilah di depan dan di belakang-Nya

Dengan Tuhan kita setiap saat dan setiap detik berhadapan dengan-Nya

Cuma Tuhan berhadapan tidak berkafiat dan bercara

Tidak bolehlah kita bersikap dengan Tuhan

macam kita bersikap dengan raja dunia

Berhadapan dengan Ramadhan macam berada di kebun yang luas

Kita memetik berbagai-bagai jenis buah dengan banyaknya

Keluar dari kebun kita dapat makan buah dan mengagihkan buahnya

Buah-buah itu yang dapat dimanfaatkan selepas keluar kebun, itulah hasil kebun

Ertinya Ramadhan yang berkat

kalau kita dapat mengutip kebaikan kita jadi orang baik

Selepas Ramadhan orang yang baik

Kebaikannya dapat dirasa oleh masyarakat

Mengapa setelah menjadi orang baik jadi orang jahat?!

Sebenarnya di bulan Ramadhan lagi kita belum jadi orang baik

Kejahatan yang ada pada kita di bulan Ramadhan sangat tersembunyi

Kerana dimeriahkan oleh syariat lahir

Hakikatnya di sebalik syariat itu ada kejahatan yang tersembunyi

Apabila berada di luar Ramadhan

Kejahatan yang tersembunyi itu lahir semula

Di waktu itu dia tidak boleh berpura-pura

APA MAKSUD ALLAH MEMERINTAHKAN KITA BERPUASA SEBULAN PADA SETIAP TAHUN

Perkongsian kuliah tentang puasa di bulan Ramadhan sebagai ulang kaji untuk kita semua, muga-muga ada manfaatnya kepada yang sudi membacanya juga.

Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183, ertinya;

“ Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”

Berpuasa rupanya dapat mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa kepada Tuhannya yakni bilamana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia.

Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH. Bila manusia tidak bertaqwa, mereka akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu, mementingkan diri, jatuh menjatuhkan, hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil, berdendam dan lain-lain. Masyarakat manusia tidak lagi berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansur dan bertolong bantu. Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang. Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibubapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan. Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak syaitan dan haiwan.

Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia , tahu di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah, menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan, telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit. Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah setahun digunakan, overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya, Ramadhan datang untuk overhaul manusia supaya dapatkan kemanusiaan semula.

Rugilah orang-orang yang gagal menjadikan ibadah-ibadah Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.

B. Bagaimana Ramadhan Overhaul Hati Manusia?

Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan. Allahlah yang punya pakej ini Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya. Pakej itu ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Membawa bersamanya segala sifat-sifat baik seorang manusia seperti merendah diri, pemurah, berkasih-sayang terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil, berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur, jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, di muka bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga cintakan mereka.

C. Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia

Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia. Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan. Untuk mengalahkan nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi. Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!

Sebab itulah saya katakan ibadah paling asas dalam pakej Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan . Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan . Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.

Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah ini di
Bulan Ramadhan iaitu:
Puasa yang dihayati
Sembahyang yang khusyuk
Baca Quran yang dijiwai

Mujahadah adalah satu jalan untuk seseorang menuju Allah
Tanpa mujahadah adalah mustahil seorang hamba sampai kepadaNya,
Kerana yang menjadi penghalang
Seseorang itu menuju Allah, ialah syaitan dan nafsunya,
Tapi nafsu adalah lebih menghalang
Dari syaitan laknatullah
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan
Biasanya selalu sahaja berlawan,
Disinilah perlunya bermujahadah
Bersungguh dan bermati-matian,
Bermujahadah adalah sangat menjemukan,
Bermujahadah adalah terseksa dan menyakitkan,
Tapi disinilah pahalanya
Yang besar dari Tuhan,
Bermujahadah ada kalanya Sangat susah dan payah,
Ada juga dengan rahmat Tuhan
Bermujahadah dipermudahkan,
Tapi para rasul dan para nabi
Dengan anugerah Tuhan dipelihara Tuhan,
Mereka diberi kelebihan
Tanpa mujahadah menuju Tuhan,
Mereka itu orang istimewa dan orang Tuhan,
Terlepas daripada syaitan dan bebas daripada nafsunya,
Mereka adalah orang pilihan Tuhan,
Kerana mereka hendak dijadikan
Contoh dan ikutan,
Mereka itu benar-benar orang Tuhan dan wakil Tuhan,
Untuk diikut oleh manusia berbagai-bagai lapisan
Kita yang bukan rasul dan nabi ini,
Kenalah bermujahadah,
Di dalam bermujahadah mintalah pertolongan dengan Tuhan,
Agar dibantu Tuhan di dalam bermujahadah
Melawan nafsu dan syaitan,
Bertawasullah selalu dengan Rasul dan mursyid,
Meminta tolong di dalam bermujahadah
Agar dimudahkan oleh Tuhan,
Bermujahadahlah secara istiqamah dan jangan jemu-jemu,
Nanti dengan rahmat Allah mujahadah kita dipermudahkan.

KENAPA SI MATI MEMILIH UNTUK BERSEDEKAH SEKIRANYA DIA DIKEMBALIKAN KE DUNIA UNTUK HIDUP SEMULA

KELEBIHAN BERSEDEKAH

Sebagaimana firman Allah, “…Wahai Tuhanku, alangkah baiknya Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah…..” -(Surah Al Mu’minun:10)

Sedangkan dia tidak pun berkata “supaya aku dapat mengerjakan umrah” atau “supaya aku dapat solat” atau “supaya aku dapat berpuasa”?

Seorang ulama berkata, “Tidaklah seseorang yang telah mati itu menyebut untuk bersedekah melainkan kerana kehebatan pahala yang telah dilihatnya selepas kematiannya..”

Maka hendaklah kamu perbanyakkan sedekah kerana sesungguhnya seorang mu’min akan berada di bawah teduhan pahala sedekahnya pada hari kiamat nanti.

Bersedekahlah untuk saudaramu yang telah pun meninggal dunia kerana sesungguhnya mereka amat berharap untuk kembali ke dunia untuk bersedekah dan melakukan amalan soleh. Oleh itu realisasikanlah harapan mereka. Dan latihlah anak-anakmu supaya membiasakan diri dengan bersedekah.

Bersedekahlah.. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang yang bersedekah.

“Kalaulah orang yang bersedekah itu mengetahui dengan sebenarnya dan dapat menggambarkan bahawa sedekah itu diletakkan dalam ‘tangan Allah’ sebelum ia diletakkan ke tangan orang faqir, nescaya kelazatan orang yang memberi lebih terasa besar daripada kelazatan si penerima.- Ibnu Qayyim.

Adakah anda pernah membaca tentang faedah bersedekah?

1) Amalan sedekah itu adalah salah satu pintu daripada pintu-pintu Syurga

2) Sedekah adalah sebaik-baik amalan soleh dan sebaik-baik sedekah ialah memberi makan

3) Pahala sedekah akan menaungi pemiliknya pada hari kiamat dan melepaskannya dari azab neraka

4) Sedekah dapat memadam kemurkaan Allah dan kepanasan kubur

5) Sedekah adalah sebaik-baik hadiah buat si mati, yang paling bermanfaat untuknya di kubur dan yang ditambah oleh Allah akan rezeki (kerana bersedekah)

6) Sedekah adalah satu penyucian harta dan jiwa dapat menggandakan kebaikan.

7) Sedekah adalah punca kegembiraan si pemberi dan punca wajahnya bercahaya di hari kiamat

8) Sedekah menjadi pengaman dari ketakutan pada hari huru hara besar dan hari yang tiada kesedihan kerana hilangnya sesuatu daripadanya (hari kiamat)

9) Sedekah menjadi punca keampunan terhadap dosa dan penghapusan daripada kejahatan

10) Sebagai pembawa berita gembira tentang pengakhiran yang baik dan punca doa malaikat buatnya

11) Orang yang bersedekah adalah orang yang terbaik di kalangan manusia. Pahala sedekah pula adalah untuk semua yang berkongsi tentang sedekah itu (bukan hanya utk si pemberi)

12) Pemberi sedekah dijanjikan kebaikan yang banyak dan pahala yang besar

13) Orang yang suka menginfaq adalah salah satu sifat orang yang bertaqwa. Dan sedekah menjadi punca lahirnya kasih sayang hamba Allah kepada si pemberi.

14) Sedekah tanda dermawan dan salah satu tanda kemuliaan dan kemurahan hati

15) Bersedekah memustajabkan doa dan merungkaikan segala kesulitan.

16) Bersedekah menolak bala dan menutup 70 kejahatan di dunia.

17) Sedekah memanjangkan umur, menambah rezeki, menjadi punca rezeki dan kemenangan

18) Sedekah menjadi ubat, penawar dan penyembuh

19) Sedekah menghalang kebakaran, tenggelam akibat banjir dan kecurian

20) Pahala sedekah adalah tetap (tidak berbeza-beza) walaupun diberikan kepada haiwan ternakan atau burung-burung.

 

Image result for image bersedekah

RAHMAT DAN BERKAT

Perkataan rahmat dan berkat
Tidak asing lagi di dalam ajaran Islam,
Akhir-akhirnya dua istilah ini menjadi bahasa kita,
Hampir setiap hari disebut perkataan rahmat dan berkat,
Oleh itu mari kita mempelajarinya,
Apa itu erti rahmat dan berkat?
Rahmat itu adalah sifat Tuhan,
Daripada perkataan Ar Rahman Ar Rahim,
Kalau tidak cukup ilmu,
Seolah-olah rahmat dan berkat itu sama,
Yang sebenarnya rahmat dan berkat
Pengertiannya berlainan,
Rahmat merupakan khazanah Tuhan
Yang di Luh Mahfuz,
Khazanah Tuhan itu di dalamnya ada berbagai-bagai kebaikan,
Ada iman, ada taqwa, ada ilmu,
Ada kebaikan yang bersifat maknawi,
Ada kebaikan yang bersifat maddi,
Jadi Tuhan nak menurunkan rahmat-Nya
Daripada Luh Mahfuz kepada hamba-hamba-Nya
Samada secara individu
Mahupun secara jemaah,
Ia ada sistem,
Sistem itu Tuhan tetapkan di azali
Yang merupakan sunatullah,
Yang tidak ada berubah-ubah,
Sebab itu adalah satu ketetapan Tuhan diazali lagi,
Barakah saluran kebaikan Tuhan,
Daripada rahmat yang ada pada azali,
Samada yang berbentuk maknawi atau maddi,
Yang disalurkan kepada individu yang bertaqwa
Ataupun jemaah yang bertaqwa,

Barakah itu saluran
Yang diberi kepada orang yang bertaqwa itu,
Itu juga karamah orang itu,
Samada orang bertaqwa itu individu atau jemaah,
Kalau orang itu, Tuhan salurkan barakah kepadanya
Itulah karamah yang Tuhan bagi padanya,
Melalui barakah orang itu
Disalurkan kepada orang lain,
Samada secara individu atau jemaah,
Kadang-kadang emak atau ayah yang bertaqwa
Disalurkan barakah kepada anak-anak,
Kadang-kadang seorang guru yang ada barakah,
Dialirkan kepada murid-murid
Kadang-kadang pemimpin yang ada barakah
Disalurkan kepada pengikut-pengikutnya,
Cara karamah itu mengalir
Samada orang itu bertawasul kepadanya
Atau tidak bertawasul,
Jadi barakah itu aliran rahmat
Kepada orang-orang bertaqwa
Samada individu atau jemaah,
Kemudian dialirkan kepada orang lain,
Samada secara individu atau jemaah,
Kemudian perlu diingat,
Barakah ini kalau berlaku di dunia orang kafir pun dapat,
Bantuan yang bersifat maddi
Seperti kekayaan, intan berlian, makan minum,
Pakaian, rumah, kenderaan-kenderaan,
Tetapi perlu diingat
Kalau orang yang dapat berkat itu ada yang jahat,
Ia akan jadi istidraj,
Contoh:
Kalaulah seorang ada berkat,
Berkat itu dialirkan kepada seorang yang bertaqwa,
Contohnya kekayaan,
Kekayaan itu akan menjadi kebaikannya,
Ia jadi pemurah,
Menolong orang atau
Kalau barakah itu dialirkan kepada
orang yang bertaqwa itu ilmu,
ilmu itu akan memberi kebaikan kepadanya,
dengan bertambah ilmu, bertambah iman,
bertambah kebaikan, bertambah taqwa,
tapi kalau disalurkan kepada orang jahat,
contohnya ilmu,
dengan ilmu itu, orang itu jadi jahat,
jadi sombong,
kalau barakah itu disalurkan kepada orang yang jahat berkat orang baik
contoh kekayaan,
kekayaan itu menjadikannya sombong,
bangga, jadi membazir,
dengan kekayaan jadi istidraj,
asalnya baik iaitu rahmat,
akhirnya berkat itu jadi istidraj

14-07-o6

HAJI KEMUNCAK IBADAH

Selamat menyambut Idul Adha dan selamat menjalankan ibadah korban, muga-muga segala pengorbanan kita dinilai sebagai ibadah oleh Allah SWT.

Firman Allah. Surah Al-Haj ayat 27-32: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah) Mu dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaaf akan Baitullah (Ka’abah) yang tua sejarahnya itu.

Itulah yang wajib dipatuhi, dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah, maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan olehpenyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.

(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang menghormati Syi’ar-syi’ar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati mukmin.”

Ya Allah, sedihnya hati kami, kerana tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya masih belum mampu untuk menziarahi istana Mu Ka’abah, yang terletak di Makkatul Mukarromah untuk menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kemuncak yang sangat menguntungkan itu. Belum layakkah kami untuk bersama Mu di istana suci. Tempat lahirnya para Anbiya Mursalin, sahabat Tabiin, Siddiqin, Syuhada, Muqarrobin dan Solihin itu? Agaknya kami masih jahat, lalu Dikau pun belum sudi memanggil sebagai tetamu Mu!. Namun percayalah wahai kekasih agung, hati-hati kami berazam keras untuk menebus kekurangan ini dengan melakukan apa jua yang patut untuk kami juga dapat keberuntungan dan pahala haji, sekalipun kami tidak pergi haji. Dalam sejarah memang ada ceritanya orang-orang yang tidak pergi menunaikan haji pada tahun itu, tapi berjaya dapatkan pahala haji. Moga-moga Ya Allah, kami mampu menempah sejarah itu juga dengan keizinan-Mu.

Untuk itu biarlah di musim haji ini kami mengenang-ngenangkan sesuatu berkait dengan ibadah haji dengan segala hikmah rahsia dan selok beloknya. Moga-moga harapan untuk dapat keuntungan haji mampu menjadi kenyataan.

Haji Kemuncak Ibadah

Rukun iman dan rukun islam adalah pelembagaan hidup lahir dan batin orang-orang yang cintakan Tuhan. Sepertilah rukun negara bagi orang yang cintakan negara. Gabungan kedua-dua rukun ugama ini, bila di amal, dihayati dan di perjuangkan sungguh-sungguh akan lahirkan patriot agama yang bertaraf muttaqim atau siddiqin, muqarrobin, paling tidak solihin yakni orang bertaqwa yang begitu dekat dengan Allah. Mereka adalah orang-orang Tuhan yang kekuatannya 1 orang Tuhan sama dengan 10 yang bukan.

Hal ini berlaku melalui satu proses pembinaan insaniah yang cukup profesional, sistematik dan intensif yang diprogramkan melalui rukun Islam yang 5.

Kalimah Syahadah

Bermula dengan mengucap dua kalimah syahadat. Bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah. Seseorang pun mulalah melihat Allah sebagai tujuan dan cita-cita hidupnya dengan berpandukan cara hidup Nabi Muhammad SAW. Cita-cita lain seperti hidup untuk kaya, hidup untuk berilmu, hidup untuk enjoy, hidup untuk berjawatan dan lain-lain lagi yang semuanya merupakan penyakit cinta dunia yang ditaja oleh nafsu dan syaitan, mula ditinggalkannya. Sebab dia faham bahawa prinsip hidup untuk Tuhan akan dengan sendirinya menundukkan dunia untuk juga di seretkan kepada Tuhan. Status dunia hanya sebagai alat bukan matlamat. Syaitan dan nafsu tidak layak dijadikan Tuhan. Darjat mereka telah rendah bahkan bertaraf musuh Tuhan. Kalimah syahadah adalah pemisah antara golongan yang bertuhankan nafsu dengan golongan yang bertuhankan Allah . Bagi orang yang benar-benar faham dan menghayati. Hamba nafsu matlamatnya dunia. Hamba Allah matlamatnya akhirat. Maka dari sinilah orang-orang seseorang orang Tuhan untuk bertolak ke destinasinya.

Rukun Islam Yang Kedua, Sembahyang.

Calon-calon patriot ugama, dipanggil Tuhan 5 kali sehari menghadapnya diupacara sembahyang. Panggilannya melalui azan dan iqamah cukup tegas dan jelas. Dengan maksud bahawa tiada dibesarkan dan tidak di taati melainkan Allah. Maka mengadaplah si hamba dengan ikrar dan perilaku yang membawa maksud lagi bahawa hidup mati hanya untuk Allah dengan tidak membesarkan dan tidak mentaati melainkan Allah. Hari demi hari jadi kian meneballah rasa bertuhan dan rasa kehambaan si calon. Makin tinggilah kemanusiannya, makin haluslah akhlaknya dan makin membaralah semangat juangnya untuk menjadi khalifah Allah, membela nasib seluruh hamba-hamba Allah di muka bumi ini.

Rukun Islam Yang Ketiga Dan Keempat, Puasa Dan Zakat.

Bagaimana rukun ini berperanan?

Cinta mesti dibuktikan. Yakni mesti mampu menahan diri dari keinginan-keinginan nafsu yang lahir dan yang batin, demi sumpah hidup untuk Allah. Dan mesti mampu mengorbankan hak, atas nama cinta dan sumpah yang sering diikrarkan. Maka puasa dan zakat adalah buktinya. Kedua-duanya adalah proses pembersihan lahir dan batin untuk seorang wira tuhan yang bakal memasuki gelanggang perjuangan bersama Tuhan. Dengan puasa danzakat seorang jadi cukup kebal bagi mempertahankan status hamba Allah bilamana diserang oleh Tuhan-tuhan palsu yakni nafsu dan syaitan.

Firman Allah:Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan

Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata.

Ya, nafsu dan syaitan sangat berhajat untuk menjadikan seluruh manusia dan hamba-hamba mereka hamba nafsu dan syaitan. Namun Allah, melalui puasa dan zakat sangat menarik manusia agar menjadi hamba Allah.

Rukun Islam Yang Kelima Ialah Kemuncak Ibadah Iaitu Haji.

Maka tibalah giliran upacara kemuncak bagi proses pembinaan rasa hamba dan rasa bertuhan dalam diri hamba Allah. Sekaligus terbakar hanguslah usaha-usaha nafsu dan syaitan membina mazmumah dalam diri-diri, bilamana manusia telah melalui proses kemuncak ini, haji adalah pengunci materi rohaniah manusia daripada dapat diganggu gugat lagi oleh nafsu dan syaitan. Ia pelengkap dan penyempurna proses pembangunan insaniah untuk manusia layak menjadi orang Tuhan samada menjadi Muqarrobin, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Kaedah inilah juga yang dipakai oleh raja-raja di dunia, bagi memartabatkan tokoh-tokoh dunia ke peringkat Datuk, Tan Sri, Tun, Datuk Sri dan lain-lain. Di mana untuk upacara kemuncak itu mereka-mereka yang layak dipanggil khusus ke Istana raja, untuk disematkan bintang-bintang kebesaran tadi. Haji selaku ibadah kemuncak, pelengkap rasa hamba dan rasa bertuhan, maka Allah, Raja bagi segala raja-raja memanggil khusus orang-orangnya untuk ke Istana Agung. Tepat pada tarikh 10 Zulhijjah di sana orang-orang Tuhan ditabalkan rohaniah mereka ke martabat-martabat yang Allah sendiri tetapkan untuk mereka. Orang ini, bila pulang ke tanah air pasti akan berubah watak dan sikapnya. Jadi lebih baik dari sebelum. Hingga orang ramai perasan akan perubahannya

Demikianlah rukun Islam dapat memalaikatkan manusia. Tiap-tiap satu dengan fungsinya masing-masing, membekalkan rasa hamba dan rasa bertuhan kepada roh manusia. Memang fungsi ibadah yang utama ialah untuk roh manusia merasa hamba kepada Allah sekaligus roh merasa dia ada Tuhan yang sentiasa bersamanya. Rasa kehambaan dan rasa bertuhan itu saling lazim-melazimi, tidak mungkin bercerai. Jika rasa bertuhan tajam , rasa kehambaan menebal, kalau rasa bertuhan tiada atau tipis, maka rasa hamba juga ikut tidak ada. Kedua-duanyalah yang dikatakan taqwa. Mungkin, syahadah dapat membekalkan 10 % rasa taqwa, sembahyang 50 %, puasa 20 %, zakat 10% dan haji 10%.

Begitulah besarnya peranan rukun Islam sebagai rukun hidup seorang hamba Allah, satu sama lain kuat menguatkan. Sepatutnya orang Islam kalau mahu jadi bangsa yang kuat ambillah rukun Allah ini sebagai rukun hidup, rukun perjuangannya, rukun negaranya. Barulah bangsa kita boleh maju menandingi Amerika, Jepun, Eropah, Korea dan lain-lain dari segi tamadun lahiriah.

Saudara-saudara tetamu Allah sekalian,

Umat Islam yang kuat itu ialah kuat taqwanya, jitu perpaduannya dan selaras fikiran serta tindakannya. Tamadun lahir hanya sebagai tambahan dan sokongannya. Dan ini hanya dibuat bilamana dalam dada-dada mereka penuh tebal rasa hamba dan rasa bertuhan. (Takut dan cintakan Tuhan) hasil mengamalkan rukun iman dan Islam. Sebab hanya dengan rasa-rasa inilah akan tercabutnya rasa sombong, pemarah, riyak, ujub, bakhil, tamak, dengki, mementingkan diri, dendam, gila kuasa, salah guna wang dan lain-lain. Yang mana semua mazmumah inilah yang menjadi punca pecah belahnya orang Islam hari ini.

Kalaulah sifat negatif ini sudah musnah oleh rasa hamba dan rasa bertuhan, yang dibangunkan oleh rukun Islam maka automatik manusia akan memiliki sifat-sifat positif atau mahmudah seperti sabar, redha, tawakkal, merendah diri, pemurah, timbang rasa, pemaaf, meminta maaf, bertolak ansur, kasih sayang, rasa bersama dan kerjasama, semua mahmudah ini amat penting, menjadi punca untuk manusia dapat bersatu padu dan selaras dalam bertindak dan berfikir. Dan dapat benar-benar berlaku jujur berkhidmat kepada seluruh manusia. Tanpa taqwa, mustahil manusia dapat disatukan secara hakiki dan praktikal.

Perpaduan-perpaduan palsu yang dibuat-buat dan hidup berpura-pura telah terbukti gagal membina tamadun bangsa sampai ke hujung. Semuanya bubar di tengah jalan. Hanya taqwa yang boleh menjamin orang Islam untuk dibantu Allah, menjadi empayar yang mampu menaungi bangsa-bangsa lain di dunia. Jiwa yang sudah diseal atau dimateri dengan mahmudah, akan menarik dan mempengaruhi semua orang sekalipun orang bukan Islam untuk menerima kepimpinan mereka. Kebaikan akhlak mereka dalam mengendalikan urusan-urussan hidup cukup manawan hati hingga semua orang sanggup taat dan hormat dengan sistem hidup yang mereka bawa.

Maha Baik-Nya dan Maha Bijak-Nya Allah kerana menghadiahkan rukun iman dan rukun Islam sebagai rukun asas bagi mendidik manusia dalam kehidupan di dunia ini. Rupa-rupanya di dalamnya tersimpan mutiara paling berharga untuk tujuan pembangunan insaniah bangsa. Sayang sekali selama ini kita tidak mampu mengambilnya.

Haji punyai maksud yang cukup besar.Tidak menunaikan haji ertinya kekurangan besarlah kita. Tapi bagi orang yang tidak cukup syarat kita masih boleh mengusahakannya agar roh atau semangat haji serta hikmahnya, boleh juga kita perolehi yakni dengan cara pada hari-hari Idul Adha ini usahalah lakukan ibadah-ibadah seperti di bawah ini:

Hiburkan dan gembirakan keluarga, jiran-jiran dan orang-orang susah dan miskin di persekitaran rumah kita, dengan menunaikan keperluan mereka semua. Kalau mampu korbankanlah seekor lembu atau kambing untuk mereka.

Maafkanlah semua orang yang bersalah kepada peribadi kita, walau siapa pun dia dan sebesar mana pun salahnya.

Meminta maaflah kepada manusia yang kita sudah bersalah pada mereka

Oleh kerana haji itu ialah pengorbanan, mengorbankan hak-hak kita untuk orang yang memerlukan, sebagai bukti cinta kita kepada Allah, maka dengan anak-anak jangan lagi menggarang tidak tentu pasal. Ambil kira perasaan mereka dengan sikap-sikap bengis kita. Takutilah Allah berkait dengan urusan mereka. Didiklah agar mereka kasih dan takut. Tidak kasih saja nanti dia manja, tidak takut saja nanti dia benci. Manja dan benci kedua-duanya racun pembunuh pertumbuhan rohaniah anak-anak.

Dengan orang gaji, lakukanlah dia seperti anak-anak atau saudara kita. Korbankan perasaan dan hak kita untuk menghibur dan menyelesaikan masalah kemiskinannya itu. Jangan pandang rendah dan hina, jangan anggap buruk. Gagal melayaninya dengan tanggungjawab dan kasih sayang. Ertinya gagal mendapat keredhaan Allah. Kaki kita akan tersangkut di situ. Berilah makanan dan pakaian berlebihan di rumah kita untuk dibawa pulang, gaji yang diberi biar cukup dengan keperluannya.

Setiap kali menghadap makanan yang enak-enak dan banyak, doakan petunjuk dan murah rezeki kepada segala petani dan nelayan yang terlibat mengusahakan nasi dan lauk-lauk itu. Jasa mereka itu mana boleh dilupakan saja. Sekalipun makanan itu sudah kita bayar. Sebab kemiskinan mereka tidak membolehkan mereka makan sedap. Sedangkan kita kaya-raya di atas jasa-jasa mereka. Kenalah kita bertanggungjawab. Pasti kita akan ditanya Allah tentang mereka suatu hari nanti. Begitu juga nasib buruh-buruh binaan, jalan raya, tukang angkat sampah, penoreh, pekerja kilang, hendaklah kita doakan dan tolong mereka atas jasa-jasa membangunkan rumah kita, pakaian, kenderaan, kebersihan dan lain-lain. Sebelum Allah tanya kita apa tanggungjawab terhadap golongan bawahan sedangkan kita hidup atas titik peluh mereka!

Ketika membeli di pasar, makan di restoran, berada di jalan raya, pertimbangkan nasib dan perasaan orang lain. Hingga kita terasa tidak sanggup makan seorang. Lalu bayarkanlah sekadar mampu orang kiri kanan yang berada di pasar atau di restoran. Manakala di jalan raya dahulukanlah laluan untuk orang. Begitulah kemuliaan akhlak yang dicetuskan oleh rukun Islam. Yang mana itu tidak mungkin dibuat kecuali oleh orang-orang yang seperti diceritakan dalam surah Al Haj ayat 35. Watak-watak ini sebenarnya cukup sulit kecuali haji mereka yang Allah bentangkan dalam surah Al Haj ayat 35:

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”

Ya Allah, Ya Tuhan kami, demi menjadikan hidup ini dan mati nanti benar-benar di atas jalan-Mu yang lurus, berilah kekuatan untuk kami melakukan pengorbanan-pengorbanan yang tersebut itu, di musim Haji yang meminta korban besar itu. Bapa agama kami ini, Nabi Ibrahim sampai tekad untuk korbankan nyawa anaknya untuk membuktikan kepatuhan dan taat setiapada-Mu Tuhan. Kami anak-anaknya ini belum mampu, korbankan hak yang kecil-kecil saja.

Ya Allah, jadikanlah semua jemaah haji yang dapat menunaikan haji mereka pada tahun ini dapat ubah perangai dan akhlak mereka bila pulang ke tanah air masing-masing. Materi matikanlah mazmumah dari hati mereka dan kunci kemaskanlah mahmudah di dalam dada-dada mereka. Supaya kepulangan mereka dapat membawa role model dan aset bangsa, modal-modal asas terbangunnya masyarakat madani dan negara Islam contoh. Kalau dia orang-orang politik dan pemimpin dapat jadi payung pada bangsanya, ulamak-ulamak dan cerdik pandai jadi obor, menerangi umat, orang-orang kaya boleh jadi bank biayai keperluan masyarakat. Rakyat-rakyat dan orang-orang bawahan mampu taat dan patuh pada pemimpin-pemimpin mereka, si miskin redha, sabar dan tidak meminta-minta, orang awam supaya berilmu dan terdidik, para remaja dan kanak-kanak berjuang dan membenteng negara dengan sikap-sikap soleh dan solehah.

Bila setiap golongan mampu sebaik ini berkat menyempurnakan ibadah haji moga-moga negara-negara umat Islam tidaklah lagi seteruk sekarang. Miskin, kotor, berebut-rebut, berkrisis, menipu, rasuah, pembunuhan, jenayah, gejala maksiat, dadah, zina, rogol, arak, judi, sumbang muhram, kemalangan jalan raya, bencana alam, rompakan dan perang. Mana ada satu pun negara orang Islam yang jadi negara maju setelah merdeka selama 100 tahun, 80 tahun, 50 tahun, 40 tahun, dan 30 tahun? Semuanya jauh ketinggalan, dengan barat, Eropah, Korea Jepun. Banyak yang masih mengemis dengan penjajah tapi terus-menerus menyalahkan penjajah. Walhal kedegilan dan kesombongan dan kejahatan kitalah yang menyebabkan Allah belum pun mendaulatkan kita di atas musuh-musuh kita itu! Ibadah-ibadah yang kita buat, haji yang menghimpunkan umat Islam sedunia setiap tahun tidak menghasilkan sesuatu yang sepatutnya yang dijanjikan Allah untuk orang-orang yang bertaqwa. Haji hanya tinggal jadi budaya sahaja.

Ya Allah, sempena haji 1435 ini, kami-kami yang tidak dapat berhaji ini, memohon sepenuh hati atas nama Rasulullah, keluarga dan Sahabat baginda dan guru-guru kami selaku wasilah antara hamba dengan Tuhan, semoga kami dapat sempurnakan pengorbanan dan taqwa yang disyaratkan untuk kami dapat kemenangan. Selesaikanlah Ya Allah masalah-masalah kami dengan pemimpin kami, dengan sesama kami, dengan anak-anak buah kami, dengan keluarga kami, dengan jiran kami, dengan kawan sahaja dan dengan seluruh umat Islam dan yang bukan Islam .

Krisis-krisis inilah yang menyebabkan bantuan dan janji-Mu untuk kami belum juga berlaku. Pimpin, ajar dan tunjuklah kami untuk sanggup berkorban melakukan jalan-Mu yang lurus ini. Dengan semangat Haji, moga-moga kami layak menjadi orang-orang yang dipanggil saudara-saudara Rasulullah yang mampu menempa sejarah sebagaimana yang pernah dijayakan oleh baginda, dan Sahabat-Sahabatnya.

Call Now
Directions