PENGHAYATAN RUKUN IMAN DAN RUKUN ISLAM DI DALAM SEMBAHYANG

SEMBAHYANG- Mengapa ia dianggap besar,penting dan sebagai tiang agama?

Oleh kerana sembahyang dianggap sebagai tiang agama, sudah tentulah ia satu perkara yang besar dan penting dalam hidup kita dan dengan demikian ada beberapa perkara yang mesti kita tahu dan kena faham secara simbolik
dan falsafahnya. Kita faham betul-betul sehingga ketika kita mendirikan sembahyang kita terasa kita kenal Tuhan dan sembahyang itu diikat dengan perkara-perkara tertentu.
Sembahyang itu dianggap penting, agung dan besar kerana di dalam sembahyang itu tercantum seluruh Rukun Iman dan Rukun Islam. Sewaktu kita belajar agama dahulu, kita belajar dengan secara terpisah tetapi kita kena bawa kedua-dua ini ke dalam sembahyang sehingga semua rukun iman dan rukun Islam itu ada di dalamnya
…susah tak nak buat demikian? tentulah susah.
Untuk nak mudah faham lagi cuba kita fikir apa yang lebih besar dalam Islam selain Rukun Iman dan Rukun Islam? Kalau dua rukun ini besar di dalam Islam, ada tak di dalam sembahyang kita?
Barulah kita sedar kenapa sembahyang itu besar, sebab ia diikat atau disadur dengan semua Rukun Iman dan semua Rukun Islam.

Mari kita tengok Rukun Iman dahulu:-

1.Rukun Iman yang pertama ialah Percaya kepada Allah. Ada tak percaya kepada Allah dalam sembahyang? di ambang atau permulaan sembahyang itu kita tak boleh sebut Alhamdulillah tetapi mesti sebut Allahuakbar, itu tandanya Allah Maha Besar, tak ada yang lain paling besar melainkan Allah. Di tiap-tiap peralihan rukun sembahyang kita sebut Allahuakbar, semuanya tak ubah. Di pintu nak masuk sembahyang atau di permulaan sembahyang (takbiratulihram) jika kita tak sebut Allahuakbar, terbatal sembahyang! Mengapa di sebut Allahuakbar?  sebab Allah Maha Besar.
Di dalam azan pun disebut Allahuakbar beberapa kali walaupun syahadat itu juga besar tetapi kita sebut Allahuakbar. Itulah besarnya sembahyang. Di waktu kita menyebut Allahukabar tadi hati perlulah bersih dan tidak
mengingati yang lain selain dari Allah, kita menyucikan hati kita sesucinya. Kita angkat tangan tanda kita surrender kepada Allah, kita tak bawa yang lain selain Allah. Kalau dalam nisbah perang kita angkat tangan terasalah di waktu itu kita surrender.
Seolah-olah hati kita berkata-kata “Hai Tuhan, saya surrender ni, saya mengaku kalah, saya dah tak kisah apa yang Tuhan nak buat kepada saya, buatlah”…sampailah kita melafazkan Allahuakbar. Kalau kita hanya belajar rukun sembahyang yang 13, kita hanya tahu mengangkat tangan dan mengucap Allahuakbar tetapi falsafah disebaliknya kita tak tahu.

2.Rukun iman yang kedua ialah Percaya kepada Malaikat
Yang kita nak tekankan ialah amalan percaya kepada malaikat…bukan percaya atas dasar ilmu sahaja, tetapi terus dihayati dalam sembahyang. Sewaktu kita angkat tangan kita sedar sekurang-kurangnya ada dua malaikat di sebelah kiri dan kanan kita yang sedang mencatit segala perbuatan kita Raqib dan ‘Atid. Kita wajib kenal malaikat yang sepuluh. Selepas angkat tangan, sebelum baca doa iftitah, cuba kita renung sekejap akan 2 malaikat yang berada di sebelah kita…kalau kita sedarlah …MasyaAllah rasa macam polis Bukit Aman yang sedang ekori kita.
Tetapi selalunya kita lalai, kita tak bawa rukun iman dalam sembahyang, yang kita bawa adalah “hidup kita”, anak kita, anak kunci kita, rumah kita hingga akaun dalam bank pun nampak. Sebab kita tak bawa rukun iman, yang
kita bawa rukun sembahyang!… yang kita ingat itu sahaja. Tak ada maknalah kita sembahyang kalau kita tak bawa rukun iman dan rukun Islam. Mengapa ia terpisah? sedangkan sembahyang itu tiang agama. Mengapa pembaharuan ikrar ada di dalam sembahyang?. Mengapa pembaharuan syahadat kita ada dalam sembahyang? …ini semua menunjukkan akan pentingnya dan besarnya sembahyang.
Tak ada maknanya kita sembahyang kalau kita tak faham. Kebanyakan kita asyik terkejar-kejar dengan bacaan dalam sembahyang kerana kita nak ikut rukun tetapi kita tak ikut falsafahnya, peringatan dan pengajian yang kita dapat dengan Tuhan dalam sembahyang. Kalau kita betul-betul faham sudah tentu kita sembahyang dengan cara
berlambat-lambat dan sangat beradab dengan Tuhan.

3.Percaya kepada Kitab adalah rukun iman yang ketiga.
Ada tak dalam sembahyang?…Al Fatihah itu adalah Ummul Kitab dan surah ini wajib dibaca dalam sembahyang. Seluruh kitab yang pernah diturunkan Allah kepada Rasul-rasulNya semuanya terkumpul di dalam Al Fatihah, Ummul Kitab.
Sewaktu kita baca Al Fatihah kita kena ingat yang ia merangkumi semua kitab. Sedar tak kita akan perkara ini di waktu sembahyang?…bukan sekadar ingat rukun iman dalam nasyid sahaja! Baru kita sedar yang sembahyang ini bukan boleh main-main, sembahyang itu penting…bila dah faham baru datang khusyuk. Kalau kita sedar yang kita nak bawa Rukun Iman dalam sembahyang, sudah tentu sebelum sembahyang lagi kita dah rasa takut. Sebab itulah para-para Sahabat, sewaktu berwudhuk lagi mereka dah rasa menggigil sebab mereka takut kerana nak bawa Rukun Iman dalam sembahyang. Kita mendirikan sembahyang kerana nak ingatkan Tuhan, barulah kita akan terasa besar dan hebatnya sembahyang.

4.Rukun Iman yang ke 4 ialah percaya kepada Rasul-Rasul
Semua Rasul bersembahyang. Rasulullah SAW kena ambil sembahyang ini dari Allah dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Perisitiwa ini kita kena ingat dan yakini di mana hanya Rasulullah SAW sahaja yang menempuhnya dan Baginda dianugerahkan Allah perintah sembahyang untuk umatnya. Kalau begitu murtad tak kalau kita tak sembahyang dengan sengaja? Kafir tak hukumnya kalau kita tak terima hukum sembahyang? Masuk neraka tak kalau kita lalai dalam sembahyang?…Allah dah janjikan Neraka wail unutk semua yang lalai dalam sembahyang.
Peristiwa Isra’ dan Mikraj itu bukan hanya kita ingat dan baca setahun sekali tetapi kita kita kena hayati 5X tiap-tiap hari…kita kena faham dengan penghayatannya sekali.
Betapa susahnya Rasulullah SAW dan betapa malunya baginda turun naik memohon dari Allah agar perintah sembahyang dikurangkan dari 50 hingga 5 waktu sahaja. Kita sebagai umatnya ditetapkan sembahyang 5 waktu sedangkan nilainya masih 50 waktu. Barulah rasa besar anugerah Tuhan, barulah rasa diri ini kecil, barulah kita sembahyang terasa Allah kita bawa bersama. Mikraj seorang mukmin adalah sembahyang.

5.Rukun iman yang kelima ialah Percaya hari Kiamat.
Ada tak rukun ini di dalam sembahyang kita? Di dalam Ummul Fatihah ada ayat Maalikiyaumiddin. Allah yang menjadi Raja/Pemerintah di hari kemudian atau Akhirat. Sekiranya kita faham tidaklah sembahyang kita menjadi sia-sia. Sebelum masuk waktu kita dah bersedia sebab memang sembahyang kita jenis yang cincai-cincai, jadi elok sekiranya kita ambil masa duduk sebentar merenung-renung rukun Iman yang kita nak bawa dalam sembahyang – beginilah kita mengaji dengan Allah secara direct. Ulama zaman dahulu, khusyuknya mereka sehingga runtuh bangunan pun mereka tak sedar! mereka bayangkan zaman akhirat, terasa tulang badan dimamah, digigit, terasa takut yang amat sangat. Kita tak rasa takut sebab kita tak faham. Cuba bayangkan kita di padang Mahsyar, berdiri di hadapan Allah, kita ingat semua nikmat Allah, dengan apa nak dibayar?… yang ada pada diri kita sekarang ini kita punya ke atau Allah yang punya? hak kita ke?

6.Percaya kepada Qadak dan Qadar
Rukun Iman yang ke 6 ialah percaya bahawa untung baik dan untung jahat seluruh hidup kita semuanya datang dari Allah. Kita serah bulat-bulat kepada Allah. Di dalam doa iftitah kita baca,” innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil’alamin”. Segala urusan hidup dan mati kita semuanya kita serah pada Allah, kita redha dengan ketentuan Allah. Kita kaya ke, kita miskin ke, kita rakyat ke, kita raja ke itu semua ketetapan Allah dan kita perlu redha. Segala perintah Allah kita buat dan segala yang dilarang kita tinggalkan. Qadak adalah segala ketetapan Allah yang sudah dan sedang berlaku. Manakala Qadar Allah ialah yang akan datang di mana kita tak tahu. Untuk Allah umur, rezeki, hidup dan mati kita Dia sudah tetapkan dari azali lagi, cuma kita sebagai manusia yang tak tahu apa yang akan berlaku di waktu akan datang.

Sebagai kesimpulan, sedarkah kita sama ada kita bawa rukun iman dalam sembahyang atau tidak? Janganlah Rukun Iman yang kita tahu amat penting dalam Islam kita simpan dalam kitab sahaja, nak simpan dalam memori sahaja!
Marilah kita berusaha membawa dan hayati semua rukun iman di dalam sembahyang kita. Ingatlah satu sahaja rukun iman kita tak terima terbatallah iman kita.

Mari kita lihat pula di mana letaknya Rukun Islam di dalam sembahyang kita.

1.Rukun Islam yang pertama ialah mengucap dua kalimah syahadat.

Ada tak rukun ini di dalam sembahyang kita? Di dalam satu hari berapa kali kita mengucapkan syahadat di dalam sembahyang kita? dalam satu hari kita mengucapkan 9 kali syahadat. Ini yang wajib. Kita memperbaharui syahadat
kita 9X sehari.
Janganlah Rukun Islam dijadikan ingatan di dalam lagu sahaja, janganlah dimainkan sahaja syahadat ini, jangan pula kita tak sembahyang. Syahadat di luar sembahyang tak payah kiralah berapa yang kita nak buat. Tetapi yang wajib 9X, tak ada syahadat, tak sah sembahyang kita. Tak eloklah kita hanya hafal Rukun Islam bila nak nikah, ini semua orang boleh hafal, orang kafir pun boleh tetapi bila ditanya orang di mana letaknya Rukun Islam
di dalam sembahyang, susah nak jawab.
Kita bersembahyang tapi tak faham, akhirnya sampai mati pun kita tak faham – kita akan didakwa di Akhirat nanti. Ilmu yang kita dapat perlu kita faham dan hayati dan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita. Bila kita faham yang kita kena menghayati Rukun Iman dan Rukun Islam di dalam sembahyang kita barulah kita boleh menghayati kedua-dua rukun ini di dalam setiap aspek kehidupan kita.

Dua Rukun ini berganding sebagai rel untuk keretapi bergerak, sebesar manapun gerabak keretapi, berat macam manapun gerabak keretapi ia tetap boleh berjalan dan dapat bertahan – iaitu bila Rukun Iman dan Rukun Islam
dijadikan rel. Barulah kita faham kenapa orang yang bersembahyang pun boleh tidak tenteram atau berkecamuk hidupnya – kerana dia tak faham Rukun Iman dan Rukun Islam yang perlu dibawa didalam sembahyangnya. Disinilah kita wajib belajar, kerana kita diwajibkan mengamalkan kedua Rukun ini dalam sembahyang.

2.Rukun Islam yang kedua ialah Sembahyang.
Ini tak berubah dari zaman Rasulullah SAW. Waktu Zuhur, ‘Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh ini sembahyang yang wajib. Ada yang sunat, yang bermacam-macam jenis yang boleh kita buat. Rukun sembahyang yang 13 kita
perlu belajar dan ketahui, tak payah dihurai disini.

3.Rukun Islam yang ketiga ialah puasa.
Puasa yang wajib ialah di bulan Ramadhan, dalam setahun hanya sebulan sahaja kita berpuasa. Puasa hari-hari tak ada ke? – cuba kita tengok amalan puasa kita dalam sembahyang. Boleh tak kita makan dalam sembahyang?- yang kita tahu bukan makan, minum sahaja tak boleh, senyum dan ketawa pun tak boleh. Bergerak lebih dari 3 kali pun tak boleh. Kita ingat yang lain selain Allah pun tak boleh. Katakan kita sembahyang 5 minit dalam satu waktu, bermakna kita berpuasa untuk 5 minit; satu hari kita berpuasa 25 minit kalau setahun ada 365 hari bermakna sebulanlah kita berpuasa. Sewaktu berpuasa kalau kita makan atau minum terbatallah puasa itu.
Disiplin puasa dalam sembahyang lebih kuat lagi, makan minum tak boleh, bergerak lebih dari 3X tak boleh, menoleh pun tak boleh.
Cuba fikir-fikirkan sama ada kita ada rasa berpuasa tak di dalam sembahyang kita! –  bila nak berwudhuk kita berkumur-kumur mulut, itu menandakan kita nak berpuasalah di dalam sembahyang. Latihan berpuasa setiap kali kita bersembahyang membuatkan kita bersedia untuk berpuasa lahir dan batin di dalam bulan Ramadhan, jadi tak susahlah kita nak menghadapi puasa bulan Ramadhan. Yang banyak berlaku, kita tak faham intisari sembahyang, tak dapat kesan Rukun Islam dalam sembahyang kita yang membuat kita tak dapat menghayatinya dalam kehidupan kita.

4.Rukun Islam yang keempat ialah Zakat.
Zakat atau Zakah (sebutan ikut ejaan bahasa Arab) bermakna pembersihan atau pensucian. Ada tak rukun ini dalam sembahyang? – Bersuci ( 4 peringkat) perlu kita lakukan dalam sembahyang. Awal-awal dalam persiapan sembahyang kita dah melakukan amalan zakat. Kita kena bersuci pakaian dan tempat sembahyang dan semua anggota lahir dari najis. Kita kena juga bersuci dari hadas kecil dan juga hadas besar. Anggota-anggota 7 kita juga perlu disucikan dari perbuatan-perbuatan yang keji. Hati kita juga perlu bersih dari sifat-sifat mazmumah. Di dalam
sembahyang hati kita tidak boleh mengingati yang lain selain Allah. Pembersihan harta bagi orang kaya ialah dengan berzakat. Bagi orang yang miskin mereka tidak perlu berzakat harta tetapi mereka melakukan amalan zakat di dalam sembahyang setiap hari. Seluruh anggota diperlukan bersih dari najis. Pada yang berzakat harta tetapi tak sembahyang tak ada maknanya, tak ada nilainya.

5.Rukun Islam yang ke 5 ialah menunaikan Haji ke Mekah.
Ada tak amalan ini di dalam sembahyang? Ke mana yang kita hadapkan muka dan badan kita setiap kali kita sembahyang? Tentulah ke Baitullah. Kita kena faham yang kita mengadap Kiblat setiap hari, disana tempat orang pergi haji. Bagi orang yang bersembahyang sungguh-sungguh, insyaAllah Allah akan izinkan dia pergi ke Mekah walaupun dia miskin. Setiap waktu dia sembahyang, dia mengucapkan kecintaannya kepada Allah, dia amat rindu kepada Baitullah dan berasa remuk redam dihatinya – bayangkan kalau dia bersembahyang di sana, tentulah rasa amat seronok pergi ke Mekah. Tak payahlah kita jadi seperti kebanyakan orang yang pergi Haji tetapi asyik tengok orang lain sembahyang, jadi bila balik asyik bawa cerita cara-cara orang lain sembahyang.

2 Responses to PENGHAYATAN RUKUN IMAN DAN RUKUN ISLAM DI DALAM SEMBAHYANG

  1. Muhammad Dini Umar Bin Sabri says:

    Terima kasih atas perkongsian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions