Kelebihan Bulan Syaaban & 5 Amalan Yang Boleh Dilakukan


Kelebihan Bulan Syaaban

Banyak kelebihan yang terkandung di bulan Syaaban, namun ramai antara kita yang masih terleka dalam merebut kesempatan ini, sehinggakan disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Itulah bulan (Syaaban) yang mana ramai manusia melalaikannya, iaitu bulan yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan. Saat itu amal manusia diangkat kepada Tuhan semesta alam. Maka aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang puasa.”
(HR an-Nasaie, hadis hasan)

Marilah bersama merebut peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya’ban ini untuk pertingkatkan momentum keimanan dan ketaqwaan kita kepada-Nya dengan melakukan amal soleh.

5 AMALAN YANG BOLEH DILAKUKAN DI BULAN SYA’BAN

Sememangnya tiada amalan khusus yang telah ditetapkan untuk diamalkan pada bulan Syaaban berdasarkan mana-mana hadis Nabi Muhammad SAW.

Walau bagaimanapun, kita boleh mengambil peluang ini bagi menghidupkan bulan yang memiliki kelebihannya tersendiri di samping sebagai persediaan menuju Ramadan yang dinanti seperti:

1. MENDIRIKAN SOLAT FARDU DI AWAL WAKTU DAN PERBANYAKKAN SOLAT SUNAT

Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ‏ “الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا”‌‌‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ “ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ‏”‌‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ “الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”‏.‌‏
Maksudnya: “Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab: “Solat pada waktunya.” Dia (perawi) bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Jihad pada jalan Allah SWT.”

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa jika kita merasakan solat fardu yang dikerjakan adalah sempurna, maka itulah tanda ketidaksempurnaan dan juga menunjukkan syaitan telah berjaya perdayakan kita.

Justeru, digalakkan untuk perbanyakkan solat sunat seperti qabliah dan ba’diah, tahajud, solat sunat duha dan sebagainya. Mudah-mudahan, ia dapat tampung atau melengkapkan kekurangan yang ada ketika kita menunaikan solat fardu.

Abu Hurairah r.a. menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ: صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ، قَالَ الرَّبُّ – عَزَّ وَجَلَّ-: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ؟ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ.
Maksudnya: “Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada kiamat ialah solatnya; jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah SWT berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?” Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.”

(HR Tirmizi, hadis sahih)

2. PERBANYAKKAN BERISTIGHFAR KEPADA ALLAH SWT

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً.
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

Antara lafaz istighfar yang boleh diamalkan ialah sayyidul istighfar iaitu penghulu kepada segala istighfar.

Ia terkandung kalimah tauhid yang membesarkan Allah SWT dan mengakui diri kita sebagai seorang hamba yang lemah dan hina.

Daripada Syaddad bin Aus r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

Nabi Muhammad SAW juga ada menyatakan kelebihan bagi sesiapa yang mengamalkan sayyidul istighfar tersebut. Baginda SAW bersabda:

وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ.
Maksudnya: “Barang siapa yang mengucapkannya (sayyidul istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal dunia pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barang siapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan, lalu dia meninggal dunia sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

3. PERBANYAKKAN BERSELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD SAW

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا.
Maksudnya: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Dalam sebuah hadis yang lain diriwayatkan bahawa, para sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda SAW menjawab dengan mengatakan:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Maksudnya: “Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”

(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

4. PERBANYAKKAN MEMBACA DAN MENTADABBUR AL-QURAN

Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ.
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya).

(HR Muslim, hadis sahih)

Tadabbur bermaksud menghayati dan mengambil iktibar daripada al-Quran untuk diamalkan.

Firman Allah SWT:

كِتَٰبٌ أَنزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ.
Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Sod: 29)

5. PERBANYAKKAN BERDOA DAN BERMUNAJAT KEPADA ILAHI

Rasulullah SAW berpesan kepada Ibnu Abbas r.a.:

إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ.

Maksudnya: “Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atasmu.”

(HR Tirmizi, hadis sahih)

Allah SWT juga menggalakkan kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya sepertimana yang terdapat dalam surah Ghafir ayat 60:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ.

Maksudnya: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”

(Surah Ghafir: 60)

Subhanallah Alhamdulillah. Terdapat pelbagai lagi amal ibadah lain yang dianjurkan syarak untuk kita lakukan dalam kehidupan. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kebaikan kita di dunia ini dan mengampuni seluruh dosa yang ada. InsyaAllah, Amin Ya Mujib.

SUMBER

https://harianpost.my/kelebihan-bulan-syaaban/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions