KELEBIHAN PUASA ENAM SYAWAL

Pada Syawal ini pula, umat Islam disunatkan untuk mengerjakan puasa
sunat enam. Ia sebagai penerus kepada ibadat puasa yang dilakukan
sepanjang Ramadan.

Abu Ayyub Al-Anshari meriwayatkan, Rasulullah bersabda: “Barang siapa
berpuasa penuh pada Ramadan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam
hari pada Syawal, maka (pahalanya) seperti dia berpuasa selama satu
tahun.” (Hadis riwayat Muslim).

Imam Ahmad dan An-Nasai, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah
bersabda: “Puasa Ramadan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa)
sepuluh bulan, sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya)
sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa
selama setahun penuh.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban).

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Barang siapa berpuasa
Ramadan, lantas disambung dengan enam hari pada Syawal, maka dia
bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadis riwayat Al-Bazzar).

Pahala puasa Ramadan yang dilanjutkan dengan puasa enam hari pada
Syawal menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap
hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda, sebagaimana
disentuh dalam hadis.

Ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa
enam itu. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan
dengan berturut-turut mulai hari raya kedua.

Ulama muta’akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan
secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya
selama dalam Syawal.

Bagaimanapun, mengerjakannya dengan berturut-turut adalah lebih
afdal. Membiasakan puasa selepas Ramadan memiliki banyak manfaat,
antaranya:

Puasa enam hari pada Syawal adalah pelengkap dan penyempurna pahala
daripada puasa setahun penuh.

Puasa Syawal dan Syaaban bagaikan solat sunnah rawatib, berfungsi
sebagai penyempurna daripada kekurangan. Ini kerana pada hari kiamat,
perbuatan fardu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan
sunnah.

Sebagaimana keterangan Rasulullah dalam beberapa riwayat. Majoriti
puasa fardu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan
ketidaksempurnaan. Oleh itu, memerlukan sesuatu bagi menutup dan
menyempurnakannya.

Membiasakan puasa selepas Ramadan menandakan diterimanya puasa
Ramadan. Ini kerana apabila Allah menerima amal seorang hamba, pasti
Dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik selepasnya.

Sebahagian orang bijak mengatakan: “Pahala amal kebaikan adalah
kebaikan yang ada selepasnya.” Oleh itu, barang siapa mengerjakan
kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu
tanda atas terkabulnya amal pertama.

Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan,
lalu diikuti dengan yang buruk, maka hal itu adalah tanda tertolaknya
amal yang pertama.

Puasa Ramadan dapat mendatangkan maghfirah atas dosa masa lain. Orang
yang berpuasa Ramadan akan mendapatkan pahalanya pada Aidilfitri yang
juga hari pengurniaan ganjaran. Membiasakan puasa selepas Aidilfitri
adalah bentuk kesyukuran atas nikmat ini. Dan sesungguhnya tidak ada
nikmat yang lebih agung daripada pengampunan dosa.

Oleh itu, antara tanda kesyukuran yang dapat dipamerkan daripada
seorang hamba ke atas pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan
kepadanya adalah dengan berpuasa selepas Ramadan.

Sebaliknya, jika diganti dengan perbuatan maksiat, maka ia termasuk
kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Apabila dia
berniat untuk kembali melakukan maksiat lagi, pada ketika melakukan
ibadah puasa, maka puasanya tidak akan terkabul. Dia bagaikan orang
yang mendirikan sebuah bangunan megah lantas menghancurkannya kembali.

Allah berfirman: “Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang
menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai-
berai kembali.” (Surah an-Nahl, ayat 92)

Antara manfaat puasa enam hari pada Syawal adalah segala amalan yang
dikerjakan oleh seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya
pada Ramadan tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia ini,
selama masih hidup.

Orang yang selepas Ramadan berpuasa bagaikan orang yang cepat-cepat
kembali daripada pelariannya, yakni orang yang baru lari daripada
peperangan fi sabilillah lantas kembali lagi. Sebab tidak sedikit
manusia yang berbahagia dengan berlalunya Ramadan sebab mereka
merasakan berat, jenuh dan lama berpuasa Ramadan.

Barang siapa berasa demikian maka sukar baginya untuk segera kembali
melaksanakan puasa, padahal orang yang segera kembali melaksanakan
puasa selepas Aidilfitri adalah bukti kecintaannya terhadap ibadah
puasa. Dia tidak bosan dan berat, apalagi benci untuk menunaikannya.

Seorang ulama salaf ditanya mengenai kaum yang bersungguh-sungguh
dalam ibadahnya pada Ramadan, tetapi jika Ramadan berlalu mereka
tidak bersungguh-sungguh lagi, beliau mengulas:

“Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal Allah secara benar
kecuali pada Ramadan saja, pada hal orang soleh adalah yang beribadah
dengan sungguh-sungguh sepanjang tahun.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions