MUHASABAH DI TAHUN BARU

Kaabah-2015

Allah SWT berfirman:
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan yang nasihat menasihati tentang kebenaran dan yang ingat-mengingat akan kesabaran.

Masa telah membawa kita ke bulan Januari tahun 2016 . Masa berjalan tidak pernah berehat. Sudah cukup jauh perjalanannya. Sudah banyak kisah yang berakhir tapi masa belum lagi mahu berhenti. Bilakah masa akan berakhir yang akan mengakhiri segala perjalanan makhluk? Hanya Allah sahaja yang tahu, kerana Dialah Pencipta masa dan mengawal perjalanannya. Sedangkan Allah tidak terikat oleh masa. Kita perlu ingat masa di sisi manusia tidak sama. Masa yang beredar menurut ukuran jin tidak juga sama dengan ukuran masa oleh malaikat. Lain alam lainlah ukuran masanya. Masa yang dipakai di dunia tidak sama dengan jarak masa yang dipakai di Akhirat. Satu hari di Akhirat sama dengan seribu tahun ukuran dunia.

Saudara saudari,

Ambil perhatianlah dengan masa. Dia adalah suatu kejadian yang cukup luar biasa, menjadi penentu dan kayu ukur perjalanan hidup kita. Allah sendiri bersumpah dengan masa! Bahawa rugilah sesiapa yang menghabiskan masa tanpa beriman, beramal soleh dan nasihat menasihati tentang kebenaran dan kesabaran.

Kini tahun baru masihiĀ  2016 sudah datang untuk kita. Masa ini memberitahu kita bahawa suatu hari nanti, seperti yang sudah ditetapkan oleh Allah, masa untuk kita sudah habis. Hidup ini ada hujungnya. Perjalanan pasti sampai ke destinasi. Masa lah yang jadi penentunya.

Kalau begitu di permulaan awal tahun baru mari kita lihat ke belakang dan ke depan, masa yang sudah kita habiskan dan yang akan kita habiskan, apakah sudah memenuhi maksud serta tujuan hidup dan tujuan mati kita nanti. Untuk apa kita minta ditambah lagi umur, kalau ianya merugikan? Mari kita lakukan post mortem atau muhasabah yang sebenar-benarnya agar kita menemukan kebenaran dan kesabaran yang Allah maksudkan itu. Mudah-mudahan kita selamat dari kaum yang menyambut awal tahun hanya dengan pesta-pesta dan keramaian yang merugikan itu.

Sebenarnya muhasabah bukannya boleh dibuat setahun sekali. Bahkan setiap hari. Alangkah bagusnya kalau kita jadualkan muhasabah kita kepada kategori-kategori berikut: Harian, mingguan, bulanan, tahunan, dekad dan abad. Hal-hal yang dimuhasabahkan pula boleh dibahagikan kepada peringkat-peringkat peribadi, keluarga, jemaah, masyarakat, negeri, negara dan dunia.

Sempena tahun baru, kita kena buat post mortem bertaraf tahunan. Satu tahun ada 12 bulan. Mengapa 12 bulan perlu satu post mortem. Tentu Allah mempunyai maksud dan hikmahNya menetapkan 12 bulan sebagai jangka tahunan. 12 bulan ini sebenarnya tidaklah panjang masanya kalau diukur dengan umur yang panjang sampai 100 tahun misalnya. Tapi 12 bulan jadi panjang waktunya kalau di ukur dengan ukuran satu dekad yakni 10 tahun. Kalau begitu memang elok sungguh setiap 12 bulan sekali lagi manusia melakukan post mortem pada diri, keluarga, jemaah, bangsa dan negerinya. Supaya himpunan-himpunan muhasabah harian, mingguan, bulanan itu dapat dirumuskan pencapaian secara menyeluruh. Yang gagal dikaji sebab-sebab kegagalan untuk dibaiki manakala kejayaan itu hendak terus suburkan. Diharapkan dengan sistem penilaian yang begini, umat Islam khususnya tidak lagi jadi umat yang ketinggalan dalam bidang-bidang pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.

1. Muhasabah peribadi

Peribadi agung yang kualitinya ialah satu orang boleh mengalahkan sepuluh orang dengan izin Allah. ( Yakni dalam bidang ekonomi, pendidikan dan semua aspek) hanya dapat dibina oleh ajaran wahyu. Yakni peribadi yang fikiran dan jiwanya berteraskan tauhid. Allah SWT betul-betul menguasai akalnya dan hatinya. Rasa bertuhan dan otak bertuhan jadi pemangkin utama mendorong sikap dan fikirannya. Terus terang saja, bahawa sijil-sijil dan degree bukan pemangkin untuk bangunkan bangsa. Patriotisma itu mesti berteraskan cinta Tuhan bukan cinta duit, cinta perempuan, cinta dunia dan cinta peribadi. Hari ini tanyalah diri sendiri, sejauh mana pencapaian cinta Tuhan itu sudah dibuat. Semaklah rukun iman, teras bina jiwa itu setakat mana dipelajari, difahami, dihayati dan diperjuangkan.

1. Percaya Allah apakah sampai jatuh hati pada-Nya?
2. Percaya malaikat sudahkah berhubung dan memberi salam?
3. Percaya Rasul apakah ia jadi idola dan pujaan, fanatik dan rindu mendalam hingga sunnahnya jadi kegilaan?
4. Percaya kitab telahkah menjadi sumber rujukan dan dasar perjuangan?
5. Percaya kiamat sampaikah ia jadi matlamat dan dunia hanya jambatan bukan rebutan? Akhirat dibesarkan atau dunia dibesarkan?
6. Percaya qada qadar betul-betul ke jadi prinsip hidup sehingga Allah benar-benar jadi hakim, jadi bank, jadi guru tempat rujuk, jadi kawan setia, jadi hanya tempat meminta tolong dari sekecil-kecil masalah hingga sebesar-besarnya.

Umur sudah matang tapi apakah fikiran dan roh ikut matang? Yakni rukun iman dan rukun Islam sudah mendarah daging, bukan bertaraf tauhid darjah 6 atau tauhid hafalan. Demikian jugalah keIslaman kita dilihat kepada penghayatan rukun Islam.

1. Kalimah syahadah yang beribu kali sudah disebut itu masih hanya di bibir atau sudah menjadi hati jantung kita sehingga Allah dan Rasul benar-benar dicintai, ditakuti, gementar hati dengan Allah hingga sanggup jadi abid di malam hari dan singa di siangnya untuk berkhidmat dengan makhluk.

2. Sembahyang rukun Islam kedua, apakah masih macam ayam patuk-patuk atau sudah berakar umbi membuah peribadi-peribadi yang satu orang sama dengan 10 atau 20 orang yang tidak cintakan Tuhan.

3. Puasa adakah hanya untuk tidak makan dan minum atau sudah lahir darinya malaikat yang berupa manusia.

4. Zakat sudahkah membina masyarakat tanpa kasta yang mana orang miskin menjadi kesayangan orang kaya.

5. Haji pula betul-betul ke melahirkan orang-orang Tuhan yang mereka itu mendengar, melihat, berfikir dan berfirasat dengan pandangan Allah? Atau haji masih bertaraf pelancongan dan shopping atau sekadar kejar fadhilat?

Semak juga di awal tahun ini apakah pokok-pokok iman dan Islam tadi sudah berbuah? Buahnya sungguh manis hingga orang bukan Islam pun jatuh hati. Yakni lahirnya peribadi-peribadi yang sanggup merendah diri, rela pemurah, mampu berkasih sayang, tahu dan tahan sabar, redha dan pemaaf. Bahkan sanggup tidak membalas kejahatan orang padanya. Orang begini adalah orang kesayangan, sama ada dalam negara, negeri, masyarakat, jemaah, sekolah, pejabat, kampung dan dalam keluarga. Orang-orang begini kalau dia pemimpin, dialah penyelamat. Sudahkah universiti-universiti Islam melahirkan tokoh-tokoh agung ini supaya umat Islam bukan lagi jadi punca masalah tapi jadi penyelamat dunia?

2. Muhasabah keluarga.

Sebuah keluarga yang miliki pemangkin yang kuat, dibangunkan oleh peribadi-peribadi agung akan jadi keluarga super. Suami amat bertanggungjawab dan adil, isteri sungguh setia dan taat, anak-anak betul-betul benteng keluarga. Poligami pun pada mereka bukan masalah. Keluarga begini boleh jadikan kasih sayang dan bertolak ansur budaya dan cara hidup mereka. Dengan jiran hormat menghormati, bantu membantu, berlapang dada dan sangat tengok menengok. Andainya keluarga besar kita sudah berada di kualiti ini, sungguh orang Islam akan diserahkan kembali kekuasaan dunia oleh Allah. Tapi kalau keluarga masih porak peranda, awas! cepat-cepat diusaha baik pulih sebab neraka menanti.

3. Muhasabah masyarakat

Masyarakat sekampung kalau dibangunkan oleh keluarga yang bertaqwa, akan jadilah masyarakat yang aman, makmur dan mendapat keampunan Allah. Kita akan lihat satu permandangan yang hanya dapat dilihat sekitar 1500 tahun yang lalu di mana pemimpin jadi payung, melindungi umat dari panas dan hujan kehidupan sedangkan dia basah kuyup dan kena panas terik, tersiksa dalam kehidupannya. Ulama-ulama jadi obor, lampu penerang umat dunia akhirat. Dengan ilmu dan taqwa, mereka membakar kejahilan, kemungkaran, maksiat, kezaliman dan kepalsuan dalam masyarakat. Terang benderanglah kampung itu dengan iman, Islam, ilmu, kebaikan, kasih sayang, akhlak, ukhwah dan perjuangan.

Orang kaya jadi bank, pintu-pintu rumah mereka sentiasa terbuka untuk orang-orang miskin, fakir, ibu tunggal, anak-anak yatim, orang berhutang, orang-orang musafir, orang susah dan kemalangan. Mereka berebut-rebut untuk menyimpan di bank Allah yakni di Akhirat. Takutkan hari hisab dan neraka menyebabkan mereka tidak takut membuang kekayaan di dunia. Mereka rindukan syurga Allah di akhirat.

Pemuda pemudi kerana cintakan Tuhan mampu menjadi khalifah-khalifah kecil di bumi Allah. Mereka berjuang dan membenteng bangsa dari kejahatan. Orang-orang miskin dalam masyarakat bukan masalah dan bukan sampah. Mereka sangat berjasa pada negara dan bangsa. Merekalah tenaga-tenaga masyarakat, membuat kerja-kerja mulia memakmurkan rakyat. Mereka redha dengan Allah, Allah redha dengan mereka.

Allah berfirman:
“Bilamana penduduk satu kampung bertaqwa, maka Allah akan bukakan berkat dari langit dan bumi.”

Di awal tahun ini, sudah sampai ke mana masyarakat kita ini? Peribadinya, keluarganya, jemaah, negeri dan negara. Sudahkah jadi masyarakat berdikari atau masih bersandar keperluan kepada bangsa lain? Mundur atau majukah orang kita ini? Sedang berjuang dengan serius atau sambil lewa? Sungguh-sungguh atau malas-malas? Tugas-tugas atau amanah-amanah yang dipercayakan samaada oleh kerajaan atau swasta sudahkah disempurnakan? Tidak lupa masyarakat sekampung yang kurang bernasib baik sudahkah kita bantu, ziarah-menziarahi, bekerjasama, berkasih sayang? Kalau ada lori angkat sampah, kita tanya atau tidak sudah makan ke belum? Di pasar bila beli ikan sanggup tak bayarkan orang yang di sebelah kita. Bila makan di restoran, ada tak belanja meja di sebelah kita? Di jalan raya, sudahkah kita beri laluan kepada kereta lain, supaya jangan ada perebutan dan pertembungan yang merbahaya? Bila makan teringat tak jiran? Sudahkah orang-orang gaji dilayan seperti keluarga, diajak makan sama dan diberi hadiah-hadiah.

4. Muhasabah Jemaah

Jemaah-jemaah Islam atau pejuang-pejuang yang bertaraf global dan internasional, demi kebenaran yang datang dari Allah, supaya dunia dikembalikan kepada keadilan dan ketaqwaan, persiapkanlah segala keperluan dan syarat-syarat untuk diberi kemenangan oleh Allah. Sejarah merakamkan peristiwa menangnya Islam oleh orang-orang Allah bilamana pasukannya bersembahyang malam, bersugi, luruskan saf, berkasih sayang dan sanggup berkhidmat pada semua manusia. Itulah simbol taqwa. Maka Allahlah pelindung mereka.

Di awal tahun ini, semaklah kumpulan masing-masing. Apakah sumbangan kita sudah maksimum? Perpaduan dan kasih sayang di taraf mana? Teruskan baiki diri oleh setiap individu, kemaskan keluarga, kampung, ekonomi, budaya, klinik dan hospital, sekolah-sekolah, restoran-restoran, pasaraya dan apa lagi aktiviti-aktiviti jemaah. Pastikan semuanya berada di kualiti yang memuaskan dan dibantu Allah. Moga-moga etnik ini akan jadi alternatif kepada segala kebuntuan yang melanda dunia.
Itulah dia muhasabah atau post mortem namanya.

Natijah

Begitulah sepatutnya kita koreksi diri secara Islam untuk tempoh setahun yang berlalu. Jika didapati dalam semua bidang itu kita berjaya dengan cemerlang, teruskan lagi.Tapi jika nasib masih malang, jangan diulang. Yang cacat ditampal, yang baik diteruskan, yang belum wujud difikirkan untuk tindakan. Jika semua warganegara berfikiran begini, setiap awal tahun masihi dan hijriah melakukan muhasabah diri, yang rosak dibetulkan, yang berlubang ditampal, yang kurang ditambah, yang baik diteruskan, bahkan lebih dibaiki lagi. InsyaAllah, dari tahun ke tahun, dari dekad ke dekad dan seterusnya, kita akan mendapat natijah yang kita idamkan. Bangsa dan negara akan jadi maju atas nama Islam. Masyarakatnya mempunyai moral yang tinggi sekali , kerana Tuhan disembah, saling berkasih sayang, bekerja sama, berakhlak mulia, dan berbudi tinggi. Orang bukan Islam pun jatuh hati kerana layanan yang menarik hati. Maka akan berlakulah tamadun jasmani, maknawi dan rohani pada bangsa

Inilah semangat tahun baru. Semangat memeriksa diri dan membaiki diri, keluarga, masyarakat, jemaah, negeri dan negara. Dan ia tidak sama sekali menjadikan pesta, keramaian, perayaan, berpoya-poya dan berangan sebagai agenda. Sebab bangsa yang kuat bukan disibukkan oleh program-program suka ria dan berlalai-lalai. Hanya bangsa yang lemah dan menuju jatuh saja yang ada masa untuk suka-suka dan bermain-main sesama mereka.

Ya Allah, Yang Memberi dan Mencabut kekuasaan dari siapa yang Ia suka, muliakanlah bangsa ini dengan Iman dan Islam. Lepaskan kami dari kehinaan yang menimpa. Wariskanlah kekuasaan kepada orang-orang bertaqwa yang mereka itu sanggup jadikan hidup mati untuk menyembahMu dan motivasikan manusia untuk menyintaiMu! Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions